Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Yehuwalah Warisanku

Yehuwalah Warisanku

Yehuwalah Warisanku

“Aku, Tuhan, adalah warisanmu.”​—BIL. 18:20.

1, 2. (a) Adakah orang Lewi mewarisi sebahagian daripada Tanah yang Dijanjikan? Jelaskan. (b) Apakah jaminan yang diberikan oleh Yehuwa kepada orang Lewi?

ORANG Israel telah pun menakluki sebahagian besar Tanah yang Dijanjikan. Kini, Yosua bersama Imam Agung Eleazar dan ketua-ketua suku mula membahagikan tanah dengan membuang undi. (Bil. 34:13-29) Tetapi orang Lewi tidak diberikan tanah seperti suku-suku lain. (Yos. 14:1-5) Mengapakah orang Lewi tidak mewarisi mana-mana bahagian tanah? Adakah mereka diabaikan?

2 Yehuwa telah berkata kepada orang Lewi, “Aku, Tuhan, adalah warisanmu.” Jadi, Yehuwa menjamin bahawa mereka tidak akan diabaikan sama sekali. (Bil. 18:20) Apakah reaksi anda jika Yehuwa memberitahu anda bahawa Dia adalah warisan anda? Anda mungkin berkata, “Adakah saya layak menerima jaminan sebegini daripada Tuhan Yang Maha Kuasa? Dapatkah Yehuwa menjadi bahagian, atau warisan orang Kristian hari ini yang tidak sempurna?” Soalan-soalan ini melibatkan anda dan orang kesayangan anda. Jadi kita harus memahami maksud kata-kata Yehuwa. Tidak kira sama ada anda mempunyai harapan untuk ke syurga atau untuk tinggal di bumi firdaus, Yehuwa boleh menjadi warisan anda!

Yehuwa Menjaga Keperluan Orang Lewi

3. Mengapakah Tuhan memilih orang Lewi untuk berkhidmat kepada-Nya?

3 Sebelum Yehuwa memberikan Hukum Musa kepada orang Israel, ketua keluarga berkhidmat sebagai imam. Tetapi di bawah Hukum, Tuhan mengaturkan supaya para imam dan pembantu dari suku Lewi berkhidmat kepada-Nya. Mengapakah Tuhan memilih orang Lewi untuk berkhidmat kepada-Nya? Semasa Yehuwa membunuh anak sulung orang Mesir, Dia “mentahbiskan semua anak lelaki sulung keluarga Israel,” dan menjadikan mereka milik-Nya. Kemudian, Tuhan membuat perubahan yang besar. Dia berkata, ‘Tetapi sekarang Aku mengambil orang Lewi sebagai pengganti semua anak lelaki sulung Israel.’ Oleh sebab jumlah anak lelaki sulung orang Israel melebihi jumlah orang Lewi, wang tebusan telah dibayar untuk bilangan orang yang tidak mempunyai pengganti. (Bil. 3:11-13, 40, 41, 46, 47) Jadi, orang Lewi dapat menjalankan khidmat kepada Yehuwa.

4, 5. (a) Jelaskan bagaimana Yehuwa menjadi warisan bagi orang Lewi. (b) Bagaimanakah Yehuwa menjaga keperluan orang Lewi?

4 Bagaimanakah Yehuwa menjadi warisan bagi orang Lewi? Meskipun mereka tidak mendapat warisan tanah, mereka mewarisi khidmat yang istimewa. Mereka dapat “mengabdi kepada Tuhan sebagai imam.” (Yos. 18:7) Konteks di Bilangan 18:20 menunjukkan bahawa mereka tidak kemiskinan. (Baca Bilangan 18:19, 21, 24.) Orang Lewi diberikan “semua persepuluhan yang dipersembahkan umat Israel” sebagai “ganjaran bagi pekerjaan mereka.” Mereka menerima 10 peratus daripada hasil tanaman dan daripada peningkatan dalam bilangan haiwan peliharaan. Tetapi orang Lewi harus menyumbangkan persepuluhan daripada apa yang diterima, iaitu “bahagian yang paling baik,” kepada para imam. * (Bil. 18:25-29) Para imam juga diberikan “segala sumbangan khas” yang dipersembahkan oleh orang Israel kepada Tuhan di tempat ibadat-Nya. Maka, para imam dapat yakin bahawa Yehuwa akan menjaga keperluan mereka.

5 Nampaknya, orang Israel juga memberikan persembahan persepuluhan yang kedua. Setiap keluarga mengekhaskan persepuluhan ini untuk digunakan semasa perhimpunan-perhimpunan suci setiap tahun. (Ul. 14:22-27) Selain itu, mereka perlu menggunakan persepuluhan ini untuk tujuan lain. Setiap tujuh tahun, orang Israel merayakan tahun Sabat. Pada akhir setiap tahun ketiga dan keenam dalam kitar tujuh tahun ini, orang Israel menggunakan persepuluhan ini untuk membantu orang miskin serta orang Lewi. Orang Lewi dapat mengambil persepuluhan ini kerana mereka “tidak mempunyai harta milik” dalam bangsa Israel.​—Ul. 14:28, 29.

6. Di manakah orang Lewi akan tinggal memandangkan mereka tidak mempunyai warisan tanah?

6 Jika orang Lewi tidak mempunyai warisan tanah, di manakah mereka akan tinggal? Yehuwa telah memberi mereka 48 buah kota, dengan padang rumputnya, termasuk 6 buah kota perlindungan. (Bil. 35:6-8) Maka, orang Lewi mempunyai tempat tinggal sewaktu mereka tidak berkhidmat di Khemah Tuhan. Yehuwa mencurahkan berkat yang melimpah ke atas mereka yang berkhidmat kepada-Nya. Orang Lewi dapat menunjukkan bahawa Yehuwa adalah warisan mereka dengan menaruh kepercayaan pada keupayaan-Nya untuk menjaga mereka.

7. Apakah yang perlu diperlihatkan oleh orang Lewi jika mereka ingin Yehuwa menjadi warisan mereka?

7 Di bawah Hukum Musa, seseorang yang tidak mempersembahkan persepuluhan tidak akan dihukum. Tetapi hal ini akan meninggalkan kesan yang buruk pada para imam dan orang Lewi. Contohnya, pada zaman Nehemia, orang Lewi terpaksa mengabaikan khidmat mereka, dan kembali ke ladang-ladang untuk bekerja. (Baca Nehemia 13:10.) Jelaslah, kemurahan hati bangsa Israel terhadap suku Lewi bergantung pada kerohanian mereka. Selain itu, para imam dan orang Lewi sendiri perlu memperlihatkan iman kepada Yehuwa dan yakin bahawa Dia akan menjaga keperluan mereka.

Individu yang Menjadikan Yehuwa Warisan Mereka

8. Apakah masalah yang dihadapi oleh Asaf?

8 Yehuwa telah berjanji bahawa Dia akan menjadi warisan bagi seluruh suku Lewi. Tetapi semasa individu tertentu dari suku Lewi bercakap tentang persahabatan mereka dengan Yehuwa, mereka menggunakan kata-kata yang menunjukkan bahawa Yehuwa merupakan warisan mereka. (Rat. 3:24) Sebagai contoh, Mazmur 73 menyebut tentang Asaf (atau salah seorang keturunannya) yang merupakan seorang penyanyi dan penggubah. * Dia menjadi bingung dan mencemburui orang jahat yang hidup makmur. Bahkan dia berkata, “Sia-sia sahaja aku menjaga hatiku supaya suci, tiada gunanya aku menjauhi dosa.” Nampaknya, Asaf terlupa bahawa dia mempunyai peluang istimewa untuk berkhidmat kepada Yehuwa. Dia lupa bahawa Yehuwa adalah warisannya. Tetapi pandangannya berubah setelah ‘dia masuk ke dalam Rumah Tuhan.’​—Mzm. 73:2, 3, 12, 13, 17, ABB.

9, 10. Mengapakah Yehuwa menjadi warisan Asaf buat selama-lamanya?

9 Di Rumah Tuhan, Asaf mula memiliki sudut pandangan Tuhan. Pernahkah anda mempunyai pengalaman yang serupa? Barangkali anda terlupa bahawa anda diberi peluang istimewa untuk berkhidmat kepada Yehuwa dan mula berfikir tentang hal-hal kebendaan yang ingin dimiliki. Tetapi setelah mempelajari Firman Tuhan dan menghadiri perjumpaan, anda mula mempunyai sudut pandangan Yehuwa. Asaf sedar bahawa akhirnya orang jahat akan dibinasakan. Dia merenungkan berkat-berkat yang dinikmati olehnya dan sedar bahawa Yehuwa sedang memegang tangan kanannya dan akan terus memimpinnya. Maka dia berkata kepada Yehuwa, “Tiada lagi yang aku ingini di bumi ini selain Engkau.” (Mzm. 73:23, 25) Asaf kemudian menunjukkan bahawa Yehuwa merupakan warisannya. (Baca Mazmur 73:26.) Meskipun “jiwa raga [Asaf] menjadi lemah,” Yehuwa masih menjadi warisannya buat selama-lamanya. Tuhan tidak akan melupakannya atau kesetiaannya. (Pkh. 7:1) Dengan penuh yakin, Asaf bernyanyi, ‘Bagiku, sungguh baik berada di samping Tuhan. Aku mendapat perlindungan daripada Raja Yehuwa’!​—Mzm. 73:28.

10 Ya, Asaf menghargai keperluan fizikal yang diterimanya sebagai orang Lewi. Tetapi dia lebih menghargai persahabatannya dengan Yehuwa dan peluang istimewa untuk berkhidmat kepada-Nya. (Yak. 2:21-23) Bagi mengekalkan persahabatan ini, Asaf perlu percaya dan beriman kepada Yehuwa. Dia perlu yakin bahawa kehidupannya akan lebih bermakna jika dia hidup selaras dengan piawaian Tuhan. Anda juga boleh memiliki keyakinan yang serupa terhadap Yehuwa.

11. Apakah soalan yang dikemukakan oleh Yeremia, dan bagaimanakah Yehuwa menjawabnya?

11 Seorang lagi individu daripada suku Lewi yang menjadikan Yehuwa warisannya ialah nabi Yeremia. Bagaimanakah Yehuwa menjadi warisannya? Yeremia tinggal di Anatot, iaitu kota orang Lewi yang terletak berhampiran Yerusalem. (Yer. 1:1) Pernah sekali, Yeremia menjadi bingung dan bertanya: Mengapakah orang jahat makmur sedangkan orang yang adil benar menderita? (Yer. 12:1) Yeremia tahu bahawa Yehuwa bersifat adil benar. Jadi, dia mengadu kepada-Nya tentang apa yang berlaku di Yerusalem dan Yehuda. Yehuwa menjawab soalan Yeremia dengan menyuruh dia memberikan amaran tentang kemusnahan yang bakal menimpa. Apabila nubuat ini digenapi, mereka yang mematuhi arahan Yehuwa “terselamat dan tidak dibunuh,” sedangkan orang jahat yang tidak mengendahkan amaran dibinasakan.​—Yer. 21:9.

12, 13. (a) Mengapakah Yeremia berkata, “Tuhan sahaja yang aku punyai,” dan apakah sikap yang diperlihatkan olehnya? (b) Mengapakah semua suku Israel perlu menantikan Yehuwa dengan sabar?

12 Yeremia telah memberitahu bangsa jahat itu bahawa mereka harus kembali kepada Yehuwa, tetapi kejahatan mereka begitu teruk sehingga Tuhan membenarkan Yerusalem dan Yehuda dimusnahkan. Seraya Yeremia melihat tanah airnya yang hancur binasa, dia berasa seolah-olah berjalan dalam kegelapan, “seperti orang yang mati pada zaman silam.” (Rat. 1:1, 16; 3:6) Meskipun Yeremia tidak bersalah, dia berasa sangat sedih. Namun dia teringat akan rahmat, atau belas kasihan Tuhan. Dia berkata bahawa belas kasihan Tuhan adalah “baru setiap pagi”! Pada waktu itu, Yeremia menunjukkan bahawa Yehuwalah warisannya dengan berkata, “Tuhan sahaja yang aku punyai.” Ya, dia masih mempunyai penghormatan untuk berkhidmat sebagai nabi Yehuwa.​—Baca Ratapan 3:22-24.

13 Selama 70 tahun, tanah air orang Israel akan berada dalam keadaan terbiar. (Yer. 25:11) Tetapi kata-kata Yeremia menyingkapkan keyakinannya pada rahmat Yehuwa dan membantu dia untuk menantikan Yehuwa dengan sabar. Semua suku Israel telah kehilangan warisan tanah mereka, jadi mereka perlu memupuk sikap yang sama dengan nabi Yeremia, dan berharap pada Yehuwa. Selepas jangka masa 70 tahun, umat Tuhan kembali ke tanah air mereka dan diberikan penghormatan untuk berkhidmat kepada-Nya.​—2 Taw. 36:20-23.

Orang Lain yang Menjadikan Yehuwa Warisan Mereka

14, 15. Selain orang Lewi, siapakah yang menjadikan Yehuwa warisannya, dan mengapa?

14 Adakah hanya orang Lewi, seperti Asaf dan Yeremia, yang diberikan penghormatan untuk berkhidmat kepada Yehuwa? Tidak! Daud yang bakal menjadi raja Israel menunjukkan bahawa dia yakin pada Tuhan. Dia berkata kepada Yehuwa, “Engkau sahaja yang aku perlukan dalam hidup ini.” (Baca Mazmur 142:2, 6.) Semasa Daud menggubah Mazmur 142, dia tidak berada di dalam istana atau rumah. Dia sedang bersembunyi daripada musuh-musuhnya, mungkin di dalam gua yang berdekatan Adulam atau mungkin di dalam gua di padang gurun En-Gedi.

15 Mungkin Daud menggubah mazmur ini semasa dia sedang bersembunyi daripada Raja Saul yang ingin membunuhnya. (1 Sam. 22:1, 4) Di kawasan yang terpencil itu, Daud mungkin berasa tersisih kerana tiada orang di sampingnya untuk memberikan sokongan yang diperlukan. (Mzm. 142:5) Pada masa itulah Daud berseru kepada Tuhan.

16, 17. (a) Mengapakah Daud berasa lemah semangat? (b) Daud boleh memohon bantuan daripada siapa?

16 Semasa Daud menggubah Mazmur 142, dia mungkin sudah mendengar tentang apa yang menimpa Imam Agung Ahimelekh. Ahimelekh telah membantu Daud tanpa mengetahui bahawa dia sedang melarikan diri daripada Saul. Akibatnya, Raja Saul yang cemburu mengarahkan supaya Ahimelekh dan keluarganya dibunuh. (1 Sam. 22:11, 18, 19) Seandainya anda berada dalam situasi Daud, apakah perasaan anda? Daud berasa sangat bersalah, seolah-olah dialah yang menyebabkan kematian imam itu. Bukan itu sahaja, Daud terpaksa menderita kesengsaraan kerana Saul memburunya tanpa henti-henti.

17 Tidak lama selepas itu, nabi Samuel meninggal. Dialah yang mengurapi Daud sebagai bakal raja. (1 Sam. 25:1) Barangkali peristiwa ini turut menyebabkan Daud berasa lemah semangat. Namun begitu, Daud tahu bahawa dia boleh memohon bantuan Yehuwa. Meskipun dia tidak mempunyai khidmat istimewa seperti orang Lewi, dia diurapi untuk menjalankan khidmat istimewa yang lain. Dia bakal menjadi raja umat Tuhan. (1 Sam. 16:1, 13) Maka, Daud mencurahkan isi hatinya kepada Yehuwa dan terus meminta tunjuk ajar-Nya. Bagaimana pula dengan anda? Seraya anda bertungkus lumus menjalankan khidmat Yehuwa, anda juga patut bernaung kepada-Nya dan menjadikan Dia warisan anda.

18. Bagaimanakah contoh-contoh dalam rencana ini menunjukkan bahawa Yehuwa adalah warisan mereka?

18 Hamba-hamba Tuhan yang kita bincangkan dalam rencana ini telah menjadikan Yehuwa warisan mereka. Mereka semua berpeluang menjalankan khidmat istimewa kepada-Nya. Seraya berbuat demikian, mereka yakin bahawa Tuhan akan menjaga mereka. Orang Lewi dan orang daripada suku lain, seperti Daud, dapat menjadikan Tuhan warisan mereka. Bagaimanakah anda juga boleh berbuat demikian? Kita akan bincangkan hal ini dalam rencana yang berikut.

[Nota kaki]

^ per. 4 Untuk maklumat tentang bagaimana keperluan para imam dijaga, sila lihat Insight on the Scriptures, Jilid 2, muka surat 684.

^ per. 8 Asaf merupakan seorang Lewi yang memimpin para penyanyi pada zaman Raja Daud.​—1 Taw. 6:31-43.

Apakah Jawapan Anda?

• Jelaskan bagaimana Yehuwa menjadi warisan bagi orang Lewi.

• Bagaimanakah Asaf, Yeremia, dan Daud menunjukkan bahawa Yehuwa adalah warisan mereka?

• Apakah sifat yang diperlukan untuk menjadikan Yehuwa warisan anda?

[Soalan Pembelajaran]

[Petikan daripada perenggan pada muka surat 8]

Orang Lewi tidak menerima warisan tanah. Sebaliknya, Yehuwa merupakan warisan mereka kerana mereka mempunyai peluang istimewa untuk berkhidmat kepada-Nya

[Gambar pada muka surat 7]

Bagaimanakah Yehuwa menjadi warisan para imam dan orang Lewi?

[Gambar pada muka surat 9]

Apakah yang membantu Asaf untuk menjadikan Yehuwa warisannya?