Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Adakah Yehuwa Mengenal Anda?

Adakah Yehuwa Mengenal Anda?

Adakah Yehuwa Mengenal Anda?

‘Yehuwa mengenal orang milik-Nya.’​—2 TIM. 2:19.

1, 2. (a) Yesus mengambil berat tentang apa? (b) Apakah soalan-soalan yang patut kita pertimbangkan?

PADA suatu hari, seorang Farisi bertanya kepada Yesus, “Perintah manakah yang paling utama dalam Taurat?” Yesus menjawab, ‘Kasihilah Yehuwa Tuhanmu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu dan dengan seluruh akalmu.’ (Mat. 22:35-37) Yesus sangat mengasihi Bapanya. Haluan hidupnya jelas menunjukkan bahawa dia mengambil berat tentang pandangan Yehuwa terhadapnya. Sebelum dia mati, dia berkata bahawa Yehuwa mengasihinya kerana dia mematuhi semua perintah Tuhan dengan setia.​—Yoh. 15:10.

2 Ramai hari ini berkata bahawa mereka mengasihi Tuhan. Kita tentu berkata demikian juga. Walaupun begitu, kita perlu mempertimbangkan soalan-soalan yang berikut: Adakah Tuhan mengenal saya? Apakah pandangan Yehuwa terhadap saya? Adakah Yehuwa menganggap saya sebagai milik-Nya? (2 Tim. 2:19) Bayangkan, anda dapat menjalin hubungan yang intim dengan Pemerintah Berdaulat alam semesta. Alangkah besarnya penghormatan ini!

3. Mengapakah sesetengah orang berfikir bahawa mereka tidak boleh menjadi milik Yehuwa? Apakah yang dapat membantu mereka untuk mengubah pandangan sebegini?

3 Namun, sesetengah orang yang mengasihi Yehuwa tidak dapat percaya bahawa Tuhan boleh mengenal mereka. Ada yang mempunyai harga diri yang rendah dan berfikir bahawa mereka tidak boleh menjadi milik Yehuwa. Tetapi Tuhan tidak menilai kita dari sudut pandangan manusia. (1 Sam. 16:7) Rasul Paulus memberitahu rakan Kristiannya, ‘Orang yang mengasihi Tuhan, dikenal oleh Tuhan.’ (1 Kor. 8:3, ABB) Ya, kasih anda kepada Tuhan penting jika anda ingin dikenali-Nya. Fikirkan sejenak: Mengapakah anda sedang membaca majalah ini? Mengapakah anda berusaha menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati, jiwa, minda, dan kekuatan? Jika anda sudah membaktikan diri kepada Tuhan dan dibaptiskan, apakah yang mendorong anda untuk berbuat demikian? Bible menjelaskan bahawa Yehuwa menilai hati manusia dan memimpin orang yang diperkenankan-Nya untuk menjadi sahabat-Nya. (Baca Hagai 2:7; Yohanes 6:44.) Jadi, anda boleh yakin bahawa anda sedang menyembah Yehuwa kerana Dialah yang memimpin anda kepada-Nya. Dia tidak akan meninggalkan sahabat-Nya yang setia. Bagi Tuhan, mereka sangat berharga dan Dia amat mengasihi mereka.​—Mzm. 94:14.

4. Mengapakah kita tidak patut meremehkan persahabatan kita dengan Tuhan?

4 Setelah Yehuwa memimpin kita kepada-Nya, kita harus memastikan kita tetap berada di bawah naungan kasih-Nya. (Baca Yudas 20, 21.) Ingatlah, Bible menunjukkan bahawa kita boleh meninggalkan Tuhan atau beransur-ansur hanyut ke dalam dunia. (Ibr. 2:1; 3:12, 13) Misalnya, sebelum rasul Paulus menulis kata-kata di 2 Timotius 2:19, dia menyebut tentang Himeneus dan Filitus. Nampaknya dua orang lelaki ini pernah menjadi milik Yehuwa, tetapi mereka kemudiannya meninggalkan kebenaran. (2 Tim. 2:16-18) Ingat juga bahawa di sidang-sidang Galatia, sesetengah orang yang dahulunya dikenali Tuhan tidak lagi berada dalam kebenaran. (Gal. 4:9) Semoga kita tidak meremehkan persahabatan kita dengan Tuhan!

5. (a) Apakah sifat-sifat yang disukai Tuhan? (b) Apakah contoh-contoh yang akan kita bincangkan?

5 Jika kita ingin dikenal oleh Yehuwa, kita perlu memupuk sifat-sifat tertentu yang disukai-Nya. (Mzm. 15:1-5; 1 Ptr. 3:4) Contohnya, kita memerlukan iman dan kerendahan hati. Mari kita bincangkan teladan dua orang lelaki yang dikasihi Yehuwa kerana memiliki sifat-sifat ini. Kita juga akan belajar tentang seorang lelaki yang tidak diperkenankan Tuhan kerana dia bersikap angkuh. Kita dapat mengambil pengajaran daripada contoh-contoh ini.

Bapa Semua Orang yang Beriman

6. (a) Oleh sebab Abraham beriman, apakah yang dilakukannya? (b) Apakah pandangan Yehuwa terhadap Abraham?

6 Abraham merupakan seorang lelaki yang “percaya [atau, beriman] kepada Tuhan.” Dia dipanggil “bapa kepada semua orang yang [beriman].” (Kej. 15:6; Rm. 4:11) Oleh sebab Abraham beriman, dia sanggup meninggalkan rumah, kawan-kawan, dan harta benda untuk pergi ke negeri lain. (Kej. 12:1-4; Ibr. 11:8-10) Imannya tidak pernah goyah. Bertahun-tahun kemudian, dia masih mematuhi Yehuwa dan “bersedia mempersembahkan anaknya yang tunggal sebagai korban.” (Ibr. 11:17-19) Abraham menunjukkan iman terhadap janji-janji Yehuwa. Itulah sebabnya dia sangat istimewa di mata Tuhan. Yehuwa benar-benar mengenal Abraham. (Kej. 18:19) Yehuwa bukan sahaja tahu bahawa Abraham wujud; Dia mengasihinya sebagai seorang sahabat.​—Baca Yakobus 2:22, 23.

7. Adakah Abraham melihat janji-janji Yehuwa menjadi kenyataan? Bagaimanakah dia tetap menunjukkan imannya?

7 Yehuwa telah berjanji kepada Abraham bahawa dia akan menerima warisan tanah, dan benihnya akan menjadi “sebanyak pasir di pantai laut.” (Kej. 22:17, 18) Meskipun janji-janji ini tidak menjadi kenyataan semasa dia hidup, Abraham tetap beriman kepada Yehuwa. Dia percaya bahawa janji-janji Tuhan akan sentiasa ditunaikan, dan haluan hidupnya mencerminkan imannya yang kukuh. (Baca Ibrani 11:13.) Adakah Yehuwa mengenal kita sebagai seorang yang mempunyai iman seperti Abraham?

Menunjukkan Iman dengan Menantikan Yehuwa

8. Apakah hasrat kebanyakan orang?

8 Kita mungkin mempunyai banyak hasrat dalam kehidupan. Banyak orang berhasrat untuk berkahwin, mempunyai anak, atau kesihatan yang baik. Sememangnya kita diciptakan dengan keinginan sebegini. Tetapi jika hasrat kita tidak tercapai, apakah yang akan kita lakukan? Cara kita menangani situasinya boleh menjadi pengukur iman kita.

9, 10. (a) Bagaimanakah sesetengah orang memuaskan hasrat mereka? (b) Apakah perasaan anda terhadap penunaian janji-janji Tuhan?

9 Kita tentu tidak ingin melanggar prinsip Yehuwa semata-mata untuk memuaskan hasrat kita. Perbuatan sebegini akan merosakkan hubungan kita dengan Tuhan. Sebagai contoh, sesetengah orang memilih rawatan yang bercanggah dengan nasihat Yehuwa. Ada yang menerima pekerjaan yang mengambil alih masa yang sepatutnya dihabiskan bersama keluarga atau untuk menghadiri perjumpaan. Orang lain pula menjalin hubungan romantik dengan seseorang yang tidak seiman. Jika seorang Kristian berbuat demikian, adakah dia menunjukkan bahawa dia ingin dikenal oleh Yehuwa? Apakah perasaan Yehuwa seandainya Abraham hilang sabar terhadap penunaian janji-janji Tuhan? Apakah yang akan berlaku jika Abraham mengikut hati dan perasaan sendiri lalu memutuskan untuk menikmati kehidupan yang selesa seperti dahulu? Bagaimana pula jika dia berusaha menjadi masyhur dan tidak menantikan Yehuwa? (Bandingkan Kejadian 11:4.) Adakah Yehuwa masih akan menganggapnya sebagai seorang sahabat?

10 Apakah yang anda dambakan dalam kehidupan? Yehuwa sudah berjanji bahawa Dia akan memuaskan keinginan manusia yang selaras dengan kehendak-Nya. Jadi adakah iman anda cukup teguh untuk menantikan Yehuwa dengan sabar? (Mzm. 145:16) Sesetengah janji Tuhan mungkin tidak menjadi kenyataan sekarang. Tetapi jika kita terus hidup dalam cara yang mencerminkan iman seperti Abraham, Yehuwa tidak akan melupakan kita. Dia pasti memberkati kita dengan melimpah.​—Ibr. 11:6.

Perbezaan antara Kerendahan Hati dan Keangkuhan

11. Apakah peluang istimewa yang dinikmati oleh Korah? Hal ini menunjukkan apa tentang sikapnya terhadap Tuhan?

11 Mari kita lihat contoh Musa dan Korah. Mereka menunjukkan sikap yang amat berbeza terhadap aturan dan keputusan Yehuwa. Perbuatan mereka mempengaruhi pandangan Yehuwa terhadap mereka. Korah merupakan orang Lewi daripada puak Kehat. Dia mungkin telah berpeluang menyaksikan cara Yehuwa membantu bangsa Israel mengharungi Laut Merah. Dia juga mungkin membantu melaksanakan penghakiman Yehuwa terhadap orang Israel yang tidak setia di Gunung Sinai, dan membantu mengangkat tabut perjanjian. (Kel. 32:26-29; Bil. 3:30, 31) Nampaknya, dia setia kepada Yehuwa selama bertahun-tahun dan ramai orang Israel menghormatinya.

12. Bagaimanakah keangkuhan Korah mempengaruhi hubungannya dengan Tuhan? Lihat gambar pada muka surat 28.

12 Walau bagaimanapun, semasa bangsa Israel membuat perjalanan ke Tanah yang Dijanjikan, Korah berasa tidak puas hati dengan cara bangsa Israel dipimpin. Kemudian 250 orang pemimpin lain memihak dengan Korah. Korah dan pemimpin-pemimpin ini tentu berfikir bahawa hubungan mereka dengan Yehuwa sangat kukuh. Mereka memberitahu Musa, “Kamu sudah keterlaluan! Semua orang Israel milik Tuhan, dan Tuhan menyertai kita semua.” (Bil. 16:1-3) Sikap mereka menunjukkan bahawa mereka sangat angkuh dan terlalu yakin pada diri sendiri. Musa memberitahu mereka, ‘Yehuwa akan menunjukkan siapa milik-Nya.’ (Baca Bilangan 16:5.) Pada keesokan hari, Korah dan konco-konconya mati.​—Bil. 16:31-35.

13, 14. Bagaimanakah Musa menunjukkan bahawa dia rendah hati?

13 Bandingkan sikap Korah dengan Musa. Musa seorang yang “lebih rendah hati daripada sesiapa pun di bumi.” (Bil. 12:3) Dia memperlihatkan kerendahan hati dengan berusaha melakukan segala yang diperintahkan Yehuwa. (Kel. 7:6; 40:16) Musa tidak selalu mempersoalkan cara Yehuwa melakukan sesuatu atau menjadi marah kerana terpaksa mengikut arahan Yehuwa. Contohnya, Yehuwa memberikan arahan terperinci tentang cara untuk membina khemah suci, termasuk warna benang dan bilangan gelung yang harus digunakan untuk membuat kain khemah. (Kel. 26:1-6) Jika seorang penyelia dalam organisasi Yehuwa memberi anda arahan terperinci tentang cara melakukan sesuatu, anda mungkin berasa geram. Tetapi Yehuwa merupakan penyelia yang sempurna. Sewaktu Dia memberi hamba-hamba-Nya tugas, Dia menaruh keyakinan terhadap mereka. Apabila Dia memberikan banyak arahan terperinci, Dia mempunyai sebab yang baik untuk berbuat demikian. Perhatikan bahawa Musa tidak menjadi marah dan berasa bahawa Yehuwa tidak yakin padanya atau sedang mengongkong kebebasannya. Sebaliknya, Musa memastikan bahawa pekerja lain “membuat segala-galanya seperti yang diperintahkan Tuhan.” (Kel. 39:32) Sikapnya menunjukkan bahawa dia sangat rendah hati. Musa sedar bahawa Yehuwa cuma menggunakan dia untuk melaksanakan kerja-Nya.

14 Musa juga menunjukkan kerendahan hati biarpun dia berdepan dengan situasi yang kurang menyenangkan. Misalnya, sewaktu umat Israel merungut kerana tiada air, Musa naik darah dan gagal memberikan pujian kepada Yehuwa. Akibatnya, Yehuwa memberitahu Musa bahawa dia tidak akan memimpin bangsa itu memasuki Tanah yang Dijanjikan. (Bil. 20:2-12) Bayangkanlah hal ini. Musa dan Harun telah banyak bersabar dengan orang Israel yang merungut selama bertahun-tahun. Dan kini, Musa tidak dapat menikmati harapan yang dinanti-nantikannya kerana satu kesilapan! Apakah reaksinya? Tentu dia berasa kecewa. Walaupun begitu, dia menerima keputusan Yehuwa dengan rendah hati. Dia tahu bahawa Yehuwa “sempurna dan adil dalam segala perkara.” (Ul. 3:25-27; 32:4) Tidakkah anda setuju bahawa Musa seorang yang dikenal oleh Yehuwa?​—Baca Keluaran 33:12, 13.

Kerendahan Hati Diperlukan untuk Tunduk kepada Yehuwa

15. Apakah yang dapat kita pelajari daripada keangkuhan Korah?

15 Reaksi kita terhadap perubahan yang berlaku dalam organisasi Yehuwa dan keputusan yang dibuat oleh saudara-saudara yang mengambil pimpinan akan mempengaruhi hubungan kita dengan Yehuwa. Korah dan pengikutnya tidak lagi dikenal oleh Yehuwa kerana mereka terlalu yakin pada diri sendiri, bersikap angkuh, dan tidak beriman. Korah berfikir bahawa Musa hanyalah seorang lelaki tua yang membuat keputusan peribadi. Dia lupa bahawa Yehuwalah yang sedang memimpin bangsa Israel. Akibatnya, dia gagal menunjukkan kesetiaan kepada mereka yang dilantik oleh Yehuwa. Korah sepatutnya menantikan Yehuwa. Yehuwa tentu akan membantunya untuk memahami keadaan sebenar dan membuat perubahan jika perlu. Malangnya, keangkuhannya menghancurkan nama baiknya, termasuk kesetiaan yang pernah ditunjukkan pada suatu masa dahulu.

16. Bagaimanakah teladan Musa yang rendah hati dapat membantu kita?

16 Kisah Korah merupakan peringatan yang serius bagi para penatua dan orang lain di dalam sidang hari ini. Kerendahan hati diperlukan jika kita ingin menantikan Yehuwa dan mengikut arahan daripada mereka yang mengambil pimpinan. Adakah kita rendah diri seperti Musa? Adakah kita sedar bahawa Yehuwa sedang menggunakan saudara-saudara yang mengambil pimpinan? Adakah kita tunduk kepada arahan mereka? Adakah kita berupaya mengawal perasaan semasa kita berasa kecewa? Jika ya, kita akan dikenal oleh Yehuwa. Apabila kita rendah hati dan menunjukkan ketundukan, kita akan mendapat perkenan Yehuwa.

Yehuwa Mengenal Orang Milik-Nya

17, 18. Bagaimanakah kita boleh terus dikenal oleh Yehuwa?

17 Kita seharusnya merenungkan teladan mereka yang dikasihi dan dikenal oleh Yehuwa. Abraham dan Musa tidak sempurna dan membuat kesilapan, sama seperti kita. Tetapi mereka dikenal oleh Yehuwa sebagai milik-Nya. Walau bagaimanapun, contoh Korah menunjukkan bahawa kita boleh meninggalkan Yehuwa dan hilang perkenan-Nya. Maka, tanyalah diri: “Apakah pandangan Yehuwa terhadap saya? Apakah yang dapat saya pelajari daripada contoh-contoh Bible ini?”

18 Anda tentu berasa amat lega untuk mengetahui bahawa Yehuwa menganggap hamba-hamba-Nya yang setia sebagai milik-Nya. Jadi teruslah memupuk iman, kerendahan hati, dan sifat-sifat lain yang disenangi Tuhan. Sememangnya, kita mempunyai penghormatan yang besar untuk dikenal oleh Yehuwa! Semua yang mempunyai perkenan-Nya menikmati kehidupan yang bahagia sekarang dan akan mengecap berkat-berkat lain pada masa depan.​—Mzm. 37:18.

Ingatkah Anda?

• Apakah hubungan istimewa yang boleh anda nikmati dengan Yehuwa?

• Bagaimanakah anda boleh meniru iman Abraham?

• Apakah yang dapat anda pelajari daripada contoh Korah dan Musa?

[Soalan Pembelajaran]

[Gambar pada muka surat 26]

Seperti Abraham, adakah kita mempunyai iman bahawa Yehuwa selalu menunaikan janji-Nya?

[Gambar pada muka surat 28]

Korah tidak rendah hati dan tidak mengikut arahan

[Gambar pada muka surat 29]

Adakah Yehuwa mengenal anda sebagai seorang yang mengikut arahan dengan rendah hati?