Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Adakah Anda Memilih Rekreasi yang Bermanfaat?

Adakah Anda Memilih Rekreasi yang Bermanfaat?

Adakah Anda Memilih Rekreasi yang Bermanfaat?

“Berusahalah untuk melakukan apa yang menyenangkan hati Tuhan.”​—EF. 5:10, ABB.

1, 2. (a) Bagaimanakah Firman Tuhan menunjukkan bahawa Yehuwa mahu kita menikmati kehidupan? (b) Apakah yang akan kita lakukan jika kita memandang rekreasi sebagai ‘pemberian Tuhan’?

ADAKAH Yehuwa mahu kita menikmati kehidupan? Sudah tentu! Sebagai contoh Mazmur 104:14, 15 (ABB) menyatakan bahawa Yehuwa ‘menumbuhkan tanaman untuk kegunaan orang, dan menghasilkan wain untuk menghiburkan hati, minyak zaitun untuk menyerikan muka, dan makanan untuk memberikan tenaga.’ Yehuwa menumbuhkan tanaman supaya kita memperoleh makanan, minyak, dan wain. Wain tidak diperlukan untuk melangsungkan hidup, tetapi Yehuwa memberikan wain untuk “menghiburkan hati” manusia. (Pkh. 9:7; 10:19) Sememangnya, Yehuwa bukan sahaja mahu kita hidup, tetapi Dia mahu kita menikmati kehidupan.​—Kis. 14:16, 17.

2 Jadi, tidak salah jika kita meluangkan masa dari semasa ke semasa untuk ‘melihat burung di udara’ ataupun “bunga-bunga di padang.” Aktiviti-aktiviti sebegini menyegarkan dan mewarnai kehidupan kita. (Mat. 6:26, 28; Mzm. 8:4, 5) Hidup yang bahagia dan gembira merupakan ‘pemberian Tuhan.’ (Pkh. 3:12, 13) Jika kita memandang rekreasi sebagai pemberian Tuhan, kita akan memastikan bahawa kita menggunakan masa untuk berekreasi dalam cara yang menyenangkan hati-Nya. *

Kepelbagaian dan Keterbatasan

3. Mengapakah orang boleh memilih rekreasi yang berbeza-beza?

3 Semasa memilih hiburan, seorang Kristian yang seimbang akan sedar bahawa terdapat banyak pilihan asalkan kita tidak melampaui batas tertentu. Kepelbagaian cita rasa tidak harus menghairankan kita. Bahkan dalam soal makanan, sebuah pepatah mengatakan, “tebu pada awak, peria pada teman.” Makanan yang dianggap lazat di sebuah negara mungkin tidak menyelerakan di tempat lain. Dalam cara yang sama, hiburan yang dinikmati oleh sekumpulan orang mungkin tidak disukai orang lain. Contohnya, sesetengah orang suka membaca buku sambil bersantai; orang lain pula akan bosan jika disuruh membaca. Atau, ada yang berasa segar selepas berbasikal; orang lain pula menganggapnya amat memenatkan. Sepertimana kita mempunyai kebebasan untuk memilih makanan, kita juga mempunyai kebebasan untuk memilih rekreasi yang hendak dilakukan.​—Rm. 14:2-4.

4. Mengapakah kita tidak boleh melampaui batas tertentu semasa memilih rekreasi? Jelaskan.

4 Namun begitu, kita tidak boleh melampaui batas tertentu semasa memilih rekreasi. Mengapa? Mari kita kembali kepada contoh di atas. Walaupun kita boleh memilih pelbagai jenis makanan, adakah kita akan memakan makanan yang sudah basi atau rosak? Tentu tidak! Makanan yang basi atau rosak boleh memudaratkan kesihatan kita. Hal yang sama boleh dikatakan tentang hiburan. Kita tentu tidak akan memilih aktiviti riadah yang ganas, membahayakan nyawa, atau tidak bermoral. Hiburan sebegini melanggar prinsip-prinsip Bible dan boleh menjejaskan kesihatan fizikal dan kesihatan rohani kita. Sebaliknya kita harus memastikan bahawa rekreasi yang dipilih bermanfaat kepada kita. (Ef. 5:10) Bagaimanakah kita boleh melakukan hal ini?

5. Bagaimanakah kita boleh memastikan rekreasi yang dipilih memenuhi piawaian Tuhan?

5 Jika kita mahu hiburan yang kita pilih bermanfaat dan diperkenankan Tuhan, hiburan tersebut harus memenuhi piawaian yang ditetapkan dalam Firman Tuhan. (Mzm. 86:11) Semasa memilih hiburan, tanyalah tiga soalan yang berikut: apa? bila? dan siapa? Mari kita kupas soalan ini satu demi satu.

Apakah yang Terlibat?

6. Apakah jenis hiburan yang harus kita tolak, dan mengapa?

6 Sebelum memilih hiburan, adalah baik jika kita tanya, “Apakah yang terangkum dalam hiburan ini?” Sebenarnya, terdapat dua jenis hiburan. Hiburan yang tidak boleh diterima, dan hiburan yang mungkin diterima. Apakah jenis hiburan yang tidak boleh diterima? Di dalam dunia yang fasiq ini, kebanyakan hiburan memaparkan aktiviti yang secara terang-terang melanggar prinsip atau hukum Tuhan. (1 Yoh. 5:19) Orang Kristian sejati akan menolak semua hiburan yang mengandungi unsur sadis, spiritisme, hubungan sejenis, pornografi, keganasan, atau perbuatan lain yang tidak bermoral. (1 Kor. 6:9, 10; baca Wahyu 21:8.) Tidak kira sama ada kita bersendirian atau bersama orang lain, kita tidak ingin memilih hiburan sebegini. Kita mahu membuktikan kepada Yehuwa bahawa kita “membenci apa yang jahat.”​—Rm. 12:9; 1 Yoh. 1:5, 6.

7, 8. Apakah yang boleh membantu kita untuk membuat pilihan yang bijak dalam soal hiburan dan rekreasi? Berikan contoh.

7 Sekarang, mari kita bincangkan hiburan yang mungkin diterima, iaitu hiburan yang tidak dilarang secara langsung dalam Firman Tuhan. Sebelum memilih hiburan sedemikian, kita harus memastikan bahawa hiburan tersebut tidak bercanggah dengan pandangan Yehuwa dan prinsip Bible. (Ams. 4:10, 11) Kita juga mahu membuat keputusan yang membantu kita mengekalkan hati nurani yang murni. (Gal. 6:5; 1 Tim. 1:19) Bagaimanakah kita boleh melakukan hal ini? Sebelum mencuba sajian baru, kita mahu mengetahui ramuan yang digunakan. Begitu juga dengan rekreasi, sebelum menjalankan suatu aktiviti riadah, kita mahu tahu apa yang terlibat.​—Ef. 5:17.

8 Sebagai contoh, anda mungkin suka bersukan. Hal ini tidak salah. Tetapi, bagaimana pula jika anda menyukai sukan yang menggalakkan persaingan sengit atau semangat kebangsaan, berisiko tinggi, menyebabkan kecederaan, melibatkan pesta liar, dan sebagainya? Selepas membuat perenungan, anda mungkin memutuskan bahawa sukan ini tidak selaras dengan pandangan Yehuwa mahupun mesej tentang kedamaian dan kasih yang kita khabarkan kepada orang lain. (Yes. 61:1; Gal. 5:19-21) Sebaliknya, jika suatu rekreasi mengandungi “ramuan” yang menyenangkan hati Yehuwa, maka rekreasi tersebut boleh menyegarkan dan membawa manfaat kepada anda.​—Gal. 5:22, 23; baca Filipi 4:8.

Bilakah Masa yang Sesuai untuk Berekreasi?

9. Jawapan kita kepada soalan “Bilakah saya akan beriadah?” menyingkapkan apa?

9 Jawapan kepada soalan pertama menyingkapkan kecenderungan hati kita. Bagaimana pula dengan soalan yang kedua? Soalannya ialah: Bilakah saya akan beriadah? Berapa banyakkah masa yang akan saya luangkan dalam aktiviti ini? Jawapan kepada soalan ini menyingkapkan keutamaan hidup kita. Bagaimanakah kita boleh memastikan bahawa kita mencapai keseimbangan dalam hal ini?

10, 11. Bagaimanakah Matius 6:33 membantu kita menentukan kuantiti masa yang patut digunakan untuk berekreasi?

10 Yesus Kristus berkata kepada pengikut-pengikutnya, ‘Kasihilah Yehuwa Tuhanmu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu, dengan seluruh akalmu, dan dengan segala kekuatanmu.’ (Mrk. 12:30, ABB) Maksudnya, kasih kepada Tuhan Yehuwa merupakan perkara yang paling penting dalam kehidupan kita. Bagaimanakah kita melakukan hal ini? Yesus berkata, ‘Utamakanlah Pemerintahan Tuhan dan lakukanlah kehendak-Nya, lalu Tuhan akan memberikan semua itu kepada kamu.’ (Mat. 6:33, ABB) Bagaimanakah ayat ini boleh membantu kita menentukan kuantiti masa yang patut digunakan untuk berekreasi?

11 Perhatikan bahawa Yesus menggalakkan kita untuk ‘mengutamakan Pemerintahan Tuhan.’ Hal ini tidak bermaksud bahawa kita tidak boleh menggunakan masa untuk melakukan perkara lain. Yesus memang tahu bahawa kita memerlukan tempat tinggal, makanan, pakaian, pendidikan asas, kerja, rekreasi, dan sebagainya. Meskipun begitu, kita harus mengutamakan Pemerintahan, atau Kerajaan Tuhan. (1 Kor. 7:29-31) Oleh itu, kita akan memastikan bahawa semua aktiviti lain, termasuk hiburan, tidak menjadi lebih penting daripada Kerajaan Tuhan. Jika kita melakukan hal ini, rekreasi boleh membawa manfaat kepada kita.

12. Bagaimanakah prinsip di Lukas 14:28 diterapkan dalam soal rekreasi?

12 Prinsip Bible menyatakan bahawa kita perlu ‘mengira perbelanjaan’ sebelum mengusahakan sesuatu. (Luk. 14:28) Jadi sebelum memilih rekreasi kita perlu bertanya: Berapa banyakkah masa yang akan kita luangkan? Seterusnya kita perlu bertanya: Adakah berbaloi untuk menjalankan aktiviti rekreasi ini? Jika kita terpaksa mengabaikan aktiviti-aktiviti yang lebih penting seperti pembelajaran peribadi, penyembahan keluarga, menghadiri perjumpaan, dan menjalankan aktiviti penyebaran, maka rekreasi tersebut tidak berbaloi. (Mrk. 8:36) Tetapi jika aktiviti riadah yang kita lakukan menyegarkan kita dan membantu kita untuk terus berkhidmat kepada Tuhan, maka aktiviti tersebut memang bermanfaat.

Siapakah Sahabat-sahabat Saya?

13. Sebelum berekreasi, mengapakah kita perlu memilih sahabat kita dengan bijak?

13 Soalan ketiga yang perlu kita tanya ialah: Saya menjalankan aktiviti riadah dengan siapa? Jawapan kepada soalan ini sangat penting kerana sahabat kita banyak mempengaruhi pilihan kita. Pada hakikatnya banyak orang, terutamanya orang muda, suka menjalankan aktiviti rekreasi dengan orang lain. Tidakkah anda setuju bahawa masa yang digunakan untuk menjamu selera lebih menyeronokkan jika diluangkan bersama sahabat? Begitu juga dengan rekreasi. Kita berasa lebih seronok menjalankannya bersama sahabat baik kita. Tetapi sebelum memilih rekreasi, kita harus bijak memilih sahabat agar rekreasi kita membawa manfaat.​—2 Taw. 19:2; baca Amsal 13:20; Yak. 4:4.

14, 15. (a) Bagaimanakah kita boleh meneladani Yesus semasa memilih sahabat? (b) Apakah soalan-soalan yang boleh ditanya semasa memilih sahabat?

14 Yesus menyediakan teladan baik dalam soal memilih sahabat. Sejak dahulu lagi, Yesus mengasihi umat manusia. (Ams. 8:31) Semasa di bumi, dia mengasihi dan menghormati semua orang. (Mat. 15:29-37) Walaupun begitu, dia sangat cermat semasa memilih sahabatnya. Hanya orang yang memenuhi syarat tertentu dapat menjadi sahabat karibnya. Dia pernah berkata kepada 11 orang rasulnya yang setia, ‘Kamu sahabat-sahabatku, jika kamu melakukan apa yang aku perintahkan.’ (Yoh. 15:14, ABB; lihat juga Yohanes 13:27, 30.) Yesus hanya bersahabat dengan orang yang mengikutnya dan menyembah Yehuwa.

15 Maka semasa memilih sahabat, ingatlah kata-kata Yesus. Tanyalah soalan-soalan seperti: Adakah tutur kata dan perbuatan individu ini menunjukkan bahawa dia mematuhi perintah Yehuwa dan Yesus? Adakah dia berpegang pada nilai moral yang termaktub dalam Bible? Adakah dia menggalakkan saya untuk mengutamakan Kerajaan Tuhan dan menyembah Yehuwa dengan setia? Jika anda menjawab “ya” kepada semua soalan di atas, hal ini menunjukkan bahawa anda mempunyai sahabat yang baik yang boleh menjadi teman anda semasa anda menjalankan aktiviti rekreasi.​—Baca Mazmur 119:63; 2 Kor. 6:14; 2 Tim. 2:22.

Adakah Kita Memilih Hiburan yang Sesuai?

16. Apakah soalan-soalan yang perlu ditanya tentang hiburan?

16 Kita telah pun membincangkan tiga aspek penting mengenai hiburan, iaitu kualiti, kuantiti, dan sahabat. Jika kita ingin mendapat manfaat, hiburan yang kita pilih mestilah sesuai dengan piawaian Bible. Jadi untuk mengetahui kualitinya, kita perlu menjawab soalan: Apakah yang terangkum dalam hiburan ini? Adakah rekreasi tersebut diperkenankan Tuhan? (Ams. 4:20-27) Mengenai kuantiti pula, kita perlu tanya: Berapa banyakkah masa yang akan saya luangkan dalam aktiviti ini? Adakah rekreasi ini berbaloi? (1 Tim. 4:8) Mengenai sahabat kita pula, kita perlu memastikan: Siapakah sahabat saya semasa beriadah? Adakah sahabat tersebut baik atau jahat?​—Pkh. 9:18; 1 Kor. 15:33.

17, 18. (a) Bagaimanakah kita tahu sama ada hiburan yang kita pilih sesuai dengan piawaian Bible? (b) Dalam soal hiburan apakah tekad anda?

17 Jika hiburan yang kita pilih tidak memenuhi mana-mana daripada tiga aspek di atas, maka hiburan itu tidak sesuai. Sebaliknya, jika kita memastikan bahawa aktiviti riadah kita memenuhi piawaian Bible dalam semua tiga aspek itu, kita akan memuliakan Yehuwa dan meraih manfaatnya.​—Mzm. 119:33-35.

18 Maka dalam soal rekreasi, kita hendak melakukan aktiviti yang sesuai, pada masa yang sesuai, dan juga dengan orang yang sesuai. Semoga kita bertekad untuk mengikut nasihat Bible yang berikut: ‘Apa sahaja yang kamu lakukan, sama ada makan ataupun minum, lakukanlah semuanya untuk memuliakan Tuhan.’​—1 Kor. 10:31, ABB.

[Nota kaki]

^ per. 2 Dalam rencana ini, perkataan “hiburan” dan “rekreasi” membawa maksud yang sama, dan merujuk kepada masa yang digunakan untuk beriadah.

Bolehkah Anda Jelaskan?

Mengenai rekreasi, bagaimanakah anda boleh menerapkan prinsip di . . .

Filipi 4:8?

Matius 6:33?

Amsal 13:20?

[Soalan Pembelajaran]

[Gambar rajah pada muka surat 9]

(Sila lihat bahan bacaan untuk keterangan lengkap)

Apa

[Gambar rajah pada muka surat 10]

(Sila lihat bahan bacaan untuk keterangan lengkap)

Bila

[Gambar rajah pada muka surat 12]

(Sila lihat bahan bacaan untuk keterangan lengkap)

Siapa

[Gambar pada muka surat 10]

Bagaimanakah kita boleh meneladani Yesus semasa memilih rekreasi dan sahabat?