Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bible Mengubah Hidup

Bible Mengubah Hidup

Bible Mengubah Hidup

BAGAIMANAKAH seorang wanita muda yang mempunyai zaman kanak-kanak yang teruk memperoleh hidup yang bermakna? Apakah yang mendorong seorang pemberontak politik yang ganas menjadi penginjil yang mencintai kedamaian? Bacalah pengalaman mereka dalam rencana ini.

“Saya Mendahagakan Kasih.”​—INNA LEZHNINA

TAHUN LAHIR: 1981

NEGARA ASAL: RUSIA

LATAR BELAKANG: ZAMAN KANAK-KANAK YANG TERUK

KISAH SILAM SAYA: Ibu bapa saya pekak dan saya juga dilahirkan pekak. Saya ada hidup yang gembira sehingga umur enam tahun. Kemudian ibu bapa saya bercerai, dan hal itu buat saya sangat sedih. Bapa dan abang saya tinggal di Troitsk, sementara saya dan ibu berpindah ke Chelyabinsk. Selepas suatu waktu, ibu saya kahwin lagi. Bapa tiri saya seorang pemabuk dan selalu pukul saya dan ibu.

Pada 1993, abang kesayangan saya mati lemas. Itu tamparan yang besar buat keluarga kami. Ibu mula minum banyak alkohol dan dia juga sering melayan saya dengan teruk. Semua peristiwa ini membuat saya mendahagakan kasih dan menginginkan kehidupan yang bahagia. Saya menghadiri banyak gereja tetapi saya gagal mendapat kelegaan.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA: Semasa saya berumur 13 tahun, rakan kelas saya yang merupakan seorang Saksi mengongsi cerita Bible dengan saya. Saya suka belajar tentang Nuh dan Ayub yang menyembah Tuhan biarpun hidup mereka susah. Kemudian, saya mula belajar Bible dengan para Saksi dan menghadiri perjumpaan mereka.

Saya tersentuh apabila belajar kebenaran Bible. Contohnya, saya sangat gembira semasa mengetahui bahawa Tuhan mempunyai nama. (Mazmur 83:18) Saya kagum kerana nubuat Bible tentang “hari-hari terakhir” sangat tepat. (2 Timotius 3:1-5) Harapan pembangkitan juga buat saya teruja. Saya tidak sabar-sabar untuk berjumpa semula dengan abang saya!​—Yohanes 5:28, 29.

Tapi ibu dan bapa tiri saya tidak menyukai Saksi-Saksi Yehuwa. Jadi, mereka mendesak saya untuk berhenti belajar Bible. Memandangkan saya sangat suka apa yang saya belajar, saya enggan berhenti.

Tentangan daripada keluarga memang susah bagi saya. Tapi, saya menghadapi satu lagi cabaran yang lebih besar. Pada suatu hari, adik lelaki saya yang menghadiri perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa dengan saya juga mati lemas. Saya sangat menghargai bantuan dan sokongan ahli sidang pada masa itu. Saya rasa dikasihi dan yakin inilah agama yang benar. Pada 1996, saya dibaptis sebagai seorang Saksi.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA: Saya berkenalan dengan Dmitry dan kami sudah berkahwin selama enam tahun. Kami berpeluang berkhidmat di pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa di St. Petersburg. Secara beransur-ansur, ibu bapa saya tidak lagi begitu menentang.

Saya bersyukur kerana dapat mengenali dan menyembah Yehuwa. Kini, saya ada hidup yang bermakna.

“Banyak Soalan Bermain di Fikiran Saya.”​—RAUDEL RODRÍGUEZ RODRÍGUEZ

TAHUN LAHIR: 1959

NEGARA ASAL: CUBA

LATAR BELAKANG: PEMBERONTAK POLITIK

KISAH SILAM SAYA: Saya lahir di Havana, Cuba, dan membesar di kawasan yang miskin. Pergaduhan di jalanan biasa berlaku di sini. Semasa saya membesar, saya minat judo dan sukan pertarungan yang lain.

Oleh sebab saya pelajar yang cemerlang, ibu bapa menggalakkan saya untuk melanjutkan pelajaran di universiti. Ketika di universiti, saya mula memberontak terhadap kerajaan dan ingin mengubah sistem politik negara. Saya dan seorang rakan kelas menyerang seorang polis untuk meragut senjatanya. Tetapi pegawai polis itu mengalami kecederaan teruk di kepala. Akibatnya, kami berdua dipenjarakan dan dijatuhkan hukuman tembak sampai mati. Saya hanya berumur 20 tahun pada masa itu.

Semasa dalam sel penjara, saya asyik membayangkan reaksi saya apabila berhadapan dengan pasukan penembak. Saya tidak mahu kelihatan seperti penakut. Pada masa yang sama, banyak soalan bermain di fikiran saya seperti, “Kenapa terdapat begitu banyak hal yang tidak adil di dunia ini? Apakah tujuan hidup kita?”

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA: Hukuman kami akhirnya diringankan dan kami dipenjarakan selama 30 tahun. Di sana, saya berjumpa dengan Saksi-Saksi Yehuwa yang dipenjarakan kerana iman mereka. Saya kagum dengan sikap mereka yang mencintai kedamaian. Mereka dipenjarakan meskipun tidak bersalah, tetapi mereka tidak menaruh dendam atau marah terhadap penentang mereka.

Mereka ajar saya bahawa tujuan Tuhan bagi manusia ialah untuk hidup di bumi yang bebas daripada jenayah dan ketidakadilan. Mereka juga kata bahawa orang baik dapat hidup selama-lamanya di bumi firdaus.​—Mazmur 37:29.

Saya sangat suka apa yang saya dengar. Tapi sikap saya jauh berbeza daripada sikap mereka. Saya rasa mustahil saya dapat menjadi orang yang damai dan bersikap neutral dalam hal politik. Maka saya buat keputusan untuk baca Bible sendiri. Selepas habis membaca seluruh Bible, saya yakin hanya Saksi-Saksi Yehuwa yang mengikut teladan orang Kristian pada masa awal.

Semasa belajar Bible, saya sedar saya perlu buat banyak perubahan yang besar dalam hidup. Contohnya, saya perlu berhenti menggunakan kata-kata kesat dan buang tabiat merokok. Saya juga perlu bersikap neutral dan tidak berpihak kepada kerajaan manusia. Walaupun semua perubahan ini tidak mudah, saya berjaya dengan bantuan Yehuwa.

Bagi saya, salah satu cabaran yang terbesar adalah untuk mengawal sikap panas baran saya. Hingga sekarang saya masih berdoa agar Yehuwa membantu saya memupuk kawalan diri. Ayat Bible seperti Amsal 16:32 sangat membantu saya. Ayat ini kata, “Orang yang lambat marah lebih baik daripada orang yang perkasa, dan orang yang mengawal kemarahannya lebih baik daripada orang yang menawan sebuah kota.”

Pada tahun 1991, saya dibaptis semasa masih di penjara. Pembaptisan saya dilakukan dalam sebuah tong air. Pada tahun berikutnya, beberapa orang banduan termasuk saya dibebaskan dan dihantar ke Sepanyol kerana kami ada saudara-mara di sana. Setibanya di sana, saya menghadiri perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka menyambut saya seperti kawan lama mereka dan membantu saya membina kehidupan yang baharu.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA: Saya sangat gembira dapat menyembah Tuhan Yehuwa bersama isteri dan anak-anak perempuan kami. Saya berbesar hati dapat menggunakan banyak masa untuk membantu orang belajar Bible. Saya juga bersyukur saya masih hidup dan yang lebih penting, saya mempunyai harapan untuk hidup selama-lamanya di Firdaus. Pada masa itu, segala hal yang tidak adil akan lenyap dan bahkan “kematian tidak akan ada lagi.”​—Wahyu 21:3, 4.

[Petikan pada muka surat 19]

“Saya sangat gembira semasa mengetahui bahawa Tuhan mempunyai nama”

[Gambar pada muka surat 20]

Saya dan suami gembira menginjil kepada orang pekak dan menunjukkan bahan dalam bahasa isyarat kepada mereka