Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Raja dan Imam Membawa Manfaat kepada Manusia

Raja dan Imam Membawa Manfaat kepada Manusia

‘Kamu bangsa yang terpilih, imam-imam yang mengabdikan diri kepada Raja, bangsa yang suci, umat Tuhan sendiri.’​—1 PTR. 2:9.

1. Mengapakah Perjamuan Malam Tuan juga dipanggil Peringatan, dan apakah tujuan sambutan ini?

PADA malam 14 Nisan 33 M, Yesus dan 12 orang rasulnya menyambut Paska buat kali terakhir. Selepas menyuruh Yudas Iskariot pergi, Yesus memperkenalkan sambutan baru, iaitu Perjamuan Malam Tuan. (1 Kor. 11:20) Yesus berkata sebanyak dua kali, ‘Lakukanlah hal ini untuk mengenang aku.’ Peristiwa ini juga dikenali sebagai sambutan Peringatan. Sambutan ini bertujuan mengingati kematian Kristus. (1 Kor. 11:24, 25) Seperti yang diperintahkannya, Saksi-Saksi Yehuwa di merata dunia menyambut Peringatan setiap tahun. Tahun ini, 14 Nisan dalam kalendar orang Yahudi jatuh pada hari Khamis, 5 April selepas matahari terbenam.

2. Apakah yang dikatakan oleh Yesus tentang roti dan wain yang digunakan?

2 Lukas mencatatkan apa yang berlaku pada malam itu. ‘Yesus mengambil roti. Setelah dia mengucap syukur kepada Tuhan, dia membahagi roti itu lalu memberikannya kepada mereka sambil berkata, “Inilah tubuhku, yang diberikan untuk kamu. Berbuatlah demikian untuk mengenang aku.” Begitu juga setelah makan, dia memberikan cawan itu kepada mereka sambil berkata, “Cawan wain ini perjanjian Tuhan yang baru, yang disahkan dengan darahku, darah yang dicurahkan untuk kamu.”’ (Luk. 22:19, 20, ABB) Adakah para rasul memahami kata-katanya?

3. Adakah para rasul memahami apa yang dilambangkan oleh roti dan wain? Jelaskan.

3 Sebagai orang Yahudi, para rasul tahu tentang korban binatang yang dipersembahkan oleh imam-imam dalam Rumah Tuhan di Yerusalem. Ada yang diberikan untuk memohon perkenan Yehuwa, dan ada yang diberikan untuk memohon pengampunan dosa. (Im. 1:4; 22:17-29) Jadi, semasa Yesus berkata bahawa tubuh dan darahnya akan ‘diberikan dan dicurahkan’ untuk para rasul, mereka faham maksudnya: Dia akan mengorbankan nyawanya yang sempurna. Korban ini jauh lebih besar nilainya berbanding korban binatang.

4. Apakah yang dimaksudkan oleh Yesus semasa dia berkata, ‘Cawan wain ini perjanjian Tuhan yang baru, yang disahkan dengan darahku’?

4 Yesus juga berkata, ‘Cawan wain ini perjanjian Tuhan yang baru, yang disahkan dengan darahku.’ Apa pula ertinya? Para rasul tahu akan nubuat tentang perjanjian baru, yang dicatatkan di Yeremia 31:31-33. (Baca.) Kata-kata Yesus menunjukkan bahawa dia sedang memperkenalkan perjanjian baru yang akan menggantikan perjanjian Hukum Musa. Adakah dua perjanjian ini berhubung kait?

5. Perjanjian Hukum Musa membuka peluang apa kepada bangsa Israel?

5 Ya, tujuan kedua-dua perjanjian ini berkait rapat. Semasa memeterai perjanjian Hukum Musa, Yehuwa memberitahu bangsa Israel, “Jika kamu taat kepada-Ku dan setia kepada perjanjian-Ku, kamu akan menjadi umat-Ku sendiri. Seluruh bumi ini kepunyaan-Ku, tetapi kamu akan menjadi umat pilihan-Ku. Kamu akan menjadi umat yang ditahbiskan untuk diri-Ku sendiri, dan kamu akan mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam [“menjadi suatu kerajaan imam,” NW].” (Kel. 19:5, 6, ABB) Apakah maksud kata-kata ini bagi orang Israel?

JANJI UNTUK MENJADI RAJA DAN IMAM

6. Apakah janji Yehuwa yang telah ditunaikan menerusi perjanjian Hukum Musa?

6 Orang Israel memahami istilah “perjanjian,” kerana Yehuwa pernah membuat perjanjian sebegini dengan leluhur mereka Nuh dan Abraham. (Kej. 6:18; 9:8-17; 15:18; 17:1-9) Yehuwa pernah berjanji kepada Abraham, “Semua bangsa di dunia akan memohon kepada-Ku supaya Aku memberkati mereka sebagaimana Aku telah memberkati keturunanmu.” (Kej. 22:18, ABB) Yehuwa menunaikan janji ini menerusi perjanjian Hukum Musa. Perjanjian ini membolehkan orang Israel menjadi ‘umat pilihan Tuhan.’ Tujuannya? Untuk “menjadi suatu kerajaan imam” kepada Yehuwa.

7. Apakah maksud ungkapan “kerajaan imam”?

7 Bangsa Israel tahu apa itu raja dan imam, tetapi hanya Melkizedek menyandang kedudukan raja dan imam pada masa yang sama dengan perkenan Yehuwa. (Kej. 14:18) Yehuwa kini memberi bangsa Israel peluang untuk membentuk “kerajaan imam.” Menurut Bible, hal ini bererti bahawa mereka berpeluang untuk menjadi imam dan raja.​—1 Ptr. 2:9.

8. Apakah tugas imam yang dilantik oleh Yehuwa?

8 Sudah tentu, tugas seorang raja adalah untuk memerintah. Tetapi apakah tugas seorang imam? Ibrani 5:1 (ABB) menjelaskan, ‘Tiap-tiap imam agung dipilih daripada kalangan umat, dan dilantik untuk mengabdikan diri kepada Tuhan sebagai wakil mereka. Tugasnya mempersembahkan pemberian dan korban untuk pengampunan dosa.’ Maka, imam yang dilantik oleh Yehuwa menjadi wakil orang yang berdosa. Dia akan mempersembahkan korban dan merayu kepada Tuhan bagi pihak mereka. Imam juga merupakan wakil Yehuwa. Dia akan mengajar umat Tuhan tentang hukum-Nya. (Im. 10:8-11; Mal. 2:7) Dengan demikian, imam membantu orang berbaik semula dengan Tuhan.

9. (a) Apakah syarat bagi orang Israel yang ingin menghasilkan “kerajaan imam”? (b) Mengapakah Yehuwa memilih imam daripada kalangan orang Israel? (c) Di bawah Hukum Musa, mengapakah bangsa Israel tidak mampu membentuk “kerajaan imam”?

9 Perjanjian Hukum Musa memberi bangsa Israel peluang yang istimewa untuk melahirkan raja dan imam yang akan membawa manfaat kepada semua bangsa lain. Tetapi Yehuwa menyatakan syaratnya: Mereka mesti ‘taat kepada-Nya dan setia kepada perjanjian-Nya.’ Orang Israel memang boleh ‘taat kepada Yehuwa.’ Namun, mereka tidak dapat melakukannya dengan sempurna. (Rm. 3:19, 20) Atas sebab itulah Yehuwa memilih imam daripada kalangan orang Israel. Para imam tidak berkhidmat sebagai raja. Mereka berkhidmat kepada orang Israel dengan mempersembahkan korban binatang untuk menebus dosa. (Im. 4:1–6:7; Ibr. 5:1-3; 8:3) Meskipun Yehuwa memperkenankan korban mereka, korban sebegini tidak dapat menebus dosa dengan sepenuhnya atau membantu orang Israel berbaik semula dengan Tuhan secara sempurna. Rasul Paulus berkata, “Darah lembu jantan dan darah kambing tidak dapat menghapuskan dosa.” (Ibr. 10:1-4, ABB) Orang Israel “hidup di bawah kutukan” kerana tidak mematuhi segenap Hukum Musa. (Gal. 3:10) Dalam keadaan sebegini, mereka langsung tidak mampu berkhidmat sebagai raja dan imam bagi manusia sejagat.

10. Apakah tujuan perjanjian Hukum Musa?

10 Jadi, adakah Yehuwa memberikan janji kosong semasa mengatakan bahawa bangsa Israel boleh membentuk “kerajaan imam”? Tidak. Jika mereka mentaati-Nya dengan bersungguh-sungguh, mereka akan diberi peluang ini. Tetapi di bawah Hukum Musa, hal ini mustahil. Mengapa? (Baca Galatia 3:19-25.) Tujuan perjanjian Hukum Musa adalah untuk melindungi orang Israel yang setia daripada ibadat palsu. Hukum ini juga mengingatkan orang Yahudi bahawa mereka berdosa dan bahawa korban yang dipersembahkan oleh imam agung tidak memadai untuk menghapuskan dosa. Hukum Musa memimpin mereka kepada Kristus, atau Mesias, yang bermaksud “Dia Yang Terurap.” Selepas Mesias tiba, dia akan memperkenalkan perjanjian baru yang dinubuatkan oleh Yeremia. Orang yang menerima Kristus akan diundang untuk menganggotai perjanjian baru lalu membentuk “kerajaan imam.”

PERJANJIAN BARU MELAHIRKAN RAJA DAN IMAM

11. Bagaimanakah Yesus menjadi asas kerajaan imam?

11 Pada tahun 29 M, Yesus dari Nazaret telah menjadi Mesias. Dia dibaptis kira-kira pada umur 30 tahun. Pembaptisannya menunjukkan bahawa dia ingin melakukan kehendak Yehuwa baginya. Yehuwa berfirman, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi,” lalu mengurapinya dengan daya aktif. (Mat. 3:13-17; Kis. 10:38) Sejak itu, Yesus dilantik sebagai Imam Agung dan bakal menjadi Raja bagi semua manusia yang beriman. (Ibr. 1:8, 9; 5:5, 6) Dia akan menjadi asas kerajaan imam yang dijanjikan.

12. Apakah yang dapat dilakukan kerana adanya korban Yesus?

12 Apakah korban yang boleh dipersembahkan oleh Yesus selaku Imam Agung untuk menghilangkan sepenuhnya dosa orang yang beriman? Semasa mengasaskan Peringatan kematiannya, Yesus menunjukkan bahawa nyawanya yang sempurna akan dikorbankan. (Baca Ibrani 9:11, 12.) Sejak pembaptisannya pada tahun 29 M, Yesus telah dilatih dan diuji sebagai Imam Agung sehingga nafas terakhirnya. (Ibr. 4:15; 5:7-10) Selepas dibangkitkan, Yesus naik ke syurga dan mempersembahkan nilai korbannya kepada Yehuwa. (Ibr. 9:24) Kini, Yesus boleh merayu kepada Yehuwa bagi pihak mereka yang beriman dalam korbannya, dan membantu mereka untuk menyembah Yehuwa dengan harapan untuk memperoleh hidup kekal. (Ibr. 7:25) Korbannya juga mengesahkan perjanjian baru.​—Ibr. 8:6; 9:15.

13. Apakah berkat yang menantikan mereka yang dijemput untuk menjadi sebahagian daripada perjanjian baru?

13 Mereka yang dijemput untuk menjadi sebahagian daripada perjanjian baru juga perlu diurapi dengan daya aktif Tuhan. (2 Kor. 1:21) Orang Yahudi dan bukan Yahudi yang setia telah dijemput. (Ef. 3:5, 6) Apakah berkat yang menantikan mereka? Dosa mereka akan diampunkan sepenuhnya. Yehuwa berjanji, “Aku akan melupakan kesalahan mereka dan mengampunkan dosa mereka.” (Yer. 31:34) Dengan ini, mereka boleh membentuk “kerajaan imam.” Petrus menulis kepada orang Kristian terurap, ‘Kamu bangsa yang terpilih, imam-imam yang mengabdikan diri kepada Raja, bangsa yang suci, umat Tuhan sendiri. Tuhan memilih kamu untuk mengisytiharkan perbuatan-Nya yang luar biasa. Tuhan sudah memanggil kamu keluar daripada kegelapan supaya masuk ke dalam cahaya-Nya yang gemilang.’ (1 Ptr. 2:9, ABB) Petrus telah memetik kata-kata Yehuwa kepada orang Israel dan menujukan kata-kata itu kepada orang Kristian di bawah perjanjian baru.​—Kel. 19:5, 6.

RAJA DAN IMAM MEMBAWA MANFAAT KEPADA MANUSIA

14. Para anggota perjanjian baru akan berkhidmat di mana?

14 Para anggota perjanjian baru akan berkhidmat di mana? Sebagai kumpulan imam yang mewakili Yehuwa, mereka akan “mengisytiharkan perbuatan-Nya yang luar biasa” dan menghidangkan makanan rohani di bumi. (Mat. 24:45; 1 Ptr. 2:4, 5) Selepas mereka dibangkitkan, mereka akan menyempurnakan tugas sebagai raja dan imam bersama Kristus di syurga. (Luk. 22:29; 1 Ptr. 1:3-5; Why. 1:6) Dalam penglihatannya, rasul Yohanes nampak makhluk-makhluk roh di sekitar takhta Yehuwa di syurga. Mereka menyanyikan “sebuah lagu baru” kepada “Anak Domba,” yang telah membeli manusia daripada “semua suku, bahasa, negara, dan bangsa,” dan menjadikan mereka imam yang mengabdi kepada Tuhan dan memerintah dunia. (Why. 5:8-10) Dalam satu lagi penglihatan, Yohanes berkata bahawa ‘mereka akan menjadi imam Tuhan dan imam Kristus. Mereka akan memerintah bersama-sama dia selama seribu tahun.’ (Why. 20:6) Bersama Kristus, mereka berkhidmat sebagai raja dan imam demi manfaat segenap umat manusia.

15, 16. Apakah berkat yang akan dibawa oleh kerajaan imam kepada umat manusia?

15 Apakah manfaat yang akan dibawa oleh 144,000 orang Kristian terurap kepada penduduk di bumi? Buku Wahyu bab 21 menggambarkan mereka sebagai kota suci Yerusalem Baru yang merupakan “isteri Anak Domba.” (Why. 21:9) Ayat 2 hingga 4 (ABB) menyatakan, ‘Aku nampak kota suci itu, Yerusalem baru turun dari syurga daripada Tuhan. Kota itu sudah disiapkan seperti pengantin perempuan yang telah berhias untuk menemui suaminya. Aku mendengar suara lantang berseru dari takhta itu. “Sekarang Tuhan tinggal bersama-sama manusia! Dia akan hidup bersama-sama mereka dan mereka akan menjadi umat-Nya. Tuhan sendiri akan tinggal bersama-sama mereka dan menjadi Tuhan mereka. Dia akan menyapu air mata mereka. Kematian akan tiada lagi, demikian juga kesedihan, tangisan, dan kesakitan. Perkara-perkara lama sudah lenyap.”’ Bukankah ini berkat yang menakjubkan? Maut akan dilenyapkan, maka hilanglah air mata, kesedihan, tangisan, dan kesakitan. Manusia akan menjadi sempurna, dan hubungan mereka dengan Tuhan akan pulih sepenuhnya.

16 Masih ada berkat lain yang dibawa oleh kerajaan imam ini. Wahyu 22:1, 2 (ABB) menyatakan, ‘Malaikat itu juga menunjukkan sungai kepadaku; air sungai itu memberikan hidup. Sungai itu berkilauan seperti kristal dan mengalir dari takhta Tuhan dan Anak Domba ke tengah-tengah jalan raya di kota [Yerusalem Baru] itu. Pada kedua-dua tepi sungai itu terdapat sebatang pokok sumber kehidupan, yang berbuah dua belas kali setahun, iaitu sekali sebulan. Daunnya digunakan untuk menyembuhkan bangsa-bangsa [segenap umat manusia].’ Dengan ini, ketidaksempurnaan manusia akan sembuh sepenuhnya. Sesungguhnya, “perkara-perkara lama sudah lenyap.”

KERAJAAN IMAM MENYEMPURNAKAN TUGASNYA

17. Apakah yang akan dilakukan oleh kerajaan imam?

17 Pada akhir 1000 tahun, kerajaan imam akan membantu rakyat di bumi menjadi sempurna. Sebagai Imam Agung dan Raja, Kristus akan menyerahkan umat manusia yang sempurna kepada Yehuwa. (Baca 1 Korintus 15:22-26.) Pada masa itu, kerajaan imam sudah menyempurnakan tugasnya.

18. Selepas kerajaan imam menyempurnakan tugasnya, apakah tugas yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada rakan-rakan Kristus?

18 Selepas itu, apakah tugas yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada rakan-rakan Kristus? Wahyu 22:5 menyatakan bahawa “mereka akan memerintah sebagai raja selama-lamanya.” Mereka memerintah siapa? Bible tidak memberitahu kita. Namun, mereka memiliki nyawa yang tidak boleh mati dan tidak boleh dimusnahkan, serta mempunyai pengalaman dalam membantu manusia yang tidak sempurna. Oleh itu mereka akan terus menjadi raja dan memainkan peranan yang penting dalam tujuan Yehuwa untuk selama-lamanya.

19. Hadirin Peringatan akan diingatkan tentang apa?

19 Semasa kita berhimpun untuk menyambut Peringatan kematian Yesus pada hari Khamis, 5 April 2012, ingatlah ajaran-ajaran Bible ini. Orang Kristian terurap yang masih di bumi akan makan roti tidak beragi dan minum wain merah. Inilah tanda bahawa mereka menganggotai perjanjian baru. Roti dan wain yang melambangkan korban Kristus akan mengingatkan mereka tentang penghormatan dan tanggungjawab besar mereka dalam tujuan abadi Tuhan. Semasa menghadiri sambutan ini, marilah kita tunjukkan rasa syukur yang mendalam untuk kerajaan imam yang disediakan oleh Tuhan Yehuwa demi manfaat manusia sejagat.

[Soalan Pembelajaran]

[Gambar pada muka surat 29]

Kerajaan imam akan membawa berkat abadi kepada manusia sejagat