Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Tirulah Teladan Yesus yang Sentiasa Berjaga-jaga

Tirulah Teladan Yesus yang Sentiasa Berjaga-jaga

Tirulah Teladan Yesus yang Sentiasa Berjaga-jaga

“Berjaga-jagalah dan berdoalah.”​—MAT. 26:41.

APAKAH JAWAPAN ANDA?

Bagaimanakah doa kita menunjukkan bahawa kita berjaga-jaga?

Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita berjaga-jaga dalam kerja penyebaran?

Mengapakah penting untuk berjaga-jaga semasa menghadapi cubaan, dan bagaimanakah kita dapat berbuat demikian?

1, 2. (a) Apakah soalan-soalan yang mungkin timbul berkenaan teladan Yesus? (b) Dapatkah teladan Yesus yang sempurna membantu manusia yang tidak sempurna? Berikan contoh.

YESUS memberi kita teladan yang terunggul dalam soal berjaga-jaga. Tetapi anda mungkin bertanya, “Dapatkah saya meniru teladan Yesus yang sempurna? Lagipun, perlukah Yesus berjaga-jaga memandangkan dia tahu apa yang akan berlaku jauh pada masa depan?” (Mat. 24:37-39; Ibr. 4:15) Mari kita bincangkan soalan-soalan ini untuk mengetahui pentingnya berjaga-jaga.

2 Dapatkah teladan Yesus yang sempurna membantu manusia yang tidak sempurna? Sudah tentu! Sebagai contoh, bayangkan seorang lelaki yang mahu belajar memanah. Pada mulanya, dia langsung tidak dapat mengena sasaran. Tetapi dia tidak berputus asa. Untuk menjadi lebih mahir, dia mengamati gurunya, seorang pemanah yang pakar. Dia memerhatikan cara gurunya berdiri serta menggerakkan tangan dan jarinya. Sedikit demi sedikit, kemahirannya meningkat. Dia makin mengenali selok-belok teknik memanah, cara meregangkan busur, dan kesan angin ke atas anak panah. Dia terus berusaha untuk meniru gurunya, lalu menjadi semakin mahir. Dalam cara yang sama, jika kita mengikut arahan Yesus dan meniru teladannya yang sempurna, kita juga dapat menjadi orang Kristian yang lebih baik.

3. (a) Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa dia perlu berjaga-jaga? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Tetapi, perlukah Yesus berjaga-jaga? Ya, dia memang perlu. Sebagai contoh, pada malam terakhir di bumi, dia memberitahu para rasulnya, ‘Berjagalah dengan aku.’ Dia juga berkata, “Berjaga-jagalah dan berdoalah supaya kamu tidak mengalami cubaan.” (Mat. 26:38, 41) Walaupun Yesus sentiasa berjaga-jaga, khususnya pada malam tersebut dia ingin lebih berjaga-jaga dan mendekat kepada Bapanya. Yesus tahu bahawa pengikutnya juga perlu berjaga-jaga, bukan pada masa itu sahaja tetapi pada masa depan juga. Sekarang, mari kita bincangkan mengapa Yesus mahu kita berjaga-jaga. Kemudian, kita akan membincangkan tiga cara kita dapat meniru Yesus dan tetap berjaga-jaga dalam kehidupan seharian.

MENGAPA YESUS MAHU KITA BERJAGA-JAGA

4. Bagaimanakah perkara yang kita tidak tahu mendorong kita untuk berjaga-jaga?

4 Secara ringkas, Yesus mahu kita berjaga-jaga kerana terdapat perkara yang kita tahu dan perkara yang kita tidak tahu. Semasa di bumi, adakah Yesus tahu segala-gala yang akan berlaku pada masa depan? Tidak. Dengan rendah hati, dia mengaku, “Tidak seorang pun mengetahui hari atau waktunya, sama ada malaikat-malaikat di syurga ataupun Anak; hanya Bapa yang tahu.” (Mat. 24:36, ABB) Pada masa itu, Yesus tidak tahu bila akhir sistem dunia ini akan datang. Bagaimana pula dengan kita? Kita mempunyai pengetahuan yang terhad tentang masa depan. Kita tidak tahu bila Yehuwa akan mengutus Anak-Nya untuk membinasakan sistem dunia fasiq ini. Jika kita tahu, kita tidak perlu berjaga-jaga. Tetapi Yesus menjelaskan bahawa akhir akan datang secara tiba-tiba. Jadi kita perlu sentiasa berjaga-jaga.​—Baca Matius 24:43.

5, 6. (a) Bagaimanakah pengetahuan tentang masa depan dan tujuan Tuhan mendorong kita untuk berjaga-jaga? (b) Bagaimanakah pengetahuan tentang Syaitan menguatkan tekad kita untuk berjaga-jaga?

5 Walaupun begitu, Yesus memiliki banyak pengetahuan yang menakjubkan tentang masa depan. Pengetahuan ini tidak dimiliki oleh orang lain pada masa itu. Walaupun pengetahuan kita tidak setanding Yesus, dia telah membantu kita untuk memahami banyak kebenaran tentang Kerajaan Tuhan dan masa depan. Buat sejenak, fikirlah tentang orang di sekitar kita; di sekolah, di tempat kerja, atau di kawasan penyebaran. Tidakkah anda setuju bahawa kebanyakan orang hidup dalam kegelapan meskipun kebenaran Tuhan sedang bersinar terang? Jadi seperti Yesus, kita harus sentiasa berjaga-jaga dan peka menyambar peluang bagi memberitahu orang lain tentang Kerajaan Tuhan. Setiap peluang itu berharga kerana nyawa orang terlibat.​—1 Tim. 4:16.

6 Pengetahuan tentang Syaitan dan kelicikannya juga telah mendorong Yesus untuk berjaga-jaga. Dia tahu Syaitan bertekad untuk menghancurkan integritinya, menggodanya, dan menganiayanya. Walaupun muslihat musuh ketat ini gagal, dia hanya meninggalkan Yesus “untuk sementara waktu.” (Luk. 4:13) Yesus tidak pernah lalai. Dia mahu sentiasa bersedia kerana bila-bila masa sahaja Syaitan boleh menyerangnya. Syaitan masih tidak berubah. Dia “seperti singa yang mengaum sambil mencari mangsa.” Itulah sebabnya Bible menggalakkan kita, “Berjaga-jagalah dan berwaspadalah.” (1 Ptr. 5:8) Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian?

DARI SEGI DOA

7, 8. Apakah nasihat yang diberikan oleh Yesus tentang doa, dan apakah teladan yang ditetapkannya?

7 Bible menunjukkan bahawa doa berkait rapat dengan kepekaan rohani, atau sikap berjaga-jaga. (Kol. 4:2; 1 Ptr. 4:7) Tidak lama selepas Yesus menyuruh pengikutnya untuk berjaga-jaga dengannya, dia berkata, “Berjaga-jagalah dan berdoalah supaya kamu tidak mengalami cubaan.” (Mat. 26:41) Adakah Yesus mahu mereka berdoa pada saat yang genting itu sahaja? Tidak, nasihatnya ialah prinsip hidup yang harus diamalkan setiap hari.

8 Dalam soal doa, Yesus menetapkan teladan yang terunggul. Pernah sekali, dia telah berdoa semalaman kepada Bapanya. Cuba bayangkan keadaannya. (Baca Lukas 6:12, 13.) Masa itu musim bunga. Tempatnya mungkin dekat kampung nelayan Kapernaum. Semasa senja lembut menyapa, Yesus telah menaiki sebuah gunung yang menawarkan pemandangan Tasik Galilea. Dia juga mungkin nampak pelita yang berkelipan di Kapernaum. Namun, apabila Yesus berdoa, dia bertumpu sepenuhnya pada Yehuwa. Api pelita dalam rumah-rumah yang jauh di mata mula dipadamkan. Binatang mencari makanan di semak yang berhampiran dan bulan merentasi langit malam. Tetapi Yesus tidak menyedari semua hal ini kerana dia mungkin sedang berdoa tentang keputusan untuk memilih 12 orang rasulnya. Yesus mencurahkan isi hati kepada Bapanya dan meluahkan kekhuatirannya tentang setiap murid. Dengan sungguh-sungguh, dia memohon bimbingan serta kebijaksanaan daripada Tuhan.

9. Apakah yang dapat kita belajar daripada teladan Yesus?

9 Apakah yang dapat kita pelajari daripada teladan Yesus? Adakah kita perlu berdoa selama berjam-jam? Tidak, Yesus pernah berkata kepada pengikutnya, “Memang kamu ingin melakukan apa yang benar, tetapi kamu tidak sanggup kerana tabiat manusia lemah.” (Mat. 26:41) Namun begitu, kita masih dapat meneladani Yesus. Sebagai contoh, sebelum membuat keputusan penting yang boleh mempengaruhi kerohanian kita, keluarga kita, atau rakan seiman, adakah kita memohon bimbingan Tuhan? Adakah kita berdoa untuk saudara saudari kita? Adakah kita meluahkan isi hati kita dan tidak asyik mengulangi kata-kata yang sama? Perhatikan juga bahawa Yesus telah memperuntukkan masa untuk bercakap kepada Tuhan. Dunia kini sangat sibuk sehingga kita mudah melupakan hal-hal rohani. Jika kita ingin berjaga-jaga secara rohani, kita harus meluangkan masa untuk berdoa dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. (Mat. 6:6, 7) Hubungan kita dengan Yehuwa akan bertambah rapat dan kita akan menghindari hal-hal yang dapat menjejaskan hubungan kita dengan-Nya.​—Mzm. 25:14.

DALAM KERJA PENYEBARAN

10. Berikan contoh yang menunjukkan bahawa Yesus peka terhadap peluang untuk memberikan kesaksian.

10 Yesus berjaga-jaga semasa melakukan kerja yang ditugaskan oleh Yehuwa kepadanya. Semasa melakukan sesetengah kerja, kita mungkin tidak perlu menumpukan sepenuh perhatian. Tetapi dalam kerja penyebaran, kita perlu peka dan berfokus. Semasa menjalankan kerjanya, Yesus sentiasa peka dan tidak melepaskan peluang untuk menyebarkan berita baik. Sebagai contoh, semasa dia dan murid-muridnya tiba di bandar Sikhar selepas penat berjalan sepanjang pagi, Yesus berehat di sebelah sebuah perigi sementara murid-muridnya pergi membeli makanan. Walaupun dia sedang berehat, dia tetap peka terhadap peluang untuk memberikan kesaksian. Seorang wanita Samaria datang untuk menimba air. Sebenarnya Yesus dapat memejamkan mata atau memberikan seribu satu dalih agar tidak memberikan kesaksian kepada wanita itu. Tetapi, dia tidak berbuat demikian. Dia berbual dengan wanita itu dan ramai orang dalam bandar itu telah menerima ajaran Yesus. (Yoh. 4:4-26, 39-42) Bolehkah kita meniru teladan Yesus dan menjadi lebih peka terhadap peluang untuk memberikan kesaksian kepada orang di mana-mana sahaja?

11, 12. (a) Apakah reaksi Yesus terhadap mereka yang mencuba untuk mengalihkan perhatiannya? (b) Bagaimanakah Yesus memperlihatkan sikap yang seimbang dalam kerjanya?

11 Adakalanya, orang mencuba mengalihkan perhatian Yesus daripada kerjanya. Di Kapernaum, orang ramai begitu terharu dengan mukjizat yang dilakukan oleh Yesus sehingga mereka mahu dia menetap di sana. Walaupun mereka berniat baik, Yesus perlu menginjil kepada semua “orang Israel yang seperti domba yang sesat.” (Mat. 15:24) Dia memberitahu mereka bahawa dia juga harus mengkhabarkan berita baik ke “kota-kota lain.” (Luk. 4:40-44) Jelas sekali, tumpuan Yesus berpusat pada kerja penyebaran. Dia tidak mengizinkan apa-apa pun untuk mengalihkan perhatiannya.

12 Semasa menjalankan kerja penyebaran, Yesus bukanlah seorang fanatik yang menolak segala nikmat hidup. Yesus sangat seimbang dan tahu akan keperluan manusia. Dia menyukai kehidupan dan gemar menghabiskan masa bersama kawan-kawannya. Dia berbelas kasihan terhadap keluarga, memahami keperluan dan masalah yang dihadapi mereka, serta memperlihatkan kasih sayang terhadap kanak-kanak.​Baca Markus 10:13-16.

13. Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Yesus yang bersikap seimbang semasa menginjil?

13 Bagaimanakah kita dapat meniru Yesus yang bersikap seimbang semasa menginjil? Kita tidak mengizinkan dunia ini untuk mengalihkan fokus kita. Kawan-kawan dan ahli keluarga yang berniat baik juga mungkin menyuruh kita untuk mengurangkan usaha dalam kerja Tuhan dan menggalakkan kita untuk menjalankan hidup yang “normal.” Namun seperti Yesus, kerja menginjil ibarat makanan bagi kita. (Yoh. 4:34) Kerja menginjil menguatkan kerohanian kita dan membawa sukacita. Tetapi kita tidak mahu bersikap keterlaluan atau sombong. Kita mahu bersikap seimbang dan menyembah “Tuhan yang gembira” dengan sukacita.​—1 Tim. 1:11, NW.

SEMASA MENGHADAPI CUBAAN

14. Semasa menghadapi cubaan, apakah kecenderungan yang harus kita lawan, dan mengapa?

14 Yesus menggesa pengikutnya untuk berjaga-jaga terutamanya semasa dia menghadapi cubaan yang teruk. (Baca Markus 14:37.) Semasa menghadapi cubaan, kebanyakan orang cenderung untuk bergantung pada diri dan tidak meneladani Yesus. Tetapi buku Amsal mengingatkan kita sebanyak dua kali, “Jalan yang disangka baik itu akhirnya menuju maut.” (Ams. 14:12; 16:25, ABB) Jika kita bersandar pada kebijaksanaan sendiri, terutama semasa menghadapi masalah yang serius, kita boleh membahayakan diri serta orang tersayang.

15. Apakah cubaan yang mungkin dihadapi oleh ketua keluarga semasa kegawatan ekonomi?

15 Sebagai contoh, seorang ketua keluarga mungkin menghadapi tekanan yang besar kerana perlu menjaga keperluan fizikal keluarganya. (1 Tim. 5:8) Dia mungkin digoda untuk menerima tawaran kerja yang menyebabkannya jarang menghadiri perjumpaan, mengadakan penyembahan keluarga, atau menjalankan kerja penyebaran. Jika dia hanya bergantung pada kebijaksanaan manusia, tindakkannya nampak betul. Tetapi, lambat-laun hal ini boleh menyebabkan kematian rohani. Adalah lebih baik jika nasihat di Amsal 3:5, 6 (ABB) diamalkan, ‘Percayalah kepada Yehuwa dengan sepenuh hatimu. Jangan bergantung kepada pengertianmu sendiri. Ingatlah akan Yehuwa dalam segala perbuatanmu, dan Dia akan menunjukkan cara hidup yang baik kepadamu.’

16. (a) Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa dia bergantung pada kebijaksanaan Yehuwa? (b) Bagaimanakah ketua keluarga menunjukkan bahawa mereka bergantung pada Yehuwa semasa menghadapi cubaan?

16 Semasa Yesus menghadapi cubaan, dia enggan bergantung pada pengertian sendiri. Fikirlah hal itu. Walaupun Yesus merupakan insan yang paling bijak yang pernah menjejak langkah di bumi, dia memilih untuk bergantung pada kebijaksanaan Tuhan. Sebagai contoh, apabila Syaitan menggoda Yesus, dia berulang kali menjawab, “Di dalam Alkitab tertulis.” (Mat. 4:4, 7, 10) Dia tidak bergantung pada diri sendiri semasa melawan godaan. Dia sangat rendah hati, bukan seperti Syaitan. Bagaimana pula dengan kita? Ketua keluarga yang berjaga-jaga seperti Yesus akan mengikut bimbingan Firman Tuhan, terutamanya semasa menghadapi masalah rumit. Di serata dunia, hal ini sedang diamalkan oleh ribuan ketua keluarga. Mereka selalu mengutamakan Kerajaan Tuhan dan ibadat sejati dalam kehidupan. Dengan demikian, mereka menjaga keluarga dalam cara yang terbaik dan Yehuwa tentu akan memberkati usaha mereka.​—Mat. 6:33.

17. Apakah yang mendorong anda untuk meniru sikap Yesus yang berjaga-jaga?

17 Tiada sesiapa pun yang dapat menyangkal bahawa Yesus menetapkan teladan terunggul dalam soal berjaga-jaga. Teladannya sesuai diamalkan, bermanfaat, dan dapat menyelamatkan nyawa. Ingatlah, Syaitan beria-ia mahu anda terlena secara rohani, iaitu mengalami penghakisan iman, beribadat secara sambil lewa, dan hilang integriti. (1 Tes. 5:6) Jangan izinkannya berjaya! Seperti Yesus tetaplah berjaga-jaga dari segi doa, dalam kerja penyebaran, dan semasa menghadapi cubaan. Dengan demikian, meskipun sistem ini di ambang pemusnahan, anda dapat menikmati kehidupan yang bahagia dan bermakna. Apabila Tuan anda datang untuk membinasakan sistem dunia ini, dia akan mendapati bahawa anda sedang melaksanakan kehendak Tuhan dengan aktif dan peka kerana anda berjaga-jaga. Yehuwa tentu akan berasa gembira untuk memberkati kesetiaan anda!​—Why. 16:15.

[Soalan Pembelajaran]

[Gambar pada muka surat 6]

Yesus menginjil kepada wanita Samaria. Adakah anda mewujudkan peluang untuk menginjil setiap hari?

[Gambar pada muka surat 7]

Jagalah keperluan rohani keluarga anda. Hal ini menunjukkan bahawa anda berjaga-jaga