Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kebahagiaan dalam Keluarga yang Tidak Seiman

Kebahagiaan dalam Keluarga yang Tidak Seiman

Kebahagiaan dalam Keluarga yang Tidak Seiman

“Bagaimana kamu boleh tahu dengan pasti bahawa kamu tidak akan menyelamatkan [teman hidup] kamu?”​—1 KOR. 7:16.

APAKAH JAWAPANNYA?

Bagaimanakah seorang Saksi boleh memupuk kedamaian dengan ahli keluarga yang tidak seiman?

Bagaimanakah seorang Kristian boleh membantu ahli keluarganya menerima kebenaran?

Bagaimanakah ahli sidang dapat membantu seorang teman yang tidak seiman?

1. Apabila seseorang menyambut baik kebenaran, apakah mungkin reaksi keluarganya?

PERNAH sekali semasa Yesus mengutus para rasulnya, dia berkata, ‘Pergilah dan khabarkanlah bahawa “tidak lama lagi Tuhan akan memerintah.”’ (Mat. 10:1, 7, ABB) Mereka yang menerima berita baik ini dengan tangan terbuka dapat menikmati kedamaian dan kebahagiaan. Tetapi, Yesus juga memberitahu rasulnya bahawa ramai orang akan menentang kerja penyebaran. (Mat. 10:16-23) Lebih teruk lagi, tentangan mungkin berasal daripada ahli keluarga sendiri.​Baca Matius 10:34-36.

2. Bagaimanakah orang Kristian dalam keluarga yang tidak seiman dapat mengecap kebahagiaan?

2 Adakah hal ini bermaksud bahawa orang Kristian yang mempunyai ahli keluarga yang bukan Saksi tidak dapat menikmati kebahagiaan? Tidak! Sebenarnya, bukan semua orang menghadapi tentangan keluarga yang serius, dan tentangan yang dihadapi tidak semestinya berkekalan. Meskipun kita menghadapi tentangan atau sikap tidak peduli daripada ahli keluarga, kita masih dapat menikmati kebahagiaan jika kita menunjukkan sikap yang sewajarnya. Selain itu, Yehuwa memberkati mereka yang setia kepada-Nya dan membantu mereka bersukacita meskipun menghadapi cabaran. Untuk menikmati kebahagiaan, seorang Kristian boleh berusaha untuk (1) memupuk kedamaian di rumah dan (2) membantu ahli keluarga yang tidak seiman memeluk kebenaran.

PUPUK KEDAMAIAN DI RUMAH

3. Mengapakah seorang Kristian dalam keluarga yang tidak seiman patut memupuk kedamaian?

3 Benih kebenaran dapat bercambah dalam sesebuah keluarga jika suasananya aman dan damai. (Baca Yakobus 3:18.) Walaupun ahli keluarga seorang Kristian belum memeluk kebenaran, dia mesti berusaha untuk memupuk kedamaian dalam keluarga. Bagaimanakah hal ini dapat dilakukan?

4. Bagaimanakah orang Kristian dapat mengekalkan kedamaian batin?

4 Orang Kristian mesti mengekalkan kedamaian batin. Bagaimana? Melalui doa, kita mendapat ‘kesejahteraan daripada Tuhan.’ (Flp. 4:6, 7) Apabila kita menimba pengetahuan tentang Yehuwa dan menerapkan prinsip Bible dalam kehidupan, kita menikmati kebahagiaan dan kedamaian. (Yes. 54:13) Kita juga mesti mengambil bahagian dalam perjumpaan dan menjalankan kerja penyebaran secara aktif. Biasanya, orang Kristian yang hidup dalam keluarga tidak seiman dapat menjalankan aktiviti Kristian. Mari kita lihat contoh Enza. * Walaupun ditentang oleh suaminya dengan keras, dia menjalankan kerja penyebaran selepas menyiapkan kerja-kerja di rumah. Dia berkata, “Yehuwa memberkati usaha saya dengan melimpah setiap kali saya mengongsi berita baik dengan orang lain.” Berkat Yehuwa sudah tentu mendatangkan kedamaian, kepuasan, dan kebahagiaan.

5. Apakah cabaran yang sering dihadapi dalam keluarga yang tidak seiman, dan apakah bantuan yang disediakan?

5 Kita harus mencurahkan usaha untuk memupuk hubungan yang damai dengan ahli keluarga yang tidak seiman. Hal ini tidak senang kerana adakalanya mereka mahu kita melakukan perkara yang melanggar prinsip Bible. Pendirian kita mungkin mengecewakan mereka. Tetapi teruslah berpegang pada prinsip Bible kerana hal ini boleh membawa kedamaian kelak. Namun apabila prinsip Bible tidak dilanggar, kita boleh menggelakkan perselisihan dengan tidak berkeras menurut kehendak sendiri. (Baca Amsal 16:7.) Semasa kita menghadapi cabaran, adalah penting untuk mencari nasihat yang diterbitkan oleh hamba yang setia dan bijaksana dan mendapatkan bantuan para penatua.​—Ams. 11:14.

6, 7. (a) Mengapakah sesetengah orang menentang ahli keluarga yang mempelajari Bible? (b) Apakah yang harus dilakukan oleh pelajar Bible atau Saksi yang menghadapi tentangan?

6 Untuk memupuk kedamaian dalam keluarga, kita mesti bergantung pada Yehuwa dan cuba menyelami perasan ahli keluarga yang tidak seiman. (Ams. 16:20; 24:3) Pelajar Bible yang baru perlu belajar berbuat demikian juga. Sesetengah suami isteri tidak menghalang teman mereka daripada mempelajari Bible. Malah ada yang mengaku bahawa hal ini baik untuk keluarga mereka. Sedihnya, ada suami isteri yang menentang usaha pasangan mereka. Esther, yang kini seorang Saksi mengaku bahawa dia “marah sekali” semasa suaminya mula belajar Bible. Dia berkata, “Saya membuang atau membakar bahan bacaannya.” Howard, yang dulu menentang isterinya berkata, “Banyak suami khuatir isteri mereka akan diperdaya lalu menganuti agama sesat. Mereka mungkin tidak tahu cara untuk menangani situasi tersebut dan menentang isteri mereka.”

7 Jelaskan kepada pelajar Bible yang menghadapi tentangan bahawa dia tidak perlu berhenti belajar. Meskipun temannya menentang, dia sering dapat menyelesaikan masalah yang timbul dengan memperlihatkan sikap hormat dan lemah lembut. (1 Ptr. 3:15, 16) Howard berkata, “Saya bersyukur kerana isteri saya bertenang dan tidak marah-marah!” Isteri Howard menjelaskan, “Suami saya suruh saya berhenti belajar Bible. Dia berkata saya sudah kena basuh otak. Saya tidak melawan cakapnya. Saya berkata dia mungkin betul tapi secara jujur, saya rasa hal ini mustahil. Jadi saya memintanya membaca buku yang sedang saya pelajari. Dia berbuat demikian dan tidak dapat menyangkal kebenaran yang terkandung dalamnya. Hal ini telah meninggalkan kesan yang mendalam ke atasnya.” Jangan lupa bahawa seorang suami atau isteri yang bukan dalam kebenaran mungkin berasa tersisih atau berasa bahawa perkahwinannya terancam apabila pasangannya keluar menjalankan aktiviti Kristian. Jadi teruslah menunjukkan bahawa anda mengasihi pasangan anda. Hal ini akan membantu mengubati keresahannya.

BANTU TEMAN MEMELUK KEBENARAN

8. Apakah nasihat Paulus kepada orang Kristian yang mempunyai teman yang tidak seiman?

8 Paulus menasihati orang Kristian supaya setia kepada teman hidup meskipun teman mereka tidak memeluk kebenaran. * (Baca 1 Korintus 7:12-16.) Harapan bahawa teman yang tidak seiman akan menjadi seorang Saksi suatu hari nanti boleh membawa kebahagiaan. Tetapi jangan lupa bahawa kaedah yang betul harus digunakan untuk menyampaikan berita baik kepadanya. Mari kita lihat pengalaman-pengalaman yang berikut.

9. Apakah yang harus diingati apabila mengongsi kebenaran Bible dengan ahli keluarga?

9 Jason mengimbas kembali perasaannya semasa dia mula belajar Bible. Katanya, “Saya mahu memberitahu semua orang!” Apabila seorang pelajar menghargai kebenaran Bible, dia mungkin menjadi begitu ghairah sehingga asyik bercakap tentangnya. Dia mungkin berharap agar ahli keluarganya menerima kebenaran dengan serta-merta. Tetapi, mereka mungkin menolak kebenaran. Apakah perasaan isteri Jason terhadap sikapnya? Isterinya berkata bahawa Jason asyik bercakap tentang kebenaran sahaja! Seorang wanita yang menerima kebenaran 18 tahun selepas suaminya menjadi Saksi berkata, “Saya jenis orang yang perlu mempelajari kebenaran secara beransur-ansur.” Jika pelajar Bible anda mempunyai teman yang tidak ingin menyembah Yehuwa, berlatih dengannya cara mengongsi kebenaran tanpa menyinggung perasaan temannya. Musa berkata, ‘Ajaranku seperti embun di atas bumi. Perkataanku seperti hujan rintik-rintik yang turun ke atas rerumputan.’ (Ul. 32:2) Sering kali, kebenaran yang disampaikan sedikit demi sedikit lebih berkesan daripada membanjiri seseorang dengan terlalu banyak maklumat.

10-12. (a) Apakah nasihat Petrus kepada orang Kristian yang mempunyai teman tidak seiman? (b) Bagaimanakah seorang pelajar Bible mempelajari cara untuk menerapkan prinsip di 1 Petrus 3:1, 2?

10 Kepada isteri Kristian yang suaminya tidak seiman, Petrus menulis, ‘Taat kepada suami, supaya jika ada antara suami kamu yang tidak percaya kepada firman Tuhan, kelakuan kamu akan menyebabkan mereka menjadi percaya. Kamu tidak perlu mengatakan apa-apa kepada mereka, kerana mereka boleh melihat kelakuan kamu yang murni dan penuh hormat.’ (1 Ptr. 3:1, 2, ABB) Walaupun seorang suami tidak melayan isterinya dengan baik, dia mungkin akan memeluk kebenaran jika isterinya mentaati dan menghormatinya. Dalam cara yang sama, seorang suami harus menjaga tingkah lakunya dan menjadi ketua keluarga yang penyayang meskipun menghadapi tentangan daripada isteri yang tidak seiman.​—1 Ptr. 3:7-9.

11 Banyak contoh moden membuktikan bahawa nasihat Petrus berkesan. Mari kita lihat contoh Selma. Semasa dia mula mempelajari Bible, suaminya, Steve, tidak berasa gembira. Steve berkata, “Saya marah, iri-hati, dan mengongkong isteri kerana berasa takut.” Selma berkata, “Bahkan sebelum saya mendapat kebenaran, memang susah untuk hidup bersama Steve kerana dia panas baran. Selepas saya mula belajar Bible, sikapnya bertambah teruk.” Apakah yang membantu mereka?

12 Selma mengingat kembali kata-kata saudari yang mengajarnya Bible. “Pada suatu hari,” kata Selma, “Saya tidak mahu belajar Bible. Malam sebelumnya, Steve dan saya bertengkar dan dia memukul saya. Saya berasa sedih dan mula mengasihani diri. Selepas saya memberitahu saudari tersebut apa yang telah berlaku, dia minta saya membaca 1 Korintus 13:4-7. Sambil membaca saya berfikir, ‘Steve tidak pernah layan saya sebegini.’ Tetapi saudari itu mengubah cara pemikiran saya. Dia bertanya, ‘Pernahkah kamu mengasihi Steve seperti yang tercatat dalam ayat-ayat ini?’ Saya menjawab, ‘Tak, sebab perangainya teruk.’ Dengan nada yang lembut, saudari itu berkata, ‘Selma, siapa yang sedang belajar untuk menjadi seorang Kristian, kamu atau Steve?’ Saya sedar bahawa fikiran saya perlu diubah, dan saya berdoa kepada Yehuwa untuk membantu saya lebih mengasihi Steve. Secara beransur-ansur, situasi saya bertambah baik.” Selepas 17 tahun, Steve menerima kebenaran.

ORANG LAIN JUGA DAPAT MEMBANTU

13, 14. Bagaimanakah ahli-ahli sidang boleh membantu keluarga yang tidak seiman?

13 Seperti hujan renyai-renyai yang membasahi tanah dan membantu tanaman bertumbuh, usaha ahli-ahli sidang boleh membantu keluarga yang tidak seiman. “Kasih yang ditunjukkan oleh saudara saudari sangat membantu saya berpegang teguh pada kebenaran,” kata Elvina dari Brazil.

14 Keprihatinan dan kebaikan hati saudara saudari dalam sidang boleh menggerakkan hati teman hidup yang tidak seiman. Seorang saudara di Nigeria yang memeluk kebenaran 13 tahun selepas isterinya menjadi Saksi berkata, “Semasa saya dalam perjalanan dengan seorang Saksi, kenderaannya rosak. Dia mendapatkan bantuan daripada Saksi-Saksi lain yang tinggal berdekatan. Mereka telah menyediakan penginapan bagi kami pada malam itu dan menjaga kami seolah-olah kami kawan lama. Masa itu, saya telah merasai kasih Kristian yang selalu disebut oleh isteri saya.” Di England pula, seorang isteri yang menerima kebenaran 18 tahun selepas suaminya menjadi Saksi berkata, “Saksi-Saksi menjemput kami untuk makan bersama. Saya selalu disambut dengan mesra.” * Seorang suami yang akhirnya menjadi Saksi berkata, “Saudara saudari sering melawat kami, serta menjemput kami ke rumah mereka. Mereka sangat mengambil berat terhadap saya, terutamanya semasa saya di hospital. Ramai yang datang melawat saya.” Bolehkah anda juga menunjukkan keprihatinan sedemikian?

15, 16. Bagaimanakah kita dapat hidup bahagia meskipun ahli keluarga masih enggan menerima kebenaran?

15 Biarpun kita berkelakuan baik dan mengongsi kebenaran dengan ahli keluarga selama bertahun-tahun, mereka tidak semestinya memeluk kebenaran. Ada yang masih tidak berminat dan yang lain pula kuat menentang. (Mat. 10:35-37) Namun dengan memperlihatkan sifat-sifat Kristian, kita boleh membawa kesan yang positif. Seorang suami yang dahulunya bukan Saksi berkata, “Semasa sifat-sifat murni seorang Kristian semakin terserlah, hati dan minda temannya yang bukan Saksi boleh terpengaruh. Jadi, janganlah berputus asa.”

16 Kita masih boleh hidup bahagia walaupun ahli keluarga tidak menerima kebenaran. Seorang saudari yang sudah mencuba membantu suaminya selama 21 tahun berkata, “Saya berusaha agar tetap setia dan menyenangkan hati Yehuwa, serta meningkatkan kerohanian saya. Oleh itu saya sentiasa bersukacita. Saya menyibukkan diri dalam pembelajaran peribadi, perjumpaan, dan kerja penyebaran, serta menolong rakan seiman. Aktiviti rohani sebegini bantu saya mendekat kepada Yehuwa, dan melindungi hati saya.”​—Ams. 4:23.

JANGAN PUTUS ASA!

17, 18. Biarpun ahli keluarga seorang Kristian tidak menerima kebenaran, mengapakah dia tidak patut berputus asa?

17 Jika anda seorang Saksi dalam keluarga yang tidak seiman, janganlah berputus asa. Ingatlah, “Tuhan sudah bersumpah bahawa Dia tidak akan meninggalkan kamu.” (1 Sam. 12:22) Dia akan menyertai anda asalkan anda berpaut erat pada-Nya. (Baca 2 Tawarikh 15:2.) Jadi “carilah kebahagiaan yang datang daripada Tuhan,” dan “serahkanlah hidupmu kepada Tuhan, berharaplah kepada-Nya.” (Mzm. 37:4, 5) “Berdoalah sentiasa” kepada Bapa kita yang penyayang. Dia pasti akan membantu anda mengharungi segala cabaran hidup.​—Rm. 12:12.

18 Mintalah daya aktif Yehuwa supaya anda dapat memupuk kedamaian di rumah. (Ibr. 12:14) Kedamaian seperti ini boleh melembutkan hati ahli keluarga yang tidak seiman. Anda juga akan berasa bahagia dan menikmati ketenteraman batin kerana ‘melakukan semuanya untuk memuliakan Tuhan.’ (1 Kor. 10:31) Jadi teruslah berusaha dengan gigih kerana saudara saudari dalam sidang sentiasa mengasihi dan menyokong anda!

[Nota kaki]

^ per. 4 Nama telah diubah.

^ per. 8 Paulus tidak bermaksud bahawa seseorang tidak boleh memperoleh perpisahan yang sah dari segi undang-undang di bawah situasi yang sangat teruk. Keputusan yang serius ini merupakan keputusan peribadi. Lihat buku “Terus Hidup Di Bawah Naungan Kasih Tuhan,” muka 251-253.

^ per. 14 Bible tidak melarang kita makan bersama orang yang tidak seiman.​—1 Kor. 10:27.

[Soalan Pembelajaran]

[Gambar pada muka surat 28]

Pilihlah waktu yang sesuai untuk mengongsi kebenaran

[Gambar pada muka surat 29]

Ambil berat terhadap pasangan yang tidak seiman