Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Adakah Semua “Orang Kristian” Kristian Sejati

Adakah Semua “Orang Kristian” Kristian Sejati

Adakah Semua “Orang Kristian” Kristian Sejati?

MENURUT Atlas of Global Christianity pada 2010, terdapat hampir 2.3 bilion orang mengaku diri sebagai Kristian. Tetapi buku itu juga menyatakan bahawa terdapat kira-kira lebih daripada 41,000 cabang Kristian. Mereka masing-masing mempunyai ajaran dan prinsip yang berbeza. Memandangkan terdapat begitu banyak jenis agama Kristian, sesetengah orang rasa keliru dan tertanya-tanya, “Adakah semua ‘orang Kristian’ Kristian sejati?”

Untuk menjawab soalan ini, cuba fikirkan perumpamaan tentang seorang pelancong. Sebelum masuk ke negara lain, dia harus membuktikan kewarganegaraannya. Dia perlu menunjukkan pasportnya atau dokumen pengenalan lain. Begitu juga, sekadar mengaku diri sebagai orang Kristian tidak cukup. Seseorang itu perlu ada “dokumen pengenalan” yang lain. Apakah “dokumen pengenalan” seorang Kristian?

Istilah “Kristian” mula digunakan kira-kira 10 tahun selepas Yesus meninggal. Lukas menyatakan, “Di Antiokhia, untuk kali pertama murid-murid Yesus disebut orang Kristian seperti yang dikehendaki oleh Tuhan.” (Kisah 11:26) Perhatikan bahawa orang yang disebut Kristian ialah murid-murid Yesus. Bagaimanakah seseorang menunjukkan bahawa dia ialah murid Yesus? Buku The New International Dictionary of New Testament Theology kata, ‘Seseorang harus rela menggunakan seluruh hidupnya untuk mengikut Yesus sepanjang hayat.’ Maka, orang Kristian sejati mesti mematuhi arahan dan ajaran Yesus dengan sepenuh hati dan jiwa.

Hari ini, adakah orang Kristian seperti itu wujud? Menurut Yesus, apakah tanda pengenal murid-muridnya? Lihatlah jawapan Bible kepada soalan-soalan ini. Dalam rencana-rencana berikut, kita akan mengkaji lima pernyataan Yesus yang membantu kita mengenal pasti pengikutnya yang sejati. Kita juga akan melihat contoh orang Kristian abad pertama. Selain itu, kita akan melihat siapa yang mengikut teladan mereka hari ini.