Lompat ke kandungan

Bible Mengubah Hidup

Bible Mengubah Hidup

Bible Mengubah Hidup

APAKAH yang membantu seorang lelaki kembali kepada Yehuwa? Bagaimanakah seorang lelaki menemui bapa yang didambakan sepanjang hidupnya? Bacalah pengalaman mereka.

“Saya Perlu Kembali kepada Yehuwa.”​—ELIE KHALIL

TAHUN LAHIR: 1976

NEGARA ASAL: CYPRUS

LATAR BELAKANG: ANAK YANG SESAT

KISAH SILAM SAYA: Saya lahir di Cyprus tetapi membesar di Australia. Ibu bapa saya ialah Saksi-Saksi Yehuwa. Jadi mereka menanam kasih kepada Yehuwa dan Bible dalam diri saya sejak kecil. Tapi semasa remaja, saya mula memberontak. Saya akan keluar pada waktu malam tanpa pengetahuan mereka dan mencari kawan saya. Kami curi kereta dan buat banyak hal buruk yang lain.

Mula-mula, saya rasa malu dan takut ibu bapa tahu tentang perbuatan saya. Lambat laun, saya menjadi lebih berani dan tidak lagi menghiraukan perasaan mereka. Saya berkawan dengan orang yang lebih tua dan mereka tidak mengasihi Yehuwa. Saya terpengaruh dengan perangai buruk mereka dan akhirnya, saya beritahu ibu bapa bahawa saya tidak mahu ada kena-mengena dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka cuba bantu saya, tetapi saya menolaknya. Mereka sangat hancur hati.

Selepas saya pindah keluar, saya mula ambil dadah. Saya bahkan menanam pokok ganja dan menjualnya. Saya hidup tidak bermoral dan suka berparti di kelab malam. Saya menjadi orang yang panas baran. Jika orang buat atau cakap sesuatu yang saya tidak suka, saya akan teriak dan pukul mereka. Pendek kata, saya buat semua hal yang tidak patut saya lakukan sebagai orang Kristian.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA: Salah seorang kawan rapat saya yang juga mengambil dadah telah kehilangan bapanya semasa kecil. Kami selalu berbual sampai tengah malam. Dia ada beritahu saya beberapa kali bahawa dia sangat rindu bapanya. Oleh sebab saya tahu tentang harapan pembangkitan, saya pun kongsi hal itu dengannya. Saya beritahu dia bahawa Yesus pernah membangkitkan orang mati dan dia akan buat begitu lagi pada masa depan. (Yohanes 5:28, 29) Saya kata, “Bayangkan kamu dapat jumpa semula dengan bapa kamu. Kita semua boleh hidup selama-lamanya di bumi Firdaus.” Kawan saya tersentuh semasa mendengar hal itu.

Kadangkala, dia akan bercakap tentang topik hari-hari terakhir atau ajaran Tritunggal. Saya akan mengambil Bible dan menunjukkan ayat-ayat yang menjelaskan tentang Tuhan Yehuwa, Yesus, dan hari-hari terakhir. (Yohanes 14:28; 2 Timotius 3:1-5) Semakin saya bercakap tentang Yehuwa, semakin saya berfikir tentang-Nya.

Secara perlahan-lahan, benih kebenaran dalam hati saya mula bertumbuh. Contohnya, semasa mengambil dadah bersama kawan-kawan di parti, saya tiba-tiba akan terfikir tentang Yehuwa. Banyak kawan saya mengaku mengasihi Tuhan, tapi sebenarnya perbuatan mereka bercanggah dengan kata-kata mereka. Saya tidak mahu hidup bermuka dua seperti mereka. Jadi saya sedar saya perlu kembali kepada Yehuwa.

Cakap saja memang senang, tetapi untuk buat perubahan memerlukan banyak usaha. Bagi saya, tidaklah begitu susah untuk berhenti mengambil dadah dan tinggalkan kawan-kawan lama. Saya juga mula belajar Bible dengan seorang penatua.

Tapi, ada perubahan yang lebih mencabar, contohnya untuk mengawal kemarahan saya. Ada masanya saya berjaya, tapi ada kalanya saya hilang kawalan diri. Itu buat saya rasa bersalah dan tidak berguna. Apabila saya tawar hati, saya mencari penatua yang belajar Bible dengan saya. Dia sangat sabar, baik hati, dan selalu menggalakkan saya. Pernah sekali, dia suruh saya baca satu rencana Menara Pengawal tentang sikap tekun dan tidak berputus asa. Kami membincangkan langkah-langkah yang dapat saya ambil bila saya rasa marah. Secara perlahan-lahan, nasihat dalam rencana itu dan doa kepada Yehuwa membantu saya mengawal kemarahan saya. Pada April 2000, saya dibaptis sebagai seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Betapa gembiranya ibu bapa saya semasa melihat perubahan saya!

MANFAAT YANG SAYA TERIMA: Kini saya menikmati ketenangan hati dan minda sebab saya tidak lagi mencemari tubuh saya dengan dadah dan perbuatan yang tidak bermoral. Tidak kira apa pun yang saya buat, sama ada bekerja, menghadiri perjumpaan Kristian, atau berekreasi, saya rasa lebih positif dan gembira.

Saya bersyukur kepada Yehuwa kerana ada ibu bapa yang tidak pernah putus harapan terhadap saya. Saya selalu renungkan kata-kata Yesus di Yohanes 6:44: “Tiada seorang pun dapat datang kepadaku kecuali Bapa yang mengutus aku memimpinnya kepadaku.” Saya sangat berterima kasih kerana Yehuwa telah memimpin saya kembali ke pangkuan-Nya.

“Saya Mendambakan Kasih Sayang Seorang Bapa.”​—MARCO ANTONIO ALVAREZ SOTO

TAHUN LAHIR: 1977

NEGARA ASAL: CHILE

LATAR BELAKANG: AHLI KUMPULAN MUZIK DEATH-METAL

KISAH SILAM SAYA: Saya dibesarkan oleh ibu saya di Punta Arenas, sebuah bandar di Selat Magellan, Amerika Selatan. Semasa saya berumur lima tahun, ibu bapa saya berpisah. Ini buat saya rasa diabaikan. Saya mendambakan kasih sayang seorang bapa.

Ibu saya belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa, dan dia juga bawa saya ke perjumpaan mereka. Tetapi saya sangat tidak suka pergi ke Dewan Perjumpaan dan selalu merajuk dalam perjalanan ke sana. Jadi semasa berumur 13 tahun, saya berhenti pergi ke perjumpaan.

Pada masa itu, saya mula mencintai muzik dan saya sedar saya ada bakat dalam bidang itu. Semasa berumur 15 tahun, saya main muzik heavy-metal dan death-metal di bar, semasa pesta, dan parti. Saya sering bergaul dengan ahli muzik yang berbakat. Lama-kelamaan, saya mula minat terhadap muzik klasikal. Jadi saya mengambil kursus di sekolah muzik. Semasa berumur 20 tahun, saya berpindah ke Santiago untuk melanjutkan pengajian saya. Pada masa yang sama, saya terus bermain dalam kumpulan heavy-metal dan death-metal.

Meskipun demikian, saya rasa hidup saya kosong. Untuk mengubati perasaan itu, saya akan minum sampai mabuk dan ambil dadah. Saya sangat rapat dengan ahli kumpulan muzik saya dan anggap mereka macam keluarga. Saya suka memberontak, dan penampilan saya pun mencerminkan sikap saya itu. Saya selalu memakai pakaian berwarna gelap, tumbuh janggut, dan rambut saya panjang sampai ke pinggang.

Disebabkan sikap saya yang buruk, saya sering bergaduh dengan orang dan melanggar undang-undang. Pernah sekali semasa mabuk, saya menyerang sekumpulan pengedar dadah yang mengganggu saya dan kawan saya. Akhirnya, saya kena hentam sampai rahang saya retak.

Tetapi, apa yang buat saya paling sakit hati ialah perbuatan khianat orang yang rapat dengan saya. Pada suatu hari, saya mendapati bahawa teman wanita saya curang dengan kawan baik saya selama bertahun-tahun. Semua kawan saya pun tahu tapi mereka menyembunyikannya daripada saya. Hati saya hancur berkecai.

Saya pun pulang ke Punta Arenas, dan di sana saya menjadi guru muzik dan pemain celo (cello). Ketika itu, saya bermain dan merakam muzik bersama kumpulan-kumpulan heavy-metal dan death-metal. Saya juga bertemu dengan seorang gadis cantik yang bernama Sussan dan kami mula tinggal bersama. Pada suatu hari, Sussan mendapat tahu bahawa ibunya mempercayai ajaran Tritunggal tetapi saya tidak. Jadi dia pun tanya saya, “Mana satu yang betul?” Saya jawab bahawa ajaran Tritunggal adalah palsu, tetapi saya tidak pandai menjelaskannya daripada Bible. Saya beritahu Sussan bahawa Saksi-Saksi Yehuwa boleh bantu dia belajar kebenaran daripada Bible. Pada masa itu, saya melakukan sesuatu yang saya lama tidak buat, iaitu berdoa kepada Tuhan dan meminta bantuan-Nya.

Beberapa hari kemudian, saya nampak seorang lelaki. Saya rasa saya kenal dia, jadi saya pun tanya jika dia ialah seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Walaupun lelaki itu nampak sedikit takut kerana penampilan saya, dia dengan ramah menjawab soalan saya tentang perjumpaan sidang. Saya yakin bahawa pertemuan itu bukanlah suatu kebetulan tetapi ialah jawapan kepada doa saya. Semasa di Dewan Perjumpaan, saya duduk di baris terakhir supaya orang lain tidak nampak saya. Tapi, banyak orang dapat cam saya dan mereka ingat bahawa saya pernah hadir perjumpaan semasa kecil. Mereka memeluk saya dengan hangat sekali. Saya sangat tersentuh dan rasa seolah-olah saya sudah pulang ke pangkuan keluarga. Apabila saya nampak saudara yang pernah ajar saya Bible semasa kecil, saya minta dia untuk belajar Bible dengan saya lagi.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA: Pada suatu hari, saya membaca Amsal 27:11 yang berbunyi, “Hai anakku, jadilah bijak dan gembirakanlah hatiku.” Saya rasa sangat terharu kerana sedar bahawa manusia yang fana dapat menggembirakan Pencipta alam semesta. Pada saat itu, saya faham bahawa Yehuwalah Bapa yang saya dambakan selama ini.

Walaupun hati saya ingin menyenangkan Yehuwa dan melakukan kehendak-Nya, saya sudah menjadi hamba kepada dadah dan alkohol selama bertahun-tahun. Saya mula memahami kata-kata Yesus di Matius 6:24: “Tiada seorang pun dapat menjadi hamba kepada dua orang tuan.” Semasa saya berusaha menyingkirkan tabiat buruk, nasihat di 1 Korintus 15:33 sangat membantu saya. Ayat itu kata, “Pergaulan yang buruk merosakkan akhlak yang baik.” Saya tahu tidak mungkin saya dapat membuang tabiat buruk jika saya terus pergi ke tempat yang sama dan bergaul dengan kawan-kawan yang sama. Kata-kata dalam Bible memang benar. Saya mesti mengambil tindakan yang tegas untuk membebaskan diri daripada hal-hal yang sedang memperhamba saya.​—Matius 5:30.

Tetapi, saya sangat susah meninggalkan dunia muzik heavy-metal kerana saya sangat mencintainya. Dengan bantuan saudara saudari di sidang, saya akhirnya berjaya. Saya juga berhenti minum berlebihan dan tidak lagi mengambil dadah. Selain itu, saya memotong rambut saya, mencukur janggut, dan tidak memakai pakaian berwarna gelap saja. Apabila saya beritahu Sussan saya mahu potong rambut, dia sangat terkejut! Dia kata, “Bawa saya ke Dewan Perjumpaan. Saya mahu tengok apa yang kamu belajar di sana.” Dia sangat suka suasana di sana. Tidak lama kemudian, dia mula belajar Bible dan kami pun berkahwin. Pada 2008, kami dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa. Kami sangat gembira kerana dapat berkhidmat kepada Yehuwa bersama ibu saya.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA: Saya tidak lagi dikelilingi kawan-kawan palsu dan telah menemui kebahagiaan yang sejati. Saya masih cinta muzik, tetapi saya lebih pandai memilih sekarang. Setelah menggunakan hidup saya dalam dunia ini, saya sedar semua yang ditawarkan sebenarnya “sampah sahaja.” (Filipi 3:8) Jadi, saya mahu guna pengalaman hidup saya untuk membantu orang lain, terutamanya orang muda dan ahli keluarga saya.

Saya juga mempunyai kawan baik di sidang dan menikmati kedamaian dan kasih yang sejati. Yang penting sekali, dengan menghampiri Yehuwa, saya akhirnya menemui Bapa yang saya dambakan selama ini.

[Petikan]

“Saya sangat berterima kasih kerana Yehuwa telah memimpin saya kembali ke pangkuan-Nya”