Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pengkhianatan—Petanda Hari-hari Terakhir!

Pengkhianatan—Petanda Hari-hari Terakhir!

Pengkhianatan—Petanda Hari-hari Terakhir!

‘Hendaklah kamu tetap percaya dan setia kepada Tuhan dan sesamamu.’​—AMS. 3:3.

CARILAH ISI-ISI UTAMA:

Apakah yang boleh kita pelajari daripada pengkhianatan Delila, Absalom, dan Yudas Iskariot?

Bagaimanakah kita boleh meniru kesetiaan Yonatan dan Petrus?

Bagaimanakah kita boleh tetap setia kepada teman hidup dan kepada Yehuwa?

1-3. (a) Apakah satu petanda hari-hari terakhir, dan perbuatan ini merangkumi apa? (b) Apakah tiga soalan yang akan dijawab?

APAKAH persamaan antara Delila, Absalom, dan Yudas Iskariot? Mereka semua pembelot. Delila mengkhianati Simson, lelaki yang mencintainya; Absalom mengkhianati ayahnya Raja Daud; Yudas mengkhianati Tuannya Kristus Yesus. Perbuatan hina mereka telah mencelakakan orang lain! Namun, apakah kaitan kisah-kisah ini dengan kita?

2 Seorang pengarang menyenaraikan pengkhianatan sebagai satu perkara jahat yang lazim berlaku dewasa ini. Semasa memberikan tanda zaman akhir, Yesus berkata bahawa orang akan “saling mengkhianati.” Maka tidak hairanlah perkara ini begitu berleluasa hari ini. (Mat. 24:3, 10) “Mengkhianati” ialah “perbuatan jahat yang bertujuan menganiaya atau mendatangkan kecelakaan pada orang lain, tipu daya, perbuatan belot atau tidak setia.” Perbuatan sebegini membuktikan bahawa kita sedang hidup “pada hari-hari terakhir.” Paulus menubuatkan bahawa orang akan “suka berkhianat.” (2 Tim. 3:1, 2, 4) Biarpun pengarang dan penulis skrip wayang menggambarkan perbuatan khianat dengan indah dan romantik, pada hakikatnya ketidaksetiaan membawa kesakitan dan penderitaan. Sesungguhnya, perbuatan sebegini merupakan petanda hari-hari terakhir!

3 Apakah yang boleh kita pelajari daripada kisah Bible tentang orang yang tidak setia? Siapakah yang boleh kita teladani sebagai orang yang setia? Kita harus setia kepada siapa? Mari kita bincangkan.

CONTOH ORANG YANG TIDAK SETIA

4. Bagaimanakah Delila mengkhianati Simson? Mengapakah perbuatannya begitu hina?

4 Contoh pertama ialah Delila, wanita licik yang menambat hati Hakim Simson. Simson sedang melawan orang Filistin demi umat Tuhan. Lima orang pemimpin Filistin barangkali tahu bahawa Delila tidak mencintai Simson. Jadi mereka memberinya wang sogokan yang banyak untuk mengetahui sumber kekuatan Simson supaya mereka boleh menghapuskannya. Setelah menerima tawaran mereka, wanita yang mata duitan itu mencuba mengetahui rahsia Simson sebanyak tiga kali, tetapi gagal. Selepas itu, “tiap-tiap hari Delila terus-menerus merengek-rengek dan mendesak, sehingga Simson bosan mendengarnya.” Akhirnya Simson berkata bahawa jika rambutnya dipotong, kekuatannya akan hilang. * Semasa Simson tidur di pangkuannya, Delila telah menyuruh orang memotong rambutnya. Kemudian, dia menyerahkan Simson ke dalam tangan musuh. (Hak. 16:4, 5, 15-21) Sungguh teruk perbuatannya! Ketamakan telah membuat Delila mengkhianati orang yang mencintainya.

5. (a) Bagaimanakah Absalom mengkhianati Daud? Hal ini menunjukkan dia mempunyai sikap apa? (b) Apakah perasaan Daud ketika Ahitofel mengkhianatinya?

5 Seterusnya, kita akan berbincang tentang Absalom. Lelaki yang bercita-cita tinggi ini nekad merampas takhta bapanya Raja Daud. Pada awalnya, Absalom yang licik mencuba “mengambil hati orang Israel”. Dia membuat janji palsu dan berpura-pura menyayangi mereka. Dia memeluk dan mencium mereka, seolah-olah dia prihatin terhadap keperluan mereka. (2 Sam. 15:2-6) Absalom bahkan berjaya memujuk penasihat Raja Daud, iaitu Ahitofel, agar turut membelot. (2 Sam. 15:31) Dalam Mazmur 3 dan 55, Daud menggambarkan perasaannya ketika dikhianati. (Mzm. 3:2-9; baca Mazmur 55:13-15.) Absalom berkomplot menjatuhkan raja yang dilantik Yehuwa. Hal ini menunjukkan bahawa dia langsung tidak menghormati kedaulatan Tuhan. (1 Taw. 28:5) Akhirnya pemberontakan Absalom gagal, dan Daud terus menjadi raja yang dilantik Yehuwa.

6. Bagaimanakah Yudas mengkhianati Yesus? Dalam sesetengah bahasa, apakah yang dikaitkan dengan nama Yudas?

6 Sekarang, perhatikan bagaimana Yudas membelot terhadap Kristus. Semasa menyambut Paska terakhir bersama 12 orang rasulnya, Yesus berkata, ‘Ketahuilah, seorang daripada kamu akan mengkhianati aku.’ (Mat. 26:21) Pada malam itu, semasa di Taman Getsemani, Yesus berkata kepada Petrus, Yakobus, dan Yohanes, ‘Lihatlah, orang yang mengkhianati aku sudah datang!’ Saat itu juga, Yudas muncul dengan subahat-subahatnya. Dia “segera menghampiri Yesus dan berkata, ‘Salam sejahtera, Guru,’ lalu mencium Yesus.” (Mat. 26:46-50; Luk. 22:47, 52) Yudas “mengkhianati orang yang tidak bersalah” dan menyerahkan Yesus kepada musuhnya. Apakah upah yang diterimanya? Tiga puluh keping wang perak sahaja! (Mat. 27:3-5) Yesus telah dikhianati seorang pembelot keji yang berselindung di sebalik topeng persahabatan. *

7. Apakah yang telah kita pelajari daripada kehidupan (a) Absalom dan Yudas serta (b) Delila?

7 Apakah yang telah kita pelajari daripada contoh-contoh buruk tadi? Absalom dan Yudas mati dalam keadaan aib kerana mengkhianati orang yang dilantik Yehuwa. (2 Sam. 18:9, 14-17; Kis. 1:18-20) Istilah “pengkhianat” dan “cinta palsu” akan mengekori nama Delila buat selamanya. (Mzm. 119:158) Jadi, jika kita tidak ingin kehilangan perkenan Yehuwa, kita mesti mematikan apa sahaja kecenderungan untuk bersifat tamak dan memburu cita-cita tinggi. Kisah-kisah ini memberi kita dorongan yang kuat agar kita tidak menjadi seorang pengkhianat.

TIRULAH MEREKA YANG SETIA

8, 9. (a) Mengapakah Yonatan bersumpah akan setia kepada Daud? (b) Bagaimanakah kita dapat meneladani Yonatan?

8 Bible juga mengandungi banyak kisah tentang orang yang setia. Mari kita mengambil iktibar daripada dua contoh yang baik. Orang pertama ialah Yonatan, anak sulung Raja Saul yang bakal mewarisi takhta. Namun, semasa Yehuwa melantik Daud sebagai raja, Yonatan menghormati keputusan Tuhan. Dia tidak iri hati terhadap Daud, sebaliknya ‘mengasihi Daud seperti mengasihi dirinya sendiri.’ Dia bersumpah akan setia kepada Daud, dan bahkan memberi Daud alat-alat kebesaran seperti pakaiannya, pedangnya, busurnya, dan tali pinggangnya. (1 Sam. 18:1-4) Yonatan ‘meyakinkan Daud bahawa Tuhan melindungi dia.’ Dia sanggup membahayakan nyawa sendiri untuk mempertahankan Daud di hadapan Saul. Lelaki yang setia ini berkata kepada Daud, ‘Engkaulah yang akan menjadi raja Israel dan aku akan mendapat kedudukan di bawahmu.’ (1 Sam. 20:30-34; 23:16, 17) Selepas kematian Yonatan, Daud telah menggubah sebuah lagu untuk meratapi pemergian sahabatnya yang dikasihi.​—2 Sam. 1:17, 26.

9 Yonatan tidak pernah mengubah kesetiaannya. Dia tunduk kepada kedaulatan Yehuwa dan menyokong Daud yang diurapi-Nya. Hari ini, meskipun kita tidak memikul tanggungjawab istimewa dalam sidang, kita patut rela menyokong saudara-saudara yang dilantik untuk mengambil pimpinan.​—1 Tes. 5:12, 13; Ibr. 13:17, 24.

10, 11. (a) Mengapakah Petrus setia kepada Yesus? (b) Bagaimanakah kita dapat mengikut teladan Petrus hari ini?

10 Rasul Petrus juga seorang yang setia. Semasa Kristus menggunakan bahasa kiasan untuk menggambarkan pentingnya beriman terhadap tubuh dan darahnya yang akan dikorbankan, ramai pengikut tidak dapat menerima kata-katanya lalu meninggalkannya. (Yoh. 6:53-60, 66) Yesus bertanya kepada 12 orang rasulnya, ‘Adakah kamu pun akan meninggalkan aku?’ Petrus menjawab, ‘Tuan, kepada siapakah kami akan pergi? Kata-kata Tuan memberikan hidup sejati dan kekal. Sekarang kami percaya dan yakin bahawa Tuan utusan suci daripada Tuhan.’ (Yoh. 6:67-69, ABB) Adakah Petrus memahami sepenuhnya maksud Yesus tentang pengorbanannya? Mungkin tidak. Sungguhpun demikian, Petrus bertekad agar setia kepada Anak Tuhan yang terurap.

11 Petrus tidak berfikir bahawa Yesus tersilap dan akan menarik balik kata-katanya pada kemudian hari. Dengan rendah hati, Petrus mengaku bahawa kata-kata Yesus “memberikan hidup sejati dan kekal.” Hari ini, apakah reaksi kita jika “hamba yang setia” menerbitkan sesuatu yang susah difahami atau tidak sehaluan dengan fikiran kita? Kita patut berusaha mengertinya, dan bukannya berharap maklumat itu akan diubah mengikut pandangan kita.​—Baca Lukas 12:42.

KEKAL SETIA KEPADA PASANGAN HIDUP ANDA

12, 13. Bagaimanakah pengkhianatan mula berputik dalam perkahwinan? Mengapakah usia seseorang bukan alasan untuk meninggalkan pasangan hidup?

12 Apa sahaja perbuatan khianat tidak patut menggugat keamanan dan perpaduan keluarga dan sidang. Oleh itu, mari kita bincang bagaimana kita boleh tetap setia kepada pasangan hidup dan kepada Tuhan.

13 Perzinaan merupakan satu bentuk pengkhianatan yang sangat teruk. Orang yang berzina berlaku curang terhadap temannya dengan menaruh minat pada pihak ketiga. Tiba-tiba, teman yang dikhianati ditinggalkan bersendirian dan kehidupannya tunggang terbalik. Bagaimanakah hal ini boleh berlaku antara dua orang yang pernah saling mencintai? Biasanya, rekahan dalam hubungan mereka bermula apabila suami dan isteri mula berjauhan dari segi emosi. Seorang profesor yang bernama Gabriella Turnaturi menjelaskan bahawa “apabila seseorang kadangkala sepenuh hati dan kadangkala separuh hati dalam hubungannya, ruangan ini akan membolehkan bibit pengkhianatan berputik.” Sesetengah orang berbuat demikian walaupun sudah lama berkahwin. Misalnya, seorang lelaki berusia 50 tahun jatuh cinta pada perempuan lain lalu bercerai dengan isteri yang sudah bersamanya selama 25 tahun. Ada yang mengatakan bahawa hal ini biasa berlaku dan disebabkan oleh krisis pertengahan usia. Namun hakikatnya, orang yang berbuat demikian ialah pengkhianat. *

14. (a) Apakah perasaan Yehuwa terhadap orang yang mengkhianati pasangan hidupnya? (b) Apakah yang diajarkan Yesus tentang kesetiaan dalam perkahwinan?

14 Apakah perasaan Yehuwa apabila seseorang meninggalkan teman hidupnya tanpa berlandaskan dasar yang dibenarkan dalam Bible? Tuhan kita “membenci perceraian.” Dia mengutuk orang yang menindas dan meninggalkan pasangan mereka. (Baca Maleakhi 2:13-16.) Yesus juga memiliki perasaan yang sama dengan Bapanya. Dia mengajar bahawa seseorang tidak boleh menceraikan pasangan yang tidak bersalah dengan sesuka hati.​—Baca Matius 19:3-6, 9.

15. Bagaimanakah suami dan isteri dapat kekal setia kepada satu sama lain?

15 Bagaimanakah orang yang sudah berkahwin dapat kekal setia kepada teman hidup mereka? Firman Tuhan menyatakan, “Berbahagia dengan [suami atau] isterimu” dan, “Nikmatilah hidup dengan isteri [atau suami] yang kamu kasihi.” (Ams. 5:18; Pkh. 9:9) Seraya usia suami dan isteri meningkat, mereka perlu “sepenuh hati” dalam hubungan mereka, baik dari segi jasmani mahupun emosi. Maksudnya, mereka harus menyayangi satu sama lain, meluangkan masa dengan satu sama lain, dan mendekat kepada satu sama lain. Mereka perlu berusaha memelihara perkahwinan mereka serta hubungan mereka dengan Yehuwa. Oleh itu, suami dan isteri perlu mengkaji Bible bersama-sama, menginjil bersama-sama, dan berdoa bersama-sama.

KEKAL SETIA KEPADA YEHUWA

16, 17. (a) Apakah yang mungkin berlaku dalam keluarga dan sidang yang akan menguji kesetiaan kita kepada Tuhan? (b) Apabila kita mematuhi perintah Tuhan dan tidak bergaul dengan saudara-mara yang disingkirkan, apakah hasil baik yang mungkin diraih? Berikan satu contoh.

16 Sesetengah ahli sidang melakukan dosa serius dan ditegur dengan tegas “supaya mereka tetap berpegang teguh pada ajaran yang benar.” (Tit. 1:13) Ada juga yang disingkirkan kerana kelakuan mereka. Jika mereka menerima disiplin, mereka dapat pulih secara rohani. (Ibr. 12:11) Apakah yang harus kita lakukan seandainya saudara-mara atau kawan baik kita disingkirkan? Kita perlu kekal setia kepada Tuhan, bukannya kepada manusia. Yehuwa sedang memperhatikan sama ada kita mematuhi perintah-Nya agar tidak bergaul dengan sesiapa pun yang disingkirkan.​—Baca 1 Korintus 5:11-13.

17 Apakah faedahnya apabila ahli keluarga mentaati perintah Yehuwa dan tidak bergaul dengan saudara-mara yang disingkirkan? Seorang pemuda telah disingkirkan lebih daripada sepuluh tahun. Sepanjang masa itu, ibu bapa, abang, dan tiga orang adiknya tidak bergaul dengannya. Dia pernah mencuba menyertai kegiatan mereka, tetapi setiap ahli keluarganya tidak berganjak dari pendirian mereka. Selepas dia diterima kembali ke dalam sidang, dia berkata bahawa dia selalu rindu akan pergaulan dengan ahli keluarga, terutamanya semasa dia bersendirian pada waktu malam. Namun, dia mengaku bahawa sekiranya ahli keluarga bergaul dengannya biarpun untuk seketika, dia akan berpuas hati. Memandangkan keluarganya langsung tidak bergaul dengannya, keinginannya untuk bersama mereka telah menjadi satu faktor yang mendorongnya agar memulihkan hubungannya dengan Yehuwa. Jika anda digoda untuk bergaul dengan saudara-mara yang disingkirkan, fikirkanlah contoh ini.

18. Setelah membincangkan contoh orang yang setia dan yang tidak setia, apakah tekad anda?

18 Dunia kita sarat dengan pengkhianat. Namun, terdapat ramai orang yang setia dalam sidang Kristian. Kehidupan mereka membuktikan bahawa mereka ‘tetap percaya dan setia kepada Tuhan dan sesama.’ (Ams. 3:3) Semoga kita bertekad untuk kekal setia kepada Tuhan dan kepada satu sama lain.

[Nota kaki]

^ per. 4 Rambut Simson tidak memberinya kekuatan. Sebaliknya, rambut Simson melambangkan hubungannya yang istimewa dengan Yehuwa sebagai orang Nazir. Tuhanlah sumber kekuatannya.

^ per. 6 Dalam sesetengah bahasa, ungkapan “ciuman Yudas” dikaitkan dengan perbuatan khianat.

^ per. 13 Seseorang yang dikhianati pasangan hidup boleh mendapat nasihat yang baik daripada The Watchtower, 15 Jun 2010, muka 29-32.

[Soalan Pembelajaran]

[Gambar pada muka surat 10]

Petrus setia kepada Anak Tuhan walaupun orang lain meninggalkan Yesus