Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Mereka Dikuasai oleh Daya Aktif Tuhan

Mereka Dikuasai oleh Daya Aktif Tuhan

Mereka Dikuasai oleh Daya Aktif Tuhan

‘Roh [daya aktif] Tuhan menguasai orang semasa mereka menyampaikan perkhabaran yang datang daripada Tuhan.’​—2 PTR. 1:21.

RENUNGKANLAH SOALAN-SOALAN BERIKUT:

Bagaimanakah Tuhan menggunakan daya aktif untuk mengilhami penulis Bible?

Apakah buktinya Bible diilhami Tuhan?

Apakah yang boleh anda lakukan setiap hari untuk menunjukkan bahawa anda menghargai Firman Tuhan?

1. Mengapakah kita memerlukan Firman Tuhan?

APAKAH asal usul kita? Apakah tujuan hidup kita di bumi? Ke manakah hala tuju kita? Mengapakah dunia dalam keadaan sekarang? Apakah yang berlaku selepas kita mati? Orang di seluruh dunia menanya soalan sebegini. Jika Bible tidak wujud, kita hanya akan bergantung pada pengalaman sendiri. Kalau begitu kita tidak akan meraih manfaat yang digambarkan oleh penulis mazmur.​—Baca Mazmur 19:8.

2. Apakah yang boleh membantu kita agar lebih menghargai Bible sebagai kurniaan yang berharga daripada Tuhan?

2 Malangnya, sesetengah orang tidak lagi mencintai kebenaran Bible seperti dahulu. (Bandingkan Wahyu 2:4.) Jalan hidup mereka tidak lagi menyenangkan hati Yehuwa. (Yes. 30:21) Hal itu tidak perlu berlaku kepada kita. Kita boleh mengekalkan penghargaan kita terhadap Bible dan ajaran Bible. Bible merupakan kurniaan yang penting dari Pencipta kita yang penyayang. (Yak. 1:17) Apakah yang boleh membantu kita agar lebih menghargai Firman Tuhan? Salah satu cara untuk menghargai Firman Tuhan adalah dengan memahami bagaimana Tuhan membimbing penulis Bible. Kita akan menyelidiki bukti-bukti yang menunjukkan bahawa Bible diilhami Tuhan. Hal ini akan mendorong kita untuk membaca Firman Tuhan setiap hari dan menerapkan nasihatnya.​—Ibr. 4:12.

BAGAIMANA MEREKA DIKUASAI DAYA AKTIF TUHAN

3. Bagaimanakah para nabi dan penulis Bible ‘dikuasai daya aktif’ Tuhan?

3 Selama 1,610 tahun, iaitu sejak 1513 SM sehingga 98 M, kira-kira 40 orang telah menulis Bible, termasuk nabi yang ‘dikuasai Roh [daya aktif] Tuhan.’ (Baca 2 Petrus 1:20, 21.) Perkataan “dikuasai” dalam bahasa Yunani juga bererti dibawa atau diangkat dari satu tempat ke tempat lain dan boleh diterjemahkan sebagai digerakkan, didorong, atau mengizinkan diri untuk digerakkan. Kisah 27:15 menggunakan perkataan ini untuk menggambarkan bagaimana sebuah kapal digerakkan, atau dipandu oleh angin untuk mengikut haluan yang tertentu. Jadi ungkapan ‘dikuasai Roh [daya aktif] Tuhan’ bermaksud bahawa Yehuwa telah berkomunikasi, mendorong, dan membimbing para nabi dan penulis Bible dengan menggunakan daya aktif-Nya. Mereka tidak menulis pendapat sendiri, tetapi menulis buah fikiran Tuhan. Ada kalanya, nabi atau penulis Bible tidak memahami sepenuhnya apa yang ditulis oleh mereka. (Dan. 12:8, 9) Ya, ‘semua yang tertulis di dalam Alkitab diilhami oleh Tuhan’ dan bebas daripada pandangan manusia.​—2 Tim. 3:16.

4-6. Bagaimanakah Tuhan menggunakan daya aktif-Nya untuk membimbing penulis-penulis Bible?

4 Tetapi bagaimanakah Tuhan menggunakan daya aktif-Nya untuk membimbing penulis-penulis Bible? Adakah mereka diberitahu apa yang perlu ditulis kata demi kata, atau adakah mereka mengungkapkan buah fikiran Tuhan dengan menggunakan kata-kata sendiri? Fikir tentang seorang peniaga yang mahu menulis sepucuk surat. Jika dia perlu menggunakan kata-kata yang khusus dalam suratnya, dia mungkin menulis surat itu sendiri atau memberitahu apa yang harus ditulis kata demi kata kepada setiausahanya. Setiausaha itu akan menaip surat itu dan peniaga akan menandatanganinya. Dalam situasi yang lain, peniaga mungkin memberikan isi-isi utama dan setiausahanya akan menggunakan kata-kata dan gaya penulisan sendiri untuk menulis surat itu. Peniaga tersebut kemudian akan menyemak surat itu dan meminta setiausaha membuat apa-apa perubahan yang diperlukan. Akhirnya, peniaga itulah yang akan menandatangani surat tersebut.

5 Dalam cara yang sama, terdapat bahagian Bible yang ‘ditulis Tuhan sendiri.’ (Kel. 31:18) Kadangkala, Tuhan menyebut hal-hal yang mustahak kata demi kata kepada penulis Bible. Sebagai contoh, Keluaran 34:27 (ABB) menyatakan, ‘Yehuwa berfirman kepada Musa, “Tulislah firman ini, kerana berdasarkan firman ini Aku membuat perjanjian dengan engkau dan dengan Israel.”’ Yehuwa juga memberitahu nabi Yeremia, “Tulislah di dalam sebuah kitab semua yang telah Kufirmankan kepadamu.”​—Yer. 30:2.

6 Tetapi, biasanya Tuhan membenarkan penulis Bible untuk menyampaikan firman-Nya dalam kata-kata sendiri. Pengkhutbah 12:10 (ABB) menyatakan, ‘Baginda berusaha untuk menggunakan perkataan yang menyenangkan. Walau bagaimanapun perkataan yang ditulisnya jujur.’ Penulis Bible, Lukas telah “menyelidiki semua peristiwa itu dari permulaannya” agar dapat “menulis satu laporan yang teratur.” (Luk. 1:3) Daya aktif Tuhan telah memastikan bahawa ketidaksempurnaan manusia tidak mencemari Firman-Nya.

7. Mengapakah Tuhan Yang Maha Bijaksana menggunakan manusia untuk menulis Bible?

7 Mengapakah Tuhan menggunakan manusia untuk menulis Bible? Kata-kata bukan sahaja menyampaikan maklumat tetapi dapat menyingkapkan perasaan dan emosi. Bayangkan jika Yehuwa menggunakan malaikat untuk menulis Bible, dapatkah para malaikat menyampaikan perasaan takut, dukacita, dan kecewa sepertimana yang dirasakan oleh manusia? Oleh itu, Tuhan Yang Maha Bijaksana telah memilih manusia yang tidak sempurna untuk mengungkapkan firman-Nya dalam kata-kata sendiri. Hasilnya, hati kita tersentuh semasa membaca firman Yehuwa yang disulami pelbagai perasaan dan gaya bahasa.

INGATLAH BUKTI-BUKTINYA

8. Mengapakah Bible jauh lebih unggul daripada kitab agama lain?

8 Terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa Bible merupakan Firman Tuhan. Tiada kitab lain yang menggambarkan Tuhan dengan begitu tepat. Sebagai contoh, tulisan agama Hindu merangkumi lagu Vedic, ulasan-ulasan mengenai lagu ini, karya falsafah yang dipanggil Upanishad, dan cerita epik yang dikenali sebagai Ramayana dan Mahabharata. Buku Bhagavad Gita merupakan sebahagian daripada Mahabharata dan mengandungi ajaran moral. Dalam agama Buddha terdapat buku Tipitaka (Tiga Koleksi). Sebahagian besar buku pertama adalah mengenai peraturan dan hukum kehidupan sami dan biarawati Buddha. Buku yang kedua mengenai ajaran lisan Buddha dan sebahagian besar buku yang ketiga pula menyebut tentang doktrin agama Buddha. Buddha tidak mengaku dirinya sebagai tuhan dan dia jarang menyebut tentang Tuhan. Tulisan Confucianisme mengandungi catatan peristiwa, peraturan moral, formula ghaib, dan lagu-lagu.

9, 10. Apakah yang boleh kita pelajari mengenai Tuhan daripada Bible?

9 Walaupun kebanyakan kitab agama yang lain jarang menceritakan tentang Tuhan, Bible membantu kita mengenali Tuhan Yehuwa dan perbuatan-Nya. Bible membantu kita memahami sifat-sifat Yehuwa seperti kuasa, kebijaksanaan, keadilan, dan kasih-Nya yang unggul. (Baca Yohanes 3:16; 1 Yohanes 4:19.) Bible juga menyatakan, ‘Tuhan memperlakukan semua orang dengan sama rata. Sesiapa yang menghormati Tuhan dan berbuat apa yang benar, diterima oleh Tuhan, walau apa pun bangsanya.’ (Kis. 10:34, 35, ABB) Apakah buktinya? Pakar bahasa mengatakan bahawa terdapat sekitar 6,700 bahasa yang dituturkan di seluruh dunia, dan kira-kira 100 bahasa dituturkan oleh 90 peratus penduduk bumi. Namun begitu, seluruh Bible atau sebahagian daripadanya telah diterjemahkan kepada lebih daripada 2,400 bahasa. Jelaslah bahawa Tuhan memperlakukan semua orang dengan sama rata kerana hampir setiap orang di bumi boleh membaca Bible dalam bahasa masing-masing.

10 Yesus berkata, ‘Bapaku sentiasa bekerja; aku pun harus bekerja.’ (Yoh. 5:17) Bayangkanlah segala pencapaian Yehuwa. Dia merupakan ‘Tuhan yang kekal, Tuhan selama-lamanya’! (Mzm. 90:2) Hanya Bible sahaja yang memberitahu kita apa yang dilakukan Tuhan pada masa lampau, pada zaman ini, dan pada masa depan. Alkitab juga memberitahu kita perkara yang akan menyenangkan atau menyakiti hati-Nya, serta cara untuk menghampiri-Nya. (Yak. 4:8) Maka, janganlah menjauhi Tuhan hanya kerana mengalami kekhuatiran hidup atau ingin mengejar matlamat peribadi.

11. Apakah nasihat yang terkandung dalam Bible?

11 Kebijaksanaan dalam Bible adalah satu lagi bukti bahawa Tuhan ialah Pengarang Bible. Paulus menulis, “Siapakah yang mengetahui fikiran Tuhan? Siapakah yang dapat menasihati Dia?” (1 Kor. 2:16) Ayat itu berdasarkan tulisan nabi Yesaya, ‘Siapakah dapat mengarahkan Yehuwa, dan siapakah dapat mengajar dan menasihatkan Dia?’ (Yes. 40:13, ABB) Tiada sesiapa yang boleh berbuat demikian. Oleh itu kita sentiasa memperoleh hasil yang terbaik jika kita menerapkan nasihat Bible tentang perkahwinan, anak-anak, hiburan, pergaulan, ketekunan, kejujuran, dan sikap moral. Kita tidak sekali-kali akan memperoleh nasihat buruk daripada Bible. Sebaliknya, nasihat manusia kadang-kadang tidak berkesan. (Yer. 10:23) Nasihat manusia perlu diubah atau dikemaskinikan apabila mereka menyedari bahawa nasihat yang sebelumnya tidak begitu berkesan. “Fikiran manusia,” kata Bible, “sia-sia belaka.”​—Mzm. 94:11.

12. Bagaimanakah orang mencuba membinasakan Bible?

12 Satu lagi sebab untuk mempercayai bahawa Tuhanlah yang mengarang Bible berkaitan dengan cubaan orang untuk membinasakan Bible. Pada tahun 168 SM, raja Siria yang bernama Antiochus IV mengeluarkan perintah untuk mencari semua kitab suci dan membakarnya. Pada tahun 303 M, Maharaja Roma yang bernama Diocletian mengeluarkan perintah untuk merobohkan tempat orang Kristian berkumpul dan membakar Alkitab mereka. Usahanya berterusan kira-kira sepuluh tahun. Selepas abad ke-11, paus-paus berusaha untuk menghentikan kerja terjemahan Bible kerana mereka tidak mahu orang mempelajari Bible. Walaupun Syaitan dan penyokongnya mencuba melenyapkan Bible, Bible masih kekal sampai hari ini. Bible merupakan hadiah Tuhan kepada manusia. Dia tidak membenarkan sesiapa pun untuk membinasakannya.

BUKTI YANG MENYAKINKAN

13. Apakah buktinya bahawa Bible diilhami Tuhan?

13 Ada banyak lagi bukti yang menunjukkan bahawa Bible diilhami Tuhan. Semua maklumat dalam Bible tidak bercanggahan, dan selalu tepat secara saintifik. Nubuat-nubuat Bible juga selalu digenapi. Bible mempunyai kuasa untuk mengubah kehidupan orang dan penulis Bible selalu jujur. Semua fakta sejarah dalam Bible adalah tepat, dan Bible juga boleh menjawab semua soalan dalam perenggan pertama. Sekarang, mari kita lihat apa yang membantu sesetengah orang untuk percaya bahawa Bible adalah daripada Tuhan.

14-16. (a) Apakah yang meyakinkan tiga orang daripada latar yang berbeza bahawa Bible diilhami Tuhan? (b) Bagaimanakah anda dapat meyakinkan orang bahawa Bible diilhami Tuhan?

14 Yusuf * dibesarkan di Timur Tengah. Apabila dia tinggal di Amerika Utara, Saksi-Saksi Yehuwa telah mengunjunginya. Yusuf berkata, “Pada masa itu, saya tidak suka agama Kristian kerana pihak gereja melakukan perkara-perkara jahat pada masa lampau. Tetapi kerana saya suka belajar, saya setuju untuk mempelajari Bible.” Tidak lama kemudian, Yusuf kembali ke tanah airnya dan tidak dapat berhubung dengan Saksi-Saksi. Beberapa tahun kemudian apabila dia berada di Eropah, dia mula belajar Bible sekali lagi. Dia berkata, “Saya yakin bahawa Bible berasal daripada Tuhan kerana nubuat-nubuat Bible digenapi, maklumat dalam Bible berharmoni dan tidak bercanggahan. Penyembah Yehuwa juga saling mengasihi.” Yusuf dibaptis pada tahun 1998.

15 Asha berumur 16 tahun dan berasal daripada keluarga yang berpegang kuat pada agama Hindu. Dia berkata, “Saya hanya berdoa semasa di kuil atau semasa menghadapi kesukaran, tetapi saya tidak berfikir tentang Tuhan semasa hidup saya bagus.” Dia bersambung, “Sejak Saksi-Saksi Yehuwa mengunjungi saya, hidup saya banyak berubah.” Asha mempelajari Bible dan Tuhan telah menjadi Sahabatnya. Apakah yang meyakinkannya bahawa Bible diilhami Tuhan? Dia berkata, “Bible telah menjawab semua soalan saya. Bible juga membantu saya beriman walaupun saya tidak nampak Tuhan. Saya tidak perlu ke kuil dan sujud di hadapan patung berhala.”

16 Paula dibesarkan dalam keluarga Katolik. Apabila dia dewasa, dia berasa tidak pasti sama ada Tuhan wujud. Tetapi sesuatu telah mengubah hidupnya. Dia berkata, “Setelah berbulan-bulan tidak bertemu, saya berjumpa seorang kawan saya. Masa itu ramai orang mempunyai rambut panjang dan menagih dadah. Tetapi dia telah berubah. Penampilannya kemas dan dia kelihatan gembira. Saya bertanya, ‘Apa yang berlaku kepada kamu? Ke mana kamu pergi?’ Dia berkata bahawa dia mempelajari Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa dan mula memberitahu saya tentang kebenaran.” Oleh sebab Paula nampak bagaimana Bible mengubah hidup kawannya, dia berminat terhadap Bible dan mula percaya bahawa Bible diilhami Tuhan.

‘FIRMAN-MU PELITA YANG MEMIMPIN AKU’

17. Apakah faedahnya jika anda membaca dan merenungkan Bible setiap hari?

17 Bible merupakan hadiah daripada Tuhan yang diberikan melalui daya aktif-Nya. Pupuklah tabiat membaca Bible setiap hari dan kasih anda terhadap Bible dan Pengarangnya akan bertambah. (Mzm. 1:1, 2) Berdoalah sebelum membaca Bible dan mintalah daya aktif Tuhan untuk membimbing pemikiran anda. (Luk. 11:13) Bible mengandungi fikiran Tuhan. Jadi apabila anda merenungkan apa yang dibaca, fikiran anda akan menjadi selaras dengan fikiran Tuhan.

18. Mengapakah anda digalakkan untuk terus mempelajari Bible?

18 Terapkanlah pengetahuan Bible yang anda pelajari. (Baca Mazmur 119:105.) Semasa anda membaca Bible, anda bagaikan menatap wajah sendiri dalam cermin. Jika anda mendapati sesuatu yang perlu diubah, janganlah teragak-agak untuk melakukannya. (Yak. 1:23-25) Gunakanlah Bible seperti pedang untuk mempertahankan kepercayaan anda dan membebaskan orang yang rendah hati daripada belenggu ajaran palsu. (Ef. 6:17) Semasa menggunakan Bible, bersyukurlah kerana para nabi dan penulis yang lain telah ‘dikuasai Roh [daya aktif] Tuhan.’

[Nota kaki]

^ per. 14 Sesetengah nama telah diubah.

[Soalan Pembelajaran]

[Petikan daripada perenggan pada muka surat 29]

Bacalah Bible setiap hari dan kasih anda terhadap Pengarangnya akan bertambah

[Gambar pada muka surat 26]

Adakah setiausaha atau peniaga yang menandatangani surat ini?