Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

“Pekerjaan yang Kamu Lakukan akan Diberikan Ganjaran”

“Pekerjaan yang Kamu Lakukan akan Diberikan Ganjaran”

“Pekerjaan yang Kamu Lakukan akan Diberikan Ganjaran”

DARI kawasan pergunungan Yehuda, Asa dan angkatan tenteranya bergegas ke kawasan persisiran pantai. Sebaik sahaja Asa nampak tentera pihak musuh, dia berhenti dan tercegat. Angkatan Etiopia memang besar dan menakutkan! Kira-kira sejuta orang askar bertapak di situ, tetapi askar Asa lebih kurang separuh daripada jumlah itu.

Apakah yang difikirkan oleh Asa memandangkan perang bakal tercetus? Adakah dia mahu memberikan arahan kepada jeneralnya? Menggalakkan askar-askarnya? Menyurati keluarganya? Tidak! Dia berdoa.

Sebelum kita mengupas doanya dan melihat apa yang berlaku pada masa itu, mari kita lihat perwatakan Asa. Apakah yang mendorong Asa meminta bantuan Tuhan? Wajarkah dia berbuat demikian? Daripada kisah Asa, apakah yang boleh kita pelajari tentang cara Yehuwa memberkati usaha hamba-Nya?

SEJARAH ASA

Dalam masa 20 tahun selepas kerajaan Israel berpisah daripada kerajaan Yehuda, Yehuda terjerumus ke dalam agama palsu. Semasa Asa menjadi raja pada tahun 977 SM, keluarga diraja pun dicemari penyembahan dewa dewi kesuburan Kanaan. Tetapi Bible menyatakan bahawa ‘perbuatan Asa baik dan adil,’ dan dia diperkenankan Yehuwa. Asa “membuang mazbah-mazbah bangsa asing dan tempat-tempat penyembahan berhala. Baginda merobohkan tiang-tiang berhala dan tugu-tugu Dewi Asyera.” (2 Taw. 14:2, 3) Asa telah mengusir semua pelacur lelaki yang menjadikan perbuatan liwat sebahagian ibadat mereka. Tambahan lagi, Asa menggalakkan rakyatnya untuk ‘melakukan kehendak Yehuwa, Tuhan nenek moyang mereka, dan taat kepada ajaran dan perintah-Nya.”​—1 Raj. 15:12, 13; 2 Taw. 14:4.

Yehuwa gembira dengan semangat Asa terhadap ibadat sejati, maka Dia mengurniai Asa kedamaian selama bertahun-tahun. Raja Asa berkata, ‘Kita telah melakukan kehendak Yehuwa, Tuhan kita. Dia telah melindungi kita dan memberikan keamanan di seluruh negeri kita.’ Mereka mengambil kesempatan itu untuk mengukuhkan kota mereka. Bible memberitahu kita bahawa mereka “menyelesaikan pekerjaan itu dengan baik.”​—2 Taw. 14:1, 6, 7.

DI MEDAN PERTEMPURAN

Kita tidak patut berasa hairan bahawa Asa telah berdoa kepada Yehuwa semasa berdepan dengan tentera yang begitu besar. Asa tahu bahawa Tuhan memberkati orang yang beriman. Dalam doanya, Asa memohon bantuan daripada Tuhan. Asa sedar bahawa tidak kira berapa banyak dan sekuat mana pun musuhnya, hal itu tidak menjadi masalah jika dia bersandar pada Tuhan dan mendapat sokongan-Nya. Raja itu berdoa, ‘Tolonglah kami, ya Yehuwa, Tuhan kami, kerana kami bersandar kepada-Mu. Demi nama-Mu, kami sekarang keluar berperang dengan tentera yang besar ini. Engkaulah Tuhan kami, ya Yehuwa; tiada sesiapa pun dapat berharap mengalahkan Engkau.’ (2 Taw. 14:11) Asa seolah-olah berkata, “Yehuwa, orang Etiopia sedang menyerang-Mu. Mereka mahu mengalahkan umat yang menyandang nama-Mu. Jangan izinkan nama-Mu dinodai manusia yang lemah.” Maka, “apabila Raja Asa dan tentera Yehuda melancarkan serangan, Tuhan mengalahkan tentera orang Etiopia.”​—2 Taw. 14:12.

Hari ini, umat Yehuwa perlu berdepan dengan banyak penentang kebenaran. Kita tidak akan melawan mereka dengan menggunakan senjata api. Tetapi, yakinlah bahawa Yehuwa akan memberikan kemenangan kepada semua penyembah-Nya yang berjuang secara rohani demi nama-Nya. Kita masing-masing mungkin perlu bertungkus-lumus melawan keruntuhan akhlak, kelemahan sendiri, atau melindungi keluarga daripada pengaruh buruk. Apa jua kesusahan yang kita hadapi, kita boleh mendapat galakan melalui doa Asa. Kemenangannya adalah kemenangan Yehuwa. Semua orang yang bergantung kepada Yehuwa tidak akan gagal. Manusia tidak mungkin dapat mengalahkan Yehuwa.

GALAKAN DAN PERINGATAN

Semasa Asa balik dari medan tempur, Azarya berjumpa dengan dia. Nabi ini memberikan galakan dan peringatan yang berikut: “Dengarlah hamba, hai Raja Asa, dan kamu semua penduduk Yehuda dan Benyamin! Tuhan berserta kamu selama kamu berserta Dia. Jika kamu mencari Dia, maka Dia akan berkenan ditemui oleh kamu. Tetapi jika kamu meninggalkan Dia, maka Dia akan meninggalkan kamu. . . . Tetapi kamu mesti tabah dan berani. Pekerjaan yang kamu lakukan akan diberikan ganjaran.”​—2 Taw. 15:1, 2, 7, ABB.

Kata-kata ini boleh menguatkan iman kita dan menunjukkan bahawa Yehuwa akan bersama kita selagi kita berkhidmat kepada-Nya dengan setia. Apabila kita berseru meminta bantuan-Nya, kita yakin bahawa Dia mendengar kita. Azarya juga berkata bahawa kita “mesti tabah dan berani.” Selalunya, keberanian yang besar diperlukan untuk membuat apa yang benar. Tetapi kita dapat melakukannya dengan bantuan Yehuwa.

Oleh sebab Maakha, nenek Asa “membuat sebuah patung lucah,” Asa terpaksa melucutkan jawatannya sebagai “bonda ratu” lalu membakar patung lucah itu. Dia telah berbuat demikian dengan berani dan diberkati oleh Yehuwa. (1 Raj. 15:13) Seperti Asa, kita juga perlu berpaut pada piawaian Yehuwa tidak kira sama ada saudara-mara kita setia kepada Tuhan atau tidak. Dengan demikian, Yehuwa akan memberkati kesetiaan kita juga.

Apakah ganjaran yang dinikmati oleh Asa? Dia berpeluang melihat ramai orang Israel daripada kerajaan utara datang ke Yehuda kerana mereka nampak bahawa Yehuwa ada bersamanya. Mereka sangat menghargai ibadat suci sehingga sanggup meninggalkan kediaman sendiri agar dapat tinggal bersama hamba-hamba Yehuwa. Asa dan semua orang Yehuda kemudiannya membuat “perjanjian bahawa dengan segenap hati dan jiwa, mereka akan hidup menurut kehendak Tuhan.” Apakah hasilnya? “Mereka pun diperkenankan Tuhan dan diberikan keamanan di seluruh negeri.” (2 Taw. 15:9-15) Ya, kita memang berasa gembira apabila orang yang mencintai keadilbenaran mula menyembah Yehuwa!

Tetapi jangan lupa akan peringatan Azarya. Dia berkata, “Jika kamu meninggalkan [Yehuwa], maka Dia akan meninggalkan kamu.” Semoga hal itu tidak sekali-kali berlaku kepada kita kerana kesudahannya tentu buruk! (2 Ptr. 2:20-22) Bible tidak menyingkapkan sebab Yehuwa memberikan peringatan ini kepada Asa tetapi Asa tidak mendengarkan nasihat Tuhan.

“TUANKU TELAH BERLAKU BODOH”

Pada tahun ke-36 pemerintahan Asa, Raja Baesa, iaitu raja Israel telah menyerang Yehuda. Baesa mula mengukuhkan kota Rama yang terletak 5 batu (8 km) dari utara Yerusalem. Mungkin, dia tidak mahu rakyatnya setia kepada Asa dan ibadat sejati. Kali ini, Asa tidak bergantung pada Tuhan. Sebaliknya, dia menghantar hadiah kepada raja Siria dan meminta dia menyerang kerajaan Israel. Setelah diserang beberapa kali, Baesa pun berundur dari Rama.​—2 Taw. 16:1-5.

Yehuwa tidak berkenan dengan Asa lalu mengutus nabi Hanani kepadanya. Memandangkan Asa tahu bagaimana Tuhan membinasakan orang Etiopia, Asa sepatutnya tahu bahawa Yehuwa “sentiasa mengawasi seluruh bumi ini dan memberikan kekuatan kepada mereka yang setia kepada-Nya.” Mungkinkah Asa telah menerima nasihat yang buruk atau berasa bahawa dia sendiri dapat menangani ancaman Baesa? Tidak kira apa sebabnya, Asa gagal untuk bergantung pada Yehuwa. Hanani berkata, “Tuanku telah berlaku bodoh, oleh itu mulai sekarang tuanku akan sentiasa berperang.”​—2 Taw. 16:7-9, ABB.

Asa tidak dapat mengawal kemarahannya lalu membelenggu nabi Hanani. (2 Taw. 16:10) Adakah Asa tersinggung kerana dia ditegur oleh Hanani walaupun telah setia kepada Yehuwa selama bertahun-tahun? Mungkinkah usianya yang lanjut menjadikan fikirannya tumpul? Bible tidak menyatakan jawapannya.

Pada tahun ke-39 pemerintahan Asa, kakinya kena penyakit parah. Bible menyatakan, “Walaupun demikian baginda tidak meminta pertolongan Tuhan; sebaliknya baginda meminta pertolongan tabib.” Pada masa itu, nampaknya Asa telah mengabaikan kesihatan rohaninya. Keadaan ini berterusan sehingga dia meninggal dua tahun kemudian.​—2 Taw. 16:12-14.

Namun begitu, sifat-sifat Asa yang baik dan semangatnya yang kental untuk ibadat sejati tidak dilupakan oleh Yehuwa. Asa menyembah Yehuwa seumur hidupnya. (1 Raj. 15:14) Apakah pengajaran yang boleh kita ambil? Kita harus merenungkan bagaimana Yehuwa membantu kita pada masa lampau. Kenangan sedemikian boleh menggerakkan kita untuk bergantung pada-Nya semasa kita berdepan dengan cabaran yang baru. Meskipun kita sudah lama berkhidmat kepada Tuhan, kita tidak seharusnya menganggap bahawa kita tidak memerlukan nasihat Bible. Jika kita berbuat salah, Yehuwa akan menegur kita. Kita perlu menerima disiplin Yehuwa agar dapat meraih manfaat daripada nasihat-Nya. Yang paling penting, selagi kita setia kepada Tuhan, Dia akan setia kepada kita. Yehuwa sedang mengawasi seluruh bumi untuk mencari orang yang setia kepada-Nya dan memberikan kekuatan kepada mereka. Yehuwa telah membantu Asa. Dia juga akan membantu kita.

[Petikan daripada perenggan pada muka surat 9]

Yehuwa memberkati mereka yang berjuang secara rohani

[Petikan daripada perenggan pada muka surat 10]

Keberanian diperlukan untuk melakukan apa yang baik dalam mata Tuhan