Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kedamaian untuk Seribu Tahun dan Selama-lamanya!

Kedamaian untuk Seribu Tahun dan Selama-lamanya!

‘Tuhan sendiri akan memerintah semuanya.’​—1 KOR. 15:28.

1. Apakah masa depan yang dinantikan oleh kumpulan besar manusia?

DAPATKAH anda bayangkan kemakmuran yang akan dinikmati selama seribu tahun di bawah pemerintahan seorang raja yang berkuasa, berbelas kasihan, dan adil? Selepas kesengsaraan besar mengakhiri sistem dunia yang jahat ini, masa depan yang cerah menantikan kumpulan besar manusia.​—Why. 7:9, 14.

2. Apakah yang telah berlaku kepada manusia sepanjang 6,000 tahun yang lalu?

2 Sepanjang sejarah manusia yang menjangkau 6,000 tahun, pemerintahan manusia telah mengakibatkan kesakitan dan penderitaan. Lama dahulu, Bible menyatakan, “Sesetengah orang mempunyai kuasa, sedangkan yang lain terpaksa menderita di bawah kekuasaan mereka.” (Pkh. 8:9) Bagaimanakah keadaan dunia sekarang? Perang, pemberontakan, kemiskinan, penyakit, pencemaran, perubahan iklim, dan sebagainya sedang berleluasa. Pihak berkuasa telah mengatakan bahawa jika kita masih berdegil dan enggan berubah sikap sendiri, kita sedang mengundang nahas.

3. Apakah yang akan tercapai semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus?

3 Di bawah pemerintahan Yesus dan 144,000 orang yang memerintah bersamanya, Kerajaan Tuhan akan menyelesaikan segala masalah manusia dan memulihkan bumi. Pemerintahan Seribu Tahun Kristus akan menunaikan janji Yehuwa, “Aku akan mencipta langit yang baru dan bumi yang baru. Peristiwa-peristiwa yang lalu akan dilupakan sama sekali.” (Yes. 65:17) Harapan yang cerah menantikan kita. Walaupun kita belum dapat melihatnya, Firman Tuhan telah menceritakan sedikit sebanyak tentang perkara yang “tidak kelihatan” itu.​—2 Kor. 4:18.

MEREKA AKAN MEMBINA RUMAH DAN MENANAM POKOK ANGGUR

4. Apakah masalah perumahan yang kian meruncing?

4 Siapakah yang tidak menginginkan rumah sendiri? Siapakah yang tidak mahu kediaman yang aman dan selamat untuk diri dan ahli keluarga? Mencari tempat tinggal yang sesuai dalam dunia sekarang tidak mudah. Bandaraya kini sesak dengan orang. Ramai yang terpaksa tinggal di rumah setinggan. Bagi mereka, memiliki rumah sendiri hanyalah impian yang mustahil tercapai.

5, 6. (a) Bagaimanakah Yesaya 65:21, 22 dan Mikha 4:4 akan digenapi? (b) Apakah yang harus kita lakukan untuk menerima berkat itu?

5 Di bawah Kerajaan Tuhan, semua orang akan mempunyai rumah yang diidamkan. Yesaya menubuatkan, “Orang yang membina rumah akan mendiaminya . . . Mereka yang menanam pokok anggur akan menikmati hasilnya.” (Yes. 65:21, 22) Hari ini, meskipun sesetengah orang mempunyai tempat yang semewah istana atau mahligai, mereka masih khuatir tentang kegawatan ekonomi, pencuri, atau penceroboh. Namun, keadaannya amat berbeza semasa Kerajaan Tuhan memerintah! Nabi Mikha menulis, “Semua orang akan hidup aman di ladang anggur dan kebun ara mereka; tiada sesiapa pun akan menakutkan mereka.” Ya, manusia bukan sahaja akan mempunyai rumah sendiri, mereka akan mendiaminya tanpa kekhuatiran.​—Mi. 4:4.

6 Apakah yang harus kita lakukan untuk menikmati berkat-berkat ini? Sudah tentu kita memerlukan tempat tinggal. Namun, kita tidak perlu bekerja bermati-matian atau berhutang keliling pinggang untuk membina mahligai impian. Sebaliknya, adalah lebih bijak jika kita bertumpu pada janji-janji Yehuwa. Ingatlah kehidupan Yesus semasa di bumi. Dia berkata, “Serigala mempunyai lubang dan burung mempunyai sarang, tetapi Anak Manusia tidak mempunyai tempat untuk berbaring dan berehat.” (Luk. 9:58) Yesus boleh membina atau membeli rumah yang terbaik, tetapi dia tidak berbuat demikian. Mengapa? Yesus ingin mengelakkan apa sahaja yang boleh menghalangnya daripada mengutamakan Kerajaan Tuhan. Bolehkah kita meniru teladannya dan tidak dibelenggu oleh kekhuatiran atau cinta akan kebendaan?​—Mat. 6:33, 34.

SERIGALA DAN ANAK DOMBA AKAN MAKAN BERSAMA-SAMA

7. Dalam tujuan Yehuwa, apakah hubungan yang seharusnya wujud antara manusia dan binatang?

7 Daripada segala ciptaan di bumi, manusia ialah ciptaan Yehuwa yang paling istimewa. Dia memberitahu Pekerja Mahir-Nya, iaitu Yesus, ‘Kita akan mencipta manusia yang akan menjadi seperti kita dan menyerupai kita. Mereka akan menguasai semua ikan, burung, serta binatang lain: binatang jinak, dan binatang liar yang besar mahupun yang kecil.’ (Kej. 1:26) Yehuwa mengamanahkan kerja menjaga binatang kepada Adam, Hawa, dan anak cucu mereka. Inilah tujuan asal-Nya.

8. Apakah sifat-sifat yang ada pada binatang?

8 Binatang di rimba tunduk kepada manusia dan manusia dapat hidup damai dengan binatang. Adakah semua ini mustahil? Ramai orang sangat rapat dengan haiwan peliharaan sendiri, seperti anjing dan kucing mereka. Bagaimana pula dengan binatang liar? Menurut satu laporan, “Ahli sains yang hidup rapat dengan haiwan mamalia mendapati bahawa semua haiwan ini mempunyai perasaan.” Kita sering melihat binatang yang menjadi garang atau takut apabila diancam. Namun, laporan itu juga menyatakan, “Mamalia sangat lembut dan penyayang, terutamanya semasa menjaga anak kecil sendiri.”

9. Apakah perubahan yang akan berlaku kepada binatang pada masa depan?

9 Jadi, kita tidak perlu berasa hairan bahawa Bible menjanjikan hubungan damai antara manusia dan binatang. (Baca Yesaya 11:6-9; 65:25.) Mengapa? Selepas Nuh dan keluarganya keluar dari bahtera, Yehuwa memberitahu mereka, “Semua burung dan ikan, serta binatang lain akan takut kepada kamu.” Itulah sebabnya banyak binatang melarikan diri daripada manusia demi keselamatan diri. (Kej. 9:2, 3) Namun, Yehuwa juga boleh menghilangkan rasa takut itu supaya manusia dan binatang berdamai semula. (Hos. 2:17) Pastinya penduduk bumi akan menikmati masa yang riang ketika itu!

“DIA AKAN MENYAPU AIR MATA MEREKA”

10. Mengapakah air mata menjadi lumrah hidup kita?

10 Salomo mengeluh, “Aku nampak pula segala ketidakadilan yang berlaku di dunia ini. Orang yang tertindas menangis dan tidak seorang pun menolong mereka.” (Pkh. 4:1) Ketidakadilan juga berleluasa dewasa ini. Walaupun kadang-kadang kita menangis kegembiraan, kebanyakan air mata kita mengalir dari hati yang pilu.

11. Kisah Bible manakah yang menyentuh hati anda?

11 Bible mencatatkan banyak peristiwa tentang orang yang menangis. Semasa Sara meninggal pada usia 127 tahun, “Abraham sedih dan meratapi kematian isterinya.” (Kej. 23:1, 2) Semasa Naomi mengucapkan selamat tinggal kepada Rut dan Orpa, mereka “menangis tersedu-sedu.” Kemudian, mereka “menangis lagi dengan tersedu-sedu.” (Rut 1:9, 14) Semasa Raja Hizkia mendapat tahu bahawa dia akan mati kerana penyakitnya, dia berdoa dan “menangis dengan pilu.” Yehuwa berasa terharu dan menyembuhkannya. (2 Raj. 20:1-5) Kita juga berasa terharu apabila membaca bagaimana Petrus “keluar dan menangis tersedu-sedu” selepas menyangkal Yesus.​—Mat. 26:75.

12. Bagaimanakah Kerajaan Tuhan akan membawa kelegaan kekal kepada manusia?

12 Kita semua pernah ditimpa tragedi, baik yang besar mahupun yang kecil. Maka, manusia amat memerlukan kelegaan hati. Rakyat Kerajaan Tuhan akan dikurniai kelegaan ini semasa Pemerintahan Seribu Tahun. “[Tuhan] akan menyapu air mata mereka. Kematian akan tiada lagi, demikian juga kesedihan, tangisan, dan kesakitan.” (Why. 21:4) Kita pasti gembira semasa kesedihan, tangisan, dan kesakitan ditiadakan. Bukan itu sahaja, Tuhan bahkan berjanji untuk melenyapkan musuh terbesar manusia: kematian. Bagaimanakah hal ini akan berlaku?

“ORANG MATI AKAN . . . KELUAR DARI KUBUR”

13. Sejak Adam berdosa, bagaimanakah kematian mempengaruhi manusia?

13 Sejak Adam berdosa, maut telah menjadi raja yang menguasai umat manusia. Musuh ini telah menelan semua manusia yang berdosa dan membawa kepedihan hati serta dukacita. (Rm. 5:12, 14) Sebenarnya, jutaan orang ‘diperhamba seumur hidup, kerana takut akan kematian.’​—Ibr. 2:15.

14. Apakah yang akan berlaku selepas kematian ditaklukkan?

14 Bible menunjukkan bahawa “musuh yang terakhir yang akan ditaklukkan ialah kematian.” (1 Kor. 15:26, ABB) Dua kumpulan manusia akan diberkati selepas kematian ditaklukkan. Kumpulan besar manusia yang hidup sekarang berpeluang memasuki dunia baru dan hidup selama-lamanya. Bagi berbilion-bilion orang yang sudah mati, mereka berpeluang dibangkitkan. Bayangkan suasananya semasa kumpulan besar manusia mengalu-alukan orang yang dibangkitkan! Kisah-kisah pembangkitan dalam Bible boleh membantu kita menghayati apa yang bakal berlaku.​—Baca Markus 5:38-42; Lukas 7:11-17.

15. Semasa melihat orang tersayang anda dibangkitkan, apakah reaksi anda?

15 Fikirkan ungkapan “mereka semua sangat kagum” dan mereka ‘memuji Tuhan.’ Jika anda sendiri menyaksikan pembangkitan pada masa itu, anda juga mungkin memiliki perasaan yang sama. Semasa orang tersayang kita dibangkitkan, hati kita akan dipenuhi rasa sukacita yang tidak terperi. Yesus berkata, ‘Akan tiba masanya apabila semua orang mati akan mendengar suaranya, lalu keluar dari kubur.’ (Yoh. 5:28, 29) Memandangkan kita semua tidak pernah menyaksikan mukjizat ini, pembangkitan pastinya tergolong antara perkara “tidak kelihatan” yang paling menakjubkan.

TUHAN SENDIRI “AKAN MEMERINTAH SEMUANYA”

16. (a) Mengapakah kita harus bercakap dengan bersemangat tentang berkat yang belum kelihatan? (b) Bagaimanakah Paulus menggalakkan orang Kristian di Korintus?

16 Masa depan yang gemilang menantikan orang yang setia pada zaman yang genting ini! Walaupun berkat-berkat yang istimewa ini belum kelihatan, kita perlu sentiasa berfikir tentangnya. Dengan demikian, kita boleh bertumpu pada perkara yang lebih penting dan tidak tersimpang oleh hal-hal dunia yang remeh dan tidak kekal. (Luk. 21:34; 1 Tim. 6:17-19) Semoga kita bercakap tentang harapan kita dengan wajah yang berseri dan nada yang bersemangat semasa penyembahan dan pembelajaran keluarga, berbual dengan saudara saudari, dan berbincang dengan pelajar Bible atau orang yang berminat. Dengan demikian, harapan ini akan sentiasa membara dalam hati dan minda kita. Rasul Paulus telah berbuat begitu untuk menggalakkan rakan-rakan Kristiannya. Dia “membawa” mereka untuk melihat apa yang bakal berlaku pada hujung Pemerintahan Seribu Tahun Kristus. Hayatilah kata-kata Paulus di 1 Korintus 15:24, 25, 28.​Baca.

17, 18. (a) Pada awal sejarah manusia, bagaimanakah Yehuwa sendiri “memerintah semuanya”? (b) Bagaimanakah Yesus akan memulihkan perpaduan dan kedamaian keluarga Yehuwa?

17 Pada puncak zaman kegemilangan ini, ‘Tuhan sendiri akan memerintah semuanya.’ Apakah maksudnya? Fikirkan: Semasa di Taman Eden, Adam dan Hawa merupakan sebahagian daripada keluarga besar Yehuwa yang damai. Sebagai Tuhan Alam Semesta Yang Berdaulat, Yehuwa sendiri yang “memerintah semuanya,” termasuk malaikat dan manusia. Masing-masing dapat berkomunikasi dengan-Nya, menyembah-Nya, dan diberkati-Nya.

Selepas Yesus menyempurnakan tugasnya sebagai Raja, dia akan menyerahkan Kerajaannya kepada Bapanya

18 Kedamaian itu dirosakkan ketika Syaitan menghasut manusia untuk memberontak dan melawan Yehuwa. Namun, sejak tahun 1914, Kerajaan Mesias sedang beransur-ansur memulihkan perpaduan dan kedamaian itu. (Ef. 1:9, 10) Semasa Pemerintahan Seribu Tahun, perkara yang kini “tidak kelihatan” akan menjadi kenyataan. Apakah yang akan berlaku pada hujung Pemerintahan Seribu Tahun Kristus? Walaupun Yesus “diberikan segala kuasa di syurga dan di bumi,” dia tidak ingin merampas kuasa Yehuwa. Dengan rendah hati, Kristus akan ‘menyerahkan kekuasaannya sebagai raja kepada Tuhan, Bapa kita.’ Yesus akan menggunakan kedudukan dan kekuasaannya untuk memuliakan Tuhan.​—Mat. 28:18; Flp. 2:9-11.

19, 20. (a) Bagaimanakah semua rakyat Kerajaan Tuhan akan berpeluang untuk menunjukkan sama ada mereka tunduk kepada kedaulatan Yehuwa? (b) Apakah harapan yang menantikan kita?

19 Pada masa itu, rakyat Kerajaan Tuhan di bumi akan menjadi sempurna. Seperti Yesus, mereka akan tunduk kepada kedaulatan Yehuwa dengan rela hati. Ujian terakhir akan memberi mereka peluang untuk membuktikan kesetiaan mereka. (Why. 20:7-10) Selepas itu, semua manusia dan makhluk roh yang memberontak akan lenyap untuk selama-lamanya. Seluruh alam semesta akan penuh dengan sukacita. Semua anggota keluarga Yehuwa akan memuji-Nya, dan Yehuwa sendiri akan “memerintah segalanya.”​—Baca Mazmur 99:1-3.

20 Berkat-berkat Kerajaan Tuhan sudah di ambang pintu. Adakah hakikat ini mendorong anda untuk melakukan kehendak Tuhan dengan sepenuh jiwa? Adakah anda akan berbuat demikian tanpa disimpangkan oleh janji palsu dunia Syaitan? Adakah anda akan bertekad untuk menyokong dan menjunjung kedaulatan Yehuwa? Semoga tindakan anda membuktikan bahawa anda ingin berbuat demikian untuk selama-lamanya. Dengan ini, anda akan berpeluang menikmati kedamaian dan kemakmuran untuk seribu tahun​—dan selama-lamanya!