Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Contohilah Kesabaran Yehuwa dan Yesus

Contohilah Kesabaran Yehuwa dan Yesus

“Anggaplah kesabaran Tuhan kita sebagai peluang yang diberikan-Nya kepada kamu supaya diselamatkan.”​—2 PTR. 3:15.

1. Apakah soalan yang ditanyakan oleh sesetengah saudara saudari yang setia?

SEORANG saudari yang tetap setia selama puluhan tahun meskipun menghadapi banyak cabaran bertanya, “Adakah akhir akan datang sebelum saya meninggal?” Sesetengah orang Kristian yang setia juga menanyakan soalan yang sama. Kita menanti-nantikan masanya Tuhan membawa firdaus dan membanteras segala masalah. (Why. 21:5) Meskipun kita mempunyai banyak sebab untuk percaya bahawa kemusnahan sistem Syaitan sudah sangat dekat, kita mungkin mula hilang sabar.

2. Apakah soalan-soalan tentang kesabaran yang akan dijawab?

2 Bible menunjukkan bahawa kita mesti bersabar. Seperti hamba Tuhan dahulukala, kita akan melihat penggenapan janji Tuhan jika kita beriman dan bersabar. (Baca Ibrani 6:11, 12.) Yehuwa sendiri pun banyak bersabar. Dia boleh mengakhiri kejahatan pada bila-bila masa, tetapi Dia tetap menunggu masa yang paling sesuai. (Rm. 9:20-24) Mengapakah Dia begitu sabar? Bagaimanakah Yesus bersabar dan menetapkan teladan yang baik bagi kita? Apakah manfaat yang dapat kita raih jika kita memupuk kesabaran? Jawapan kepada soalan-soalan ini boleh membantu kita bersabar dan membina iman yang teguh walaupun kita berasa bahawa Yehuwa sedang mengambil masa yang lama untuk bertindak.

MENGAPAKAH YEHUWA BERSABAR?

3, 4. (a) Mengapakah Yehuwa bersabar? (b) Apakah yang dilakukan oleh Yehuwa selepas pemberontakan yang berlaku di Taman Eden?

3 Yehuwa mempunyai sebab yang baik untuk bersabar. Walaupun Dia mempunyai kuasa mutlak, pemberontakan di Taman Eden mengungkit isu-isu yang melibatkan semua makhluk, baik di syurga mahupun di bumi. Yehuwa bersabar kerana Dia tahu bahawa masa diperlukan untuk menyelesaikan isu-isu itu dengan sempurna. Memandangkan Tuhan benar-benar mengenali setiap individu di alam semesta, Dia akan melakukan apa yang terbaik bagi kita.​—Ibr. 4:13.

4 Yehuwa bertujuan supaya keturunan Adam dan Hawa memenuhi bumi. Selepas Hawa dan Adam mengingkari Tuhan, Yehuwa tidak membatalkan tujuan-Nya. Dia tidak menjadi kelam-kabut, membuat keputusan yang melulu, atau tidak mempedulikan umat manusia. Sebaliknya, dari awal-awal lagi, Yehuwa telah memutuskan cara yang terbaik untuk melaksanakan tujuan-Nya bagi manusia dan bumi. (Yes. 55:11) Untuk melaksanakan tujuan-Nya dan menegakkan kedaulatan-Nya, Yehuwa telah banyak bersabar dan mengawal diri. Dia bahkan menunggu ribuan tahun agar sesetengah aspek tujuan-Nya tercapai dalam cara yang terbaik.

5. Apakah satu lagi sebab mengapa Yehuwa bersabar?

5 Satu lagi sebab mengapa Yehuwa bersabar adalah supaya lebih ramai orang dapat memperoleh kehidupan kekal. Sekarang, Dia sedang membuat persiapan untuk menyelamatkan kumpulan besar manusia. (Why. 7:9, 14; 14:6) Yehuwa membawa berita yang terbaik kepada manusia menerusi kerja penyebaran. Dia mengundang orang untuk belajar tentang Kerajaan dan piawaian-Nya. (Mat. 24:14) Setiap individu yang dijemput oleh Yehuwa berpeluang menganggotai persaudaraan sejagat yang mencintai apa yang benar. (Yoh. 6:44-47) Tuhan kita yang penyayang membantu mereka mendapat perkenan-Nya. Dia juga memilih orang dari bumi untuk menganggotai Kerajaan-Nya di syurga. Semasa di syurga, mereka akan membantu manusia di bumi menjadi sempurna dan meraih kehidupan kekal. Biarpun Yehuwa sedang menunggu dengan sabar, Dia juga sedang bekerja untuk menunaikan janji-Nya demi kebaikan kita.

6. (a) Bagaimanakah Yehuwa bersabar pada zaman Nuh? (b) Bagaimanakah Yehuwa bersabar pada zaman kita?

6 Yehuwa bersabar walaupun orang sengaja membangkitkan kemurkaan-Nya. Contohnya, cuba fikir tentang zaman Nuh. ‘Yehuwa begitu kecewa’ kerana kejahatan membanjiri bumi pada masa itu. (Kej. 6:2-8) Tetapi, Tuhan tidak berdiam diri. Dia membawa Banjir Besar untuk membinasakan manusia yang ingkar. Semasa ‘Tuhan menantikan mereka dengan sabar pada masa Nuh,’ Yehuwa membuat persiapan untuk menyelamatkan Nuh dan keluarganya. (1 Ptr. 3:20) Pada masa yang sesuai, Yehuwa memberitahu Nuh tentang keputusan-Nya untuk membawa Banjir dan menyuruh Nuh untuk membina bahtera. (Kej. 6:14-22) Tambahan lagi, “Nuh mengisytiharkan” kepada jiran tetangganya tentang kemusnahan yang akan datang. (2 Ptr. 2:5) Yesus berkata bahawa zaman kita mirip dengan zaman Nuh. Yehuwa telah memutuskan bila Dia akan membinasakan dunia jahat ini. Tidak seorang pun “mengetahui hari atau waktunya.” (Mat. 24:36) Kini, Tuhan mahu kita memberi amaran kepada orang dan mengajar mereka cara untuk diselamatkan.

7. Adakah Yehuwa lambat menunaikan janji-Nya? Jelaskan.

7 Sudah tentu, kesabaran Yehuwa tidak bermaksud bahawa Dia sekadar membiarkan masa berlalu. Kita juga tidak patut berfikir bahawa Tuhan tidak kisah atau tidak prihatin terhadap kita. Namun, kita mungkin cenderung berfikir demikian seraya kita menjadi semakin tua atau menderita dalam sistem jahat ini. Kita mungkin menjadi tawar hati kerana berasa bahawa Tuhan lambat menunaikan janji-Nya. (Ibr. 10:36) Jangan sekali-kali lupa bahawa Tuhan mempunyai alasan yang baik untuk bersabar, dan Dia menggunakan masa ini untuk membawa kebaikan kepada umat-Nya yang setia. (2 Ptr. 2:3; 3:9) Sekarang, mari kita lihat bagaimana Yesus meniru teladan Yehuwa.

TIRULAH KESABARAN YESUS

8. Bagaimanakah Yesus memperlihatkan kesabaran?

8 Sejak jutaan tahun yang lalu, Yesus telah melakukan kehendak Tuhan dengan sungguh-sungguh. Semasa Syaitan memberontak, Yehuwa membuat keputusan untuk mengutus Anak-Nya ke bumi sebagai Mesias. Yesus terpaksa menunggu selama ribuan tahun sebelum diutus ke bumi. (Baca Galatia 4:4.) Sepanjang masa itu, dia tidak berpeluk tubuh. Dia sibuk melaksanakan tugas yang diberikan oleh Tuhan. Seperti yang dinubuatkan, dia tahu bahawa dia akan dibunuh oleh Syaitan semasa di bumi. (Kej. 3:15; Mat. 16:21) Dia bersabar dan tunduk pada kehendak Tuhan walaupun terpaksa mengalami penderitaan yang melampau. Kesetiaan Yesus tiada tolok bandingan. Dia tidak memusatkan perhatian pada diri sendiri. Sudah tentu kita patut mengikut teladannya.​—Ibr. 5:8, 9.

9, 10. (a) Apakah yang dilakukan oleh Yesus sementara menunggu Yehuwa untuk bertindak? (b) Bagaimanakah kita dapat meniru kesabaran Yesus?

9 Selepas pembangkitannya, Yesus diberi segala kuasa di syurga dan di bumi. (Mat. 28:18) Dia sentiasa menggunakan kuasanya untuk melaksanakan tujuan Yehuwa menurut jadual masa Tuhan. Yesus sabar menunggu di sebelah kanan Tuhan sehingga ‘musuh-musuhnya dijadikan alas kakinya’ pada tahun 1914. (Mzm. 110:1, 2; Ibr. 10:12, 13) Tidak lama lagi, Yesus akan memusnahkan dunia Syaitan. Sebelum itu, Yesus membantu orang dengan sabar dan “memimpin mereka ke sumber air yang memberikan hidup.”​—Why. 7:17.

10 Bagaimanakah anda dapat meniru teladan Yesus? Walaupun Yesus sangat ingin kehendak Tuhan dilaksanakan, dia sabar menunggu dan rela menurut jadual Tuhan. Semasa kita menunggu kemusnahan sistem Syaitan, kita juga perlu bersabar. Kita perlu menunggu Tuhan dan tidak berputus asa atau menjadi tawar hati. Bagaimanakah kita dapat memupuk kesabaran sebegini?

BAGAIMANAKAH SAYA DAPAT BERSABAR SEPERTI TUHAN?

11. (a) Apakah kaitan antara kesabaran dan iman? (b) Mengapakah kita mempunyai sebab yang baik untuk memiliki iman yang kuat?

11 Sebelum Yesus datang ke bumi, para nabi dan umat Tuhan yang setia menunjukkan bahawa manusia yang tidak sempurna pun berupaya bersabar. Kesabaran mereka berkait rapat dengan iman mereka. (Baca Yakobus 5:10, 11.) Jika mereka tidak beriman, atau tidak percaya sepenuhnya pada janji Tuhan, mereka tidak akan sabar menunggu penggenapan janji-Nya. Mereka tabah menghadapi banyak godaan dan cubaan kerana mereka yakin bahawa Tuhan akan menunaikan janji-Nya. (Ibr. 11:13, 35-40) Memandangkan Yesus ialah “Penyempurna iman kita,” kita ada sebab yang jauh lebih baik untuk mempunyai iman yang kukuh. (Ibr. 12:2, NW) Dia menggenapi banyak nubuat dan membantu kita memahami tujuan Tuhan.

12. Bagaimanakah kita dapat membina iman?

12 Apakah langkah-langkah praktikal yang boleh kita ambil untuk menguatkan iman dan memupuk kesabaran? Kita mesti menerapkan nasihat Tuhan dalam hidup. Contohnya, fikir tentang mengapa anda patut mengutamakan Kerajaan Tuhan. Dapatkah anda berusaha dengan lebih giat untuk menerapkan nasihat di Matius 6:33? Mungkin anda dapat meluangkan lebih banyak masa dalam kerja penyebaran atau menyederhanakan hidup. Janganlah lupa bagaimana Yehuwa telah memberkati anda. Dia mungkin telah memberi anda seorang pelajar Bible, atau membantu anda memiliki ‘kesejahteraan yang menjaga hati dan fikiran’ anda. (Baca Filipi 4:7.) Jika anda merenungkan berkat-berkat yang telah anda terima, anda akan terus bersabar.​—Mzm. 34:9.

13. Bagaimanakah kita dapat memupuk iman dan kesabaran? Berikan contoh.

13 Proses ini ibarat petani yang menyemai, menjaga, dan kemudian menuai hasil tanamannya. Setiap kali dia mendapat hasil yang lumayan, keyakinan dia terus bertambah. Lain kali, dia akan mengusahakan lebih banyak ladang walaupun dia perlu sabar menunggu masa menuai. Begitu juga, jika kita mempelajari dan menurut nasihat Tuhan lalu meraih manfaatnya, keyakinan kita dan iman kita akan bertumbuh. Hal ini akan membantu kita untuk bersabar sambil menantikan berkat Tuhan.​—Baca Yakobus 5:7, 8.

Kesabaran dapat membantu anda menumpukan perhatian pada Kerajaan Tuhan dan menuai berkat Yehuwa!

14, 15. Apakah seharusnya pandangan kita tentang penderitaan?

14 Satu lagi cara kita dapat memupuk kesabaran adalah dengan mempunyai pandangan Yehuwa terhadap dunia ini dan situasi kita sendiri. Misalnya, fikirkan pandangan Tuhan tentang penderitaan. Yehuwa sakit hati semasa melihat manusia menderita. Namun, Dia tidak berhenti membuat baik. Dia mengutus Anak-Nya untuk “memusnahkan pekerjaan Iblis” dan mengakhiri penderitaan yang dibawa oleh Syaitan. (1 Yoh. 3:8) Tuhan akan membawa penyelesaian yang berkekalan. Jadi, kita tidak mahu “dilemaskan” oleh dunia Syaitan yang jahat atau hilang sabar. Kita mahu beriman pada Tuhan. Yehuwa sudah memutuskan bila Dia akan membanteras kejahatan dan Dia tidak akan lewat.​—Yes. 46:13; Nah. 1:9.

15 Pada hari-hari terakhir yang mencabar ini, iman kita mungkin akan diuji. Jika kita atau orang tersayang kita menjadi mangsa keganasan atau menderita, janganlah menjadi marah. Sebaliknya, kita patut bertekad untuk menaruh kepercayaan yang penuh pada Yehuwa. Oleh sebab kita tidak sempurna, hal ini tidak senang. Tetapi ingat apa yang dilakukan oleh Yesus di Matius 26:39.​Baca.

16. Apakah yang harus kita hindari sementara menunggu akhir sistem Syaitan?

16 Orang yang meragui hakikat bahawa akhir sudah dekat mungkin mula memupuk sikap yang salah. Dia mungkin berfikir, “Saya akan tunggu dan lihat sama ada janji Tuhan akan ditunaikan. Kalau rancangan Tuhan tak jadi, sekurang-kurangnya saya mempunyai rancangan sendiri.” Mungkin dia akan mengejar kemasyhuran dan wang lalu mengetepikan Kerajaan Tuhan. Atau dia mungkin mendapatkan pendidikan tinggi kerana mahu menikmati hidup yang selesa sekarang. Sebenarnya, orang sebegini menunjukkan iman yang tipis. Ingatlah bahawa Paulus menggalakkan kita untuk meniru mereka yang ‘menerima apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan, kerana percaya kepada-Nya dan bersabar.’ (Ibr. 6:12) Yehuwa sudah membuat keputusan untuk membinasakan dunia yang jahat ini dan Dia tidak akan lambat. (Hab. 2:3) Oleh itu, kita harus menghindari sikap sambil lewa semasa berkhidmat kepada Yehuwa. Sebaliknya kita mahu peka dan menjalankan kerja penyebaran dengan sepenuh jiwa raga. Dengan demikian, kita akan meraih sukacita yang tidak terhingga sekarang.​—Luk. 21:36.

BERKAT BAGI ORANG YANG SABAR

17, 18. (a) Kita mempunyai peluang untuk melakukan apa sementara menunggu akhir dengan sabar? (b) Apakah berkat-berkat yang akan kita terima jika kita bersabar?

17 Sama ada kita telah berkhidmat kepada Tuhan selama beberapa bulan atau bertahun-tahun, kita mahu menyembah-Nya untuk selama-lamanya. Walaupun kita perlu menunggu, kesabaran membantu kita bertabah sehingga akhir sistem ini! Yehuwa sedang memberi kita peluang untuk menunjukkan bahawa kita yakin terhadap keputusan-Nya dan sanggup menderita demi nama-Nya. (1 Ptr. 4:13, 14) Tuhan juga sedang melatih kita agar bersabar sampai akhir dan diselamatkan.​—1 Ptr. 5:10.

18 Yesus telah diberikan segala kuasa di syurga dan di bumi. Jadi dia pasti akan melindungi anda jika anda tetap setia. (Yoh. 10:28, 29) Kita tidak perlu takut akan masa depan mahupun kematian. Orang yang bertabah sehingga akhir akan diselamatkan. Oleh itu, kita patut memastikan bahawa dunia ini tidak menggoda kita untuk bergantung pada diri sendiri. Sebaliknya, kita mesti bertekad untuk bergantung pada Yehuwa, mengukuhkan iman, dan tidak mensia-siakan kesabaran Tuhan!​—Mat. 24:13; baca 2 Petrus 3:17, 18.