Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

“Kamu Tidak Tahu Hari Ataupun Waktunya”

“Kamu Tidak Tahu Hari Ataupun Waktunya”

“Berjaga-jagalah kerana kamu tidak tahu hari ataupun waktunya.”​—MAT. 25:13.

1-3. (a) Apakah dua contoh yang dapat membantu kita memahami cerita ibarat Yesus? (b) Apakah soalan-soalan yang akan dijawab?

BAYANGKAN bahawa anda diminta untuk membawa seorang pegawai terkemuka ke suatu temu janji yang mustahak. Beberapa minit sebelum bertolak, anda tiba-tiba sedar bahawa kereta anda tidak cukup minyak. Anda bergegas ke stesen minyak. Malangnya, sebaik sahaja anda bertolak, pegawai itu sampai dan mencari-cari anda. Oleh sebab dia tidak dapat menunggu, dia meminta orang lain untuk membawa dia. Semasa anda balik, pegawai itu sudah pun bertolak. Apakah perasaan anda?

2 Sekarang, bayangkan bahawa anda ialah pegawai terkemuka itu. Anda memilih tiga orang lelaki untuk menjalankan tugas tertentu. Anda menjelaskan apa yang perlu dilakukan oleh mereka, dan mereka pun menerima tugas itu. Tetapi semasa anda pulang, anda mendapati hanya dua orang yang melaksanakan tugas mereka dengan baik. Seorang lagi asyik berdalih. Sebenarnya dia langsung tidak berusaha. Apakah perasaan anda?

3 Cerita ibarat Yesus tentang sepuluh orang gadis dan kepingan wang emas menunjukkan bahawa pada hari-hari terakhir, hanya sesetengah orang Kristian terurap akan membuktikan diri sebagai hamba yang setia dan bijaksana. * (Mat. 25:1-30) Dia menitikberatkan perkara ini dengan berkata, “Berjaga-jagalah kerana kamu tidak tahu hari ataupun waktunya.” Ya, kita tidak tahu bila Yesus akan membinasakan dunia Syaitan. (Mat. 25:13) Jadi, kita perlu berjaga-jaga. Apakah manfaat yang kita raih jika kita mendengar nasihat Yesus? Siapakah yang telah berjaga-jaga? Dan apakah yang mesti kita buat sekarang untuk berjaga-jaga?

MANFAAT SIKAP BERJAGA-JAGA

4. Mengapakah kita tidak perlu mengetahui bila akhir akan datang untuk berjaga-jaga?

4 Kita perlu menepati masa semasa menjalankan sesetengah aktiviti, contohnya jika kita bekerja di kilang, mahu berjumpa doktor, atau menaiki pengangkutan awam. Tetapi ahli bomba atau penyelamat mangsa bencana tidak asyik melihat jam semasa menyelamatkan orang. Hal ini boleh mengalihkan perhatian mereka dan membahayakan nyawa. Bagi mereka, masa bukanlah perkara yang terpenting. Mereka perlu menumpukan perhatian pada kerja yang dilakukan. Dalam cara yang sama, akhir semakin mendekat dan kerja penyebaran menjadi semakin mendesak. Hal ini tidak bermaksud orang Kristian perlu mengetahui bila akhir akan datang untuk berjaga-jaga. Sebenarnya, terdapat lima manfaat yang dapat kita raih jika kita tidak tahu hari atau waktunya akhir akan tiba.

5. Kita tidak tahu bila akhir akan datang. Bagaimanakah hal ini menyingkapkan apa yang tersirat dalam hati kita?

5 Pertama, hakikat bahawa kita tidak tahu bila akhir akan datang menyingkapkan apa yang tersirat dalam hati kita. Yehuwa memberi kita kebebasan untuk memilih sama ada kita mahu tetap setia kepada-Nya. Kita menyembah Yehuwa kerana kita mengasihi-Nya dan bukan hanya kerana kita mahu diselamatkan dan menerima kehidupan kekal. (Baca Mazmur 37:4.) Kita bersukacita semasa melaksanakan kehendak-Nya dan tahu bahawa Dia mengajar kita apa yang baik. (Yes. 48:17) Sememangnya, perintah-Nya tidak terlalu susah bagi kita.​—1 Yoh. 5:3.

6. Apakah perasaan Yehuwa jika kita menyembah-Nya kerana mengasihi-Nya, dan mengapa?

6 Kedua, oleh sebab kita tidak mengetahui hari dan waktunya, kita berpeluang untuk menggembirakan hati Yehuwa. Jika kita menyembah Yehuwa kerana kita mengasihi-Nya dan bukannya kerana akhir sudah dekat atau kerana kita mahu kehidupan kekal, kita membantu Yehuwa untuk menjawab celaan musuh-Nya, Syaitan. (Ayb. 2:4, 5; baca Amsal 27:11.) Syaitan telah membawa keperitan dan kesakitan yang besar. Jadi kita berasa gembira kerana dapat menyokong kedaulatan Yehuwa dan menolak pemerintahan Syaitan.

7. Mengapakah anda sudi membuat pengorbanan untuk berkhidmat kepada Tuhan dan membantu orang lain?

7 Ketiga, tanpa pengetahuan tentang masanya akhir akan datang, kita tidak akan mementingkan diri dan akan rela membuat pengorbanan. Sesetengah orang yang tidak percaya kepada Tuhan khuatir bahawa dunia akan dimusnahkan akibat suatu bencana global. Oleh itu, mereka berfikir, “Marilah kita makan minum dan bersuka-suka, kerana esok kita akan mati.” (1 Kor. 15:32) Sebaliknya, kita tidak takut dan tidak mementingkan diri. (Ams. 18:1) Kita mengutamakan Yehuwa dan rela mengorbankan masa, tenaga, serta segala yang kita miliki untuk menginjil. (Mat. 16:24) Kita berasa gembira kerana berkhidmat kepada Tuhan dan membantu orang mengenali-Nya.

8. Apakah contoh dalam Bible yang membantu kita lebih bergantung pada Yehuwa dan Firman-Nya?

8 Keempat, jika kita tidak mengetahui hari dan waktunya, kita akan lebih bergantung kepada Yehuwa dan menerapkan nasihat-Nya dalam kehidupan. Memandangkan kita tidak sempurna, kita cenderung untuk bergantung pada diri sendiri. Paulus menasihati semua orang Kristian, “Sesiapa yang menyangka dirinya berdiri teguh, hendaklah berwaspada supaya tidak jatuh.” Dua puluh tiga ribu orang Israel yang mengingkari Yehuwa mati sejurus sebelum memasuki Tanah yang Dijanjikan. “Semua perkara itu,” menurut Paulus, “ditulis untuk menjadi amaran bagi kita, kerana kita sekarang hidup pada akhir zaman.”​—1 Kor. 10:8, 11, 12, ABB.

9. Bagaimanakah cubaan dapat menguatkan iman dan mengeratkan hubungan kita dengan Tuhan?

9 Manfaat yang kelima jika kita tidak mengetahui bila akhir akan datang ialah kesusahan yang dialami dapat memurnikan keperibadian kita. (Baca Mazmur 119:71.) Ingatlah, “pada hari-hari terakhir akan timbul banyak kesusahan.” (2 Tim. 3:1-5) Orang di dunia Syaitan akan membenci dan menganiaya kita. (Yoh. 15:19; 16:2) Tetapi sepertimana api dapat memurnikan logam, cubaan dapat memurnikan kita dan menguatkan iman kita. Asalkan kita rendah hati dan mengikut arahan Yehuwa, kita tidak akan putus asa. Sebaliknya kita akan menghampiri Yehuwa dan mempunyai hubungan yang lebih akrab dengan-Nya.​—Yak. 1:2-4; 4:8.

10. Apakah yang boleh membuat peredaran masa terasa cepat?

10 Jika kita duduk berpeluk lutut, masa akan berlalu dengan perlahan. Sebaliknya jika kita sibuk, masa boleh berlalu dengan cepat. Begitu juga, jika kita sibuk dan bertumpu pada kerja Tuhan, kita mungkin rasa bahawa akhir tiba dengan cepat. Kebanyakan orang terurap menetapkan teladan yang baik bagi kita. Mari kita lihat apa yang berlaku selepas Yesus ditabalkan sebagai raja pada tahun 1914. Kita juga akan lihat bagaimana sesetengah orang terurap bersedia sedangkan yang lain tidak.

GOLONGAN TERURAP BERSEDIA

11. Selepas tahun 1914, mengapakah sesetengah orang terurap menyimpulkan bahawa Yesus lambat datang?

11 Mari kita kembali pada cerita ibarat Yesus tentang sepuluh orang gadis dan kepingan wang emas. Jika waktu kepulangan pengantin lelaki atau tuan diketahui, sepuluh orang gadis atau hamba-hamba tidak perlu berjaga-jaga. Tetapi sebab mereka tidak tahu masanya, mereka perlu bersedia. Walaupun kaum terurap tahu tahun 1914 sangat istimewa, mereka tidak tahu secara tepat apa yang akan berlaku. Semasa jangkaan mereka tidak menjadi kenyataan, ada yang sangka bahawa Yesus lambat datang. Seorang saudara berkata, “Ada dalam kalangan kami yang betul-betul sangka kami akan terus naik ke syurga pada minggu pertama bulan Oktober [1914].”

12. Bagaimanakah kaum terurap menunjukkan bahawa mereka setia dan bijaksana?

12 Bayangkan kehampaan yang dirasai oleh saudara saudari kita apabila akhir tidak tiba pada masa yang dijangkakan! Tambahan lagi, mereka terpaksa berdepan dengan tentangan semasa Perang Dunia I. Kerja penyebaran hampir berhenti sepenuhnya, dan kaum terurap seolah-olah terlena. Tetapi mereka dikejutkan dari tidur pada tahun 1919, iaitu semasa Yesus datang untuk memantau Rumah Rohani Tuhan. Ada yang gagal memenuhi syarat Yesus dan tidak lagi berpeluang untuk bekerja baginya. (Mat. 25:16) Mereka yang tidak peka ibarat gadis kurang bijak yang tidak membawa minyak pelita tambahan. Dan seperti hamba yang malas, mereka tidak sanggup membuat pengorbanan demi Kerajaan Tuhan. Tetapi, kebanyakan daripada kaum terurap sangat setia dan berhasrat untuk melaksanakan kerja yang diberikan Yesus, bahkan pada masa perang.

13. Apakah sikap golongan hamba selepas tahun 1914? Apakah sikap mereka dewasa ini?

13 Selepas tahun 1914, The Watchtower menyatakan, “Mereka yang mempunyai sikap yang betul terhadap Tuhan tidak akan kecewa dengan aturan-Nya. Kita tidak mahu kehendak kita dilakukan; jadi apabila kita tahu bahawa jangkaan kita salah, kita berasa gembira kerana Tuan tidak menukar Rancangan-Nya demi kita. Kita pun tidak mahu Dia berbuat demikian. Kita hanya ingin memahami rancangan-Nya dan tujuan-Nya.” Hari ini, kaum terurap masih memperlihatkan kerendahan hati dan berhasrat untuk melakukan kehendak Tuhan. Mereka tidak mendakwa bahawa mereka diilhami Tuhan tetapi bertekad untuk melaksanakan kerja yang diberikan oleh Yesus. Kini, kumpulan besar “domba-domba lain” yang mempunyai harapan untuk hidup di bumi sedang meniru semangat dan sikap berjaga-jaga mereka.​—Yoh. 10:16; Why. 7:9.

KITA SUDAH BERSEDIA

Carilah makanan rohani biarpun dalam kesusahan

14. Apakah manfaat yang diraih jika kita berpaut pada saluran yang digunakan oleh Tuhan untuk menyajikan makanan rohani?

14 Seperti kaum terurap, kumpulan besar manusia yang peka juga berpaut pada saluran yang digunakan oleh Tuhan untuk menyajikan santapan rohani. Oleh itu, mereka seperti mengisi pelita dengan minyak rohani daripada daya aktif Tuhan serta Firman-Nya. (Baca Mazmur 119:130; Yohanes 16:13.) Maka, mereka bersedia untuk kedatangan Kristus dan giat menginjil meskipun ditimpa cubaan. Misalnya di sebuah kem penjara Nazi, saudara kita hanya mempunyai sebuah Bible. Jadi mereka berdoa untuk makanan rohani tambahan. Tidak lama kemudian, seorang saudara yang masuk kem itu berjaya membawa masuk beberapa naskhah The Watchtower yang baru. Dia menyembunyikannya dalam kaki palsunya. Saudara Ernst Wauer, seorang saudara terurap yang dipenjarakan dalam kem itu berkata bahawa Yehuwa membantu mereka untuk menghafal perkara-perkara yang menggalakkan dalam rencana itu. Dia juga berkata, “Dewasa ini, kita mendapat makanan rohani dengan senang sekali. Tetapi adakah kita menghargainya? Saya yakin bahawa Yehuwa akan memberkati mereka yang percaya, setia, dan terus menjamu selera di meja-Nya.”

15, 16. Bagaimanakah sepasang suami isteri diberkati kerana menginjil dengan bersemangat? Apakah yang dapat anda pelajari daripada pengalaman sedemikian?

15 Domba-domba lain juga giat membantu dan menyokong kaum terurap. (Mat. 25:40) Tidak seperti hamba yang jahat dan malas dalam cerita ibarat Yesus, mereka rela membuat pengorbanan dan bekerja keras untuk mengutamakan Kerajaan Tuhan. Sebagai contoh, Jon dan Masako teragak-agak semasa dijemput untuk menginjil kepada orang Cina di Kenya. Tetapi selepas berdoa dan berfikir tentang keadaan mereka, mereka membuat keputusan untuk berpindah ke sana.

16 Yehuwa memberkati usaha mereka. Mereka berkata, “Kerja penyebaran di sini sangat menakjubkan.” Mereka memulakan tujuh pembelajaran Bible dan mempunyai banyak pengalaman yang menarik. Mereka bertambah, “Kami bersyukur kepada Yehuwa setiap hari kerana memberi kami peluang untuk berada di sini.” Ramai saudara saudari lain juga mencerminkan tekad mereka untuk sibuk dalam khidmat Tuhan sehingga akhir datang. Fikir tentang ribuan orang yang menghadiri Sekolah Gilead dan berkhidmat sebagai mubaligh, atau saudara saudari yang rela berkhidmat di negara asing. Bacalah rencana “Mereka Rela Berkhidmat—di Ecuador” dalam majalah pembelajaran 15 Julai 2012. Semasa membaca tentang perasaan saudara saudari kita, fikirkan cara anda dapat memperluas khidmat kepada Tuhan. Usaha anda untuk memuji Tuhan akan menghasilkan sukacita yang besar.

ANDA JUGA PERLU BERJAGA-JAGA

Masa akan cepat berlalu jika kita menumpukan perhatian pada aktiviti Kristian

17. Bagaimanakah hakikat bahawa kita tidak tahu bila akhir akan datang merupakan suatu berkat?

17 Ya, hakikat bahawa kita tidak tahu hari dan waktunya akhir akan datang merupakan suatu berkat. Kita dibantu untuk menumpukan perhatian penuh pada kehendak Tuhan dan tidak berasa kecewa atau geram. Oleh itu, hubungan kita dengan Bapa Yehuwa menjadi kian kukuh, dan kita dapat menikmati sukacita yang besar semasa menjalankan kerja Tuhan.​—Luk. 9:62.

18. Mengapakah kita mahu mengekalkan kesetiaan kepada Tuhan?

18 Hari Yehuwa semakin dekat. Kita tidak mahu mengecewakan Yehuwa atau Yesus. Mereka telah mengamanahkan kita dengan kerja yang menakjubkan pada hari-hari terakhir ini. Kita berasa besar hati kerana mereka yakin dan percaya pada kita!—Baca 1 Timotius 1:12.

19. Bagaimanakah kita dapat bersedia untuk akhir sistem dunia ini?

19 Tidak kira sama ada kita mempunyai harapan untuk ke syurga atau bumi, kita akan terus mematuhi perintah Tuhan untuk menginjil dan menjadikan orang murid Yesus. Kita tidak perlu tahu secara tepat bila akhir akan datang. Namun, kita masih boleh dan akan bersedia untuk hari itu! (Mat. 24:36, 44) Selagi kita mempercayai Yehuwa dan mengutamakan Kerajaan Tuhan, kita tidak akan kecewa.​—Rm. 10:11.

^ per. 3 Lihat The Watchtower 1 Mac 2004, muka 14-18.