Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Yehuwa Mengumpulkan Umat-Nya yang Gembira

Yehuwa Mengumpulkan Umat-Nya yang Gembira

“Suruhlah semua orang lelaki, perempuan, kanak-kanak, dan orang asing yang tinggal di kota kamu berkumpul.”​—UL. 31:12.

1, 2. Apakah yang akan kita pelajari tentang konvensyen dalam rencana ini?

KONVENSYEN distrik dan antarabangsa telah menjadi suatu ciri penting dalam sejarah moden Saksi-Saksi Yehuwa. Ramai yang pernah menghadiri konvensyen buat beberapa kali, dan ada yang menghadirinya untuk puluhan tahun.

2 Ribuan tahun dahulu, umat Tuhan juga mengadakan konvensyen suci. Kita akan belajar tentang konvensyen masa dulu, persamaan konvensyen sekarang dengan konvensyen pada zaman Bible, dan manfaat yang boleh diraih dengan menghadiri konvensyen.​—Mzm. 44:1; Rm. 15:4.

KONVENSYEN YANG BERSEJARAH—DAHULU DAN SEKARANG

3. (a) Apakah yang berlaku pada perhimpunan pertama umat Yehuwa yang tercatat dalam Bible? (b) Bagaimanakah orang Israel mengetahui bila mereka perlu berkumpul?

3 Perhimpunan besar pertama yang diadakan untuk mendidik umat Tuhan berlangsung di kaki Gunung Sinai. Perhimpunan itu merupakan peristiwa penting dalam sejarah ibadat sejati. Orang Israel yang hadir pasti ingat bagaimana Yehuwa menunjukkan kuasa-Nya dan memberi mereka hukum-Nya. (Kel. 19:1-9, 16-19; baca Keluaran 20:18; Ulangan 4:9, 10.) Pada hari itu, Tuhan telah menjalin hubungan yang istimewa dengan orang Israel. Tidak lama kemudian, Yehuwa memberitahu Musa cara mengumpulkan umat-Nya. Dia mengarahkan Musa untuk membuat dua buah trompet perak untuk ‘memanggil umat Israel berkumpul di hadapan pintu Khemah.’ (Bil. 10:1-4) Cuba bayangkan suasana meriah pada peristiwa-peristiwa sedemikian!

4, 5. Mengapakah konvensyen yang diadakan oleh Musa dan Yosua sangat penting?

4 Setelah orang Israel berada di padang gurun kira-kira 40 tahun, Musa telah mengadakan satu konvensyen yang bersejarah bagi bangsa Israel yang baru ditubuhkan. Oleh sebab mereka bakal menjejakkan kaki di Tanah yang Dijanjikan, Musa menggunakan kesempatan itu untuk mengingatkan orang Israel tentang apa yang telah dan akan dilakukan oleh Yehuwa demi mereka.​—Ul. 29:1-15; 30:15-20; 31:30.

5 Semasa perhimpunan itu, Musa mungkin telah menyebut tentang konvensyen lain yang akan diadakan secara tetap. Setiap tujuh tahun, semasa Perayaan Pondok Daun, semua lelaki, perempuan, kanak-kanak, dan orang asing di negeri Israel perlu berhimpun di tempat yang dipilih Yehuwa untuk ‘mendengar dan belajar menghormati Yehuwa serta taat kepada ajaran-Nya.’ (Baca Ulangan 31:10-12.) Pada awal sejarah umat Tuhan, mereka sudah diperintah agar berhimpun secara tetap untuk mempelajari perintah dan kehendak Yehuwa. Selepas orang Israel menakluki Tanah yang Dijanjikan, bangsa-bangsa jiran mereka masih mengamalkan ibadat palsu. Oleh itu, Yosua mengumpulkan segenap umat Israel dan menguatkan tekad mereka agar tetap setia kepada Yehuwa. Mereka telah bersumpah untuk mengabdi kepada Tuhan.​—Yos. 23:1, 2; 24:1, 15, 21-24.

6, 7. Nyatakan beberapa konvensyen yang bersejarah bagi Saksi-Saksi Yehuwa zaman moden.

6 Dalam sejarah moden Saksi-Saksi Yehuwa, terdapat juga konvensyen-konvensyen bersejarah yang melibatkan perubahan besar dalam kegiatan teokratik atau pemahaman Bible kita. (Ams. 4:18) Konvensyen besar pertama yang diadakan selepas Perang Dunia I berlangsung di Cedar Point, Ohio, A.S., pada tahun 1919. Kempen kerja penyebaran sedunia telah diumumkan kepada 7,000 hadirin di situ. Pada tahun 1922, sebuah konvensyen yang diadakan selama 9 hari telah berlangsung di tempat yang sama. Joseph F. Rutherford telah menyampaikan ceramah yang bersemangat dan menggesa para hadirin untuk meneruskan kerja penyebaran sehingga Babilon Besar dimusnahkan. Dia berkata, “Dunia mesti tahu bahawa Yehuwa ialah Tuhan dan Yesus Kristus ialah Tuan Yang Agung dan Raja Yang Terutama. Inilah hari yang terpenting. Lihatlah, Raja kita sudah memerintah! Kamulah wakil-wakilnya. Maka umumkan, umumkan, umumkan, Raja kita dan kerajaannya.” Para hadirin dan umat Yehuwa di serata bumi telah menyahut seruan itu dengan sukacita.

7 Di Columbus, Ohio, pada tahun 1931, para Pelajar Bible teruja sekali kerana diberi nama Saksi-Saksi Yehuwa. Pada tahun 1935, di Washington D.C., Saudara Rutherford telah menjelaskan identiti kumpulan besar manusia yang “berdiri di hadapan takhta dan Anak Domba.” (Why. 7:9-17) Pada tahun 1942, semasa Perang Dunia II, Nathan H. Knorr telah menyampaikan ucapan yang mendebarkan, “Dapatkah Kedamaian Berkekalan?” Dia membincangkan identiti binatang buas berwarna merah yang tercatat di Wahyu 17 dan menjelaskan bahawa kerja penyebaran perlu dilaksanakan di banyak tempat selepas perang.

Konvensyen antarabangsa, Bandar Raya New York, 1950

8, 9. Mengapakah sesetengah konvensyen begitu mengharukan?

8 Semasa konvensyen “Bangsa Gembira” pada tahun 1946 di Cleveland, Ohio, Saudara Knorr menyampaikan sebuah ceramah yang bertajuk, “Masalah Pembinaan Semula dan Perkembangan.” Mengenai suasana pada konvensyen itu, seorang hadirin menulis, “Saya berpeluang berdiri di belakangnya atas pentas pada petang itu. Semasa dia menjelaskan kerja dan rancangan untuk meluaskan kemudahan Bethel di Brooklyn dan kilang percetakan, kedengaran tepukan gemuruh daripada hadirin yang ramai. Raut wajah mereka tidak kelihatan dari pentas, tetapi sukacita mereka jelas dirasai.” Semasa konvensyen antarabangsa di Bandar Raya New York pada tahun 1950, para hadirin telah diberikan Bible New World Translation of the Christian Greek Scriptures. Terjemahan ini menggunakan bahasa Inggeris moden dan mengembalikan nama Tuhan ke tempat asalnya.​—Yer. 16:21.

9 Konvensyen Saksi-Saksi Yehuwa yang diadakan selepas tamatnya penganiayaan atau sekatan amat mengharukan juga. Adolf Hitler pernah bersumpah akan melenyapkan Saksi-Saksi Yehuwa dari Jerman. Tetapi pada tahun 1955, seramai 107,000 Saksi telah menghadiri konvensyen yang diadakan di Nuremberg, tempat yang sebelumnya menjadi lokasi perarakan Hitler. Ramai yang hadir menangis kerana terlalu gembira! Seramai 166,518 orang telah menghadiri tiga konvensyen “Pengabdian yang Soleh” di Poland pada tahun 1989. Sebahagian besar hadirin datang dari Kesatuan Soviet, Czechoslovakia, dan negara-negara di Eropah Timur. Ada yang tidak pernah menghadiri perhimpunan yang hadirinnya lebih daripada 15 atau 20 orang. Bayangkan juga rasa sukacita yang melimpah semasa 7,402 orang dibaptis di Konvensyen Antarabangsa “Ajaran Ilahi” di Kiev, Ukraine pada tahun 1993. Itulah angka tertinggi bagi bilangan Saksi-Saksi Yehuwa yang dibaptis.​—Yes. 60:22; Hag. 2:7.

10. Apakah konvensyen yang menjadi kenangan istimewa bagi anda? Mengapa?

10 Mungkin ada konvensyen distrik atau antarabangsa yang bermakna bagi anda. Masihkah anda ingat konvensyen pertama yang anda hadiri atau konvensyen di mana anda dibaptis? Itulah detik rohani bersejarah bagi anda. Biarlah kenangan itu terpahat di minda!​—Mzm. 42:5.

KESEMPATAN UNTUK BERSUKACITA

11. Pada zaman Israel kuno, apakah perayaan-perayaan yang perlu disambut setiap tahun?

11 Yehuwa menghendaki orang Israel berkumpul di Yerusalem untuk tiga perayaan setiap tahun: Perayaan Roti Tidak Beragi, Perayaan Menuai (kemudian dipanggil Pentakosta), dan Perayaan Pondok Daun. “Tiap-tiap tahun, pada masa tiga perayaan itu, semua orang lelaki mesti datang beribadat” kepada Tuhan Yehuwa. (Kel. 23:14-17) Ramai ketua keluarga sedar bahawa perayaan-perayaan ini sangat penting dan membawa seluruh keluarga untuk menghadirinya.​—1 Sam. 1:1-7; Luk. 2:41, 42.

12, 13. Apakah usaha yang perlu dilakukan oleh orang Israel untuk menghadiri perayaan tahunan?

12 Adakah mudah bagi orang Israel untuk menghadiri perayaan sebegini? Fikirkan keluarga Yusuf dan Maria yang perlu berjalan kira-kira 100 km dari Nasaret ke Yerusalem. Cuba bayangkan masa yang diperlukan seandainya anda perlu membawa anak-anak kecil sepanjang perjalanan ini. Catatan tentang kunjungan Yesus ke Yerusalem semasa dia masih kecil menunjukkan bahawa saudara-mara dan kawan-kawan mungkin pergi ke Yerusalem bersama-sama. Berjalan, memasak, dan mencari penginapan bersama-sama di tempat yang jauh memang mencabar. Namun, tempat itu agak selamat kerana Yesus yang berusia 12 tahun masih diberi kebebasan tertentu. Peristiwa sedemikian pastinya menjadi kenangan yang sukar dilupakan, terutamanya bagi anak-anak muda!​—Luk. 2:44-46.

13 Setelah orang Israel tersebar ke negara-negara lain, mereka masih menghadiri perayaan-perayaan ini. Pada Pentakosta tahun 33 M, orang Yahudi dan orang yang memeluk agama Yahudi dari Itali, Libya, Kreta, Asia Kecil, dan Mesopotamia telah berkunjung ke Yerusalem.​—Kis. 2:5-11; 20:16.

14. Apakah perasaan orang Israel yang menghadiri perayaan yang diadakan tiap-tiap tahun?

14 Bagi orang Israel yang setia, perjalanan sebegini sangat penting dan bermakna kerana mereka dapat menyembah Yehuwa bersama ribuan orang lain yang mengasihi-Nya. Apakah perasaan orang Israel yang menghadiri perayaan tiap-tiap tahun? Jawapannya terdapat dalam arahan Yehuwa kepada umat-Nya tentang Perayaan Pondok Daun, ‘Bersukacitalah bersama dengan anak-anak kamu, pekerja-pekerja kamu, orang Lewi, orang bangsa asing, anak yatim piatu, dan balu yang tinggal di kota-kota kamu. Hormatilah Yehuwa, Tuhan kamu dengan merayakan perayaan ini selama tujuh hari di satu tempat ibadat itu. Bersukacitalah kerana Yehuwa sudah memberkati tuaian dan pekerjaan kamu.’​—Ul. 16:14, 15, ABB; baca  Matius 5:3.

MENGAPAKAH KITA MENGHARGAI KONVENSYEN?

15, 16. Apakah pengorbanan yang pernah anda lakukan untuk menghadiri konvensyen? Mengapakah usaha itu berbaloi?

15 Perayaan masa kuno merupakan contoh yang baik bagi umat Tuhan hari ini. Terdapat banyak persamaan antara konvensyen kini dengan umat Tuhan pada zaman dahulu. Seperti umat Tuhan pada zaman Bible, kita juga perlu membuat pengorbanan untuk menghadiri konvensyen. Namun, usaha kita sangat berbaloi kerana konvensyen ialah aspek yang penting dalam ibadat kita. Konvensyen membantu kita mengetahui dan memahami cara memelihara hubungan yang erat dengan Tuhan. Konvensyen mendorong kita untuk menerapkan apa yang kita pelajari, membantu kita mengelakkan masalah, dan menggalakkan kita untuk mengutamakan perkara yang bermanfaat.​—Mzm. 122:1-4.

Korea Selatan

16 Konvensyen kita selalu dipenuhi suasana gembira. Laporan tentang konvensyen besar yang berlangsung pada tahun 1946 menyatakan, “Sungguh menggalakkan untuk melihat ribuan saksi yang berhimpun. Pujian mereka kepada Yehuwa yang diiringi muzik daripada orkestra besar telah bergema di dewan konvensyen.” Menurut laporan itu, ramai orang telah menawarkan diri untuk membantu di bahagian-bahagian konvensyen, kerana mereka gembira berkhidmat untuk saudara saudari. Adakah anda juga merasai suasana meriah di konvensyen distrik atau antarabangsa?​—Mzm. 110:3; Yes. 42:10-12.

17. Apakah beberapa perubahan dalam cara konvensyen diadakan?

17 Terdapat beberapa perubahan dalam cara konvensyen diadakan. Sebagai contoh, ada saudara saudari yang masih ingat akan konvensyen yang berlangsung selama lapan hari! Terdapat sesi pagi, tengah hari, dan petang. Program konvensyen dahulu juga merangkumi kerja penyebaran. Kadang-kadang, program konvensyen berlangsung dari 9 pagi sehingga 9 malam. Para sukarelawan perlu bekerja keras sepanjang hari untuk menyediakan sarapan, makan tengah hari, dan makan malam bagi semua. Kini, sesi konvensyen tidak begitu panjang, dan saudara saudari dapat bertumpu pada program konvensyen kerana mereka akan membawa bekalan makanan masing-masing.

Mozambique

18, 19. Apakah aspek-aspek konvensyen yang anda nantikan? Apakah sebabnya?

18 Terdapat sesetengah aspek dalam konvensyen kita yang sentiasa dinanti-nantikan. Kita menerima makanan rohani “pada waktu yang ditentukan” menerusi ceramah dan bahan bacaan baru yang membantu kita lebih memahami nubuat dan ajaran Bible. (Mat. 24:45) Terbitan baru di konvensyen boleh digunakan untuk membantu orang mempelajari kebenaran Bible. Drama Bible yang menyentuh hati mendorong tua dan muda untuk menilai niat hati sendiri dan melawan pemikiran dunia Syaitan. Ceramah pembaptisan memberi kita peluang untuk merenungkan keutamaan hidup kita dan bersukacita bersama orang yang menunjukkan bahawa mereka telah membaktikan diri kepada Yehuwa.

19 Selama ribuan tahun, konvensyen telah menjadi sebahagian daripada ibadat sejati. Konvensyen membantu umat Yehuwa bersukacita, tetap setia kepada-Nya pada waktu kesusahan, serta menggalakkan kita untuk berkhidmat kepada-Nya. Kita juga berpeluang mengenali sahabat baru dan menghargai persaudaraan sedunia kita. Satu cara penting Yehuwa memberkati dan menjaga umat-Nya adalah menerusi konvensyen. Oleh itu, kita patut mengaturkan hal ehwal peribadi supaya dapat memanfaatkan semua sesi dalam setiap konvensyen.​—Ams. 10:22.