Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Patuhi Tuhan dan Raih Manfaat daripada Janji-Nya

Patuhi Tuhan dan Raih Manfaat daripada Janji-Nya

‘Kerana tidak ada sesiapa pun yang lebih tinggi daripada Tuhan, Dia bersumpah demi nama-Nya sendiri.’​—IBR. 6:13.

1. Mengapakah firman Tuhan berbeza daripada janji manusia?

YEHUWA merupakan Tuhan kebenaran. (Ul. 32:4) Manusia yang tidak sempurna kadang-kadang tidak boleh dipercayai, manakala ‘Tuhan tidak dapat berdusta.’ (Ibr. 6:18; baca Bilangan 23:19.) Tujuan-Nya bagi manusia selalu tercapai. Contohnya, semasa menciptakan segala sesuatu, setiap firman Tuhan menjadi kenyataan. Pada akhir hari keenam penciptaan, Tuhan “memandang semua yang sudah dijadikan-Nya dan Dia sangat berpuas hati.”​—Kej. 1:6, 7, 30, 31.

2. Apakah itu hari rehat Tuhan? Mengapakah Dia “menjadikan hari itu sebagai hari istimewa”?

2 Selepas menyatakan bahawa Dia berpuas hati dengan ciptaan-Nya, Yehuwa telah mengumumkan permulaan hari ketujuh. Hari ini merupakan hari rehat Tuhan. Panjangnya bukan 24 jam, tetapi merupakan tempoh masa Tuhan berehat daripada kerja penciptaan di bumi. (Kej. 2:2) Hari rehat Tuhan masih belum berakhir. (Ibr. 4:9, 10) Bible tidak memberitahu kita bila hari rehat Tuhan bermula. Yang kita tahu, hari ini bermula tidak lama selepas Hawa diciptakan, iaitu kira-kira 6,000 tahun lalu. Pemerintahan Seribu Tahun Kristus yang bakal bermula akan memastikan bahawa tujuan Tuhan tercapai. Pada masa itu, bumi firdaus akan dipenuhi umat manusia yang sempurna. (Kej. 1:27, 28; Why. 20:6) Anda pasti boleh menikmati masa depan yang indah itu! Tuhan “memberkati hari yang ketujuh dan menjadikan hari itu sebagai hari istimewa.” Hal ini menjamin bahawa Tuhan akan menunaikan janji-Nya tidak kira apa yang bakal berlaku.​—Kej. 2:3.

3. (a) Apakah yang berlaku selepas hari rehat Tuhan bermula? (b) Bagaimanakah Yehuwa memastikan bahawa masalah ini akan diselesaikan?

3 Selepas hari rehat Tuhan bermula, Syaitan telah memberontak. Malaikat ini ingin disembah dan mula menentang Yehuwa. Dia berdusta dan menyebabkan Hawa mengingkari Yehuwa. (1 Tim. 2:14) Hawa pula menyebabkan suaminya mengingkari Tuhan. (Kej. 3:1-6) Walaupun Yehuwa dituduh sebagai pendusta, Dia tidak perlu bersumpah bahawa tujuan-Nya akan tercapai. Sebaliknya, Dia menyatakan cara masalah ini akan diselesaikan. Dia berfirman, “Aku akan menyebabkan engkau [Syaitan] dan wanita itu saling bermusuhan, dan benihmu dan benihnya akan saling bermusuhan. Benih wanita akan meremukkan kepalamu dan engkau akan mematuk tumitnya.” Maksud janji ini akan tersingkap secara beransur-ansur.​—Kej. 3:15, NW; Why. 12:9.

MENGANGKAT SUMPAH​—TUJUANNYA

4, 5. Bagaimanakah Abraham membuktikan bahawa apa yang dikatakannya adalah benar?

4 Sebelum kejadian ini, makhluk sempurna yang mengasihi Tuhan dan meniru teladan-Nya tidak perlu bersumpah kerana mereka selalu bercakap benar. Namun keadaannya berubah selepas manusia berdosa dan menjadi tidak sempurna. Dusta dan penipuan menjadi perkara seharian, dan manusia terpaksa bersumpah untuk membuktikan bahawa apa yang dikatakan adalah benar.

5 Abraham juga telah bersumpah sekurang-kurangnya pada tiga peristiwa untuk menjamin bahawa kata-katanya benar. (Kej. 21:22-24; 24:2-4, 9) Contohnya, selepas Abraham mengalahkan raja Elam dan sekutunya, raja Salem dan Sodom datang berjumpa Abraham. Melkisedek, iaitu raja Salem, ‘yang juga menjadi imam Tuhan Yang Maha Tinggi’ memberkati Abraham dan memuji Tuhan kerana membantu Abraham. (Kej. 14:17-20) Kemudian apabila raja Sodom ingin memberi ganjaran kepada Abraham atas perbuatan baiknya, Abraham berkata, ‘Hamba bersumpah di hadapan Yehuwa, Tuhan Yang Maha Tinggi, Pencipta langit dan bumi, bahawa hamba tidak akan mengambil sesuatu pun milik tuanku, bahkan seutas benang atau tali kasut pun tidak. Dengan demikian, tuanku tidak akan dapat bertitah, “Betalah yang membuat Abram kaya.”’​—Kej. 14:21-23, ABB.

YEHUWA BERSUMPAH KEPADA ABRAHAM

6. (a) Apakah teladan baik Abraham? (b) Bagaimanakah kita mendapat faedah daripada perbuatan Abraham?

6 Yehuwa juga mengangkat sumpah untuk meyakinkan manusia. Ungkapan seperti ‘“Demi Aku, Tuhan yang hidup,” Raja Yehuwa berfirman’ sering digunakan. (Yeh. 17:16) Dalam Bible, Yehuwa telah bersumpah lebih daripada 40 kali. Salah satunya berkaitan dengan janji-Nya kepada Abraham. Yehuwa telah membuat sebilangan perjanjian dengan Abraham yang menunjukkan bahawa Benih yang dijanjikan akan datang menerusi anaknya, Ishak. (Kej. 12:1-3, 7; 13:14-17; 15:5, 18; 21:12) Kemudian Yehuwa menguji Abraham dengan menyuruhnya mengorbankan Ishak. Tanpa rasa ragu-ragu, Abraham mematuhi perintah Tuhan. Namun malaikat Tuhan menghentikannya. Kemudian Yehuwa berfirman, “Aku bersumpah demi nama-Ku sendiri; kerana engkau sudah melakukan hal ini dan tidak enggan menyerahkan anakmu yang tunggal kepada-Ku, Aku berjanji akan memberkati engkau dengan berlimpah-limpah dan menjadikan keturunanmu sebanyak bintang di langit serta sebanyak pasir di pantai laut. Keturunanmu akan mengalahkan musuh mereka.” (Kej. 22:1-3, 9-12, 15-17, ABB) Yehuwa bersambung, “Melalui benihmu, semua bangsa di bumi pasti akan memperoleh berkat kerana engkau telah mendengarkan perkataanku.”​—Kej. 22:18, NW.

7, 8. (a) Mengapakah Yehuwa bersumpah kepada Abraham? (b) Bagaimanakah “domba-domba lain” juga mendapat faedah daripada janji Tuhan?

7 Mengapakah Yehuwa bersumpah kepada Abraham bahawa janji-janji-Nya akan dikotakan? Kerana Dia ingin meyakinkan dan menguatkan iman orang yang akan membentuk bahagian sekunder “benih” dan memerintah bersama Kristus. (Baca Ibrani 6:13-18; Gal. 3:29) Seperti yang dijelaskan rasul Paulus, Yehuwa “menambah sumpah pada janji-Nya itu” dan ‘Tuhan tidak dapat berdusta tentangnya.’ Oleh itu, kaum terurap “digalakkan supaya berpegang teguh kepada harapan” mereka.

Tidak lama lagi, Abraham akan melihat janji-janji Tuhan menjadi kenyataan

8 Bukan golongan terurap sahaja yang akan menerima faedah daripada janji Tuhan kepada Abraham. Menerusi “benih” Abraham, Yehuwa berjanji bahawa “semua bangsa di bumi pasti akan memperoleh berkat.” (Kej. 22:18, NW) Antara mereka termasuk “domba-domba lain” yang mempunyai harapan untuk hidup kekal di bumi firdaus. (Yoh. 10:16) Tidak kira sama ada harapan anda adalah untuk hidup di syurga atau di bumi baru, anda boleh “berpegang teguh kepada harapan” ini dengan selalu mematuhi Yehuwa.​—Baca Ibrani 6:11, 12.

JANJI TUHAN YANG LAIN

9. Apakah sumpah Tuhan kepada keturunan Abraham?

9 Ratusan tahun kemudian, Yehuwa sekali lagi bersumpah mengenai janji-janji-Nya kepada Abraham. Dia telah mengutus Musa untuk bercakap kepada keturunan Abraham yang pada masa itu merupakan hamba orang Mesir. (Kel. 6:5-7) Yehuwa telah berfirman, “Ketika Aku memilih Israel, . . . Aku berjanji akan membawa mereka keluar dari Mesir, dan memimpin mereka ke tanah yang telah Kupilih untuk mereka, tanah yang kaya dan subur, dan terbaik.”​—Yeh. 20:5, 6.

10. Apakah janji Tuhan kepada orang Israel selepas Dia membebaskan mereka dari Mesir?

10 Kemudian, selepas membebaskan orang Israel dari Mesir, Yehuwa mengangkat sumpah lagi. Dia berkata, “Jika kamu taat kepada-Ku dan setia kepada perjanjian-Ku, kamu akan menjadi umat-Ku sendiri. Seluruh bumi ini kepunyaan-Ku, tetapi kamu akan menjadi umat pilihan-Ku. Kamu akan menjadi umat yang ditahbiskan untuk diri-Ku sendiri, dan kamu akan mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam.” (Kel. 19:5, 6, ABB) Yehuwa telah menawarkan peluang yang sangat istimewa kepada orang Israel! Jika mereka tetap patuh kepada Tuhan, mereka dapat membentuk kerajaan imam yang akan membawa berkat kepada segenap manusia. Yehuwa menjelaskan bahawa Dia “membuat janji perkahwinan” dengan orang Israel supaya ‘mereka menjadi milik-Nya.’​—Yeh. 16:8.

11. Apakah reaksi orang Israel kepada undangan Tuhan untuk menjadi umat-Nya yang istimewa?

11 Yehuwa tidak menyuruh orang Israel bersumpah untuk patuh kepada-Nya atau memaksa mereka menjadi umat-Nya. Sebaliknya mereka sendiri yang memilih untuk berbuat demikian. Mereka berkata, ‘Kami akan melakukan segala yang telah difirmankan Yehuwa.’ (Kel. 19:8) Tiga hari kemudian, Yehuwa memberitahu orang Israel hukum-hukum-Nya. Mula-mula Dia memberikan Sepuluh Hukum. Kemudian Musa memberitahu mereka tentang hukum lain yang tercatat di Keluaran 20:22 hingga Keluaran 23:33. Apakah reaksi orang Israel? ‘Segenap umat menjawab dengan serentak, “Kami akan melakukan segala yang difirmankan oleh Yehuwa.”’ (Kel. 24:3) Selepas itu, Musa telah menulis semua hukum Tuhan dalam “kitab perjanjian” dan membacanya di hadapan bangsa Israel. Dan untuk kali ketiga, mereka berkata, ‘Kami akan mentaati Yehuwa dan melakukan segala perintah-Nya.’​—Kel. 24:4, 7, 8.

12. Apakah yang dilakukan oleh Yehuwa selepas membuat perjanjian dengan orang Israel? Dan apa pula yang dilakukan oleh orang Israel?

12 Yehuwa segera melaksanakan perjanjian Hukum dengan memilih imam yang akan berkhidmat di khemah suci supaya manusia yang berdosa dapat menyembah-Nya. Namun, orang Israel cepat lupa bahawa mereka milik Tuhan, dan bahkan ‘menyakiti hati Yang Maha Suci, Tuhan umat Israel.’ (Mzm. 78:41) Misalnya, apabila Musa berada di Gunung Sinai untuk mendapatkan arahan Tuhan, orang Israel hilang sabar lalu tidak beriman kepada Tuhan. Mereka berfikir bahawa Musa telah mengabaikan mereka. Jadi mereka membuat sebuah patung lembu jantan dan berkata, “Hai Israel, inilah tuhan kita yang telah membawa kita keluar dari Mesir!” (Kel. 32:1, 4) Kemudian mereka kononnya ‘mengadakan pesta untuk menghormati Yehuwa’ lalu menyembah dan mempersembahkan korban kepada patung itu. Apabila Yehuwa nampak hal ini, Dia memberitahu Musa, “Mereka telah menyimpang daripada perintah-Ku.” (Kel. 32:5, 6, 8) Malangnya, sejak hari itu, banyak janji orang Israel kepada Tuhan terbukti janji kosong.​—Bil. 30:2.

DUA LAGI SUMPAH

13. Apakah sumpah Tuhan kepada Daud, dan apakah kaitannya dengan Benih yang dijanjikan?

13 Semasa pemerintahan Raja Daud, Yehuwa telah bersumpah dua kali lagi demi manfaat semua orang yang mematuhi-Nya. Pertama, Dia bersumpah bahawa takhta Daud akan berkekalan. (Mzm. 89:36, 37; 132:11, 12) Maksudnya, Benih yang dijanjikan akan dipanggil “Anak Daud.” (Mat. 1:1; 21:9) Dengan rendah hati, Daud memanggil keturunannya itu Tuan, kerana kedudukan Kristus lebih tinggi daripadanya.​—Mat. 22:42-44.

14. Apakah yang dikatakan oleh Tuhan mengenai Benih yang dijanjikan, dan bagaimanakah kita memperoleh manfaat daripadanya?

14 Kedua, Yehuwa memberitahu Daud bahawa Benih yang dijanjikan ini bukan sahaja akan menjadi Raja, tetapi akan berkhidmat sebagai Imam Agung juga. Di Israel, raja dan imam adalah daripada suku yang berlainan. Para imam adalah daripada suku Lewi, manakala raja-raja datang daripada suku Yehuda. Tetapi, mengenai Raja yang bakal datang itu, Daud bernubuat, ‘Yehuwa berfirman kepada tuanku raja, “Duduklah di sebelah kanan-Ku, sehingga Aku menaklukkan musuhmu kepadamu.” Yehuwa telah berjanji dan tidak akan memungkiri janji-Nya, “Engkau akan menjadi imam selama-lamanya, menurut keimaman Melkisedek.”’ (Mzm. 110:1, 4, ABB) Nubuat ini memang digenapi. Yesus sedang memerintah dari syurga. Dia juga berkhidmat sebagai Imam Agung dan membantu manusia yang bertaubat untuk menjalin hubungan yang baik dengan Tuhan.​—Baca Ibrani 7:21, 25, 26.

BANGSA BARU—ISRAEL MILIK TUHAN

15, 16. (a) Apakah dua “Israel” yang disebut dalam Bible? Israel manakah yang diperkenankan Tuhan hari ini? (b) Apakah perintah Yesus berkenaan sumpah?

15 Bangsa Israel tidak lagi diperkenankan Tuhan kerana mereka telah menolak Yesus Kristus. Oleh itu bangsa ini tidak lagi berpeluang membentuk kerajaan imam. Yesus memberitahu para pemimpin Yahudi bahawa Kerajaan Tuhan akan diambil daripada mereka, lalu diserahkan kepada bangsa yang memberikan hasil. (Mat. 21:43) Bangsa baru ini muncul pada Pentakosta 33 M apabila daya aktif dicurahkan ke atas 120 orang murid Yesus di Yerusalem. Mereka kemudian dikenali sebagai Israel milik Tuhan, dan terdiri daripada beribu-ribu orang dari pelbagai bangsa.​—Gal. 6:16.

16 Tidak seperti bangsa Israel, Israel milik Tuhan terus memberikan hasil dengan mematuhi Tuhan. Salah satu perintah yang diterima mereka adalah mengenai sumpah. Semasa Yesus di bumi, ramai orang mengangkat sumpah palsu dan bersumpah tentang perkara yang remeh-temeh. (Mat. 23:16-22) Yesus mengajar pengikutnya, ‘Jangan bersumpah sama sekali. Cukuplah kamu berkata “Ya” atau “Tidak.” Kata-kata yang lebih daripada itu datangnya daripada Iblis.’​—Mat. 5:34, 37, ABB.

Janji-janji Yehuwa selalu ditunaikan

17. Apakah soalan yang akan dibincangkan dalam rencana yang seterusnya?

17 Adakah kata-kata Yesus bermaksud bahawa kita tidak boleh bersumpah? Sebenarnya, apakah yang dimaksudkan Yesus semasa dia berkata, “Cukuplah kamu berkata ‘Ya’ atau ‘Tidak’”? Jawapan kepada soalan-soalan ini akan dibincangkan dalam rencana seterusnya. Semoga kita terus merenungi Firman Tuhan dan didorong untuk mematuhi-Nya. Dengan demikian, Yehuwa akan menunaikan janji-Nya untuk memberkati kita buat selama-lamanya.