Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Apakah Sikap Anda?

Apakah Sikap Anda?

‘Aku berdoa semoga Tuan Yesus Kristus memberkati [“sikap,” NW] kamu semua.’​—FLM. 25, ABB.

1. Dalam suratnya, apakah yang dikatakan oleh Paulus berulang kali?

SEMASA menulis kepada rakan Kristiannya, Paulus berulang kali berkata bahawa dia berharap Tuhan dan Kristus akan memberkati sikap sidang mereka. Contohnya, dia menulis kepada saudara di Galatia, ‘Semoga Tuan kita Yesus Kristus memberkati [“sikap,” NW] kamu semua. Amin.’ (Gal. 6:18, ABB) Apakah maksud Paulus?

2, 3. (a) Apakah yang dimaksudkan Paulus semasa dia menggunakan perkataan “sikap”? (b) Apakah soalan-soalan yang boleh kita tanya diri?

2 Semasa Paulus menggunakan perkataan “sikap” dalam konteks ini, dia merujuk kepada daya yang menggerakkan kita untuk mengucapkan atau melakukan sesuatu. Seseorang mungkin bersikap lemah lembut, bertimbang rasa, murah hati, atau suka mengampuni. Bible juga menggalakkan kita untuk memiliki “budi pekerti yang lembut” dan “sentiasa tenang.” (1 Ptr. 3:4; Ams. 17:27) Tetapi ada pula yang suka menyindir, mengutamakan kebendaan, senang tersinggung, dan bertindak sesuka hati. Lebih teruk lagi, sesetengah orang melakukan perbuatan yang tidak bermoral dan bersikap suka memberontak.

3 Maka apabila Paulus menggunakan ungkapan seperti “semoga Tuhan menyertai [“sikap,” NW] engkau,” dia sedang menggalakkan rakan seiman untuk menunjukkan sikap yang selaras dengan kehendak Tuhan dan keperibadian Kristus. (2 Tim. 4:22; baca Kolose 3:9-12.) Kita juga boleh tanya diri, “Apakah sikap yang saya perlihatkan? Bagaimanakah saya dapat memupuk sikap yang diperkenankan Tuhan? Dapatkah saya menyumbang kepada sikap yang positif dalam sidang?” Contohnya, setiap kuntum bunga di ladang bunga matahari menyumbang kepada keindahan ladang itu. Adakah kita juga “bunga” yang menyumbang kepada keindahan sidang? Ya, kita harus berusaha untuk berbuat demikian. Marilah kita bincangkan cara untuk menunjukkan sikap yang diperkenankan Tuhan.

HINDARI SIKAP DUNIA

4. Apakah itu “roh dunia”?

4 Bible menyatakan, ‘Kita tidak menerima roh dunia ini, tetapi kita menerima Roh [daya aktif] Tuhan.’ (1 Kor. 2:12) Apakah itu “roh dunia”? Inilah sikap atau kecenderungan mental yang diperlihatkan oleh dunia Syaitan. Efesus 2:2 (NW) menyatakan, “Pada masa itu, kamu berjalan mengikut sistem dunia ini, mengikut pemerintah yang menguasai udara, iaitu kecenderungan mental yang sedang mempengaruhi orang yang ingkar.” Seperti udara yang menyelubungi kita, roh atau sikap ini terdapat di mana-mana sahaja. Banyak orang hari ini tidak mahu orang mencampuri urusan mereka dan ingin bertindak sesuka hati. Sikap sebegini dipamerkan oleh “orang yang ingkar” di dunia Syaitan.

5. Apakah sikap buruk yang diperlihatkan segelintir orang Israel?

5 Sikap sebegini bukan sesuatu yang baru. Pada zaman Musa, Korah menentang para pemimpin bangsa Israel, terutamanya Harun dan anak-anaknya yang berkhidmat sebagai imam. Mungkin dia nampak ketidaksempurnaan mereka. Atau mungkin dia berfikir bahawa Musa memberikan hak istimewa kepada sanak saudaranya sahaja. Tidak kira apa alasannya, Korah tidak mempunyai pandangan Tuhan. Dia mula mencaci pemimpin yang dilantik Tuhan dengan berkata, ‘Kamu sudah keterlaluan! Mengapakah engkau menganggap dirimu lebih tinggi daripada umat Yehuwa?’ (Bil. 16:3) Dalam cara yang sama, Datan dan Abiram mengadu tentang Musa dan berkata, “Haruskah engkau memerintah kami juga?” Apabila Musa memanggil mereka, dengan angkuh mereka menjawab, “Kami tidak mahu datang!” (Bil. 16:12-14) Yehuwa memang tidak suka sikap mereka dan telah membunuh semua penentang ini.​—Bil. 16:28-35.

6. Apakah sikap buruk beberapa orang pada abad pertama, dan apakah yang difikirkan oleh mereka?

6 Beberapa orang pada abad pertama juga suka mengkritik saudara terlantik di sidang. (Yud. 8) Barangkali mereka berfikir bahawa mereka patut diberikan lebih banyak tanggungjawab. Oleh itu, mereka cuba menghasut orang lain untuk menentang saudara-saudara terlantik yang berkhidmat dengan setia.​—Baca 3 Yohanes 9, 10.

7. Apakah sikap yang harus kita jauhi?

7 Jelas sekali, sikap begitu tidak patut dipamerkan dalam sidang Kristian. Maka kita harus berhati-hati. Para penatua dewasa ini tidak sempurna, sama seperti orang tua-tua pada zaman Musa dan rasul Yohanes. Kesilapan penatua boleh mempengaruhi kita. Jika hal ini berlaku, kita tidak seharusnya menunjukkan sikap dunia dengan berkata, “Saya mahu keadilan!” atau “Tindakan harus diambil ke atas saudara ini!” Yehuwa mungkin tidak mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesilapan yang kecil. Bolehkah kita meniru teladan Yehuwa? Beberapa individu yang terjebak dalam salah laku serius tidak mahu mendengar teguran para penatua kerana nampak kelemahan mereka. Hal ini sama seperti seorang pesakit yang enggan dirawat kerana tidak suka pada doktor yang merawatnya.

8. Apakah ayat Bible yang dapat membantu kita mempunyai pandangan yang wajar terhadap para penatua di sidang?

8 Menurut Bible, Yesus “memegang tujuh buah bintang,” yang mewakili penatua terurap dan juga boleh merujuk kepada semua penatua di sidang. Hal ini harus mengingatkan kita untuk menjauhi sikap dunia. Sebagai Kepala sidang, Yesus berkuasa sepenuhnya ke atas para penatua. (Why. 1:16, 20) Yesus yang matanya “bernyala-nyala seperti api” tahu segala sesuatu yang berlaku dalam kalangan penatua. Sekiranya seorang penatua perlu ditegur, dia pasti akan mengambil tindakan yang sewajarnya pada masa yang sesuai. (Why. 1:14) Sementara itu, kita mesti menghormati para penatua yang terlantik. Paulus berkata, ‘Taatilah pemimpin kamu dan turutlah perintah mereka. Tanpa mengenal lelah mereka memperhatikan kamu, kerana mereka harus bertanggungjawab kepada Tuhan bagi pelayanan mereka. Jika kamu taat kepada mereka, mereka dapat bekerja dengan sukacita. Jika tidak, mereka akan bekerja dengan dukacita, dan hal ini tidak berfaedah bagi kamu.’​—Ibr. 13:17, ABB.

Setelah merenungkan peranan Yesus, apakah reaksi anda semasa ditegur?

9. (a) Apakah sikap yang mungkin ditunjukkan oleh seorang Kristian yang ditegur? (b) Apakah perkara terbaik yang boleh kita lakukan jika ditegur?

9 Sikap seorang Kristian akan diuji semasa ditegur atau kehilangan peluang khidmat tertentu. Seorang saudara muda yang suka main permainan video ganas ditegur oleh para penatua. Sedihnya, dia menolak teguran mereka. Memandangkan dia tidak memenuhi syarat Bible lagi, dia tidak dapat terus berkhidmat sebagai pembantu sidang. (Mzm. 11:5; 1 Tim. 3:8-10) Saudara itu membantah keputusan para penatua. Dia menyatakan rasa tidak puasnya kepada orang lain dan menulis banyak surat ke pejabat cawangan untuk mengkritik penatua. Dia bahkan menghasut ahli sidang yang lain agar turut berbuat demikian. Jika kita mencari alasan untuk menutupi kesalahan, kita tidak mendapat apa-apa manfaat. Sebaliknya keamanan sidang akan diancam. Maka marilah kita menganggap teguran sebagai peluang untuk belajar daripada kelemahan kita lalu menerima teguran itu dengan rendah diri.​—Baca Ratapan 3:28, 29.

10. (a) Menurut Yakobus 3:16-18, apakah sikap yang harus kita pupuk, dan apakah sikap yang harus kita jauhi? (b) Apakah kesannya jika kita bertindak selaras dengan “kebijaksanaan yang datang dari syurga”?

10 Apakah sikap yang harus kita pupuk, dan apakah sikap yang harus kita jauhi? Yakobus 3:16-18 (ABB) memberitahu kita jawapannya, “Apabila orang iri hati dan mementingkan diri sendiri, maka akan berlakulah kekacauan dan segala macam kejahatan. Tetapi orang yang mempunyai kebijaksanaan yang datang dari syurga, pertama sekali murni, suka akan kedamaian, lemah lembut, dan ramah tamah. Mereka berbelas kasihan dan mengamalkan segala macam perbuatan baik. Mereka tidak berat sebelah ataupun munafik. Kebaikan adalah hasil daripada benih kedamaian yang ditanam oleh orang yang suka akan kedamaian.” Jika kita bertindak selaras dengan “kebijaksanaan yang datang dari syurga,” kita dapat memupuk sifat-sifat Tuhan. Kesannya, kita akan menyumbang kepada sikap yang baik di sidang.

TUNJUKKAN SIKAP HORMAT DALAM SIDANG

11. (a) Mengapakah sikap yang betul begitu penting? (b) Apakah yang boleh kita pelajari daripada contoh Daud?

11 Kita harus sentiasa ingat bahawa Yehuwa telah melantik para penatua untuk “menjaga jemaah” Tuhan. (Kis. 20:28; 1 Ptr. 5:2) Tidak kira kita berkhidmat sebagai penatua ataupun tidak, kita mahu menghormati aturan Tuhan. Jika kita mempunyai sikap yang betul, kita tidak akan terlalu risau tentang kedudukan. Semasa Saul berasa bahawa Daud mengancam kedudukannya sebagai raja, dia “iri hati terhadap Daud.” (1 Sam. 18:9) Sikap Saul menjadi begitu buruk sehingga dia ingin membunuh Daud. Janganlah kita menjadi seperti Saul yang terlalu mementingkan kedudukan. Sebaliknya, marilah kita meniru Daud. Walaupun Daud menjadi mangsa ketidakadilan, dia tetap menghormati orang yang dilantik Tuhan.​—Baca 1 Samuel 26:23.

12. Bagaimanakah kita dapat menyumbang kepada perpaduan sidang?

12 Pandangan yang berbeza boleh mengakibatkan masalah dalam sidang dan juga dalam kalangan penatua. Namun, masalah sebegini dapat dielakkan dengan menerapkan nasihat Bible seperti, “Hendaklah kamu saling mendahului untuk memberikan hormat” dan “Janganlah anggap diri kamu lebih bijak daripada yang sebenarnya.” (Rm. 12:10, 16) Daripada berkeras bahawa pandangan kita sahaja yang betul, kita patut sedar bahawa biasanya pandangan orang lain juga tidak salah. Jika kita cuba memahami pandangan orang lain, kita dapat menyumbang kepada perpaduan sidang.​—Flp. 4:5.

13. Apakah yang perlu kita lakukan setelah memberi pandangan? Apakah contoh dalam Bible tentang hal ini?

13 Adakah hal ini bermaksud bahawa kita tidak boleh mengemukakan pandangan sekiranya kita berasa bahawa ada sesuatu dalam sidang yang perlu diubah? Tidak. Pada abad pertama, suatu pertikaian besar telah timbul dalam sidang. Untuk menyelesaikannya, ‘Paulus dan Barnabas dipilih supaya pergi ke Yerusalem dengan beberapa orang lain untuk membincangkan masalah itu dengan rasul-rasul dan para pemimpin jemaah.’ (Kis. 15:2) Saudara-saudara itu pasti mempunyai pendapat dan cadangan masing-masing tentang masalah itu. Namun, setelah setiap saudara menyuarakan pendapatnya dan keputusan telah dibuat berdasarkan bimbingan daya aktif Tuhan, mereka tidak terus berpegang pada pandangan sendiri. Selepas menerima surat mengenai keputusan yang telah dibuat, “mereka bersukacita kerana surat itu menggalakkan” dan meneguhkan iman mereka. (Kis. 15:31; 16:4, 5) Hari ini, sebaik sahaja kita memberitahu pandangan kita kepada saudara-saudara yang bertanggungjawab, kita patut yakin bahawa mereka akan mempertimbangkannya.

SIKAP BAIK TERHADAP SATU SAMA LAIN

14. Bagaimanakah kita boleh menunjukkan sikap baik terhadap satu sama lain?

14 Kita ada banyak peluang untuk menunjukkan sikap yang baik dalam hubungan peribadi kita. Contohnya, kita boleh mengampuni orang yang menyinggung perasaan kita. Firman Tuhan menyatakan, “Hendaklah kamu saling bersabar dan saling mengampuni apabila ada yang menaruh dendam terhadap orang lain. Kamu harus saling mengampuni sebagaimana Tuhan sudah mengampuni kamu.” (Kol. 3:13, ABB) Ada kalanya kita mungkin ada alasan untuk “menaruh dendam” atau berasa marah terhadap orang lain. Namun, janganlah kita terlalu ambil hati terhadap telatah orang lain sehingga mengganggu ketenteraman sidang. Sebaliknya, marilah kita meniru Yehuwa yang sudi mengampuni, dan terus menyembah-Nya bersama saudara saudari kita.

15. (a) Apakah yang dapat kita pelajari daripada sikap Ayub yang suka mengampuni? (b) Bagaimanakah doa membantu kita menunjukkan sikap yang baik?

15 Ayub menyediakan teladan yang baik dalam hal mengampuni orang. Walaupun hati Ayub tertusuk oleh kata-kata tiga orang sahabatnya, dia tetap mengampuni mereka. Apakah yang membantunya? Dia “berdoa untuk ketiga-tiga orang sahabatnya.” (Ayb. 16:2; 42:10) Jika kita berdoa untuk orang lain, pandangan kita terhadap mereka boleh berubah. Kita juga dibantu untuk memupuk sikap Kristus. (Yoh. 13:34, 35) Selain itu, kita patut berdoa untuk bantuan daya aktif Tuhan. (Luk. 11:13) Daya aktif akan membantu kita menunjukkan sifat-sifat Kristian sejati dalam hubungan kita dengan orang lain.​—Baca Galatia 5:22, 23.

PUPUKLAH SIKAP YANG BAIK DI SIDANG

16, 17. Apakah sikap yang ingin anda tunjukkan?

16 Alangkah baiknya jika kita masing-masing berusaha memupuk sikap yang baik di sidang! Rencana ini membantu kita memperbaiki sikap sendiri supaya kita boleh saling menggalakkan. Jadi, teruslah memeriksa diri dengan menggunakan Firman Tuhan. (Ibr. 4:12) Paulus ingin menjadi teladan yang baik kepada rakan seimannya. Dia berkata, “Aku tidak berasa bersalah, tetapi hal itu tidak membuktikan bahawa aku tidak bersalah. Tuhan sahaja yang berhak menentukan sama ada aku bersalah atau tidak.”​—1 Kor. 4:4, ABB.

17 Marilah kita bertindak selaras dengan kebijaksanaan yang datang dari syurga dan tidak memandang tinggi diri sendiri atau kedudukan kita. Hasilnya kita dapat menyumbang kepada sikap yang baik di sidang. Semoga kita saling memaafkan dan terus memiliki pandangan yang positif terhadap satu sama lain. Dengan demikian, kita akan menikmati hubungan yang damai dengan saudara saudari. (Flp. 4:8) Pasti Yehuwa dan Yesus juga gembira dengan sikap baik yang kita tunjukkan.​—Flm. 25.