Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pupuklah Sikap Rendah Hati

Pupuklah Sikap Rendah Hati

“Sesiapa yang terkecil antara kamu, dialah yang terbesar!”​—LUK. 9:48.

1, 2. Apakah nasihat yang diberikan Yesus kepada para rasulnya? Mengapakah dia berbuat demikian?

PADA tahun 32 M, suatu masalah timbul antara rasul-rasul Yesus semasa mereka berada di Galilea. Mereka bertengkar tentang siapa dalam kalangan mereka yang paling penting. Lukas menyatakan, ‘Pertengkaran timbul antara pengikut-pengikut Yesus tentang siapa yang terbesar. Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka. Oleh itu dia menyuruh seorang kanak-kanak berdiri di sisinya. Lalu dia berkata kepada mereka, “Sesiapa yang menyambut kanak-kanak ini kerana aku, menyambut aku. Dan sesiapa yang menyambut aku, juga menyambut Dia yang mengutus aku. Sesiapa yang terkecil antara kamu, dialah yang terbesar!”’ (Luk. 9:46-48, ABB) Dengan sabar tetapi tegas, Yesus membantu para rasulnya untuk memahami betapa pentingnya sikap rendah hati.

2 Secara umum, adakah orang Yahudi pada abad pertama bersikap rendah hati? Tidak. Sebuah buku rujukan Bible menyatakan, “Dalam setiap urusan, persoalan yang sering timbul ialah siapa yang lebih besar, dan bagaimana layanan yang setimpal dengan kedudukan seseorang boleh diberikan.” Maka, Yesus menasihati rasul-rasulnya supaya memupuk sikap yang berbeza daripada sikap yang diperlihatkan oleh orang ramai.

3. (a) Apakah erti perkataan “terkecil” di Lukas 9:48? Mengapakah berbuat demikian tidak mudah? (b) Apakah soalan-soalan yang timbul mengenai sikap rendah hati?

3 Dalam bahasa Yunani, perkataan “terkecil” di Lukas 9:48 merujuk kepada seseorang yang sederhana, rendah hati, rendah diri, tidak penting, atau tidak berpengaruh. Yesus menggunakan contoh seorang kanak-kanak untuk menjelaskan pentingnya sikap rendah hati dan kesederhanaan. Nasihatnya kepada para rasul juga berguna bagi orang Kristian masa sekarang. Kadang-kadang, kita berasa tidak mudah untuk merendahkan diri. Kita mungkin suka mengejar kemasyhuran kerana manusia cenderung bersikap sombong. Semangat dunia dan sikap suka bersaing boleh menyebabkan kita bermegah diri, suka bertanding, atau suka mengawal orang. Apakah yang dapat membantu kita untuk memupuk kerendahan hati? Dalam erti apakah ‘orang terkecil merupakan yang terbesar’? Bilakah kita perlu memupuk sikap rendah hati?

‘ALANGKAH HEBATNYA KEKAYAAN, KEBIJAKSANAAN, DAN PENGETAHUAN TUHAN!’

4, 5. Apakah yang boleh menggerakkan kita untuk bersikap rendah hati? Berikan contoh.

4 Satu cara untuk memupuk kerendahan hati adalah dengan menyedari bahawa Yehuwa jauh lebih agung daripada kita. Sebenarnya, “tiada sesiapa pun dapat menyelami fikiran-Nya.” (Yes. 40:28) Paulus memuji Yehuwa dalam tulisannya, ‘Alangkah hebatnya kekayaan, kebijaksanaan, dan pengetahuan Tuhan! Siapakah dapat menjelaskan keputusan-Nya? Siapakah dapat memahami cara Dia melakukan sesuatu?’ (Rm. 11:33, ABB) Walaupun ilmu manusia semakin bertambah, kata-kata Paulus yang ditulis sekitar 2,000 tahun lalu masih terbukti benar. Betapa banyak pun ilmu kita, kita tidak mungkin dapat mengetahui segala-galanya tentang Yehuwa, perbuatan-Nya, dan pemikiran-Nya. Maka, kita tidak ada sebab untuk membanggakan diri.

5 Mari kita lihat contoh Leo. * Dia dibantu untuk bersikap rendah hati kerana dia sedar bahawa dia tidak mampu mengetahui segala fikiran Tuhan. Semasa dia muda, Leo suka bidang sains. Dia menceburi bidang astrofizik kerana ingin tahu sebanyak yang boleh tentang bintang dan angkasa lepas. Akhirnya dia menyimpulkan, “Apa yang saya belajar membuat saya sedar bahawa manusia tidak dapat memahami alam semesta melalui teori saintifik sahaja. Oleh itu, saya membuat keputusan untuk menceburi bidang perundangan.” Leo menjadi seorang pendakwa raya dan kemudian seorang hakim. Akhirnya, dia dan isterinya mempelajari Bible, menerima kebenaran, lalu membaktikan diri kepada Tuhan. Apakah yang membantu Leo untuk bersikap rendah hati? Dia berkata, “Saya sedar bahawa tidak kira betapa banyak yang kita belajar tentang Yehuwa dan alam semesta, masih ada banyak lagi yang belum kita terokai.”

Yehuwa memuliakan kita dengan memberi kita peluang untuk menginjil

6, 7. (a) Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan sikap rendah hati? (b) Bagaimanakah kerendahan hati Tuhan menyebabkan seseorang agung, atau ‘besar’?

6 Yehuwa sendiri bersikap rendah hati. Jadi hal ini patut mendorong kita untuk bersikap rendah hati. Cuba bayangkan, walaupun keagungan Yehuwa tiada tolok bandingnya, kita diberikan peluang untuk ‘bekerja bersama-sama-Nya!’ (1 Kor. 3:9) Tuhan memberi kita penghormatan yang besar untuk menggunakan Firman-Nya semasa menjalankan kerja penyebaran. Walaupun Yehuwalah yang membuat benih kebenaran tumbuh, kita diberikan peluang untuk menanam dan menyiram benih itu. Tidakkah anda setuju bahawa kita sangat diberkati kerana berpeluang bekerja bersama-sama Tuhan? (1 Kor. 3:6, 7) Ya, Tuhan kita bersikap rendah hati. Teladan Yehuwa patut menggerakkan kita untuk meniru kerendahan hati-Nya.

7 Kerendahan hati Tuhan meninggalkan kesan yang besar pada Daud. Dia bernyanyi, “Engkau akan menyelamatkan aku dengan perisai-Mu, dan kerendahan hati-Mu telah menjadikan aku agung.” (2 Sam. 22:36, NW) Daud berkata bahawa dia menjadi agung di Israel kerana Yehuwa bersikap rendah hati. Tuhan “membongkokkan diri,” atau merendahkan diri untuk memberikan perhatian kepada Daud. (Mzm. 113:5-7) Bagaimana pula dengan kita? ‘Segala yang kita miliki,’ termasuk kebolehan, peluang berkhidmat, dan sifat-sifat baik, merupakan “suatu kurnia” daripada Tuhan. (1 Kor. 4:7) Hamba Yehuwa yang rendah hati dianggap ‘besar’ kerana dia menjadi lebih bernilai dalam mata Tuhan. (Luk. 9:48) Bagaimana?

‘ORANG TERKECIL MERUPAKAN YANG TERBESAR’

8. Bagaimanakah sikap rendah hati mempengaruhi pandangan kita terhadap organisasi Yehuwa?

8 Sikap rendah hati mesti dipupuk jika kita mahu berasa puas hati dalam organisasi Yehuwa dan giat menyokong aturan sidang. Mari kita lihat contoh Petra, seorang wanita muda yang dibesarkan dalam kebenaran. Petra meninggalkan sidang kerana hendak mengikut caranya sendiri. Bertahun-tahun kemudian dia kembali ke sidang. Tetapi kini, dia berasa gembira dalam organisasi Yehuwa dan rela menyokong aturan sidang. Mengapakah pandangannya berbeza sekarang? “Untuk berasa selesa dalam organisasi Tuhan,” katanya, “saya perlu memahami dan memupuk dua sifat yang penting, iaitu kerendahan hati dan kesederhanaan.”

9. Apakah sikap orang yang rendah hati terhadap makanan rohani yang diterimanya? Mengapakah hal ini membuat dia lebih berharga di mata Yehuwa?

9 Orang yang rendah hati mempunyai penghargaan yang mendalam terhadap makanan rohani yang diberikan Yehuwa. Orang seperti ini merupakan pelajar Bible yang rajin dan gemar membaca majalah seperti majalah pembelajaran dan majalah berita. Seperti para penyembah Yehuwa yang setia, dia akan membaca bahan bacaan baru sebelum menyimpannya dalam perpustakaannya. Jika kita membaca dan mempelajari bahan bacaan Bible dengan rendah hati, kita akan membuat kemajuan rohani. Maka Yehuwa boleh menggunakan kita dengan sepenuhnya dalam khidmat-Nya.​—Ibr. 5:13, 14.

10. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kerendahan hati di sidang?

10 Orang yang rendah hati dianggap ‘besar’ dalam satu lagi aspek. Setiap sidang mempunyai penatua yang dilantik berdasarkan daya aktif Yehuwa. Mereka mengaturkan hal-hal seperti perjumpaan, aktiviti penyebaran, dan penggembalaan. Jika kita menunjukkan kerendahan hati dan menyokong aturan sidang dengan rela, kita akan menyumbang kepada sukacita, kedamaian, dan perpaduan sidang. (Baca Ibrani 13:7, 17.) Adakah anda seorang penatua atau pembantu sidang? Memandangkan Yehuwa telah memberi anda peluang istimewa untuk berkhidmat kepada-Nya, tidakkah anda patut bersyukur dan bersikap rendah hati?

11, 12. Sikap apakah yang akan menyebabkan kita menjadi lebih berharga dalam organisasi Yehuwa? Mengapa?

11 Seseorang yang rendah hati dianggap ‘besar’ atau lebih berharga dalam organisasi Yehuwa kerana sikap rendah hati menjadikannya hamba Tuhan yang baik. Yesus telah menasihati para pengikutnya untuk bersikap rendah hati kerana ada di antara mereka yang dipengaruhi oleh sikap dunia. “Pertengkaran timbul antara pengikut-pengikut Yesus tentang siapa yang terbesar,” catat Lukas 9:46 (ABB). Mungkinkah kita juga berfikir bahawa kita lebih baik daripada rakan seiman atau lebih unggul daripada orang lain? Ramai dalam dunia sombong dan mementingkan diri. Semoga kita menjauhi sikap meninggikan diri. Jika kita bersikap rendah hati dan mengutamakan kehendak Yehuwa, kita dapat menjadi sumber kesegaran kepada saudara saudari kita.

12 Nasihat Yesus mengenai kerendahan hati sangat menggalakkan. Kita tentu mahu bersikap rendah hati dalam semua aspek kehidupan. Sekarang, marilah kita lihat tiga aspek.

BERUSAHA UNTUK BERSIKAP RENDAH HATI

13, 14. Bagaimanakah suami ataupun isteri boleh menunjukkan sikap rendah hati, dan bagaimanakah hal ini boleh mempengaruhi perkahwinan mereka?

13 Dalam perkahwinan. Ramai orang hari ini mengutamakan hak sendiri sehingga tidak menghormati hak orang lain. Namun, seseorang yang rendah hati akan mendengar nasihat Paulus, “Kita harus sentiasa bertujuan untuk melakukan hal-hal yang membawa kerukunan, dan yang saling menguatkan iman.” (Rm. 14:19) Seseorang yang rendah hati akan berusaha untuk berdamai dengan semua orang, terutamanya dengan pasangan hidup sendiri.

14 Sebagai contoh, sepasang suami isteri mungkin mempunyai pilihan rekreasi yang berbeza. Seorang suami mungkin suka bersantai di rumah sambil membaca buku. Isterinya pula mungkin lebih suka keluar makan atau melawat kawan-kawannya. Dalam situasi sebegini, tidakkah anda setuju bahawa isteri lebih senang menghormati suami yang bersikap rendah hati, mengambil kira perasaan isteri, dan tidak berkeras dengan pendapatnya sendiri? Dalam cara yang sama, seorang suami akan lebih mengasihi dan menghargai isteri jika isteri tidak berkeras dengan kehendak sendiri tetapi mempertimbangkan keinginan suaminya. Ikatan perkahwinan suami isteri akan bertambah kuat sekiranya masing-masing bersikap rendah hati.​—Baca Filipi 2:1-4.

15, 16. Apakah sikap yang ditonjolkan oleh Mikha seperti yang tercatat di Mikha 7:7? Bagaimanakah hal ini mempengaruhi kelakuan kita dalam sidang?

15 Dalam sidang. Di dunia ini, ramai orang mahu keinginan mereka dipenuhi dengan serta-merta. Mereka kurang sabar dan tidak suka menunggu. Jika kita rendah hati, kita akan berharap kepada Yehuwa dan menantikan-Nya dengan sabar. (Baca Mikha 7:7.) Apabila kita menantikan Yehuwa, kita akan diberkati dengan kedamaian, ketenangan, dan kepuasan. Seperti Mikha, kita patut menantikan Tuhan dengan sabar!

16 Jika anda menantikan Yehuwa dengan rendah hati, anda boleh menikmati berkat yang sama. (Mzm. 42:6) Mungkin anda ‘menginginkan pekerjaan yang baik’ dalam sidang dan sedang berusaha untuk melayakkan diri. (1 Tim. 3:1-7) Memang, anda patut berusaha supaya daya aktif Tuhan membantu anda memupuk sifat-sifat yang diperlukan oleh seorang penyelia. Tetapi bagaimana pula jika anda perlu menunggu lebih lama berbanding orang lain? Orang yang rendah hati akan bersabar dan terus menyembah Yehuwa dengan sukacita dalam apa jua tugasan yang diberikan kepadanya.

17, 18. (a) Apakah manfaatnya jika kita rela meminta maaf dan sanggup memaafkan orang lain? (b) Jika kita tidak dapat memenuhi janji kerana faktor di luar kawalan, bagaimanakah kita boleh menerapkan nasihat di Amsal 6:1-5?

17 Hubungan dengan orang lain. Kebanyakan orang berasa berat mulut untuk meminta maaf. Walau bagaimanapun, penyembah Tuhan yang rendah hati mengaku kesilapan mereka lalu meminta maaf. Mereka juga sudi memaafkan kesilapan orang lain. Keangkuhan menyebabkan perpecahan manakala sikap suka memaafkan menggalakkan kedamaian dalam sidang.

18 Jika kita tidak dapat memenuhi janji disebabkan oleh faktor di luar kawalan, kita perlu meminta maaf dengan ikhlas dan rendah hati. Walaupun pihak lain mungkin bersalah juga, seorang Kristian yang rendah hati rela mengakui kegagalan sendiri.​—Baca Amsal 6:1-5.

Bagaimanakah anda dapat menunjukkan sikap rendah hati?

19. Mengapakah kita perlu bersyukur atas nasihat Bible mengenai kerendahan hati?

19 Adakah anda bersyukur atas nasihat Bible mengenai kerendahan hati? Memang tidak mudah untuk bersikap rendah hati. Namun ingatlah bahawa Pencipta kita juga rendah hati biarpun kedudukan-Nya amat tinggi. Hal ini boleh mendorong kita untuk meniru sifat murni ini. Dengan demikian, kita akan menjadi lebih berharga di mata Yehuwa. Semoga kita semua berusaha untuk bersikap rendah hati!

^ per. 5 Nama telah diubah.