Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pengampunan Yehuwa—Apakah Ertinya Bagi Anda?

Pengampunan Yehuwa—Apakah Ertinya Bagi Anda?

‘Aku Yehuwa, Tuhan yang penuh dengan rahmat dan belas kasihan; Aku tidak cepat murka, serta mengampunkan kejahatan dan dosa.’​—KEL. 34:6, 7.

1, 2. (a) Apakah sifat-sifat yang diperlihatkan oleh Tuhan kepada bangsa Israel? (b) Apakah soalan yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

PADA zaman Nehemia, sekumpulan orang Lewi mengaku dalam doa umum bahawa nenek moyang mereka asyik “tidak mentaati” hukum Yehuwa. Tetapi Yehuwa berkali-kali menunjukkan bahawa Dia merupakan ‘Tuhan yang mengampuni; panjang sabar, berbelas kasihan, dan pengasih.’ Yehuwa terus memperlihatkan kasih kepada orang Israel yang kembali ke Yerusalem pada zaman Nehemia.​—Neh. 9:16, 17.

2 Kita masing-masing harus bertanya, “Apakah erti pengampunan Yehuwa bagi diri saya?” Untuk menjawab soalan yang penting ini, mari kita kupas kisah dua lelaki yang diampuni Yehuwa​—Raja Daud dan Raja Manasye.

DOSA-DOSA DAUD YANG SERIUS

3-5. Bagaimanakah Daud terjebak dalam dosa yang serius?

3 Walaupun Daud takut akan Tuhan, dia pernah melakukan dosa-dosa yang serius. Dua dosanya melibatkan Uria dan Batsyeba. Dosa-dosanya membawa kesan buruk kepada mereka yang terlibat. Namun, cara Tuhan membetulkan kesalahan Daud jelas menunjukkan bahawa Yehuwa rela mengampuni dosa kita. Mari kita imbas kembali apa yang berlaku.

4 Daud telah menghantar tentera Israel untuk menawan orang Amon dan mengepung kota Raba. Kota ini terletak 80 km ke arah timur Yerusalem, iaitu di seberang Sungai Yordan. Pada masa itu, Daud berada di atas bumbung istananya. Dia memandang Batsyeba yang sedang mandi sehingga menaruh berahi terhadapnya. Batsyeba sudah berkahwin tetapi suaminya tiada di rumah. Maka, Daud menjemput Batsyeba ke istana lalu berzina dengannya.​—2 Sam. 11:1-4.

5 Apabila Daud tahu bahawa Batsyeba hamil, dia mengarahkan supaya Uria, suami Batsyeba dibawa pulang ke Yerusalem. Daud berharap Uria akan bersetubuh dengan Batsyeba. Tetapi Uria tidak pulang ke rumah meskipun dipujuk oleh Daud. Oleh itu, Daud menulis sepucuk surat kepada ketua tenteranya dan menyuruh Uria dihantar ke “barisan hadapan, tempat pertempuran yang paling sengit.” Daud juga menulis, “Perintahkanlah pasukanmu undur tanpa pengetahuan Uria.” Seperti yang dirancang, Uria telah dibunuh. (2 Sam. 11:12-17) Dosa Raja Daud kini berganda. Dia bukan sahaja telah berzina, malah menyebabkan kematian seorang lelaki yang tidak bersalah.

PERUBAHAN SIKAP DAUD

6. Apakah yang dilakukan oleh Tuhan selepas Daud terjebak dalam dosa yang serius? Hal ini menyingkapkan apa tentang Yehuwa?

6 Sudah tentu Yehuwa nampak dosa-dosa Daud. (Ams. 15:3) Walaupun Daud kemudiannya mengahwini Batsyeba, ‘Yehuwa tidak berkenan dengan apa yang sudah dilakukan oleh Raja Daud.’ (2 Sam. 11:27) Jadi, apakah reaksi Tuhan? Dia menghantar nabi Natan untuk berjumpa dengan Daud. Yehuwa ingin memberi Daud peluang untuk mengakui kesalahannya. Tuhan berbelas kasihan terhadap Daud dan mahu mengampuninya. Tidakkah anda tersentuh oleh tindakan Yehuwa? Dia tidak memaksa Daud untuk mengaku dosanya tetapi menyuruh Natan memberitahu Daud sebuah cerita yang mencerminkan dosanya. (Baca 2 Samuel 12:1-4.) Tuhan telah mengendalikan situasi yang rumit ini dengan baik sekali!

7. Apakah yang dikatakan oleh Daud selepas mendengar cerita Natan?

7 Ketidakadilan dalam cerita Natan membuat Daud marah. Daud berkata, ‘Beta bersumpah demi Yehuwa yang hidup bahawa si kaya itu mesti dihukum mati!’ Daud juga berkata bahawa mangsa dalam cerita itu perlu diberikan pampasan. Kemudian, Natan mengucapkan kata-kata yang menyentap hati Daud, “Tuanku adalah orang itu!” Daud diberitahu bahawa tindakannya akan membawa kematian dan kesusahan dalam keluarganya. Daud juga akan dimalukan secara terang-terangan. Akhirnya Daud menyesali perbuatan buruknya. ‘Sesungguhnya beta sudah berdosa terhadap Yehuwa,’ katanya.​—2 Sam. 12:5-14.

DOA DAUD DAN PENGAMPUNAN TUHAN

8, 9. Bagaimanakah Mazmur 51 menyingkapkan isi hati Daud, dan apakah yang dapat kita belajar tentang Yehuwa?

8 Lagu yang kemudiannya digubah oleh Raja Daud menunjukkan bahawa dia benar-benar insaf. Mazmur 51 mengandungi rayuan Daud kepada Yehuwa. Dia bukan sahaja mengakui kesilapannya tetapi dia telah bertaubat. Daud mementingkan hubungannya dengan Tuhan dan mengaku, “Aku telah berdosa terhadap-Mu—terhadap-Mu sahaja.” Dia merayu kepada Yehuwa, “Ciptalah hati yang murni bagiku, baharuilah batinku agar menjadi teguh. . . . Buatlah aku gembira lagi kerana penyelamatan daripada-Mu, dan berilah aku hati yang rela mentaati-Mu.” (Mzm. 51:3-6, 9-14, ABB) Adakah anda juga jujur dan terbuka semasa berdoa kepada Yehuwa tentang kelemahan sendiri?

9 Yehuwa tidak melindungi Daud daripada akibat buruk tindakannya. Dia terpaksa menanggung kesan buruk tindakannya sepanjang hayat. Namun, Yehuwa tahu bahawa hati Daud “remuk dan sesal,” dan dia benar-benar insaf. Jadi Yehuwa memaafkannya. (Baca Mazmur 32:5; Mzm. 51:19) Menurut Hukum Musa, Daud dan Batsyeba mesti dihukum mati kerana berzina. Namun, Yehuwa Yang Maha Kuasa dapat melihat sikap dan niat sebenar seorang pendosa. Oleh itu, Dia berbelas kasihan terhadap mereka. (Im. 20:10) Tuhan bahkan menjadikan anak mereka Salomo raja Israel yang seterusnya.​—1 Taw. 22:9, 10.

10. (a) Mengapakah Yehuwa memaafkan Daud? (b) Apakah faktor-faktor yang menggerakkan Yehuwa untuk mengampuni dosa?

10 Satu lagi sebab yang mungkin mendorong Yehuwa untuk memaafkan dosa Daud adalah kerana Daud menunjukkan belas kasihan terhadap Saul. (1 Sam. 24:5-8) Yesus menjelaskan bahawa Yehuwa akan melayan kita sepertimana kita melayan orang lain. ‘Jangan hakimi orang lain, supaya Tuhan tidak menghakimi kamu juga,’ kata Yesus. ‘Tuhan akan menghakimi kamu sebagaimana kamu menghakimi orang lain. Sukatan yang kamu gunakan untuk menghakimi orang lain akan digunakan oleh Tuhan untuk kamu.’ (Mat. 7:1, 2, ABB) Tidakkah anda berasa lega kerana Yehuwa akan memaafkan dosa kita, termasuk dosa-dosa yang serius seperti perzinaan dan pembunuhan? Dia akan berbuat demikian jika kita suka mengampuni, mengakui dosa, dan mengubah sikap buruk kita. Ya, Tuhan akan memaafkan orang yang bertaubat secara ikhlas.​Baca Kisah 3:19, 20.

MANASYE BERDOSA BESAR TETAPI BERTAUBAT

11. Apakah perbuatan buruk yang dilakukan oleh Raja Manasye?

11 Manasye telah menjadi raja Yehuda kira-kira 360 tahun selepas Daud mula memerintah. Kisahnya menunjukkan bahawa Yehuwa sudi mengampuni orang yang melakukan dosa yang amat berat. Pemerintahannya yang menjangkau 55 tahun sarat dengan perbuatan buruk dan mengundang kemurkaan Yehuwa. Antara perbuatan terkutuk Manasye ialah dia membina mazbah untuk penyembahan Baal, “menyembah bintang-bintang,” mempersembahkan anaknya sebagai korban bakar, dan menggalakkan amalan spiritisme. Ya, dia ‘sangat berdosa terhadap Yehuwa.’​—2 Taw. 33:1-6.

12. Bagaimanakah Manasye kembali kepada Yehuwa?

12 Akhirnya, Manasye telah ditangkap lalu dipenjarakan di Babilon. Di sana, dia mungkin mengingat kembali kata-kata Musa kepada orang Israel, ‘Apabila kamu dalam kesusahan dan segala bencana itu menimpa kamu, barulah kamu akan kembali kepada Yehuwa, Tuhan kamu dan taat kepada-Nya.’ (Ul. 4:30, ABB) Manasye telah kembali kepada Yehuwa. Bagaimana? Dia “merendahkan diri” dan “berdoa memohon pertolongan-Nya” (seperti yang digambarkan pada muka 21). (2 Taw. 33:12, 13) Walaupun kita tidak mempunyai catatan tentang apa yang didoakannya, kita tahu doanya tentu seperti doa Raja Daud di Mazmur 51. Ya, Manasye telah bertaubat.

13. Mengapakah Yehuwa mengampuni Manasye?

13 Apakah reaksi Yehuwa selepas mendengar doa Manasye? ‘Tuhan mengabulkan doa Raja Manasye.’ Seperti Daud, Manasye sedar betapa teruk dosanya lalu bertaubat. Maka, Yehuwa mengampuni Manasye dan memulihkan kedudukannya sebagai raja Yerusalem. Hasilnya, ‘Raja Manasye yakin bahawa Yehuwa itu Tuhan.’ (2 Taw. 33:13) Kisah Manasye menunjukkan bahawa Tuhan kita berbelas kasihan dan sudi mengampuni orang yang benar-benar bertaubat. Tidakkah hal ini melegakan hati kita?

Yehuwa mengampuni Manasye dan memulihkan kedudukannya sebagai raja Yerusalem

ADAKAH PENGAMPUNAN YEHUWA BERBATAS?

14. Apakah yang menentukan sama ada seorang pendosa akan diampuni Yehuwa?

14 Tidak ramai umat Tuhan hari ini melakukan dosa yang serius seperti Daud dan Manasye. Namun, kesudian Yehuwa untuk mengampuni kedua-dua raja ini membantu kita memahami bahawa Yehuwa sudi mengampuni dosa yang besar jika seseorang itu benar-benar bertaubat.

15. Bagaimanakah kita tahu Yehuwa tidak memaafkan semua dosa secara automatik?

15 Sudah tentu kita tidak patut menyimpulkan bahawa Yehuwa akan memaafkan semua dosa manusia secara automatik. Mari kita bandingkan sikap Daud dan Manasye dengan orang Israel dan Yehuda. Tuhan mengutus Natan untuk memberi Daud peluang untuk mengubah sikapnya. Daud menerima tawaran Natan dengan rela hati. Semasa Manasye ditimpa kesusahan, dia terdorong untuk bertaubat. Tetapi, penduduk Israel dan Yehuda tidak bertaubat. Oleh itu, Yehuwa tidak mengampuni dosa mereka. Sebaliknya, Tuhan berkali-kali mengutus nabi-Nya untuk memberitahu mereka pandangan-Nya tentang perbuatan buruk mereka. (Baca Nehemia 9:30.) Selepas mereka kembali dari Babilon, Yehuwa terus menghantar utusan-Nya yang setia seperti imam Ezra dan nabi Maleakhi. Umat Yehuwa merasakan sukacita besar kerana bertindak selaras dengan kehendak-Nya.​—Neh. 12:43-47.

16. (a) Apakah yang berlaku kepada bangsa Israel yang tidak bertaubat? (b) Jika terdapat individu keturunan Israel yang bertaubat, apakah peluang yang terbuka kepada mereka?

16 Selepas Yesus mengorbankan nyawanya yang sempurna, Yehuwa tidak menghendaki orang Israel mempersembahkan korban binatang lagi. (1 Yoh. 4:9, 10) Semasa di bumi, Yesus mencerminkan pandangan Bapanya dengan berkata, ‘Yerusalem, Yerusalem! Engkau membunuh nabi dan merejam utusan Tuhan! Sudah beberapa kali aku ingin memeluk semua pendudukmu seperti seekor induk ayam menaungi anak-anaknya di bawah sayapnya, tetapi pendudukmu tidak mahu!’ Oleh itu Yesus berkata, ‘Yerusalem, engkau akan ditinggalkan oleh Tuhan, sehingga engkau terbiar.’ (Mat. 23:37, 38, ABB) Maka, bangsa Israel yang berdosa dan enggan bertaubat telah digantikan dengan Israel rohani. (Mat. 21:43; Gal. 6:16) Tetapi bagaimana pula dengan bangsa Israel jasmani secara individu? Jika mereka beriman kepada Tuhan dan korban tebusan Yesus, mereka berpeluang untuk mendapat pengampunan dan belas kasihan Tuhan. Semasa di dunia baru, orang mati yang tidak sempat bertaubat juga akan dibangkitkan dan diberikan peluang ini.​—Yoh. 5:28, 29; Kis. 24:15.

MANFAATKAN PENGAMPUNAN YEHUWA

17, 18. Bagaimanakah kita boleh mendapat pengampunan Yehuwa?

17 Apakah yang harus kita lakukan untuk diampuni Yehuwa? Seperti Daud dan Manasye, kita perlu mengakui dosa lalu bertaubat. Kita juga perlu meminta pengampunan Yehuwa dan memohon untuk diberikan hati yang murni. (Mzm. 51:12) Jika kita melakukan dosa yang serius, kita perlu meminta bantuan rohani daripada para penatua. (Yak. 5:14, 15) Tidak kira apa situasi kita, ingatlah bahawa Yehuwa merupakan Tuhan yang ‘penuh dengan rahmat, belas kasihan, tidak cepat murka, menunjukkan kasih dan kesetiaan yang besar, menepati janji kepada beribu-ribu keturunan, serta mengampunkan kejahatan dan dosa.’ Yehuwa tidak pernah berubah dan hal ini tentu melegakan hati kita.​—Kel. 34:6, 7.

18 Yehuwa menggunakan perbandingan yang baik semasa berjanji kepada orang Israel yang bertaubat bahawa dosa mereka yang “merah marak” akan “menjadi putih seperti salji.” (Baca Yesaya 1:18.) Jadi, apakah erti pengampunan Yehuwa bagi kita? Yehuwa berjanji akan mengampuni dosa kita dengan sepenuhnya jika kita bersyukur terhadap pengampunan-Nya dan benar-benar bertaubat.

19. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana seterusnya?

19 Memandangkan Yehuwa memaafkan kita, bagaimanakah kita dapat meniru teladan-Nya semasa berurusan dengan orang lain? Bagaimanakah kita dapat menjauhi sikap tidak suka mengampuni sekiranya seseorang melakukan dosa tetapi benar-benar bertaubat? Rencana yang seterusnya akan membantu kita memeriksa diri agar kita dapat menjadi seperti Bapa Yehuwa, Tuhan yang “baik dan suka mengampuni orang.”​—Mzm. 86:5.