Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Tetaplah Berada di Sisi Yehuwa

Tetaplah Berada di Sisi Yehuwa

‘Hampirilah Tuhan, dan Tuhan pun akan menghampiri kamu.’—YAK. 4:8.

1, 2. (a) Apakah rancangan Syaitan? (b) Apakah yang dapat membantu kita menghampiri Tuhan?

TUHAN YEHUWA telah menciptakan manusia dengan keperluan untuk mempunyai hubungan yang rapat dengan-Nya. Namun sejak Syaitan berdusta kepada Hawa di Taman Eden, dia mencuba memperdayakan segenap manusia untuk berfikir bahawa kita tidak memerlukan Yehuwa. (Kej. 3:4-6) Malangnya, ramai telah terpedaya olehnya.

2 Kita tidak perlu memasuki perangkap Syaitan kerana Bible membantu “kita mengetahui rancangannya.” (2 Kor. 2:11) Syaitan mencuba mengasingkan kita daripada Yehuwa dengan menggalakkan kita untuk membuat pilihan yang salah. Namun seperti yang dibincangkan dalam rencana sebelumnya, kita dapat membuat keputusan yang baik dalam aspek kerjaya, hiburan, dan keluarga. Rencana ini pula akan menunjukkan bagaimana kita dapat mempunyai pandangan yang sewajarnya tentang teknologi, kesihatan, wang, dan rasa bangga. Dengan itu kita dibantu untuk ‘menghampiri Tuhan.’—Yak. 4:8.

TEKNOLOGI

3. Jelaskan bagaimana teknologi dapat membawa kebaikan dan juga keburukan.

3 Alatan elektronik terdapat di mana-mana sahaja. Alatan ini memang bermanfaat. Namun, alatan ini juga dapat menjejaskan hubungan kita dengan Bapa di syurga. Mari kita ambil contoh komputer. Majalah ini ditulis dan dicetak dengan bantuan komputer. Komputer juga banyak membantu semasa membuat penyelidikan dan berkomunikasi, serta dapat digunakan sebagai hiburan yang sihat. Namun, ada yang tergila-gilakan teknologi komputer. Pengiklan dengan licik meyakinkan para pengguna bahawa mereka mesti memiliki alat elektronik terbaru. Seorang pemuda begitu menginginkan sejenis komputer tablet sehingga dia menjual salah satu buah pinggangnya. Pengorbanan yang tidak berbaloi sama sekali!

4. Bagaimanakah seorang saudara mengatasi tabiat buruknya dalam hal penggunaan komputer?

4 Hubungan kita dengan Yehuwa akan terjejas jika kita meluangkan terlalu banyak masa untuk teknologi atau menyalahgunakannya. “Saya tahu Bible menasihati kita supaya meluangkan masa untuk hal-hal rohani,” kata Jon, seorang saudara Kristian berumur lewat 20-an. * Namun komputer telah memakan banyak masanya. Jon biasanya melayari Internet sampai lewat malam. Dia berkata, “Semakin letih saya, semakin susah bagi saya untuk berhenti bersembang atau menonton video di Internet.” Untuk menghentikan tabiat buruk ini, Jon menetapkan komputernya untuk padam pada waktu dia harus tidur.—Baca Efesus 5:15, 16.

Ibu bapa, bantulah anak-anak untuk menggunakan teknologi dengan bijak

5, 6. (a) Apakah tanggungjawab ibu bapa? (b) Bagaimanakah ibu bapa memastikan bahawa anak-anak mempunyai pergaulan yang baik?

5 Ibu bapa harus mengawal penggunaan komputer anak-anak. Jangan biarkan bahan lucah, permainan yang ganas, spiritisme, dan pergaulan buruk menjadi pengasuh anak-anak, semata-mata untuk mengisi masa lapang mereka atau kerana anda tidak ingin diganggu oleh mereka. Jika anda membiarkan hal itu berlaku, mereka akan berfikir bahawa perkara-perkara itu tidak salah. Tanggungjawab ibu bapa adalah untuk melindungi anak-anak, termasuk remaja, daripada apa-apa yang dapat menjauhkan mereka daripada Yehuwa. Binatang pun melindungi anaknya. Bayangkan apa yang akan dilakukan oleh induk beruang sekiranya ada orang mengancam anaknya!—Bandingkan Hosea 13:8.

6 Bantulah anak-anak anda untuk bergaul dengan orang Kristian dari pelbagai peringkat umur yang menyediakan teladan yang baik. Ingatlah bahawa anda perlu meluangkan masa dengan anak-anak anda! Jadi luangkanlah masa untuk tertawa, bermain, bekerja, dan menghampiri Yehuwa bersama mereka. *

KESIHATAN

7. Mengapakah kita ingin hidup sihat?

7 “Apa khabar?” Ada kalanya soalan ini mengingatkan kita tentang masalah kesihatan. Kita semua jatuh sakit kerana Adam dan Hawa mengikut nasihat Syaitan dan menjauhkan diri daripada Yehuwa. Syaitan suka apabila kita jatuh sakit kerana kita susah menyembah Yehuwa. Dan jika kita mati, kita langsung tidak dapat menyembah Yehuwa. (Mzm. 115:17) Jadi kita mahu menjaga kesihatan sendiri. * Kita juga patut mengambil berat tentang kesihatan rakan seiman.

8, 9. (a) Bagaimanakah kita dapat memupuk pandangan seimbang mengenai kesihatan? (b) Apakah kebaikannya jika kita memupuk sukacita?

8 Namun kesihatan tidak seharusnya menjadi satu-satunya perkara di minda kita. Ada yang lebih ghairah mempromosikan diet, rawatan, atau produk kesihatan daripada menyebarkan berita baik. Mereka mungkin berfikir bahawa mereka sedang menolong orang lain. Tetapi, tidaklah sesuai untuk mempromosikan produk kesihatan atau kecantikan di Dewan Perjumpaan, perhimpunan, dan konvensyen. Mengapa?

9 Tujuan kita berkumpul bersama adalah untuk membincangkan hal rohani dan untuk menikmati sukacita, iaitu hasil buah daya aktif Tuhan. (Gal. 5:22) Perjumpaan bukanlah tempat untuk berbincang tentang rawatan atau produk kesihatan. Perbuatan sebegitu dapat menjejaskan sukacita orang lain. (Rm. 14:17) Cara menjaga kesihatan terpulang kepada setiap individu. Tambahan lagi, tiada sesiapa yang dapat menyembuhkan segala penyakit. Doktor yang terbaik pun akhirnya menjadi tua dan mati. Lagipun, kalau kita asyik khuatir tentang kesihatan sendiri, umur kita tidak akan bertambah sedikit pun. (Luk. 12:25) Sebaliknya, “hati yang gembira menyihatkan badan.”—Ams. 17:22.

10. (a) Dari pandangan Yehuwa, apakah yang menjadikan seseorang cantik? (b) Bilakah kita dapat menikmati kesihatan yang sempurna?

10 Penampilan kita juga penting, tetapi kita tidak perlu bersusah payah untuk kelihatan muda. Bible menyatakan bahawa bagi orang yang adil benar, “ubannya bagaikan mahkota yang mulia.” (Ams. 16:31) Itulah pandangan Yehuwa, dan kita patut memupuk pandangan itu. (Baca 1 Petrus 3:3, 4.) Maka, wajarkah kita menjalani pembedahan atau menggunakan ubat yang berisiko semata-mata untuk kelihatan lebih cantik? ‘Kesukaan yang diberikan oleh Yehuwalah’ yang membawa kecantikan sejati tidak kira usia atau tahap kesihatan kita. (Neh. 8:10) Di dunia baru, kita akan menikmati kesihatan sempurna dan kecantikan seperti orang muda. (Ayb. 33:25; Yes. 33:24) Sementara itu, kita perlu membuat pilihan yang bijak dan beriman pada janji Yehuwa. Dengan ini, kita akan menikmati kehidupan sekarang dan tidak terlalu risau tentang kesihatan.—1 Tim. 4:8.

WANG

11. Bagaimanakah wang dapat menjauhkan kita daripada Yehuwa?

11 Tidak salah untuk memiliki wang atau berniaga. (Pkh. 7:11, 12; Luk. 19:12, 13) Tetapi, “sikap mencintai wang” akan menjauhkan kita daripada Yehuwa. (1 Tim. 6:9, 10) ‘Kekhuatiran hidup’ atau sikap terlalu risau tentang keperluan harian akan membantutkan kerohanian kita. Begitu juga dengan “keinginan untuk hidup mewah,” kepercayaan bahawa kekayaan dapat membawa kegembiraan dan perlindungan. (Mat. 13:22) Yesus dengan jelas mengatakan bahawa “tidak seorang pun” dapat berjaya menjadi hamba Tuhan dan juga hamba kekayaan pada masa yang sama.—Mat. 6:24.

12. Bagaimanakah orang mencuba mendapatkan wang dengan cepat? Bagaimanakah kita dapat menghindari daripada membuat pilihan yang salah?

12 Jika kita terlalu mementingkan wang, kita mungkin digoda untuk melakukan perkara yang salah. (Ams. 28:20) Sesetengah orang yang ingin cepat kaya membeli tiket loteri atau melibatkan diri dalam skim piramid. Mereka turut mengajak orang lain dalam sidang untuk menyertai mereka. Yang lain pula terumpan dengan pelaburan yang menjanjikan pulangan yang luar biasa lumayan. Janganlah membenarkan ketamakan menyebabkan anda tertipu. Jika ada tawaran yang terlalu sukar untuk dipercayai, janganlah segera mempercayainya.

13. Bagaimanakah pandangan Yehuwa terhadap wang berbeza dengan pandangan orang di dunia?

13 Jika kita ‘mengutamakan Pemerintahan Tuhan dan melakukan kehendak-Nya,’ Yehuwa akan memberkati usaha kita untuk memperoleh keperluan harian. (Mat. 6:33; Ef. 4:28) Dia tidak mahu kita risau tentang wang atau tertidur di Dewan Perjumpaan kerana bekerja terlalu keras. Namun, banyak orang di dunia percaya bahawa dengan mencari banyak wang, masa depan mereka terjamin dan mereka dapat menikmati kesenangan hidup pada kemudian hari. Mereka turut mendesak anak mereka untuk berbuat demikian. Yesus menunjukkan bahawa pandangan tersebut tidak munasabah. (Baca Lukas 12:15-21.) Kita mungkin diingatkan tentang Gehazi yang berpendapat bahawa dia dapat bersikap tamak sambil mempunyai hubungan yang baik dengan Yehuwa.—2 Raj. 5:20-27.

14, 15. Mengapakah tidak bijak untuk berfikir bahawa wang membawa jaminan? Berikan contoh.

14 Sesetengah helang dipercayai lemas kerana asyik mencengkam ikan yang terlalu besar. Mungkinkah hal ini berlaku kepada kita? “Saya selalunya berjimat cermat,” jelas seorang penatua yang bernama Alex. “Jika saya tuang terlebih syampu, saya menuangkan semula lebihannya ke dalam botol.” Tetapi, Alex melibatkan diri dengan pasaran saham supaya dapat berhenti kerja dan mula merintis. Dia mempelajari cara jual beli saham. Dia juga menggunakan semua wangnya dan meminjam wang untuk membeli saham. Namun, nilai saham yang dibelinya jatuh mendadak. Alex berkata, “Saya bertekad untuk mendapatkan kembali wang saya. Saya fikir jika saya bersabar, nilai saham pasti akan naik semula.”

15 Selama berbulan-bulan, Alex hanya memikirkan sahamnya. Dia tidak dapat bertumpu pada perkara rohani ataupun tidur lena. Tetapi, nilai saham tidak naik. Alex kehilangan wang simpanannya dan terpaksa menjual rumahnya. “Saya membawa banyak kesusahan kepada keluarga,” Alex mengaku. Namun, dia mempelajari sesuatu yang penting. “Saya tahu sekarang bahawa sesiapa yang menaruh keyakinan pada sistem Syaitan akan dikecewakan.” (Ams. 11:28) Ya, dengan berharap pada simpanan, pelaburan, atau keupayaan sendiri untuk mendapat wang, kita seperti berharap pada “Iblis yang menguasai dunia ini.” (2 Kor. 4:4; 1 Tim. 6:17) Kini, Alex hidup sederhana supaya dapat meluangkan lebih banyak masa untuk menginjil. Dia dan keluarganya lebih gembira serta tetap berada di sisi Yehuwa.—Baca Markus 10:29, 30.

RASA BANGGA

16. Apakah yang harus kita banggakan, namun apakah yang akan terjadi jika kita terlalu memandang tinggi pada diri sendiri?

16 Kita patut berasa bangga kerana kita Saksi-Saksi Yehuwa. (Yer. 9:24) Maruah diri yang berpatutan akan mendorong kita untuk membuat keputusan yang bijak dan tidak merendahkan taraf moral kita. Namun, jika kita terlalu memandang tinggi pada pendapat atau kedudukan sendiri, kita akan menjauhi Yehuwa.—Mzm. 138:6; Rm. 12:3.

Nikmatilah kerja penyebaran dan janganlah asyik berfikir tentang kedudukan anda di sidang!

17, 18. (a) Berikan contoh orang yang rendah hati dan yang sombong dalam Bible. (b) Bagaimanakah seorang saudara tidak membiarkan sikap sombong untuk menjauhkannya daripada Yehuwa?

17 Bible mengandungi banyak contoh tentang orang yang sombong dan yang rendah hati. Raja Daud mencari bimbingan daripada Yehuwa dengan rendah hati, dan dia diberkati. (Mzm. 131:1-3) Tetapi, Yehuwa menghukum Raja Nebukadnezar dan Belsyazar yang sombong. (Dan. 4:30-37; 5:22-30) Kadangkala, sifat rendah hati kita akan diuji. Ryan, seorang pembantu sidang yang berumur 32 tahun berpindah ke sidang yang baru. Dia berkata, “Saya fikir saya akan dilantik sebagai penatua dalam masa yang singkat. Namun setahun berlalu dan hal itu tidak berlaku.” Adakah Ryan berasa marah kepada para penatua? Adakah rasa bangga menyebabkannya berhenti menghadiri perjumpaan, serta menjauhi Yehuwa dan umat-Nya? Apakah yang akan anda lakukan dalam situasi ini?

18 “Saya membaca semua maklumat dalam bahan bacaan kita tentang keinginan yang tidak tercapai,” kata Ryan. (Ams. 13:12) “Saya mula sedar bahawa saya perlu belajar bersabar dan rendah hati. Saya perlu membiarkan Yehuwa melatih saya.” Ryan mengalihkan perhatian daripada dirinya dan melayani orang lain di sidang dan dalam kerja penyebaran. Tidak lama kemudian, dia mempunyai beberapa orang pelajar Bible yang membuat kemajuan. Dia berkata, “Semasa saya dilantik setahun setengah kemudian, saya berasa terperanjat. Saya begitu gembira dalam kerja penyebaran sehingga tidak berfikir tentang hal itu.”—Baca Mazmur 37:3, 4.

TETAPLAH BERADA DI SISI YEHUWA!

19, 20. (a) Bagaimanakah kita dapat memastikan agar kita tidak menjauhi Yehuwa? (b) Contoh baik siapakah yang dapat kita ikuti?

19 Kita berasa bangga menjadi hamba Yehuwa. Keluarga bahagia dan kesihatan baik ialah hadiah terbaik daripada Yehuwa. Kerja sekular dan wang penting untuk menjaga keperluan kita. Rekreasi dapat menyegarkan dan teknologi adalah berguna. Tujuh aspek ini tidaklah salah. Tetapi, jika kita mengejar perkara-perkara ini pada masa yang salah dan secara berlebihan, kita akan menjauhkan diri daripada Yehuwa.

Jangan biarkan apa-apa menjauhkan anda daripada Yehuwa!

20 Janganlah membiarkan Syaitan menjauhkan anda dan keluarga daripada Yehuwa! (Ams. 22:3) Hampirilah Yehuwa dan tetaplah berada di sisi-Nya seperti yang dilakukan oleh hamba-hamba-Nya pada zaman dahulu. Henokh dan Nuh ‘hidup akrab dengan Tuhan.’ (Kej. 5:22; 6:9,10) ‘Musa tidak berpatah balik, kerana seolah-olah dia sudah nampak Tuhan yang tidak kelihatan.’ (Ibr. 11:27) Yesus selalu mendapat sokongan Bapanya kerana dia sentiasa melakukan kehendak-Nya. (Yoh. 8:29) ‘Hendaklah kita sentiasa bersukacita, dan berdoalah sentiasa. Hendaklah kita bersyukur dalam segala keadaan.’ (1 Tes. 5:16-18, ABB) Janganlah membiarkan apa-apa menjauhkan anda daripada Yehuwa!

^ per. 4 Nama telah diubah.

^ per. 7 Lihat majalah berita terbitan Mac 2011.