Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Hormatilah Nama Yehuwa yang Agung

Hormatilah Nama Yehuwa yang Agung

Aku akan memuji nama Yehuwa, dan umat-Nya akan memberitakan kebesaran-Nya.’—UL. 32:3.

1, 2. Bagaimanakah pandangan Saksi-Saksi Yehuwa mengenai nama Tuhan berbeza dengan kebanyakan gereja Kristian?

KEBANYAKAN gereja Kristian enggan menggunakan nama Tuhan. Contohnya, pendahuluan sebuah Bible menyatakan, “Penggunaan nama Tuhan yang esa . . . memang tidak sesuai untuk digunakan dalam gereja Kristian.”—Revised Standard Version.

2 Saksi-Saksi Yehuwa pula berbesar hati untuk mengisytiharkan dan memuliakan nama Tuhan. (Mzm. 86:12; Yes. 43:10.) Kita bangga untuk memahami makna dan pentingnya penyucian nama itu. (Mat. 6:9) Peluang istimewa ini tidak patut diremehkan. Sekarang kita akan membincangkan tiga soalan penting: Apakah maksudnya mengenal nama Tuhan? Bagaimanakah Yehuwa layak menyandang nama-Nya? Dan bagaimanakah kita dapat “menyembah dan mentaati” Yehuwa?

MENGENAL NAMA TUHAN

3. Bagaimanakah kita dapat mengenal nama Tuhan?

3 Mengenal nama Tuhan bukan sekadar mengetahui perkataan “Yehuwa” sahaja. Hal ini termasuk mengetahui reputasi, sifat-sifat, tujuan, serta cara Dia berurusan dengan umat-Nya yang tercatat dalam Bible. Seraya Yehuwa menggenapi tujuan-Nya, Dia telah memperkenalkan diri-Nya secara beransur-ansur. (Ams. 4:18) Yehuwa memperkenalkan nama-Nya kepada pasangan manusia yang pertama. Hawa menyebut nama itu selepas melahirkan Kain. (Kej. 4:1) Hamba Yehuwa yang setia seperti Nuh, Abraham, Ishak, dan Yakub juga mengenal nama Tuhan. Mereka mengenali Tuhan dengan lebih dalam sewaktu Yehuwa memberkati dan menjaga mereka, serta memberitahu mereka tentang tujuan-Nya. Musa juga diberi penghormatan besar untuk memahami maksud nama Tuhan.

Iman Musa bertambah kuat setelah mengetahui makna nama Tuhan

4. Mengapakah Musa menanya nama Tuhan, dan mengapakah pertanyaan Musa itu wajar?

4 Baca Keluaran 3:10-15, nota kaki. Sewaktu Musa berusia 80 tahun, Tuhan telah memberinya tanggungjawab untuk memimpin bangsa Israel keluar dari Mesir. Dengan penuh hormat, Musa bertanya, ‘Siapakah nama-Mu?’ Musa sudah lama mengenali nama Tuhan, jadi mengapakah dia masih menanyakan soalan ini? Sebenarnya, dia ingin lebih mengenali Tuhan yang menyandang nama itu. Musa ingin meyakinkan bangsa Israel bahawa Tuhan akan menyelamatkan mereka. Bangsa Israel telah menjadi hamba untuk waktu yang lama dan mereka mungkin meragukan kuasa Yehuwa untuk membebaskan mereka. Malah, sesetengah orang Israel mula menyembah dewa dewi Mesir!—Yeh. 20:7, 8.

5. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan makna nama-Nya kepada Musa?

5 Bagaimanakah Yehuwa menjawab soalan Musa? Sebahagian daripada kata-kata-Nya berbunyi, “Inilah yang mesti engkau katakan kepada mereka, ‘Dia yang menyebut diri-Nya AKU sudah mengutus saya kepada kamu.’” * Hal ini bererti bahawa Yehuwa boleh menjadi apa sahaja yang diperlukan untuk memenuhi tujuan-Nya. Dalam ayat 15 Yehuwa berkata, “Itulah nama-Ku untuk selama-lamanya; itulah nama panggilan-Ku yang harus digunakan oleh semua keturunan yang akan datang.” Sudah pasti, kata-kata tersebut telah mengagumkan dan menguatkan iman Musa!

YEHUWA LAYAK MENYANDANG NAMANYA

6, 7. Bagaimanakah Yehuwa memenuhi semua janji-Nya?

6 Selepas memberikan perintah kepada Musa, Yehuwa telah menunaikan janji-Nya dan membebaskan bangsa Israel. Dia menghukum orang Mesir dengan sepuluh tulah dan mendedahkan bahawa Firaun dan dewa dewi mereka tidak berkuasa. (Kel. 12:12) Kemudian, Yehuwa membelah Laut Merah lalu memimpin bangsa Israel melalui laut itu. Tetapi, Dia menenggelamkan Firaun Mesir dan tenteranya. (Mzm. 136:13-15) Di padang gurun, Yehuwa telah melindungi umat-Nya yang berjumlah kira-kira tiga juta orang dengan membekalkan makanan dan minuman kepada mereka! Pakaian dan kasut mereka juga tidak usang. (Ul. 1:19; 29:5) Ya, Yehuwa memang menunaikan semua janji-Nya dan membuktikan kebenaran nama-Nya. Kemudian, Dia berkata kepada Yesaya, ‘Hanya Akulah Yehuwa, Aku sahaja yang dapat menyelamatkan kamu.’—Yes. 43:11, ABB.

7 Pengganti Musa, iaitu Yosua, juga menyaksikan tindakan Yehuwa yang berkuasa. Oleh itu, sebelum akhir hayatnya, Yosua dengan yakin memberitahu bangsa Israel, ‘Kamu masing-masing tahu betul bahawa Yehuwa, Tuhan kamu telah memberi kamu segala yang baik, yang dijanjikan-Nya. Setiap janji-Nya telah ditepati; tiada satu pun yang dimungkiri-Nya.’ (Yos. 23:14) Sememangnya, Yehuwa bertindak seperti yang dijanjikan-Nya.

8. Bagaimanakah Yehuwa memenuhi janji-Nya dewasa ini?

8 Dewasa ini, Yehuwa juga sedang memenuhi janji-Nya. Melalui Anak-Nya, Yehuwa menubuatkan bahawa berita baik “akan dikhabarkan ke seluruh dunia” pada hari-hari terakhir. (Mat. 24:14) Hanya Yehuwa yang dapat menubuatkan dan memastikan kerja ini dilaksanakan. Dia juga menggunakan “orang biasa yang tidak berpendidikan” untuk melakukan kerja ini. (Kis. 4:13) Semasa kita ikut serta dalam kerja penyebaran, kita sebenarnya sedang membantu menggenapi nubuat Bible ini. Kita menunjukkan kesetiaan dan ketulusan kepada Yehuwa dengan berdoa, “Bapa kami yang di syurga, semoga nama-Mu disucikan.”—Mat. 6:9, NW.

NAMANYA YANG AGUNG

Firaun enggan mengakui kebesaran Yehuwa

9, 10. Apakah yang boleh kita pelajari daripada cara Yehuwa berurusan dengan bangsa Israel?

9 Tidak lama selepas bangsa Israel dibebaskan dari Mesir, Yehuwa membantu mereka untuk mengenal-Nya dengan lebih dalam. Menerusi Perjanjian Hukum Musa, Yehuwa menjadi “seperti seorang suami kepada mereka.” (Yer. 31:32) Bangsa Israel pula menjadi seperti isteri kepada Yehuwa dan dipanggil umat Yehuwa. (Yes. 54:5, 6) Jika mereka tunduk dan setia kepada-Nya, Yehuwa berjanji untuk menjadi “suami” baik yang memberkati, melindungi, dan memberikan kesejahteraan kepada mereka. (Bil. 6:22-27) Nama Yehuwa yang agung akan menjadi nyata bagi semua bangsa. (Baca Ulangan 4:5-8; Mazmur 86:7-10.) Sepanjang sejarah bangsa Israel, banyak orang dari pelbagai bangsa tertarik kepada penyembahan sejati. Mereka seperti Rut, seorang wanita Maob, yang berkata kepada Naomi, ‘Bangsa mak, bangsa saya juga, dan Tuhan yang disembah mak, akan saya sembah juga.’—Rut. 1:16.

10 Selama 1,500 tahun, cara Yehuwa berurusan dengan bangsa Israel telah menyerlahkan sifat-sifat-Nya. Walaupun bangsa Israel mengingkari-Nya berulang kali, Yehuwa “tidak cepat murka” dan tetap menunjukkan “belas kasihan.” Hanya Dia yang dapat menunjukkan kepanjangsabaran dengan luar biasa. (Kel. 34:5-7) Namun, kesabaran Yehuwa mempunyai batas. Apabila bangsa Israel menolak dan membunuh Anak-Nya, mereka tidak lagi diterima sebagai umat Tuhan. (Mat. 23:37, 38) Bagi Yehuwa, mereka seperti “kayu yang kering” atau mati secara rohani. (Luk. 23:31) Kemudiannya, apakah perasaan bangsa Israel terhadap nama Tuhan?

11. Mengapakah bangsa Israel berhenti menggunakan nama Tuhan?

11 Selepas masa berlalu, bangsa Israel memupuk kepercayaan karut tentang nama Tuhan. Mereka memandang nama itu sebagai sesuatu yang tidak boleh disebut. (Kel. 20:7) Lambat laun, nama Tuhan tidak lagi digunakan oleh bangsa Israel. Yehuwa pasti sedih kerana nama-Nya tidak lagi dihormati. (Mzm. 78:40, 41) Bible menyatakan bahawa Yehuwa merupakan Tuhan yang cemburu dan nama-Nya amat penting bagi-Nya. Oleh sebab bangsa Israel tidak menghormati nama Yehuwa, mereka tidak lagi layak menyandang nama itu. (Kel. 34:14) Hal ini menunjukkan betapa pentingnya untuk menghormati nama Pencipta kita.

UMAT BARU YANG DIGELAR DENGAN NAMA TUHAN

12. Siapakah bangsa baru yang menyandang nama Tuhan?

12 Melalui Yeremia, Yehuwa berkata bahawa Dia akan membuat “perjanjian yang baru” dengan bangsa baru, iaitu Israel rohani. Yehuwa menambah, “Mereka semua, besar kecil, akan mengenal Aku.” (Yer. 31:31, 33, 34) Nubuat itu mula digenapi pada Pentakosta 33 M apabila Tuhan membuat perjanjian baru dengan Israel rohani. Mereka termasuk orang Yahudi serta orang bukan Yahudi. Mereka adalah “umat yang digelar dengan nama-Ku,” kata Yehuwa.—Kis. 15:14-17, NW; Mat. 21:43; Gal. 6:16.

13. (a) Adakah orang Kristian masa awal menggunakan nama Tuhan? Jelaskan. (b) Bagaimanakah perasaan anda kerana berpeluang menggunakan nama Tuhan dalam kerja penyebaran?

13 Sebagai ‘umat yang digelar dengan nama Tuhan,’ orang Kristian pada abad pertama menggunakan nama Tuhan sewaktu mereka memetik ayat daripada kitab-kitab Ibrani. * Pada Pentakosta 33 M, rasul Petrus menggunakan nama Tuhan semasa berceramah di depan orang Yahudi dan orang bukan Yahudi. (Kis. 2:14, 20, 21, 25, 34) Orang Kristian masa awal menghormati Yehuwa. Oleh itu, Yehuwa memberkati kerja penyebaran mereka. Hari ini, Yehuwa juga memberkati kerja penyebaran kita apabila kita memberitahu nama-Nya kepada orang lain dan menunjukkan nama itu dalam Bible mereka sendiri. Ini merupakan suatu penghormatan bagi kita. Bagi sesetengah orang, ini adalah permulaan suatu persahabatan yang istimewa dengan Yehuwa.

14, 15. Bagaimanakah Yehuwa memelihara nama-Nya?

14 Selepas kematian para rasul, sidang Kristian masa awal mula tercemar. (2 Tes. 2:3-7) Guru-guru palsu mula memeluk tradisi Yahudi dengan tidak menggunakan nama Tuhan. Tetapi, adakah Yehuwa membenarkan nama-Nya lenyap begitu sahaja? Tidak! Kita mungkin tidak tahu cara tepat menyebut nama Tuhan, tetapi nama-Nya terpelihara. Selama ratusan tahun, nama Tuhan terdapat dalam pelbagai terjemahan Bible dan juga dalam tulisan para cendekiawan Bible. Contohnya, pada tahun 1757, Charles Peters menulis bahawa maksud di sebalik nama “Yehuwa” menggambarkan sifat-sifat Tuhan dengan lebih jelas berbanding dengan gelaran yang lain. Pada tahun 1797, sebuah buku tentang ibadat Tuhan yang ditulis oleh Hopton Haynes menyatakan, “YEHUWA ialah nama TUHAN bagi bangsa Yahudi dan merupakan satu-satunya Tuhan yang mereka sembah, serta disembah oleh Kristus dan para Rasul.” Henry Grew (1781-1862) tidak sekadar menggunakan nama Tuhan, tetapi dia juga sedar bahawa nama itu telah dicela dan harus disucikan. Selain itu, George Storrs (1796-1879) dan Charles T. Russell yang bekerja bersama-sama juga menggunakan nama Tuhan.

15 Tahun 1931 merupakan tahun yang sangat penting bagi umat Tuhan. Sebelum itu, mereka dikenal sebagai Pelajar Bible Antarabangsa. Tetapi pada tahun itu, mereka mula menyandang nama Saksi-Saksi Yehuwa. (Yes. 43:10-12) Mereka mengumumkan kepada dunia bahawa mereka bangga untuk menjadi “umat yang digelar dengan nama Tuhan” dan memuliakan nama itu. (Kis. 15:14, 17, NW) Perkembangan ini mengingatkan kita tentang kata-kata pemazmur yang berbunyi, ‘Dari timur ke barat, nama Yehuwa harus dipuji.’—Mzm. 113:3, ABB.

“MENYEMBAH DAN MENTAATI” YEHUWA

16. Bagaimanakah perasaan anda kerana berpeluang menyandang nama Yehuwa?

16 Nabi Mikha menulis, ‘Setiap bangsa menyembah dan mentaati dewa masing-masing, tetapi kita akan menyembah dan mentaati Yehuwa, Tuhan kita selama-lamanya.’ (Mi. 4:5, ABB) Yehuwa membenarkan Pelajar Bible untuk menyandang nama-Nya. Hal ini bukan sahaja merupakan suatu penghormatan, tetapi juga menunjukkan perkenan Tuhan terhadap mereka. (Baca Maleakhi 3:16-18.) Adakah anda juga memandangnya sebagai suatu penghormatan? Adakah anda sedang berusaha untuk “menyembah dan mentaati” Yehuwa?

17. Bagaimanakah kita dapat “menyembah dan mentaati” Yehuwa?

17 “Menyembah dan mentaati” Yehuwa melibatkan tiga hal. Pertama, kita harus menyebarkan nama Yehuwa kepada orang lain, kerana hanya ‘orang yang berseru kepada Yehuwa akan diselamatkan.’ (Rm. 10:13) Kedua, kita harus mencerminkan sifat-sifat Yehuwa, terutamanya sifat kasih. (1 Yoh. 4:8) Ketiga, kita harus mematuhi piawaian-Nya yang adil benar dan tidak melakukan apa-apa yang mengaibkan nama suci Bapa kita. (1 Yoh. 5:3) Adakah anda bertekad untuk “menyembah dan mentaati” Yehuwa selama-lamanya?

18. Mengapakah orang yang menghormati nama Yehuwa tidak perlu takut akan masa hadapan?

18 Firaun pernah berkata, ‘Siapakah Yehuwa? Mengapakah beta harus mendengarkan Dia?’ Tetapi Firaun kemudiannya terpaksa mengakui kebesaran Tuhan. (Kel. 5:1, 2; 9:16; 12:29) Tidak lama lagi, semua orang yang menentang Yehuwa atau yang tidak mengendahkan-Nya terpaksa mengakui kebesaran-Nya. (Yeh. 38:23) Sungguhpun demikian, kita berbeza daripada mereka kerana kita telah memilih untuk mengenal Yehuwa. Kita berbangga menyandang nama-Nya dan menjadi umat-Nya. Mazmur 9:11 menyatakan bahawa orang yang mengenal nama Yehuwa akan yakin pada-Nya dan Tuhan tidak akan meninggalkan mereka. Maka kita tidak perlu takut akan masa depan kerana janji ini pasti digenapi.

^ per. 5 Nama Tuhan merupakan sejenis kata kerja dalam bahasa Ibrani yang bermaksud “untuk menjadi.” Maka nama Yehuwa bermaksud “Dia Yang Menyebabkan Menjadi.”

^ per. 13 Kitab Ibrani yang digunakan oleh orang Kristian dahulukala mengandungi Tetragrammaton, iaitu empat abjad nama Tuhan dalam bahasa Ibrani. Tetragrammaton mungkin juga terdapat dalam salinan Septuagint yang awal, iaitu Kitab Ibrani yang diterjemahkan ke dalam bahasa Yunani.