Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Komunikasi yang Baik Menguatkan Perkahwinan

Komunikasi yang Baik Menguatkan Perkahwinan

“Kata-kata yang diucapkan tepat pada waktunya bagaikan buah emas di dalam pinggan perak.”—AMS. 25:11, ABB.

1. Bagaimanakah komunikasi yang baik membantu perkahwinan?

“SAYA lebih suka meluangkan masa bersama isteri daripada dengan orang lain,” kata seorang saudara di Kanada. Dia juga mengatakan bahawa apabila bersama isterinya, peristiwa yang menggembirakan menjadi lebih gembira dan dia dibantu untuk menghadapi cabaran dengan tabah. Seorang suami di Australia pula menulis, “Selama 11 tahun kami bersama, saya pasti berbual dengan isteri saya setiap hari.” Dia berkata bahawa komunikasi yang bagus membantu mereka saling mempercayai dan menikmati perkahwinan yang kukuh. Seorang saudari di Costa Rica berkata, “Komunikasi yang baik bukan sahaja menyebabkan perkahwinan kami gembira, tetapi juga membantu kami mendekat kepada Yehuwa, melindungi kami daripada godaan, menyatukan kami sebagai suami isteri, dan menyebabkan kasih kami terus mekar.”

2. Mengapakah tidak senang untuk berkomunikasi dengan baik?

2 Adakah anda berkomunikasi dengan baik bersama pasangan? Sememangnya hal ini tidak mudah. Perkahwinan merupakan penyatuan dua insan yang tidak sempurna dengan perwatakan yang berbeza. Latar belakang dan cara dibesarkan juga berlainan. (Rm. 3:23) Tambahan lagi, cara berkomunikasi suami dan isteri mungkin tidak sama. Oleh itu, penyelidik perkahwinan John M. Gottman dan Nan Silver menerangkan bahawa suami isteri harus bertabah dan bekerja keras untuk menikmati ikatan perkahwinan yang berkekalan.

3. Apakah yang membantu banyak pasangan untuk menikmati perkahwinan yang bahagia?

3 Kerja keras diperlukan untuk mewujudkan perkahwinan yang bahagia. Suami isteri yang saling menyayangi boleh menikmati kebahagiaan bersama. (Pkh. 9:9) Fikirkanlah perkahwinan Ishak dan Ribka. (Kej. 24:67) Walaupun sudah lama berkahwin, kasih mereka tetap berkekalan. Begitu juga dengan ramai pasangan hari ini. Apakah rahsianya? Mereka belajar cara untuk mengongsi pendapat dan meluahkan perasaan dengan jujur dan sopan. Mereka juga berusaha memupuk pengertian, kasih, hormat, dan kerendahan hati. Sekarang, kita akan belajar bagaimana sifat-sifat ini boleh membantu suami isteri berkomunikasi dengan baik.

TUNJUKKAN PENGERTIAN

4, 5. Bagaimanakah pengertian membantu suami isteri saling memahami? Berikan contoh.

4 Amsal 16:20 menyatakan, “Orang yang memperhatikan ajaran akan berjaya.” Hal ini memang benar dalam perkahwinan dan dalam keluarga. (Baca Amsal 24:3.) Firman Tuhan memberi kita pengertian dan kebijaksanaan yang diperlukan. Menurut Kejadian 2:18, wanita dicipta sebagai penolong kepada lelaki, bukannya sama seperti lelaki. Maksudnya cara wanita berkomunikasi berbeza daripada lelaki. Kebanyakan wanita suka bercakap tentang perasaan mereka, orang lain, dan hubungan mereka dengan orang. Komunikasi yang mesra dan intim meyakinkan wanita bahawa mereka disayangi. Sebaliknya, lelaki tidak cenderung bercakap tentang perasaan mereka. Mereka lebih gemar berbincang tentang aktiviti, masalah, dan cara menyelesaikan masalah. Lelaki juga mahu dihormati.

5 Seorang saudari di Britain berkata, “Suami saya ingin menyelesaikan masalah dengan cepat, dan bukannya mendengar penjelasan saya.” Hal ini mengecewakan kerana dia mahu suami mendengar dan memahami perasaannya. Seorang suami menulis, “Selepas kami berkahwin, saya cenderung untuk menyelesaikan masalah dengan cepat. Kemudian saya sedar bahawa apa yang isteri saya inginkan adalah supaya saya mendengar isi hatinya.” (Ams. 18:13; Yak. 1:19) Seorang suami yang berpengertian akan mengambil berat terhadap perasaan isteri dan menyayangi isteri. Dia menunjukkan dengan jelas bahawa dia mementingkan pendapat dan perasaan isteri. (1 Ptr. 3:7) Begitu juga seorang isteri berusaha memahami pandangan suami. Apabila suami isteri memahami peranan masing-masing yang ditetapkan oleh Tuhan, mereka akan menikmati perkahwinan yang indah. Malah mereka dapat bekerjasama untuk membuat pilihan yang bijak.

6, 7. (a) Bagaimanakah prinsip di Pengkhutbah 3:7 boleh membantu suami isteri? (b) Bagaimanakah isteri menunjukkan pengertian, dan suami harus berusaha melakukan apa?

6 Pasangan yang menunjukkan pengertian juga tahu bahawa ada “waktu untuk berdiam diri dan waktu untuk bertutur.” (Pkh. 3:7) Seorang saudari yang sudah berkahwin selama sepuluh tahun mendapati bahawa dia perlu memilih waktu yang sesuai untuk bercakap dengan suaminya. Dia berkata, “Jika suami saya kepenatan disebabkan oleh kerja atau tanggungjawab lain, saya biarkan masa berlalu sebelum bercakap dengannya mengenai perkara-perkara tertentu.” Oleh itu, komunikasi mereka bertambah baik. Suami senang hati apabila isteri menggunakan kata-kata lembut “tepat pada waktunya.”—Baca Amsal 25:11.

Perbuatan yang kecil memberi kesan yang besar dalam sebuah perkahwinan

7 Selain itu, suami harus berusaha meluahkan perasaannya dengan jelas. Seorang penatua yang berkahwin selama 27 tahun berkata, “Saya perlu berusaha meluahkan isi hati kepada isteri.” Seorang saudara yang berkahwin selama 24 tahun berkata bahawa dia tidak suka bercakap tentang masalah. Dia berasa bahawa masalah akan lenyap jika dia berdiam sahaja. Dia menambah, “Saya sedar bahawa meluahkan perasaan bukanlah suatu kelemahan. Apabila saya berasa susah, saya berdoa agar dapat meluahkan isi hati dengan kata-kata yang betul. Kemudian, saya menarik nafas yang dalam dan mula bercakap.” Adalah penting juga untuk bercakap dalam suasana yang sesuai, misalnya semasa membincangkan ayat harian atau membaca Bible bersama.

8. Apakah yang boleh mendorong pasangan untuk meningkatkan mutu komunikasi mereka?

8 Tidaklah mudah untuk mengubah cara percakapan masing-masing. Suami dan isteri perlu berdoa dan bertekad untuk meningkatkan mutu komunikasi. Maka, mereka harus mengasihi Yehuwa, menyenangkan hati-Nya, dan memandang perkahwinan sebagai sesuatu yang suci. Seorang saudari yang berkahwin selama 26 tahun menulis, “Kami mengambil berat tentang pandangan Yehuwa terhadap perkahwinan. Jadi, kami tidak pernah berfikir untuk berpisah. Oleh itu, kami berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah dengan berbincang bersama.” Pasangan sebegini pasti menyenangkan hati Yehuwa dan diberkati.—Mzm. 127:1.

TINGKATKAN KASIH

9, 10. Bagaimanakah pasangan boleh memperkuat kasih mereka?

9 Kasih adalah sifat yang paling penting dalam sebuah perkahwinan. (Kol. 3:14) Kasih sejati wujud apabila pasangan menempuh kehidupan harian bersama, tidak kira susah atau senang. Mereka menjadi sahabat yang rapat dan menikmati masa bersama. Untuk mendapatkan hubungan seperti itu, mereka tidak perlu melakukan perbuatan besar seperti yang ditayangkan dalam wayang atau di televisyen. Sebaliknya perbuatan yang kecil seperti pelukan, kata-kata lembut, perbuatan yang bertimbang rasa, senyuman manis, atau menanya khabar boleh menguatkan perkahwinan mereka. Perbuatan yang kecil memberi kesan yang besar dalam sebuah perkahwinan. Sepasang suami isteri yang berkahwin selama 19 tahun saling menelefon dan menghantar SMS hanya untuk bertanya khabar.

10 Kasih juga menggerakkan suami dan isteri untuk terus saling mengenali. (Flp. 2:4) Secara beransur-ansur, perasaan kasih antara mereka akan bertambah kuat walaupun terdapat kelemahan. Jadi, jika anda sudah berkahwin, tanyalah diri, “Adakah saya benar-benar mengenali teman saya? Adakah saya memahami perasaan dan pandangannya? Adakah saya kerap berfikir tentang pasangan saya dan merenungkan sifat-sifatnya yang menawan hati saya?”

TUNJUKKAN HORMAT

11. Mengapakah suami isteri perlu menunjukkan hormat? Berikan contoh Bible.

11 Walaupun pasangan menikmati perkahwinan yang gembira, mereka tidak selalunya setuju dalam semua hal. Abraham dan Sara pernah mempunyai pandangan berbeza. (Kej. 21:9-11) Namun hal itu tidak melemahkan perkahwinan mereka. Mengapa? Kerana mereka menghormati satu sama lain. Contohnya, apabila Abraham menyuruh Sara melakukan sesuatu, dia menggunakan kata-kata yang menunjukkan hormat. (Kej. 12:11, 13) Sara pula mematuhi Abraham dan memanggilnya ‘tuan.’ (1 Ptr. 3:6) Apabila pasangan tidak saling menghormati, cara percakapan dan nada suara mereka akan mencerminkan hal ini. (Ams. 12:18) Jika suami isteri tidak menunjukkan hormat, perkahwinan mereka akan terjejas.—Baca Yakobus 3:7-10, 17, 18.

12. Mengapakah pasangan baru berkahwin perlu berusaha untuk bercakap dengan hormat?

12 Pasangan yang baru berkahwin perlu berusaha untuk bercakap dengan lembut dan hormat. Hal ini akan memudahkan mereka berkomunikasi dengan jujur. Seorang suami menjelaskan bahawa dia dan isteri tidak memahami perasaan, tabiat, dan keperluan satu sama lain pada tahun pertama perkahwinan. Hal ini kadangkala mengecewakan. Namun mereka masih dapat menikmati hubungan yang baik kerana bersikap munasabah, tidak terlalu mengambil hati, dan pandai berlawak. Dia juga berkata bahawa adalah sangat penting untuk bersabar, rendah hati, dan bergantung pada Yehuwa. Betapa benar nasihat dia!

TUNJUKKAN KERENDAHAN HATI YANG SEJATI

13. Mengapakah kerendahan hati sangat penting dalam perkahwinan?

13 Komunikasi yang baik boleh disamakan dengan aliran sungai yang tenang melalui sebuah taman. Kerendahan hati dapat meneruskan aliran komunikasi. (1 Ptr. 3:8) Seorang saudara yang berkahwin selama 11 tahun berkata bahawa kerendahan hati membantu menyelesaikan masalah kerana mendorong kita untuk meminta maaf. Penatua yang telah menikmati perkahwinan yang bahagia selama 20 tahun berkata, “Kadangkala, mengucapkan ‘maafkan saya’ adalah lebih penting daripada ‘aku mencintaimu.’” Dia juga berkata bahawa doa membantu mereka menunjukkan kerendahan hati. “Apabila saya dan isteri berdoa bersama, kami sedar bahawa kami tidak sempurna dan memerlukan belas kasihan Tuhan. Peringatan tersebut membetulkan sudut pandangan saya.”

Kekalkan komunikasi yang baik dalam perkahwinan

14. Bagaimanakah kesombongan membawa kesan buruk kepada perkahwinan?

14 Namun kesombongan menjejaskan komunikasi yang baik. Seorang yang sombong tidak ingin dan tidak berani mengucapkan “maafkan saya.” Sebaliknya dia akan mencari dalih. Dia tidak mengakui kelemahan sendiri, tetapi bertumpu pada kesilapan orang lain. Apabila tersinggung, dia tidak ingin berbaik semula. Sebaliknya dia melawan dan meluahkan kata-kata yang keras, ataupun dia mungkin enggan bercakap. (Pkh. 7:9) Kesombongan boleh menghancurkan perkahwinan. Ingatlah, ‘Tuhan menentang orang sombong, tetapi Dia merahmati orang yang rendah hati.’—Yak. 4:6.

15. Bagaimanakah prinsip di Efesus 4:26, 27 membantu pasangan menyelesaikan masalah?

15 Apabila suami isteri tidak bersetuju tentang sesuatu, mereka harus berusaha untuk menyelesaikan masalah itu secepat mungkin dan bukannya bersifat sombong. Paulus memberitahu, “Janganlah marah sepanjang hari. Janganlah berikan peluang kepada Iblis.” (Ef. 4:26, 27, ABB) Apakah yang mungkin terjadi kepada pasangan yang gagal mengikut nasihat ini? Seorang saudari berkata, “Beberapa kali saya dan suami tidak menerapkan prinsip di Efesus 4:26, 27. Hasilnya saya tidak dapat tidur dengan nyenyak malam itu!” Mungkin sedikit masa diperlukan untuk bertenang dahulu. Namun janganlah bertangguh untuk berdamai semula dengan pasangan. Adalah penting juga untuk berdoa meminta kerendahan hati. Dengan ini, suami isteri tidak akan mengutamakan perasaan sendiri, tetapi memikirkan cara untuk menyelesaikan masalah.—Baca Kolose 3:12, 13.

16. Bagaimanakah kerendahan hati membantu suami isteri menghargai sifat baik dan kebolehan teman?

16 Kerendahan hati membantu suami isteri untuk menghargai sifat baik dan kebolehan pasangan. Contohnya, seorang isteri mungkin memiliki kebolehan tertentu yang membawa manfaat kepada keluarganya. Jika suaminya rendah hati, dia tidak akan berasa terancam, tetapi akan menggalakkan isteri untuk menggunakan kebolehan itu. Dengan demikian suami menunjukkan bahawa dia mencintai dan menghargai isteri. (Ams. 31:10, 28; Ef. 5:28, 29) Isteri yang rendah hati pula tidak akan menunjuk-nunjuk kebolehan sendiri dan merendahkan suaminya. Mengapa? Sebab mereka berdua sudah “menjadi satu,” apa yang menyakiti hati seorang akan menyakiti hati pasangannya.—Mat. 19:4, 5.

17. Bagaimanakah suami isteri dapat menikmati sukacita dan membawa pujian kepada Yehuwa?

17 Sudah tentu anda ingin menikmati perkahwinan yang gembira dan berkekalan seperti Abraham dan Sara, atau Ishak dan Ribka. Perkahwinan mereka membawa pujian kepada Yehuwa. Jadi pupuklah pandangan Yehuwa terhadap perkahwinan. Selamilah Firman-Nya untuk mendapat pengertian dan kebijaksanaan. Pupuklah kasih sejati dan hargailah sifat baik teman anda. (Kid. 8:6) Berusahalah untuk menjadi rendah hati dan tunjukkan hormat kepada pasangan anda. Dengan demikian anda dapat menikmati sukacita dan menggembirakan hati Yehuwa. (Ams. 27:11) Seorang saudara yang berkahwin selama 27 tahun berkata, “Saya tidak boleh bayangkan hidup tanpa isteri saya. Hari demi hari perkahwinan kami menjadi semakin kukuh kerana kami menyayangi Yehuwa dan selalu berkomunikasi.”