Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KISAH HIDUP

Mengapa Kehidupan Kami Bermakna

Mengapa Kehidupan Kami Bermakna

SEJURUS selepas anak saya, Gary, dilahirkan pada tahun 1958, saya mendapati sesuatu yang tidak kena dengan kesihatannya. Doktor memerlukan masa sepuluh bulan untuk mengenal pasti penyakitnya. Lima tahun kemudian, doktor pakar di London mengesahkan penyakitnya. Saya berasa sangat sedih apabila Louise yang dilahirkan sembilan tahun kemudian mempunyai tanda-tanda penyakit yang lebih teruk daripada Gary.

“Kedua-dua anak kamu menghidapi sindrom LMBB, * dan sindrom ini tidak dapat diubati,” kata doktor dengan suara perlahan. Pada masa itu, ramai tidak mengenal sindrom tersebut. Antara ciri-cirinya ialah masalah penglihatan yang boleh menyebabkan kebutaan, kegemukan, jari tambahan pada tangan dan kaki, tumbesaran dan perkembangan mental yang lambat, masalah koordinasi badan, kencing manis, osteoartritis, dan masalah ginjal. Jadi sangat susah bagi saya untuk menjaga anak-anak. Kajian menunjukkan bahawa 1 daripada 125,000 orang di Britain menghidap sindrom LMBB, manakala ramai lagi yang menghidapnya tidak mempunyai kesan yang begitu serius.

YEHUWA ADALAH “PERNAUNGAN” BAGI KITA

Tidak lama selepas berkahwin, saya bertemu dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Saya terus mengetahui bahawa mereka mengajar kebenaran. Suami saya pula langsung tidak berminat. Disebabkan oleh pekerjaannya, kami selalu berpindah. Jadi, saya tidak dapat menghadiri perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa. Namun, saya terus membaca Bible dan berdoa kepada Yehuwa. Saya berasa lega apabila membaca bahawa ‘Yehuwa adalah pernaungan bagi orang yang ditindas, tempat perlindungan pada masa kesusahan’ dan ‘sesiapa pun yang datang kepada-Nya tidak akan ditinggalkan-Nya’!—Mzm. 9:10, 11, ABB.

Penglihatan Gary terbatas lalu dia dihantar ke sekolah khas berasrama di bahagian selatan pantai England pada umur enam tahun. Dia sering menelefon saya apabila dia berasa runsing. Saya membantunya dengan menggunakan prinsip-prinsip Bible. Beberapa tahun selepas Louise dilahirkan, saya pula menghidap penyakit multiple sclerosis dan fibromyalgia. Semasa Gary berumur 16 tahun dia balik ke rumah. Namun dia disahkan buta pada tahun 1975. Pada tahun 1977, suami saya meninggalkan kami.

Selepas Gary balik, kami sibuk dalam sidang bersama saudara saudari yang pengasih. Pada tahun 1974, saya dibaptis. Saya berasa gembira apabila seorang penatua membantu Gary melalui perubahan fizikal zaman remajanya. Saudara saudari juga menolong saya membuat kerja di rumah. Kemudian, pihak kerajaan membayar gaji kepada lima daripada mereka atas khidmat sosial yang diberikan. Sememangnya hal ini suatu berkat daripada Yehuwa!

Gary terus membuat kemajuan rohani dan dibaptis pada tahun 1982. Dia bertekad menjadi perintis sokongan. Saya pun merintis bersamanya selama beberapa tahun. Kemudian, penyelia litar menanya Gary, “Tidakkah kamu mahu menjadi perintis biasa?” Hal ini menggembirakan Gary. Dia dilantik sebagai perintis biasa pada tahun 1990.

Pada tahun 1999 dan 2008, Gary telah menjalani pembedahan sendi pinggul. Tetapi masalah kesihatan Louise jauh lebih serius. Dia dilahirkan buta. Saya sedar bahawa dia juga menghidapi LMBB apabila saya melihat jari tambahan pada kakinya. Louise mengalami banyak masalah organ. Dia telah melalui banyak pembedahan termasuk lima pembedahan ginjal. Seperti Gary dia juga menghidapi penyakit kencing manis.

Louise sedar bahawa masalah mungkin timbul ketika pembedahan. Jadi, sebelum itu, dia berbincang dengan pakar bedah, pakar anestesiologi, dan pihak pengurusan. Dia memberitahu mereka sebab dia tidak akan menerima darah. Hasilnya, Louise mempunyai hubungan yang baik dengan semua yang menjaganya.

KEHIDUPAN YANG BERMAKNA

Kami melakukan banyak aktiviti rohani di rumah. Sebelum adanya alat elektronik moden, saya menghabiskan banyak masa untuk membaca kepada Gary dan Louise. Tetapi, sekarang terdapat CD, DVD, dan rakaman dari www.pr418.com yang memudahkan kami melakukan pembelajaran Bible mingguan pada masa yang berlainan. Hal ini membantu kami memberikan komen di perjumpaan.

Betapa bersyukurnya kami atas kebenaran dari Firman Tuhan!

Adakala, Gary menghafal komen-komennya. Jika dia ada bahagian dalam Sekolah Penyebaran Teokratik, dia memberikannya dalam kakata sendiri. Pada tahun 1995, Gary dilantik sebagai pembantu sidang. Dia selalu sibuk menyambut ahli sidang di Dewan Perjumpaan dan membantu mengendalikan sistem suara.

Disebabkan Gary menghidapi penyakit artritis, dia perlu menggunakan kerusi roda. Saksi-Saksi lain membantu menolak kerusi rodanya semasa menginjil. Seorang Saksi telah membantunya mengendalikan sebuah pembelajaran Bible dengan seorang lelaki yang berminat. Gary juga pernah menggalakkan seorang Saksi yang tidak aktif selama 25 tahun. Kini kedua-duanya hadir di perjumpaan.

Pada umur sembilan tahun, Louise belajar mengait daripada neneknya. Saya dan seorang penjaga mengajarnya cara menyulam. Louise sangat berminat. Dia mengait selimut yang berwarna-warni untuk bayi dan orang tua di sidang. Dia juga membuat kad dengan menggunakan pelekat gambar. Kad-kadnya dihargai oleh semua penerima. Pada awal zaman remajanya, Louise belajar menaip tanpa melihat kekunci. Sekarang dengan bantuan komputer bersuara, dia selalu menghantar e-mel kepada kawannya. Louise dibaptis sewaktu berumur 17 tahun. Semasa kempen penyebaran istimewa, kami berdua bersukacita kerana menjadi perintis sokongan. Seperti Gary, Louise menghafal ayat-ayat Bible dan menunjukkan kepercayaan terhadap janji Tuhan tentang dunia baru di mana “orang buta akan dapat melihat” dan ‘tiada sesiapa akan mengeluh kerana sakit.’—Yes. 33:24; 35:5.

Betapa bersyukurnya kami atas kebenaran dari Firman Tuhan! Kami amat terhutang budi kepada saudara saudari yang mendukung kami. Tanpa mereka, mustahil bagi kami untuk melakukan banyak perkara. Disebabkan bantuan Yehuwa, kehidupan kami amat bermakna.

^ per. 5 Sindrom Laurence-Moon-Bardet-Biedl dinamakan sempena doktor-doktor yang mengenal pasti penyakit ini. Sindrom ini sering dikenali sebagai sindrom Bardet-Biedl. Sindrom ini tidak dapat dirawat.