Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Hargai Yehuwa yang Murah Hati dan Munasabah

Hargai Yehuwa yang Murah Hati dan Munasabah

‘Yehuwa baik terhadap setiap orang, dan mengasihani semua ciptaan-Nya.’—MZM. 145:9, ABB.

1, 2. Kita berpeluang untuk melakukan apa buat selama-lamanya?

SEORANG saudari bernama Monika berkata, “Saya dan suami sudah berkahwin selama 35 tahun. Kami sangat rapat. Walaupun begitu, kami masih saling mengenali.” Tidak dinafikan, banyak suami isteri dan sahabat karib lain juga berasa begitu.

2 Kita gembira untuk mengenali orang yang tersayang. Tetapi, persahabatan dengan Yehuwa merupakan persahabatan yang paling penting. Kita tidak dapat mengenali Yehuwa sepenuhnya. (Rm. 11:33) Tetapi, kita berpeluang mengenali Yehuwa buat selama-lamanya dan akan semakin menghargai sifat-sifat-Nya.—Pkh. 3:11.

3. Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

3 Kita telah membincangkan dua sifat Yehuwa dalam rencana sebelumnya, iaitu sifat mudah didekati dan tidak berat sebelah. Sekarang kita akan membincangkan dua lagi sifat Yehuwa, iaitu murah hati dan munasabah. Dengan itu kita akan sedar bahawa Yehuwa “baik terhadap setiap orang, dan mengasihani semua ciptaan-Nya.”—Mzm. 145:9.

YEHUWA MURAH HATI

4. Apakah maksud sebenar kemurahan hati?

4 Apakah yang dimaksudkan dengan kemurahan hati? Kita boleh mendapat jawapannya dalam kata-kata Yesus di Kisah 20:35, “Lebih berbahagia memberi daripada menerima.” Daripada ayat ini Yesus menerangkan maksud sebenar kemurahan hati. Seseorang yang murah hati berasa gembira untuk memberikan masa, tenaga, dan bantuan lain demi kebaikan orang. Kemurahan hati tidak berdasarkan saiz atau nilai sesuatu pemberian, tetapi niat hati pemberi tersebut. (Baca 2 Korintus 9:7.) Sememangnya, tiada seorang pun yang dapat menandingi kemurahan hati Yehuwa.—1 Tim. 1:11.

5. Apakah cara Yehuwa menunjukkan kemurahan hati?

5 Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan kemurahan hati? Dia menyediakan keperluan semua orang termasuk orang yang belum menyembah-Nya. ‘Yehuwa baik terhadap setiap orang.’ Dia ‘menerbitkan matahari yang dijadikan-Nya untuk orang yang baik dan yang jahat. Dia menurunkan hujan untuk orang yang mentaati-Nya dan juga untuk orang yang tidak mentaati-Nya.’ (Mat. 5:45) Oleh itu, Paulus dapat berkata kepada orang yang tidak percaya, ‘Yehuwa mengurniai kamu hujan dari langit serta hasil bumi pada musimnya. Dia mengurniai kamu makanan serta menyenangkan hati kamu.’ (Kis. 14:17) Jelaslah Yehuwa menunjukkan kemurahan hati kepada semua orang.—Luk. 6:35.

6, 7. (a) Yehuwa gembira untuk menyediakan keperluan siapa? (b) Berikan contoh cara Yehuwa menjaga umat-Nya.

6 Yehuwa gembira menyediakan keperluan umat-Nya yang setia. Raja Daud berkata, ‘Kini aku sudah tua dan sudah hidup lama, tetapi aku tidak pernah melihat orang baik ditinggalkan Yehuwa, ataupun anak mereka meminta-minta makanan.’ (Mzm. 37:25, ABB) Banyak orang Kristian yang setia pernah mengalami bantuan daripada Yehuwa. Marilah kita lihat satu contoh.

7 Beberapa tahun yang lalu, seorang perintis bernama Nancy menghadapi satu situasi yang sukar. Dia memerlukan wang sejumlah 66 dolar untuk membayar sewa rumah pada keesokan hari. Dia berkata, “Saya berdoa, lalu meneruskan kerja sebagai pelayan restoran. Saya tidak sangka saya akan menerima banyak tip kerana hari itu biasanya tidak ramai pelanggan. Namun, ramai orang datang ke restoran. Setelah selesai syif malam, saya mendapati tip yang diterima berjumlah 66 dolar.” Nancy yakin bahawa Yehuwalah yang membantunya.—Mat. 6:33.

8. Apakah pemberian Yehuwa yang sangat bernilai?

8 Yehuwa memberikan sesuatu yang sangat bernilai kepada semua manusia. Apakah pemberian itu? Yehuwa memberikan anak-Nya sebagai korban tebusan. Yesus berkata, ‘Tuhan sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal.’ (Yoh. 3:16, ABB) Ya, Yehuwa amat murah hati kerana pemberian ini tersedia kepada semua yang ingin menerimanya. Setiap orang yang beriman terhadap korban tebusan Yesus akan mendapat kehidupan kekal! (Yoh. 10:10) Ini sememangnya satu bukti bahawa Yehuwa amat murah hati.

TIRU KEMURAHAN HATI YEHUWA

Orang Israel digalakkan untuk meniru kemurahan hati Yehuwa (Lihat  perenggan 9)

9. Bagaimanakah kita dapat meniru kemurahan hati Yehuwa?

 9 Bagaimanakah kita dapat meniru kemurahan hati Yehuwa? Yehuwa “mengurniai kita segala sesuatu dengan berlimpah-limpah untuk dinikmati.” Maka kita juga ingin berkongsi dengan orang lain supaya mereka gembira. (1 Tim. 6:17-19) Kita gembira memberi hadiah serta menolong mereka yang memerlukan bantuan. (Baca Ulangan 15:7.) Bagaimanakah kita boleh selalu ingat untuk menunjukkan kemurahan hati? Sesetengah orang Kristian berbuat begini: Selepas mereka menerima suatu pemberian, mereka mencari peluang untuk berkongsi dengan orang lain. Sidang kita sememangnya diberkati dengan saudara saudari yang murah hati.

10. Apakah cara terbaik untuk bermurah hati?

10 Cara yang terbaik untuk menunjukkan kemurahan hati adalah melalui kata-kata dan perbuatan. Kita boleh menggunakan masa dan tenaga untuk membantu serta memberi galakan kepada orang lain. (Gal. 6:10) Adakah anda murah hati? Tanyalah diri: Adakah saya sudi mendengar keluhan orang lain? Jika seseorang meminta bantuan bagi aktiviti atau tugasan tertentu, adakah saya akan menolongnya jika boleh? Bilakah kali terakhir saya memberikan pujian ikhlas kepada ahli keluarga atau rakan seiman? Jika kita sentiasa murah hati, kita akan mendekat kepada Yehuwa dan sahabat-sahabat.—Luk. 6:38; Ams. 19:17.

11. Apakah caranya kita dapat menunjukkan kemurahan hati kepada Yehuwa?

 11 Kita juga dapat menunjukkan kemurahan hati kepada Yehuwa. Bible menyatakan, ‘Hormatilah Yehuwa dengan memberi Dia persembahan.’ (Ams. 3:9) “Persembahan” yang dinyatakan di ayat itu merangkumi masa, tenaga, kewangan dan harta benda yang digunakan untuk menyembah Yehuwa. Anak-anak juga boleh belajar untuk menunjukkan kemurahan hati kepada Yehuwa. Seorang bapa yang bernama Jason berkata, “Semasa keluarga kami memberi sumbangan, kami menyuruh anak-anak untuk memasukkan wang ke dalam peti sumbangan. Mereka sangat gembira kerana hal ini bagaikan memberi kepada Yehuwa.” Anak-anak sebegini lebih cenderung untuk terus menunjukkan kemurahan hati kepada-Nya apabila mereka dewasa.—Ams. 22:6.

YEHUWA MUNASABAH

12. Apakah yang dimaksudkan dengan munasabah?

12 Satu lagi sifat Yehuwa yang baik ialah sifat munasabah. Apakah yang dimaksudkan dengan munasabah? Dalam bahasa asal Bible, perkataan yang diterjemahkan sebagai munasabah membawa erti bertolak ansur. (Tit. 3:1, 2) Seseorang yang munasabah tidak selalu berpegang kepada peraturan, dan tidak bersikap tegas atau kasar. Sebaliknya, dia lemah lembut dan bertimbang rasa. Dia sudi mendengar orang lain dan bertolak ansur mengikut keadaan mereka.

13, 14. (a) Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa Dia munasabah? (b) Apakah yang dapat kita pelajari dari cara Yehuwa menunjukkan bahawa Dia munasabah kepada Lot?

13 Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa Dia munasabah? Dia mempertimbangkan perasaan dan permintaan umat-Nya. Satu contoh adalah semasa Yehuwa berurusan dengan Lot. Yehuwa memberitahu Lot tentang pembinasaan Sodom dan Gomora, dan mengarahkannya untuk lari ke pergunungan. Namun, atas sebab tertentu Lot meminta untuk lari ke tempat lain. Cuba fikirkan, Lot sebenarnya meminta Yehuwa untuk menukar arahan-Nya.—Baca Kejadian 19:17-20.

14 Kita mungkin berfikir bahawa Lot lemah atau keras kepala. Mengapakah Lot harus ketakutan sedangkan Yehuwa memang dapat menyelamatkannya? Walau bagaimanapun, itulah perasaan Lot. Oleh itu, Yehuwa bertolak ansur dengannya. Yehuwa membenarkan Lot untuk melarikan diri ke sebuah kota lain yang sepatutnya dibinasakan. (Baca Kejadian 19:21, 22.) Jelaslah bahawa Yehuwa tidak terlalu tegas. Sebaliknya, Dia bertolak ansur dan munasabah.

15, 16. Bagaimanakah Hukum Musa menunjukkan kemunasabahan Yehuwa? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

15 Yehuwa juga menunjukkan kemunasabahan melalui Hukum Musa. Hukum itu menyatakan jika orang Israel tidak mampu memberikan domba atau kambing sebagai persembahan, mereka boleh memberi dua burung tekukur atau dua burung merpati. Bagaimana pula jika mereka masih tidak mampu untuk memberikan dua burung tekukur atau dua burung merpati? Yehuwa membenarkan mereka untuk memberikan sedikit tepung sebagai persembahan. Tetapi tepung itu haruslah yang “terbaik” iaitu tepung yang digunakan untuk membuat makanan bagi orang yang terhormat. (Kej. 18:6) Mengapakah ini penting?—Baca Imamat 5:7, 11.

16 Bayangkan anda orang Israel miskin yang membawa sedikit tepung ke khemah suci. Kemudian anda melihat orang Israel yang kaya membawa ternakan mereka. Anda mungkin berasa malu kerana tepung rendah nilainya jika dibandingkan dengan haiwan ternakan. Namun, anda teringat bahawa persembahan itu penting di mata Yehuwa. Mengapa? Kerana Yehuwa telah meminta tepung yang “terbaik” sebagai persembahan. Maka Yehuwa seolah-olah berkata kepada orang Israel yang miskin, “Aku sedar bahawa kamu tidak mampu memberikan apa yang dapat diberikan oleh orang lain. Tetapi Aku tahu bahawa kamu memberikan yang terbaik.” Ya, Yehuwa memang mengambil kira kemampuan dan keadaan umat-Nya.—Mzm. 103:14.

17. Penyembahan apakah yang Yehuwa terima?

 17 Kita berasa lega kerana Yehuwa munasabah dan Dia gembira kerana kita menyembahnya sepenuh hati. (Kol. 3:23) Seorang saudari tua dari Itali yang bernama Constance berkata, “Saya paling suka bercakap tentang Pencipta saya, sebab itulah saya selalu menyebar dan mengajar Bible kepada orang lain. Kadangkala saya kecewa kerana kesihatan saya mengehadkan apa yang saya dapat lakukan. Tetapi saya yakin Yehuwa tahu kemampuan saya. Dia mengasihi dan menghargai usaha saya.”

TIRU YEHUWA YANG MUNASABAH

18. Bagaimanakah ibu bapa dapat meniru Yehuwa?

18 Bagaimanakah kita dapat meniru kemunasabahan Yehuwa? Cuba fikirkan cara Yehuwa berurusan dengan Lot. Sememangnya Yehuwalah yang berkuasa, tetapi Dia mendengar luahan hati Lot. Sebagai ibu bapa, bagaimanakah anda dapat meniru Yehuwa? Dapatkah anda mempertimbangkan permintaan anak-anak dan jika boleh, setuju dengan mereka? Rencana The Watchtower, terbitan 1 September 2007 menyatakan bahawa ibu bapa boleh melibatkan anak-anak dalam perbincangan untuk menetapkan peraturan di rumah. Contohnya, ibu bapa mungkin ingin menetapkan masa anak harus balik ke rumah pada waktu petang atau malam. Ibu bapa memang berhak memilih masa tersebut. Walaupun begitu, ibu bapa Kristian boleh menanya dan mendengar pendapat anak mengenai hal itu. Mereka boleh bertolak ansur dengan anak dan mengubah masa tersebut asalkan tidak bercanggah dengan prinsip Bible. Apabila ibu bapa berbincang dengan anak-anak sebelum menetapkan peraturan, anak-anak akan lebih memahami dan rela mematuhi peraturan itu.

19. Bagaimanakah para penatua dapat meniru kemunasabahan Yehuwa?

19 Penatua di sidang juga boleh meniru kemunasabahan Yehuwa dengan mempertimbangkan keadaan rakan seiman. Ingatlah bahawa Yehuwa menghargai persembahan orang Israel yang miskin. Begitu juga, saudara saudari di sidang mungkin terbatas dalam penyembahan mereka kerana masalah kesihatan atau lanjut usia. Bagaimana pula jika mereka patah semangat kerana keterbatasan mereka? Para penatua boleh meyakinkan mereka bahawa Yehuwa mengasihi mereka kerana memberikan yang terbaik.—Mrk. 12:41-44.

20. Adakah munasabah bermaksud menetapkan batas dalam khidmat kita kepada Yehuwa? Jelaskan.

20 Sememangnya bersifat munasabah tidak bermaksud kita mengurangkan aktiviti dalam menyembah Yehuwa. (Mat. 16:22) Kita tidak ingin menetapkan batas, tetapi ‘berusaha sebaik-baiknya’ untuk Yehuwa. (Luk. 13:24) Jadi, kita perlu menerapkan dua prinsip ini dengan seimbang. Kita ingin memberikan yang terbaik kepada Yehuwa. Pada masa yang sama, Yehuwa tidak akan meminta lebih daripada kemampuan kita. Yehuwa menghargai usaha kita untuk menyembah-Nya dengan sepenuh hati. Tidakkah kita berasa gembira kerana Tuhan Yehuwa bertimbang rasa terhadap kita? Dalam rencana seterusnya, kita akan membincangkan dua lagi sifat Yehuwa yang baik.—Mzm. 73:28.

‘Hormatilah Yehuwa dengan memberi Dia persembahan.’—Ams. 3:9 (Lihat  perenggan 11)

“Lakukanlah semua tugas dengan sepenuh hati.”—Kol. 3:23 (Lihat  perenggan 17)