Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Siapakah “makhluk-makhluk ilahi” di Kejadian 6:2, 4 yang hidup sebelum Banjir Besar?

Sebenarnya ini merujuk kepada malaikat Tuhan. Tetapi apakah buktinya?

Permulaan ayat itu berbunyi, “Makhluk-makhluk ilahi nampak bahawa gadis-gadis itu cantik. Makhluk-makhluk ilahi itu mengahwini gadis-gadis yang disukai oleh mereka.”—Kej. 6:2.

Ungkapan “makhluk-makhluk ilahi” dan “makhluk-makhluk syurga” terdapat dalam kitab-kitab Ibrani seperti di Kejadian 6:2, 4; Ayub 1:6; 2:1; 38:7; dan Mazmur 89:7. Siapakah sebenarnya mereka?

“Makhluk-makhluk syurga” yang tercatat di Ayub 1:6 jelas merujuk kepada para malaikat Tuhan. Di antara mereka ialah Syaitan yang “menjelajahi seluruh bumi.” (Ayb. 1:7; 2:1, 2) Ayub 38:4-7 juga menunjukkan bahawa “makhluk-makhluk syurga bersorak gembira” semasa Tuhan “meletakkan batu penjuru” bumi. Mereka ialah malaikat-malaikat yang hidup sebelum manusia diciptakan. Makhluk-makhluk syurga yang tercatat di Mazmur 89:7 juga jelas merujuk kepada malaikat-malaikat Tuhan.

Jadi, “makhluk-makhluk ilahi” yang tercatat di Kejadian 6:2, 4 merujuk kepada siapa? Bukti-bukti daripada ayat-ayat Bible di perenggan sebelumnya jelas menunjukkan bahawa malaikat-malaikat Tuhanlah yang turun ke bumi.

Ada orang berasa susah untuk mempercayai bahawa malaikat berminat untuk melakukan hubungan seks. Kata-kata Yesus di Matius 22:30 menunjukkan bahawa perkahwinan dan hubungan seks tidak wujud di syurga. Namun, malaikat pernah menjelma menjadi manusia lalu makan dan minum bersama orang. (Kej. 18:1-8; 19:1-3) Maka, kita boleh menyimpulkan bahawa malaikat dapat menjelma menjadi manusia dan melakukan hubungan seks dengan wanita di bumi.

Apakah buktinya? Yudas 6, 7 menunjukkan persamaan antara dosa orang Sodom dengan ‘malaikat-malaikat yang melampaui batas kekuasaan yang telah diberikan oleh Tuhan, sehingga meninggalkan tempat kediaman mereka.’ Persamaannya adalah malaikat-malaikat tersebut dan orang Sodom melakukan “perbuatan cabul dan lucah.” Ayat di 1 Petrus 3:19, 20 mengaitkan malaikat yang jahat dengan zaman Nuh. (2 Ptr. 2:4, 5) Maka, dosa malaikat-malaikat ini adalah seperti dosa yang dilakukan oleh orang di Sodom dan Gomora.

Maka, kita boleh menyimpulkan bahawa “makhluk-makhluk ilahi” yang tercatat di Kejadian 6:2, 4 adalah malaikat-malaikat Tuhan yang menjelma menjadi manusia dan berzina dengan wanita di bumi.

Bible mengatakan bahawa Yesus ‘mengisytiharkan berita daripada Tuhan kepada roh-roh yang dipenjarakan.’ (1 Ptr. 3:19) Apakah maksudnya?

Rasul Petrus berkata bahawa roh-roh ini “tidak taat kepada Tuhan semasa Tuhan menunggu dengan sabar pada zaman Nuh.” (1 Ptr. 3:20, NW) Jelaslah, Petrus sedang merujuk kepada malaikat-malaikat yang menyertai Syaitan menentang Tuhan. Yudas menyatakan bahawa malaikat-malaikat itu ‘melampaui batas kekuasaan yang telah diberikan oleh Tuhan, sehingga meninggalkan tempat kediaman mereka.’ Dan Tuhan akan “membelenggu malaikat-malaikat itu dengan rantai abadi, di tempat yang gelap . . . sehingga Hari Kiamat apabila mereka akan dihukum.”—Yud. 6.

Bagaimanakah makhluk-makhluk roh ini menjadi tidak taat sebelum Banjir Besar pada zaman Nuh? Walaupun Yehuwa tidak mengizinkan, makhluk-makhluk roh jahat ini menjelma menjadi manusia. (Kej. 6:2, 4) Tambahan, Tuhan tidak menciptakan makhluk roh untuk melakukan hubungan seks dengan wanita. (Kej. 5:2) Malaikat-malaikat yang jahat dan tidak setia ini akan dibinasakan oleh Tuhan pada masa yang ditetapkan-Nya. Yudas menyatakan bahawa mereka sekarang berada “di tempat yang gelap” yang bagaikan penjara rohani.

Bilakah dan bagaimanakah Yesus “mengisytiharkan” berita kepada roh-roh yang dipenjarakan? Petrus menulis bahawa hal ini berlaku setelah Yesus “dihidupkan semula dalam keadaan rohani.” (1 Ptr. 3:18, 19) Kata-kata Petrus juga menunjukkan bahawa hal ini berlaku sebelum dia menulis surat pertamanya. Setelah Yesus dibangkitkan, dia mengisytiharkan berita penghakiman kepada makhluk-makhluk roh yang dipenjarakan itu. (Yun. 1:1, 2) Oleh sebab Yesus tetap setia kepada Tuhan hingga akhir dan berjaya menolak pengaruh Syaitan, dia berhak mengisytiharkan berita penghakiman ini.—Yoh. 14:30; 16:8-11.

Pada masa depan, Yesus akan merantai dan membuang Syaitan serta malaikat-malaikat ini ke dalam jurang. (Luk. 8:30, 31; Why. 20:1-3) Tidak lama lagi, semua makhluk roh jahat yang berada di dalam kegelapan rohani akan dibinasakan.—Why. 20:7-10.