Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

“Ingatlah, Aku akan Sentiasa Menyertai Kamu”

“Ingatlah, Aku akan Sentiasa Menyertai Kamu”

‘Ingatlah, aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga akhir zaman.’—MAT. 28:20.

1. (a) Secara ringkas, ceritakan perumpamaan gandum dan lalang. (b) Bagaimanakah Yesus menjelaskan maksud perumpamaan itu?

SEORANG peladang menabur benih gandum yang baik, lalu musuhnya menabur benih lalang di antara gandum itu. Lalang bertumbuh lebih banyak daripada gandum, tetapi peladang menyuruh hambanya untuk ‘membiarkan lalang tumbuh bersama-sama gandum sehingga tiba masa menuai.’ Semasa musim menuai, lalang dibinasakan manakala gandum dikumpulkan. Begitulah bunyinya salah satu perumpamaan Yesus tentang Kerajaan Tuhan. Yesus menjelaskan erti perumpamaan ini. (Baca Matius 13:24-30, 37-42.) Apakah yang kita pelajari daripada perumpamaan ini? (Lihat carta “Gandum dan Lalang.”)

2. (a) Apakah yang disingkapkan oleh cerita ibarat ini? (b) Bahagian manakah dalam cerita ibarat ini yang akan kita bincangkan?

2 Cerita ibarat ini menyingkapkan bagaimana dan bila Yesus akan mengumpulkan orang yang tergolong sebagai “gandum” daripada umat manusia—orang Kristian terurap yang akan memerintah bersama Yesus. Kerja menabur bermula pada Pentakosta 33 M. Kerja mengumpul pula akan selesai apabila semua golongan terurap yang masih hidup di bumi pada akhir zaman dimeteraikan lalu naik ke syurga. (Mat. 24:31; Why. 7:1-4) Seperti pemandangan dari atas bukit, cerita ibarat ini memberikan pemandangan yang luas tentang peristiwa yang meliputi masa kira-kira 2,000 tahun. Maka, apakah pemahaman kita tentang perkembangan Kerajaan Tuhan? Cerita ibarat ini menggambarkan masa menabur, pertumbuhan benih, dan musim menuai. Rencana ini akan membincangkan musim menuai dengan terperinci. *

DI BAWAH JAGAAN YESUS

3. (a) Apakah yang berlaku selepas abad pertama? (b) Apakah soalan yang tercatat di Matius 13:28, dan siapakah yang menanya soalan ini? (Lihat juga nota kaki.)

3 Pada awal abad kedua M, “lalang-lalang itu kelihatan” apabila orang Kristian palsu jelas kelihatan di pentas dunia. (Mat. 13:26) Menjelang abad keempat, orang Kristian yang tergolong sebagai lalang menjadi lebih banyak daripada golongan orang Kristian terurap. Dalam cerita ibarat, hamba meminta izin daripada tuannya untuk mencabut lalang itu. * (Mat. 13:28) Apakah jawapannya?

4. (a) Apakah yang disingkapkan oleh perintah Yesus? (b) Bilakah kita dapat mengenal pasti golongan gandum?

4 Mengenai gandum dan lalang, Yesus berkata, “Biarkanlah lalang tumbuh bersama-sama gandum sehingga tiba masa menuai.” Perintah ini menunjukkan bahawa dari abad pertama hingga hari ini, orang Kristian yang tergolong sebagai “gandum” sentiasa ada di bumi. Hal ini terbukti benar apabila Yesus memberitahu pengikutnya, “Aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga akhir zaman.” (Mat. 28:20) Oleh itu, orang Kristian terurap sentiasa dilindungi oleh Yesus hingga ke akhir zaman. Memandangkan selepas abad pertama, jumlah “lalang” menjadi lebih banyak daripada jumlah “gandum,” kita tidak pasti siapa yang tergolong sebagai “gandum” pada masa itu. Namun, kita dapat melihat perbezaan antara golongan “gandum” dan “lalang” kira-kira 30 tahun sebelum musim menuai bermula. Bagaimana?

UTUSAN YANG “MENYEDIAKAN JALAN”

5. Bagaimanakah nubuat Maleakhi digenapi pada abad pertama?

5 Berabad-abad sebelum Yesus menceritakan ibarat tentang gandum dan lalang, Yehuwa telah mengilhami Maleakhi untuk menubuatkan peristiwa yang mencerminkan cerita ibarat tersebut. (Baca Maleakhi 3:1-4.) Yohanes Pembaptis ialah ‘utusan yang menyediakan jalan.’ (Mat. 11:10, 11) Sewaktu dia datang pada 29 M, masa penghakiman bagi bangsa Israel semakin dekat. Yesus ialah utusan yang kedua. Dia memurnikan rumah Tuhan di Yerusalem sebanyak dua kali. Pertama, semasa permulaan khidmatnya di bumi. Dan kedua, menjelang akhir khidmatnya di bumi. (Mat. 21:12, 13; Yoh. 2:14-17) Maka, kerja memurnikan ini mengambil suatu jangka masa.

6. (a) Apakah pengenapan yang lebih luas bagi nubuat Maleakhi? (b) Bilakah Yesus memeriksa Rumah Rohani Tuhan? (Lihat juga nota kaki.)

6 Apakah pengenapan yang lebih luas bagi nubuat Maleakhi? Menjelang tahun 1914, C. T. Russell dan rakan-rakannya memainkan peranan Yohanes Pembaptis. Mereka berusaha memulihkan kebenaran Bible. Pelajar Bible mengajar kebenaran tentang korban tebusan Kristus, mendedahkan ajaran palsu mengenai neraka, dan mengisytiharkan akhir Zaman Orang Bukan Yahudi pada 1914. Tetapi, masih ada banyak kumpulan agama yang mendakwa bahawa mereka pengikut Kristus. Oleh itu, kumpulan manakah yang tergolong sebagai “gandum”? Untuk menjawab soalan ini, Yesus mula memeriksa Rumah Rohani Tuhan pada tahun 1914. Dia menjalankan kerja memeriksa dan memurnikan dari tahun 1914 hingga awal tahun 1919. *

DIPERIKSA DAN DIMURNIKAN

7. Apakah yang Yesus dapati sewaktu dia membuat pemeriksaan pada tahun 1914?

7 Apakah yang Yesus dapati sewaktu dia membuat pemeriksaan? Sekumpulan kecil Pelajar Bible yang bersemangat. Selama lebih daripada 30 tahun mereka menggunakan tenaga dan harta mereka untuk memajukan kerja penyebaran. * Sememangnya, Yesus dan malaikat-malaikat berasa gembira dengan kumpulan ini. Mereka bagaikan “gandum” yang bertumbuh dengan subur dan tidak dicekik oleh “lalang” Syaitan! Namun, kerja “memurnikan para imam,” iaitu golongan terurap masih perlu dilakukan. (Mal. 3:2, 3; 1 Ptr. 4:17) Mengapa?

8. Apakah yang berlaku selepas tahun 1914?

8 Pada akhir tahun 1914, beberapa Pelajar Bible berasa kecewa kerana harapan mereka untuk naik ke syurga tidak menjadi kenyataan. Pada tahun 1915 dan 1916, penentang dari luar organisasi telah melambatkan kerja penyebaran. Keadaan menjadi lebih teruk lagi apabila Saudara Russell meninggal pada Oktober 1916. Empat daripada tujuh pengarah Watch Tower Bible and Tract Society menentang keputusan untuk melantik Saudara Rutherford sebagai pemimpin mereka. Mereka cuba menimbulkan perpecahan, tetapi pada Ogos 1917, organisasi Yehuwa dimurnikan apabila mereka meninggalkan Bethel. Walaupun beberapa Pelajar Bible berasa takut akan manusia, ramai antara mereka rela dimurnikan dan membuat perubahan. Oleh itu, Yesus memandang mereka sebagai orang Kristian sejati yang merupakan “gandum,” dan menolak semua agama Kristian palsu. (Mal. 3:5; 2 Tim. 2:19) Apakah yang berlaku seterusnya? Untuk mengetahui jawapannya, marilah kita bincangkan cerita ibarat gandum dan lalang.

MUSIM MENUAI BERMULA

9, 10. (a) Apakah yang akan kita bincangkan tentang musim menuai? (b) Apakah perkembangan pertama yang berlaku semasa musim menuai?

9 Yesus berkata, “Musim menuai ialah penghujung sistem dunia ini.” (Mat. 13:39, NW) Musim menuai ini bermula pada tahun 1914. Kita akan membincangkan lima perkembangan yang dinubuatkan oleh Yesus.

10 Pertama, mengumpulkan lalang. Yesus berkata “kepada para penuai supaya mencabut lalang dahulu lalu mengikatnya.” Selepas tahun 1914, malaikat mula memisahkan orang Kristian yang tergolong sebagai “lalang” daripada orang Kristian terurap.—Mat. 13:30, 38, 41.

11. Apakah yang membezakan orang Kristian sejati daripada orang Kristian palsu?

11 Seraya kerja mengumpul berlangsung, perbezaan antara dua kumpulan ini menjadi lebih nyata. (Why. 18:1, 4) Sejak tahun 1919, kejatuhan Babilon Besar jelas kelihatan. Apakah yang membezakan orang Kristian sejati daripada orang Kristian palsu? Kerja penyebaran. Mereka yang mengambil pimpinan di antara Pelajar Bible menekankan pentingnya untuk melakukan kerja penyebaran. Sebagai contoh, sebuah buku yang dicetak pada tahun 1919 menggalakkan semua orang Kristian terurap untuk menyebar dari rumah ke rumah. Buku itu menyatakan bahawa kerja ini tidak senang, namun Tuan akan memberikan kekuatan kepada umatnya untuk melaksanakan kerja ini. Lalu buku itu menyambung, “Anda diberi penghormatan untuk menyertai kerja ini.” Apakah reaksi mereka? The Watch Tower pada 1922 melaporkan bahawa sejak masa itu, para Pelajar Bible menggiatkan usaha dalam aktiviti penyebaran. Oleh itu, kerja menyebar dari rumah ke rumah menjadi tanda pengenal orang Kristian sejati sehingga ke hari ini.

12. Sejak bilakah golongan gandum dikumpulkan?

12 Kedua, mengumpulkan gandum. Yesus memerintah para malaikat, “Kumpulkan gandum, lalu simpanlah gandum di dalam jelapang.” (Mat. 13:30) Sejak tahun 1919, golongan terurap dikumpulkan ke dalam sidang Kristian yang telah dimurnikan. Bagaimana pula dengan golongan terurap yang masih hidup di bumi pada akhir sistem dunia ini? Mereka akhirnya akan dikumpulkan semasa mereka naik ke syurga.—Dan. 7:18, 22, 27.

13. Menurut Wahyu 18:7, apakah sikap pelacur, atau Babilon Besar, termasuk semua agama yang bergelar Kristian hari ini?

13 Ketiga, menangis dan menderita. Selepas malaikat mengikat lalang, apakah yang berlaku? Yesus berkata, “Mereka akan menangis dan menderita [“menggertakkan gigi,” NW].” (Mat. 13:42) Adakah hal itu berlaku sekarang? Tidak. Gereja-gereja Kristian adalah sebahagian daripada pelacur yang digambarkan di Wahyu bab 18. Bahkan hari ini, mereka berkata, “Aku ratu yang memerintah! Aku bukan balu, aku tidak akan mengalami kesedihan!” (Why. 18:7) Ya, agama yang bergelar Kristian ini bermegah dan memandang diri sebagai “ratu yang memerintah” para pemimpin politik. Hari ini, mereka yang tergolong sebagai lalang sedang bermegah, bukan menangis. Tetapi hal ini bakal berubah.

Hubungan akrab antara agama Kristian palsu dan pemimpin politik akan berakhir tidak lama lagi (Lihat perenggan 13)

14. (a) Bilakah semua agama Kristian palsu menderita, dan mengapa? (b) Bagaimanakah penjelasan baru mengenai Matius 13:42 selaras dengan Mazmur 112:10? (Lihat nota kaki.)

14 Selepas semua agama palsu dibinasakan pada kesengsaraan besar, semua penyokongnya mula melarikan diri untuk mencari tempat perlindungan. Tetapi, mereka gagal. (Luk. 23:30; Why. 6:15-17) Mereka tidak dapat melarikan diri lalu mula menangis dan menggertakkan gigi kerana terdesak. Seperti yang dinubuatkan oleh Yesus, “Pada masa itu semua bangsa di bumi akan menangis.” *Mat. 24:30; Why. 1:7.

15. Apakah yang akan berlaku kepada lalang, dan bila?

15 Keempat, dibuang ke dalam tempat pembakaran. Apakah yang akan berlaku selepas lalang dikumpulkan? Malaikat akan membuang lalang “ke dalam tempat pembakaran yang berapi.” (Mat. 13:42) Hal ini bermaksud pembinasaan kekal. Jadi, semua pengikut agama palsu akan dibinasakan pada kemuncak kesengsaraan besar, Armagedon.—Mal. 4:1.

16, 17. (a) Apakah peristiwa terakhir dalam cerita ibarat Yesus? (b) Mengapakah kita boleh menyimpulkan bahawa peristiwa ini akan digenapi pada masa depan?

16 Kelima, bersinar terang. Yesus mengakhiri nubuatnya dengan berkata, “Pada masa itu, orang yang mendapat perkenan Tuhan akan bersinar terang seperti matahari dalam Kerajaan Bapa mereka.” (Mat. 13:43, NW) Bilakah dan di manakah peristiwa ini akan digenapi? Nubuat ini akan berlaku pada masa depan, dan digenapi di syurga, bukannya di bumi. * Mari kita lihat dua penjelasan.

17 Pertama, bilakah hal ini berlaku? Yesus bernubuat, “Pada masa itu, orang yang mendapat perkenan Tuhan akan bersinar terang.” Frasa “pada masa itu” merujuk kepada peristiwa selepas “lalang” dibuang “ke dalam tempat pembakaran yang berapi.” Perkara ini berlaku semasa kemuncak kesengsaraan besar. Oleh itu, golongan terurap akan bersinar terang pada masa depan. Kedua, di manakah hal ini berlaku? Yesus berkata bahawa orang yang mendapat perkenan Tuhan akan ‘bersinar dalam Kerajaan Bapa.’ Apakah maksudnya? Semua orang Kristian terurap yang masih tinggal di bumi selepas peringkat awal kesengsaraan besar akan dimeteraikan. Kemudian mereka akan dikumpulkan ke syurga, seperti yang dinubuatkan Yesus. (Mat. 24:31) Di sana mereka akan bersinar di “dalam Kerajaan Bapa mereka.” Sejurus selepas Armagedon, mereka akan menjadi sebahagian daripada pengantin perempuan dalam “majlis perkahwinan Anak Domba.”—Why. 19:6-9.

MANFAAT BAGI KITA

18, 19. Apakah manfaat yang anda peroleh daripada cerita ibarat Yesus mengenai gandum dan lalang?

18 Bagaimanakah kita meraih manfaat daripada cerita ibarat ini? Terdapat tiga cara. Pertama, pemahaman kita menjadi semakin mendalam. Cerita ibarat ini menjelaskan mengapa Yehuwa membiarkan kejahatan berlaku. Dia bersabar dengan orang jahat agar dapat mengumpulkan ‘mereka yang menjadi tumpuan belas kasihan-Nya,’ iaitu golongan gandum. * (Rm. 9:22-24) Kedua, keyakinan kita bertambah. Seraya akhir mendekat, serangan musuh ke atas kita bertambah, tetapi ‘mereka tidak akan mengalahkan kita.’ (Baca Yeremia 1:18, 19.) Sebagaimana Yehuwa sentiasa melindungi golongan gandum, Bapa kita yang di syurga melalui Yesus dan para malaikat akan ‘sentiasa menyertai kita sehingga akhir zaman.’—Mat. 28:20.

19 Ketiga, cerita ibarat ini membantu kita mengenal pasti golongan gandum. Mengapakah hal ini penting? Mengenal pasti orang Kristian yang tergolong sebagai “gandum” membantu kita menjawab soalan Yesus, ‘Siapakah hamba yang setia dan bijaksana?’ (Mat. 24:45) Rencana yang berikut akan memberikan jawapan yang memuaskan.

 

^ per. 2 Perenggan 2: Untuk mengimbas kembali maksud tentang bahagian lain dalam cerita ibarat ini, anda digalakkan untuk membaca rencana di muka surat 19-23 dalam The Watchtower, 15 Mac 2010.

^ per. 3 Perenggan 3: Golongan terurap yang berada di bumi tidak lagi digambarkan sebagai hamba, tetapi sebagai gandum. Dalam perumpamaan ini, hamba merujuk kepada malaikat. Malaikat juga melambangkan penuai dalam perumpamaan ini.—Mat. 13:39.

^ per. 6 Perenggan 6: Hal ini ialah penjelasan baru. Sebelum ini, kita menganggap bahawa Yesus memeriksa Rumah Rohani Tuhan pada tahun 1918.

^ per. 7 Perenggan 7: Sejak tahun 1910 hingga 1914, Pelajar Bible telah mengedarkan kira-kira 4 juta buku dan lebih daripada 200 juta risalah.

^ per. 14 Perenggan 14: [5] Hal ini ialah penjelasan baru mengenai Matius 13:42. Sebelum ini, bahan bacaan kita menyatakan bahawa semua orang Kristian palsu sudah “menangis dan menderita [“menggertakkan gigi,” NW]” selama berdekad-dekad kerana orang Kristian terurap telah mendedahkan bahawa mereka “berpihak kepada Si Jahat.” (Mat. 13:38) Tetapi, perhatikan bahawa perkataan “menggertakkan gigi” digunakan untuk merujuk kepada orang yang akan dibinasakan. Mazmur 112:10 berkata, “Orang jahat melihat hal ini lalu naik marah. Dia akan menggertak giginya dan lenyap. Harapan orang jahat akan binasa.”—New World Translation of the Holy Scriptures.

^ per. 16 Perenggan 16: Daniel 12:3 berkata, “Pemimpin-pemimpin yang bijaksana [golongan terurap] akan bersinar seperti langit yang cerah.” Semasa di bumi, mereka bersinar apabila melakukan kerja penyebaran. Sebaliknya, Matius 13:43 menunjukkan bahawa mereka “bersinar terang seperti matahari dalam Kerajaan Bapa” di syurga. Sebelum ini, kita beranggapan bahawa kedua-dua ayat Bible ini merujuk kepada kerja penyebaran.

^ per. 18 Perenggan 18: Sila lihat buku Draw Close to Jehovah, muka 288-289.