Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Memberikan Makanan Melalui Beberapa Orang

Memberikan Makanan Melalui Beberapa Orang

‘Yesus membahagikan roti itu dan menyerahkannya kepada pengikut-pengikutnya supaya diberikan kepada orang ramai.’—MAT. 14:19.

1-3. Ceritakan bagaimana Yesus memberikan makanan kepada orang ramai berdekatan Betsaida. (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

BAYANGKAN situasi ini. (Baca Matius 14:14-21.) Sebelum Paska 32 M, Yesus dan pengikutnya pergi ke sebuah kawasan terpencil berdekatan pekan Betsaida, di utara Tasik Galilea. Seramai 5,000 orang lelaki, berserta wanita dan kanak-kanak telah mengikuti mereka.

2 Apabila Yesus melihat orang ramai di situ, dia mengasihani mereka. Jadi dia menyembuhkan orang yang sakit dan mengajar mereka tentang Kerajaan Tuhan. Apabila hari hampir malam, pengikut Yesus memberitahunya supaya menyuruh orang ramai itu pergi ke pekan berdekatan untuk membeli makanan. Tetapi Yesus menjawab, “Kamu sendiri beri mereka makanan.” Pengikut-pengikut Yesus bingung kerana mereka hanya ada lima buku roti dan dua ekor ikan.

3 Atas perasaan simpatinya, Yesus melakukan mukjizat yang tercatat di dalam buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes. (Mrk. 6:35-44; Luk. 9:10-17; Yoh. 6:1-13) Yesus memberitahu pengikutnya supaya menyuruh semua orang di situ untuk duduk dalam kumpulan seramai 50 dan 100 orang. Selepas Yesus berdoa, dia membahagikan roti dan ikan. Dia tidak terus memberikan makanan itu kepada orang ramai, tetapi ‘menyerahkannya kepada pengikut-pengikutnya supaya diberikan kepada orang ramai.’ Makanan itu lebih daripada mencukupi. Catatan ini menunjukkan bahawa Yesus telah memberi ribuan orang makanan melalui beberapa orang pengikutnya. *

4. (a) Bagi Yesus, apakah yang lebih penting? Mengapa? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini dan rencana yang seterusnya?

4 Bagi Yesus, membekalkan makanan rohani kepada pengikutnya adalah lebih penting. Dia tahu bahawa jika mereka dapat mempelajari kebenaran Bible, mereka akan memperoleh hidup kekal. (Yoh. 6:26, 27; 17:3) Perasaan simpati mendorong Yesus untuk memberikan makanan kepada orang ramai. Perasaan itu juga mendorongnya meluangkan banyak masa untuk mengajar pengikutnya. (Mrk. 6:34) Yesus sedar bahawa masanya di bumi tinggal sedikit dan dia akan naik ke syurga. (Mat. 16:21; Yoh. 14:12) Jadi, bagaimanakah Yesus akan memberikan makanan rohani kepada pengikutnya di bumi? Yesus menggunakan cara yang sama, iaitu memberikan makanan kepada orang ramai melalui beberapa orang. Siapakah mereka? Marilah kita lihat bagaimana Yesus memberikan makanan rohani kepada pengikutnya pada abad pertama melalui beberapa orang. Dalam rencana yang seterusnya, kita akan membincangkan soalan yang penting: Yesus memberikan makanan rohani kepada kita dewasa ini menerusi siapa?

Ramai telah diberikan makanan melalui beberapa orang (Lihat perenggan 4)

YESUS MEMILIH BEBERAPA ORANG

5, 6. (a) Apakah keputusan penting yang dibuat oleh Yesus supaya kerohanian pengikutnya dijaga selepas kematiannya? (b) Bagaimanakah Yesus mempersiapkan para rasul untuk tugas yang penting selepas kematiannya?

5 Ketua keluarga yang bertanggungjawab akan membuat aturan supaya keluarganya dijaga sekiranya dia mati. Begitu juga, Yesus selaku kepala sidang telah membuat aturan supaya kerohanian pengikutnya dijaga selepas kematiannya. (Ef. 1:22) Sebagai contoh, dua tahun sebelum Yesus mati, dia membuat keputusan yang penting. Dia memilih beberapa orang untuk memberikan makanan rohani kepada orang ramai. Pertimbangkanlah apa yang berlaku.

6 Selepas berdoa sepanjang malam, Yesus telah memilih 12 orang rasul daripada kalangan pengikutnya. (Luk. 6:12-16) Sepanjang dua tahun, Yesus meluangkan banyak masa untuk mengajar 12 orang rasulnya melalui kata-kata dan teladannya. Yesus tahu bahawa mereka masih perlu mempelajari banyak perkara. Itulah sebabnya mereka dikenali sebagai ‘pengikutnya,’ atau muridnya. (Mat. 11:1; 20:17) Yesus memberi mereka nasihat yang berharga dan latihan dalam kerja penyebaran. (Mat. 10:1-42; 20:20-23; Luk. 8:1; 9:52-55) Dia mempersiapkan mereka untuk melakukan tugas penting selepas dia mati dan naik ke syurga.

7. Apakah keutamaan para rasul seperti yang dikatakan oleh Yesus?

7 Apakah tugas para rasul? Menjelang Pentakosta 33 M, tugas para rasul sebagai penyelia sidang menjadi semakin jelas. (Kis. 1:20) Apakah keutamaan mereka? Selepas Yesus dibangkitkan, dia menjelaskan hal ini kepada Petrus. (Baca Yohanes 21:1, 2, 15-17.) Semasa Petrus bersama-sama rasul yang lain, Yesus memberitahunya, ‘Peliharalah anak-anak dombaku.’ Hal ini menunjukkan bahawa Yesus akan menggunakan beberapa orang, iaitu para rasul untuk memberikan makanan rohani kepada orang ramai. Jelaslah bahawa Yesus sangat mengasihi ‘anak-anak dombanya.’ *

RAMAI DIBERIKAN MAKANAN SEJAK PENTAKOSTA

8. Bagaimanakah orang yang baru percaya pada Pentakosta menunjukkan bahawa mereka tahu siapa yang digunakan oleh Yesus?

8 Sejak Pentakosta 33 M, Yesus memberikan makanan rohani kepada pengikutnya melalui para rasul. (Baca Kisah 2:41, 42.) Sejak hari itu, orang Yahudi dan pemeluk agama Yahudi yang diurapi jelas memahami hal ini. Dengan penuh setia, mereka ‘tekun menerima ajaran daripada rasul-rasul.’ Orang yang baru percaya ini mendahagakan kebenaran Bible, dan tahu daripada siapa mereka dapat mempelajari kebenaran itu. Mereka yakin bahawa para rasul boleh menjelaskan ajaran dan perbuatan Yesus serta ayat-ayat Bible yang berkaitan dengannya. *Kis. 2:22-36.

9. Bagaimanakah para rasul menunjukkan bahawa mereka bertumpu pada tanggungjawab utama mereka?

9 Para rasul bertumpu pada tanggungjawab utama mereka untuk memberikan makanan rohani kepada domba Yesus. Sebagai contoh, perhatikan cara para rasul menangani masalah serius yang mungkin dapat menyebabkan perpecahan dalam sidang yang baru ditubuhkan. Yang menariknya, masalah ini melibatkan makanan jasmani. Balu yang berbahasa Yunani tidak menerima makanan harian, manakala balu yang berbahasa Ibrani menerimanya. Bagaimanakah para rasul menyelesaikan masalah sensitif ini? Mereka melantik tujuh orang saudara yang layak untuk menguruskannya. Kebanyakan rasul mungkin pernah membantu Yesus memberikan makanan jasmani kepada orang ramai. Tetapi kini, mereka sedar bahawa adalah lebih penting untuk bertumpu pada tugas memberikan makanan rohani. Oleh itu, mereka mengutamakan kerja ‘memberitakan perkhabaran daripada Tuhan.’—Kis. 6:1-6.

10. Bagaimanakah Kristus menggunakan rasul-rasul dan para pemimpin jemaah di Yerusalem?

10 Pada 49 M, badan pimpinan yang terdiri daripada rasul yang masih hidup dan beberapa penatua yang layak telah ditubuhkan di Yerusalem. Bible merujuk kepada mereka sebagai “rasul-rasul dan para pemimpin jemaah”. (Baca Kisah 15:1, 2.) Selaku Kepala sidang, Kristus menggunakan mereka untuk menyelesaikan isu-isu tentang ajaran Kristian serta menyelia kerja menyebarkan berita baik Kerajaan Tuhan.—Kis. 15:6-29; 21:17-19; Kol. 1:18.

11, 12. (a) Apakah yang menunjukkan bahawa Yehuwa memberkati cara Yesus memberikan makanan rohani kepada sidang abad pertama? (b) Bagaimanakah orang Kristian abad pertama tahu bahawa Kristus memberikan makanan rohani melalui beberapa orang?

11 Adakah Yehuwa memberkati aturan Yesus untuk memberikan makanan rohani kepada sidang pada abad pertama? Sudah tentu! Bagaimanakah kita tahu? Buku Kisah melaporkan, “Di setiap kota yang dikunjungi, mereka [Paulus dan rakan-rakannya] menyampaikan peraturan yang sudah ditetapkan oleh para rasul dan pemimpin jemaah di Yerusalem. Jemaah dinasihati supaya menurut peraturan itu. Oleh itu, iman jemaah semakin teguh dan setiap hari bilangan mereka semakin bertambah.” (Kis. 16:4, 5, ABB) Perhatikan bahawa kemajuan ini berlaku kerana mereka bekerjasama dengan badan pimpinan di Yerusalem. Bukankah hal ini membuktikan bahawa Yehuwa memberkati aturan Yesus untuk memberikan makanan rohani kepada sidang? Ingatlah bahawa kemajuan rohani hanya akan berlaku dengan adanya ‘berkat Yehuwa.’—Ams. 10:22; 1 Kor. 3:6, 7.

12 Setakat ini, kita telah belajar bahawa Yesus memberikan makanan rohani kepada pengikutnya dalam cara yang sama seperti dia memberikan makanan jasmani kepada orang ramai, iaitu melalui beberapa orang. Orang Kristian abad pertama memahami hal ini dengan jelas. Para rasul yang merupakan anggota pertama badan pimpinan dapat melakukan “banyak mukjizat dan keajaiban” untuk membuktikan bahawa mereka mendapat sokongan Yehuwa. (Kisah 5:12) * Jadi, orang Kristian pada masa itu tidak tertanya-tanya, “Siapakah yang digunakan oleh Yesus untuk memberikan makanan rohani kepada dombanya?” Namun, situasinya berubah pada akhir abad pertama.

Orang Kristian abad pertama memahami dengan jelas bahawa Yesus memberikan makanan rohani melalui beberapa orang (Lihat perenggan 12)

APABILA LALANG BANYAK DAN GANDUM SEDIKIT

13, 14. (a) Apakah amaran yang diberikan oleh Yesus, dan bilakah kata-katanya menjadi kenyataan? (b) Dua kumpulan manakah yang menyerang sidang Kristian? (Lihat nota kaki.)

13 Yesus menubuatkan bahawa sidang Kristian akan diserang. Dalam cerita ibarat tentang gandum dan lalang, Yesus memberikan amaran bahawa lalang (orang Kristian palsu) akan melebihi gandum yang baru ditanam (orang Kristian terurap). Lalang dan gandum dibiarkan bertumbuh bersama sehingga musim menuai, iaitu penghujung sistem dunia. (Mat. 13:24-30, 36-43) Tidak lama kemudian, kata-kata Yesus menjadi kenyataan. *

14 Pada abad pertama, orang murtad muncul dalam sidang Kristian, tetapi para rasul “menghalang perkara itu daripada berlaku.” (2 Tes. 2:3, 6, 7) Tetapi selepas kematian rasul yang terakhir, ajaran palsu berakar umbi dan merebak ke semua sidang Kristian. Lalang dan gandum tumbuh bersama selama berabad-abad. Lalang juga menjadi semakin banyak, manakala gandum hanya sedikit. Tiada saluran yang menyediakan makanan rohani secara tetap. Situasi ini akan berubah, tetapi bila?

MUSIM MENUAI—SIAPAKAH YANG AKAN MEMBERIKAN MAKANAN?

15, 16. Apakah hasil yang diperoleh oleh Pelajar Bible yang menyelidiki Bible dengan rajin? Apakah soalan yang timbul berkenaan Pelajar Bible?

15 Menjelang musim menuai, sekumpulan orang mula menunjukkan minat terhadap kebenaran Bible. Pada 1870-an, mereka menubuhkan kelas Bible dan dikenali sebagai Pelajar Bible. Mereka bukanlah sebahagian daripada lalang, iaitu kumpulan orang Kristian palsu. Dengan rendah hati, Pelajar Bible menyelidiki Bible dengan teliti untuk mencari kebenaran.—Mat. 11:25.

16 Usaha tekun Pelajar Bible membawa hasil yang baik. Mereka mendedahkan ajaran palsu dan menyebarkan kebenaran dengan menerbitkan dan mengedarkan bahan bacaan Bible ke serata dunia. Usaha mereka berjaya mencapai hati dan meyakinkan ramai orang yang lapar secara rohani. Maka, kita mungkin bertanya: Sebelum tahun 1914, adakah Yesus memberikan makanan rohani kepada dombanya menerusi Pelajar Bible? Tidak. Gandum dan lalang masih bertumbuh bersama dan Pelajar Bible belum bersedia untuk menyalurkan makanan rohani. Masanya belum tiba untuk memisahkan orang Kristian palsu (“lalang”) daripada orang Kristian sejati (“gandum”).

17. Apakah peristiwa penting yang berlaku pada tahun 1914?

17 Dalam rencana sebelum ini, kita telah mempelajari bahawa musim menuai bermula pada tahun 1914. Pada tahun itu, beberapa peristiwa penting berlaku. Yesus telah menjadi raja dan hari-hari terakhir bermula. (Why. 11:15) Sejak tahun 1914 hingga awal tahun 1919, Yesus dan Bapanya memeriksa dan memurnikan Rumah Rohani Tuhan. * (Mal. 3:1-4) Pada tahun 1919, gandum mula dikumpulkan. Akhirnya, tibalah masanya Yesus melantik sekumpulan orang untuk menyalurkan makanan rohani!

18. Yesus berkata bahawa dia akan melantik siapa? Apakah soalan penting yang timbul memandangkan hari-hari terakhir sudah bermula?

18 Dalam nubuat tentang hari-hari terakhir, Yesus berkata bahawa dia akan melantik “hamba” untuk memberikan makanan rohani “pada waktu yang ditentukan.” (Mat. 24:45-47) Siapakah “hamba” ini? Seperti pada abad pertama, Yesus akan memberikan makanan kepada orang ramai melalui beberapa orang. Memandangkan hari-hari terakhir sudah bermula, timbullah soalan penting: Siapakah mereka? Soalan ini dan soalan lain tentang nubuat Yesus akan dibincangkan dalam rencana berikutnya.

 

^ per. 3 Perenggan 3: Selepas itu, Yesus sekali lagi menggunakan pengikutnya untuk memberikan makanan kepada 4,000 orang lelaki berserta wanita dan kanak-kanak.—Mat. 15:32-38.

^ per. 7 Perenggan 7: Pada zaman Petrus, ‘anak-anak domba’ yang mendapat makanan rohani memiliki harapan untuk ke syurga.

^ per. 8 Perenggan 8: Orang yang baru percaya ‘tekun menerima ajaran daripada rasul-rasul.’ Hal ini menunjukkan bahawa para rasul selalu mengajar mereka. Beberapa ajaran para rasul dicatatkan dalam buku-buku terilham yang kini menjadi sebahagian daripada Kitab Yunani Kristian.

^ per. 12 Perenggan 12: Selain daripada para rasul, ada juga orang lain yang dikurniai daya aktif. Biasanya, mereka menerima kurniaan ini daripada seorang rasul atau semasa kehadiran seorang rasul.—Kis. 8:14-18; 10:44, 45.

^ per. 13 Perenggan 13: Kata-kata rasul Paulus di Kisah 20:29, 30 menunjukkan bahawa sidang Kristian akan diserang oleh dua kumpulan. Pertama, orang Kristian palsu (“lalang”) “akan datang ke tengah-tengah” sidang Kristian. Kedua, “di kalangan kamu sendiri” akan muncul orang murtad yang “memberitakan berita yang tidak betul.”

^ per. 17 Perenggan 17: Sila lihat rencana “Ingatlah, Aku akan Sentiasa Menyertai Kamu,” dalam terbitan ini, muka 11, perenggan 6.