Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

‘Setiap Hari Yehuwa Menanggung Beban Saya’

‘Setiap Hari Yehuwa Menanggung Beban Saya’

Meskipun dilanda banyak masalah kesihatan, saya merasai sokongan dan kasih daripada Yehuwa sepanjang hidup. Lebih daripada 20 tahun, saya amat bersukacita kerana dapat berkhidmat kepada Yehuwa dengan merintis.

Saya dilahirkan pada 1956 dengan penyakit spina bifida. Tiub neural pada tulang belakang saya tidak bersambung dengan sempurna. Kerosakan saraf ini menyebabkan saya sukar untuk berjalan dan mengalami masalah kesihatan yang serius.

Sebelum saya dilahirkan, ibu bapa saya mula belajar Bible dengan mubaligh Saksi-Saksi Yehuwa. Sewaktu saya masih kecil, hanya ada beberapa orang penyiar di kampung saya di Usakos, Namibia. Oleh itu, kami semua membincangkan bahan untuk perjumpaan sebagai sebuah keluarga. Pada usia tujuh tahun, saya menjalani pembedahan urostomi untuk menghasilkan lubang buatan pada tubuh supaya saya dapat membuang air kecil. Pada usia 14 tahun, saya menghidap penyakit sawan. Saya tidak dapat menamatkan persekolahan kerana sekolah menengah terlalu jauh dan saya memerlukan jagaan rapi daripada ibu bapa.

Namun, saya berusaha menguatkan kerohanian sendiri. Banyak bahan bacaan Kristian belum ada dalam bahasa ibunda saya, iaitu Afrikaans. Jadi, saya belajar bahasa Inggeris agar dapat memahami bahan bacaan kita. Saya menjadi penyiar dan dibaptis pada umur 19 tahun. Selama empat tahun berikutnya, saya menghadapi banyak masalah kesihatan dan tekanan emosi. Komuniti di kampung saya pula sangat rapat, jadi rasa takut akan manusia menghalang saya daripada menginjil dengan bersemangat.

Semasa saya berumur awal 20-an, kami berpindah dari Namibia ke Afrika Selatan. Betapa gembiranya saya! Inilah kali pertama saya dapat bergaul dengan saudara saudari di sidang. Tetapi, saya terpaksa menjalani pembedahan kolostomi.

Tidak lama kemudian, seorang penyelia litar bercakap tentang khidmat perintis. Kata-katanya menyentuh hati saya. Sememangnya kesihatan saya kurang baik, tetapi Yehuwa telah membantu saya mengharungi banyak rintangan. Jadi saya memohon untuk menjadi perintis biasa. Namun, para penatua teragak-agak untuk meluluskan permohonan saya kerana masalah kesihatan saya.

Walaupun begitu, saya menginjil dengan sedaya upaya. Dengan bantuan ibu dan orang lain, saya berjaya memenuhi masa yang diperuntukkan bagi perintis selama enam bulan berturut-turut. Hal itu membuktikan bahawa masalah kesihatan saya boleh ditangani dan tidak melemahkan azam saya untuk merintis. Maka, saya memohon sekali lagi, dan permohonan saya diluluskan. Saya menjadi perintis biasa pada 1 September 1988.

Sebagai perintis, saya sentiasa merasai sokongan Yehuwa. Khidmat perintis membantu saya bertumpu pada kerja mengajar orang tentang kebenaran, bukannya pada masalah sendiri. Selain itu, kerohanian saya bertambah kuat. Saya sangat gembira kerana dapat membantu beberapa orang membaktikan diri dan dibaptis.

Kesihatan saya masih tidak menentu. Tetapi ‘setiap hari Yehuwa menanggung beban saya.’ (Mzm. 68:20) Yehuwa bukan sahaja membantu saya mengharungi hidup, tetapi juga membantu saya menikmati hidup!