Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Sudahkah Anda Dibaharui?

Sudahkah Anda Dibaharui?

‘Biarlah Tuhan membaharui cara kamu berfikir.’—RM. 12:2.

1, 2. Bagaimanakah persekitaran dan cara kita dibesarkan mempengaruhi kita?

KITA dipengaruhi oleh persekitaran dan cara kita dibesarkan. Cara berpakaian, makanan yang digemari, dan tingkah laku kita mencerminkan pengaruh orang di sekeliling dan keadaan hidup kita.

2 Namun, ada sesetengah perkara lebih penting daripada cara berpakaian dan makanan kegemaran kita. Misalnya, sejak kecil kita diajar bahawa sesetengah perkara betul dan boleh diterima, manakala perkara yang salah harus ditolak. Setiap orang memiliki pandangan yang berbeza tentang apa yang betul dan apa yang salah. Selain itu, hati nurani juga mempengaruhi pilihan kita. Bible berkata bahawa orang yang ‘tidak mempunyai Taurat, dengan kemahuan sendiri melakukan apa yang diperintahkan oleh Taurat.’ (Rm. 2:14) Adakah hal ini bermaksud jika Tuhan tidak memberikan hukum yang jelas, kita boleh mengikut pandangan sendiri atau pandangan masyarakat tempatan?

3. Nyatakan dua sebab mengapa orang Kristian tidak seharusnya mengikuti pandangan atau nilai moral dunia.

3 Ada sekurang-kurangnya dua sebab penting mengapa orang Kristian tidak seharusnya berbuat demikian. Pertama, Bible mengingatkan kita, “Jalan yang disangka baik itu akhirnya menuju maut.” (Ams. 16:25, ABB) Disebabkan ketidaksempurnaan, kita tidak dapat mengendalikan jalan hidup sendiri. (Ams. 28:26; Yer. 10:23) Kedua, Bible berkata bahawa “seluruh dunia ini di bawah kuasa Iblis,” yang mengawal nilai moral dunia. (2 Kor. 4:4; 1 Yoh. 5:19) Maka, untuk mendapat berkat dan perkenan Tuhan, kita perlu mengendahkan nasihat di Roma 12:2.Baca.

4. Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

4 Kita patut memperhatikan beberapa isi penting yang tercatat di Roma 12:2. (1) Mengapakah kita perlu “dibaharui”? (2) Apakah aspek yang perlu dibaharui? dan (3) Bagaimanakah kita dapat dibaharui? Mari kita bincangkan soalan-soalan ini.

MENGAPAKAH KITA PERLU DIBAHARUI?

5. Surat Paulus di Roma 12:2 ditujukan khasnya kepada siapa?

5 Surat Paulus yang tercatat di dalam buku Roma ditujukan kepada rakan Kristian yang terurap, bukannya kepada orang yang tidak percaya atau masyarakat umum. (Rm. 1:7) Dia menggesa mereka agar dibaharui dan ‘jangan mengikuti kebiasaan dunia.’ Bagi orang Kristian di Roma pada sekitar 56 M, “kebiasaan dunia” merangkumi nilai moral, pakaian, tingkah laku, dan budaya orang Roma. Paulus menggunakan perkataan “janganlah” kerana ada di antara mereka masih dipengaruhi oleh kebiasaan dunia itu. Apakah hal-hal yang mempengaruhi saudara saudari kita pada zaman itu?

6, 7. Pada zaman Paulus, apakah cabaran yang dihadapi oleh orang Kristian di Roma?

6 Hari ini, pelancong di Rom dapat melihat banyak runtuhan kuil, makam, tugu, arena, teater, dan sebagainya. Sesetengah bangunan ini wujud sejak abad pertama. Bangunan bersejarah ini membantu kita memahami agama dan cara hidup orang Roma kuno. Dalam buku sejarah, kita membaca tentang pertarungan bersenjata yang ganas, perlumbaan kereta kuda, serta persembahan drama dan muzik yang kadangkalanya tidak bermoral. Roma ialah pusat perdagangan yang pesat, jadi ada banyak peluang untuk mengaut keuntungan.—Rm. 6:21; 1 Ptr. 4:3, 4.

7 Walaupun orang Roma membina banyak kuil dan menyembah dewa-dewi, mereka tidak menjalinkan hubungan yang rapat dengan dewa-dewi yang disembah. Bagi mereka, agama hanyalah upacara-upacara yang dijalankan sempena kelahiran, perkahwinan, atau kematian. Upacara ini membentuk corak kehidupan seharian mereka. Bayangkanlah cabaran yang dihadapi orang Kristian di Roma. Ramai daripada mereka terdedah kepada pengaruh sebegini sejak kecil lagi. Maka, mereka perlu membuat pembaharuan supaya dapat menjadi orang Kristian. Selepas dibaptis, mereka perlu terus membuat perubahan.

8. Bagaimanakah dunia hari ini mengancam orang Kristian?

8 Seperti zaman Roma, dunia hari ini juga mengancam orang Kristian. Hal ini kerana kita dikelilingi oleh semangat dunia. (Baca Efesus 2:2, 3; 1 Yohanes 2:16.) Setiap hari, kita terdedah kepada pengaruh yang bahaya seperti keinginan, pemikiran, piawaian dan nilai moral dunia. Kita harus sentiasa berhati-hati agar tidak terpengaruh dengan sistem dunia ini. Maka, amatlah penting untuk mematuhi nasihat Bible: ‘Janganlah ikut kebiasaan dunia, tetapi biarlah Tuhan membaharui cara kita berfikir.’ Apakah yang perlu kita lakukan?

APAKAH ASPEK YANG PERLU DIBAHARUI?

9. Apakah perubahan yang perlu dibuat sebelum seseorang layak untuk dibaptis?

9 Sewaktu seseorang mempelajari dan menerapkan kebenaran Bible, dia mula membuat kemajuan rohani. Dia sedang membuat perubahan berdasarkan apa yang sudah dipelajari. Dia meninggalkan semua amalan agama palsu dan sifat buruk, lalu memupuk sifat Kristus. (Ef. 4:22-24) Setiap tahun, kita gembira melihat ratusan ribu orang membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis. Sememangnya, hal ini menggembirakan hati-Nya. (Ams. 27:11) Namun, kita patut bertanya: Adakah perubahan sedemikian memadai?

Ramai perlu keluar dari dunia Syaitan dan dibaharui (Lihat perenggan 9)

10. Jelaskan perbezaan antara “dibaharui” dengan diperbaik.

10 Sebenarnya, membuat pembaharuan bukan sekadar membuat kemajuan rohani. Contohnya, satu produk mungkin ditandakan dengan label “diperbaik.” Tetapi biasanya pengeluar hanya menambah satu bahan baru ke dalam produk tersebut atau menjadikan bungkusannya lebih menarik. Berkenaan perkataan “dibaharui,” sebuah kamus (Vine’s Expository Dictionary) menjelaskan bahawa Roma 12:2 merujuk kepada tindakan mengganti atau mengubah cara kita berfikir melalui daya aktif Tuhan. Maka, seorang Kristian belum dibaharui jika dia hanya menghentikan tabiat buruk, perbualan yang tidak baik, dan perbuatan yang tidak bermoral. Orang yang tidak mengenal Bible juga mencuba menghindari hal-hal sebegini. Oleh itu, apakah aspek yang perlu dibaharui oleh orang Kristian?

11. Menurut Paulus, apakah aspek yang perlu dibaharui oleh orang Kristian?

11 ‘Biarlah Tuhan membaharui cara kamu berfikir,’ tulis Paulus. Dalam Bible, perkataan “berfikir” merujuk kepada kecenderungan mental, sikap, dan daya penaakulan. Dalam suratnya kepada orang Roma, Paulus menggambarkan orang yang “membiarkan fikiran mereka menjadi rosak.” Fikiran mereka “penuh dengan kejahatan, kekejaman, ketamakan, kebusukan dan kedengkian, keinginan untuk membunuh, berkelahi, menipu,” dan sebagainya. (Rm. 1:28-31) Maka, kita boleh memahami mengapa Paulus menggesa orang Kristian yang dibesarkan dalam keadaan sedemikian untuk ‘membaharui cara mereka berfikir.’

‘Janganlah bertengkar dan memfitnah orang.’—Ef. 4:31

12. Apakah cara pemikiran orang hari ini? Mengapakah sikap ini berbahaya bagi orang Kristian?

12 Sedihnya, ramai orang di sekeliling kita mempunyai fikiran yang digambarkan oleh Paulus. Mereka berpendapat bahawa orang yang hidup berdasarkan prinsip dan piawaian moral memang berfikiran kolot dan terlalu tegas. Ramai guru dan ibu bapa membenarkan anak-anak bertindak sesuka hati, dan mengajarkan bahawa setiap orang berhak menentukan apa yang betul dan apa yang salah bagi diri sendiri. Bagi mereka, semuanya ditentukan mengikut keadaan, dan tiada apa-apa yang pasti. Bahkan ramai orang yang beragama berfikir bahawa mereka boleh bertindak sesuka hati tanpa menghiraukan Tuhan dan hukum-Nya. (Mzm. 14:1) Sikap ini berbahaya bagi orang Kristian sejati. Jika kita tidak berhati-hati, kita boleh terpengaruh. Kita mungkin tidak sudi mematuhi arahan yang diberikan oleh organisasi Tuhan, dan mula bersungut. Ataupun kita mungkin menolak nasihat Bible tentang hiburan, Internet, dan pendidikan tinggi.

13. Mengapakah kita patut memeriksa diri dengan jujur?

13 Jika kita tidak ingin dibentuk oleh semangat dunia, kita patut memeriksa hati sendiri, iaitu sikap, perasaan, matlamat hidup, dan nilai moral dengan jujur. Orang lain tidak tahu sifat sebenar diri kita, dan mereka mungkin memuji kelakuan kita. Tetapi, hanya kita sendiri yang tahu sama ada kita benar-benar membiarkan pengetahuan Bible terus membaharui batin kita.—Baca Yakobus 1:23-25.

BAGAIMANA KITA DIBAHARUI

14. Apakah yang dapat membantu kita membuat perubahan yang diperlukan?

14 Proses pembaharuan melibatkan batin kita. Jadi kita memerlukan sesuatu yang dapat menusuk sampai ke lubuk hati. Apakah yang dapat membantu kita membuat perubahan ini? Kita dapat mengetahui apa yang dikehendaki Tuhan dengan mempelajari Bible. Reaksi kita terhadap ajaran Bible dapat mendedahkan isi hati dan menunjukkan perubahan yang perlu kita lakukan agar dapat hidup selaras dengan ‘apa yang baik dan yang menyenangkan hati Tuhan, serta yang sempurna.’—Rm. 12:2; Ibr. 4:12.

15. Apakah perubahan yang dapat dicapai jika kita membenarkan Yehuwa membentuk kita?

15 Baca Yesaya 64:8. Perumpamaan nabi Yesaya mengandungi pengajaran yang penting bagi kita. Yehuwa ialah Tukang Periuk dan kita seperti tanah liat. Bagaimanakah Dia membentuk kita? Sememangnya, Yehuwa tidak mengubah penampilan fizikal kita dengan menjadikan kita lebih kacak atau cantik. Yehuwa memberikan latihan rohani, bukannya latihan jasmani. Jika kita rela dibentuk, kita membenarkan-Nya untuk mengubah batin kita. Dengan ini, kita dapat melawan pengaruh dunia. Bagaimanakah perubahan sedemikian berlaku?

16, 17. (a) Jelaskan bagaimana tukang periuk membentuk tembikar yang berkualiti tinggi daripada tanah liat. (b) Bagaimanakah Firman Tuhan membaharui kita agar menjadi tembikar yang bernilai di mata Tuhan?

16 Untuk membuat tembikar yang berkualiti, tukang periuk perlu menggunakan tanah liat yang bergred tinggi. Tetapi sebelum itu, dia perlu melakukan dua perkara. Pertama, tanah liat perlu dibersihkan daripada benda asing. Kedua, kuantiti air yang sesuai perlu ditambah supaya tanah liat dapat mengekalkan rupanya selepas dibentuk.

17 Perhatikan bahawa air digunakan untuk membersihkan tanah liat dan menjadikannya mudah dibentuk. Dengan ini, tukang periuk boleh membentuk tanah liat ke dalam bentuk yang diingininya. Sebagaimana air mengubah tanah liat, begitu juga Firman Tuhan mengubah kita. Firman Tuhan membantu kita membuang cara pemikiran dunia dan membaharui kita agar menjadi tembikar yang bernilai di mata Tuhan. (Ef. 5:26) Sudah berkali-kali kita diingatkan supaya membaca Bible setiap hari dan selalu menghadiri perjumpaan untuk membincangkan Firman Tuhan. Mengapakah penting untuk berbuat demikian? Kerana dengan berbuat demikian, kita membenarkan Yehuwa membentuk kita.—Mzm. 1:2; Kis. 17:11; Ibr. 10:24, 25.

Setelah dibaharui, anda dapat menangani masalah dengan lebih baik berbanding masa lalu (Lihat perenggan 18)

18. (a) Mengapakah penting untuk merenungkan Firman Tuhan jika kita ingin dibaharui? (b) Apakah soalan-soalan yang dapat membantu kita?

18 Jika kita ingin Firman Tuhan membaharui kita, sekadar membaca dan mempelajari Bible secara tetap tidak mencukupi. Ramai orang membaca Bible dan mengetahui banyak isinya. Semasa menginjil, anda mungkin pernah berjumpa dengan orang yang dapat menghafal ayat-ayat Bible. Tetapi, semua ini langsung tidak mempengaruhi fikiran dan gaya hidup mereka. Mengapa? Kerana Firman Tuhan hanya dapat mempengaruhi dan mengubah seseorang jika dia membenarkan kata-kata Tuhan mencapai hatinya. Maka, kita perlu meluangkan masa untuk merenungkan apa yang telah dipelajari. Adalah baik untuk menanya diri: “Adakah saya yakin bahawa Bible bukan sekadar ajaran agama? Adakah saya percaya bahawa ajaran Bible ialah kebenaran? Adakah saya menerapkan apa yang dipelajari dan bukan sekadar mengajarkannya kepada orang lain? Adakah saya yakin bahawa Yehuwa sedang mengajar saya?” Dengan memikirkan dan merenungkan soalan-soalan ini, kita dapat memperdalamkan kasih kita kepada Yehuwa. Hasilnya, hati kita tergerak untuk membuat perubahan yang positif.—Ams. 4:23; Luk. 6:45.

19, 20. Apakah nasihat Bible yang bermanfaat untuk kita?

19 Baca dan renungkan Firman Tuhan secara tetap. Dengan ini, kita akan didorong untuk ‘membuang hidup yang lama dengan semua sifatnya’ lalu ‘menjadi manusia baru.’ (Kol. 3:9, 10) Kita dapat terus berjaya jika kita memahami Firman Tuhan dan menerapkannya. Hasilnya, kita dapat membentuk keperibadian Kristian yang baru dan melawan muslihat licik Syaitan.

20 Rasul Petrus mengingatkan kita, ‘Taatlah kepada Tuhan, dan jangan hidup menurut keinginan kamu yang dahulu. Sebaliknya, hendaklah kamu suci dalam segala sesuatu yang kamu lakukan.’ (1 Ptr. 1:14, 15) Dalam rencana seterusnya, kita akan membincangkan bagaimana Yehuwa akan memberkati kita jika kita berusaha sebaik-baiknya untuk membaharui fikiran dan sikap sendiri.