Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Khidmat Perintis Mengeratkan Hubungan Kita dengan Tuhan

Khidmat Perintis Mengeratkan Hubungan Kita dengan Tuhan

‘Memang baik kita menyanyikan lagu pujian untuk Tuhan kita.’—MZM. 147:1.

1, 2. (a) Apakah hasilnya jika kita berfikir dan bercakap tentang orang yang disayangi? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan?

APABILA kita berfikir dan bercakap tentang orang yang disayangi, hubungan kita dengannya akan bertambah erat. Begitu juga dengan hubungan kita dengan Tuhan Yehuwa. Sebagai gembala, Daud sering melihat langit malam yang bertatahkan bintang dan merenungkan betapa hebatnya Pencipta kita. Dia menulis, “Apabila aku melihat langit yang telah Engkau ciptakan, bulan dan bintang yang Engkau tempatkan, apakah manusia itu sehingga Engkau ingat akan mereka? Mereka insan belaka, namun Engkau peliharakan mereka.” (Mzm. 8:4, 5) Rasul Paulus begitu kagum dengan cara Yehuwa melaksanakan kehendak-Nya untuk Israel rohani sehingga dia berkata, ‘Alangkah hebatnya kekayaan, kebijaksanaan, dan pengetahuan Tuhan!’—Rm. 11:17-26, 33.

2 Semasa menjalankan aktiviti penyebaran, kita berfikir dan bercakap tentang Yehuwa. Hal ini mengeratkan persahabatan kita dengan-Nya. Ramai perintis mendapati bahawa kasih mereka terhadap Tuhan bertambah kuat kerana mereka dapat meluangkan lebih banyak masa untuk menginjil. Tidak kira anda sedang merintis atau ingin merintis, fikirkan soalan ini: Bagaimanakah khidmat perintis menguatkan hubungan saya dengan Yehuwa? Jika anda seorang perintis, tanyalah diri, “Apakah yang dapat membantu saya meneruskan khidmat yang istimewa ini?” Jika anda belum merintis, tanyalah, “Apakah perubahan yang boleh saya lakukan agar dapat mula merintis?” Marilah kita bincangkan bagaimana khidmat perintis dapat menguatkan hubungan kita dengan Tuhan.

KHIDMAT PERINTIS DAN HUBUNGAN KITA DENGAN TUHAN

3. Apakah manfaatnya apabila kita bercakap tentang berkat Kerajaan Tuhan pada masa depan?

3 Bercakap tentang berkat Kerajaan Tuhan pada masa depan mengeratkan hubungan kita dengan Yehuwa. Apakah ayat Bible yang anda suka gunakan semasa menginjil dari rumah ke rumah? Ayat-ayat di Mazmur 37:10, 11; Daniel 2:44; Yohanes 5:28, 29; atau Wahyu 21:3, 4? Setiap kali kita memberitahu orang lain tentang janji-janji ini, kita diingatkan bahawa Tuhan telah mengurniakan “setiap pemberian yang baik dan sempurna.” Yehuwa memang murah hati. Hal ini mengeratkan hubungan kita dengan-Nya.—Yak. 1:17.

4. Mengapakah kita lebih menghargai kebaikan Tuhan setelah melihat keadaan rohani orang duniawi?

4 Apabila kita melihat betapa teruknya keadaan rohani orang duniawi, kita lebih menghargai kebenaran. Orang di dunia tidak mempunyai bimbingan yang membantu mereka mencapai kejayaan dan kebahagiaan. Kebanyakan orang risau tentang masa depan dan putus harapan. Mereka mencari makna kehidupan. Orang yang beragama pun kurang pengetahuan Bible. Mereka seperti orang Niniwe pada zaman kuno. (Baca Yunus 4:11.) Apabila kita lebih giat dalam aktiviti penyebaran, kita melihat dengan lebih jelas perbezaan antara keadaan rohani orang di dunia dengan umat Yehuwa. (Yes. 65:13) Kita diingatkan tentang kebaikan Yehuwa. Dia bukan sekadar memenuhi keperluan rohani kita, Dia juga mengundang semua untuk mendapatkan kelegaan hati dan harapan yang sejati.—Why. 22:17.

5. Bagaimanakah mengajar orang lain tentang hal-hal rohani membantu kita agar tidak terlalu risau tentang masalah peribadi?

5 Mengajar orang lain tentang hal-hal rohani membantu kita agar tidak terlalu risau tentang masalah peribadi. Trisha, seorang perintis biasa, mengalami hal ini apabila ibu bapanya bercerai. Dia berkata, “Inilah pengalaman yang paling pahit dalam hidup saya.” Pada suatu hari, dia begitu sedih dan tidak mahu keluar dari rumah. Tetapi dia masih keluar untuk mengadakan pembelajaran Bible dengan tiga orang kanak-kanak. Mereka menghadapi masalah keluarga yang amat serius. Mereka ditinggalkan oleh bapa dan didera oleh abang. Trisha berkata, “Semua masalah atau kesedihan yang saya alami tidak seteruk situasi mereka. Semasa kami belajar Bible, mata mereka bersinar-sinar dan mereka ketawa dengan riang. Kanak-kanak itu seperti kurniaan Yehuwa, khasnya pada hari itu.”

6, 7. (a) Bagaimanakah iman kita dikuatkan apabila kita mengajarkan kebenaran Bible? (b) Apakah perasaan kita terhadap hikmat Tuhan apabila melihat pelajar Bible mengubah hidup mereka dengan menerapkan prinsip Bible?

6 Mengajarkan kebenaran Bible dapat menguatkan iman kita. Berkenaan orang Yahudi yang tidak menuruti ajaran sendiri, rasul Paulus menulis, “Kamu mengajar orang lain, tetapi . . . tidak mengajar diri sendiri?” (Rm. 2:21) Perintis hari ini amat berbeza! Mereka mempunyai banyak peluang untuk mengajarkan kebenaran dan mengadakan pembelajaran Bible. Agar dapat mengajar dengan lebih baik, mereka perlu membuat persiapan untuk setiap pembelajaran dan membuat kajian untuk menjawab soalan. Seorang perintis yang bernama Janeen menjelaskan, “Setiap kali saya mengajar orang lain tentang kebenaran, saya berasa bahawa kebenaran meninggalkan kesan yang lebih mendalam pada minda dan hati saya. Hasilnya, iman saya bertambah kukuh.”

7 Apabila kita melihat bagaimana prinsip Bible mengubah kehidupan para pelajar Bible, kita lebih menghargai hikmat Tuhan. (Yes. 48:17, 18) Dengan demikian, kita lebih bertekad untuk terus menerapkan prinsip-prinsip ini dalam hidup sendiri. Adrianna, seorang perintis berkata, “Hidup orang huru-hara apabila mereka bergantung pada kebijaksanaan sendiri. Tetapi apabila mereka mula bergantung pada hikmat Yehuwa, mereka meraih manfaat dengan serta-merta.” Begitu juga, Phil berkata bahawa dia kagum apabila menyaksikan orang mengubah kehidupan mereka dengan bantuan Yehuwa.

8. Apakah manfaatnya jika kita bekerja dengan seorang rakan penyebaran yang baik?

8 Bekerja dengan seorang rakan penyebaran yang baik membina kerohanian kita. (Ams. 13:20) Kebanyakan perintis meluangkan banyak masa untuk menginjil bersama rakan seiman. Hal ini membuka peluang bagi mereka untuk saling menguatkan. (Rm. 1:12; baca Amsal 27:17.) Seorang perintis yang bernama Lisa berkata, “Tempat kerja selalu dipenuhi semangat bersaing dan perasaan iri hati. Setiap hari anda mendengar gosip dan kata-kata kesat. Mereka akan melakukan apa-apa sahaja demi kejayaan. Ada masanya, anda diejek dan dicaci kerana kelakuan Kristian. Tetapi, menginjil dengan rakan seiman memang menggalakkan. Pada hujung hari, saya pulang dengan hati yang gembira, tidak kira betapa letihnya saya.”

9. Bagaimanakah ikatan perkahwinan dikuatkan apabila suami isteri merintis bersama?

9 Merintis bersama teman hidup menguatkan ikatan perkahwinan. (Pkh. 4:12) Madeline, yang merintis bersama suaminya, menjelaskan, “Saya dan suami dapat meluangkan masa untuk berbual tentang pengalaman kami semasa menginjil atau isi daripada pembacaan Bible yang ingin digunakan dalam aktiviti penyebaran. Setiap tahun kami merintis bersama, kami menjadi semakin rapat.” Begitu juga, Trisha berkata, “Kami berusaha agar tidak berhutang, jadi kami tidak bergaduh tentang wang. Jadual penyebaran kami sama, kami membuat kunjungan kembali dan pembelajaran Bible bersama-sama.” Hal ini mengeratkan ikatan perkahwinan mereka dan hubungan mereka dengan Yehuwa.

Bergiatlah dalam khidmat perintis, dan menikmati kehidupan yang bahagia (Lihat perenggan 9)

10. Apabila kita mengutamakan Kerajaan Tuhan dan merasai sokongan-Nya, apakah kesannya ke atas keyakinan kita kepada Yehuwa?

10 Keyakinan kita kepada Yehuwa bertambah seraya kita mengutamakan Kerajaan Tuhan, merasai sokongan Yehuwa, dan melihat Dia menjawab doa kita. Sememangnya semua orang Kristian yang setia yakin kepada Yehuwa. Tetapi para perintis mendapati bahawa satu-satunya cara mereka dapat terus merintis adalah dengan bergantung pada Yehuwa. (Baca Matius 6:30-34.) Curt, yang merintis dan berkhidmat sebagai pengganti penyelia litar, sudi melawat sebuah sidang yang terletak agak jauh dari rumahnya. Dia dan isterinya, yang juga seorang perintis, perlu memandu selama dua jam setengah untuk sampai ke sidang itu, tetapi kereta mereka tidak cukup minyak untuk membuat perjalanan balik. Tambahan pula, Curt perlu menunggu seminggu lagi untuk mendapat gajinya. Dia mula tertanya-tanya sama ada mereka patut menerima tugasan ini. Selepas berdoa, mereka membuat keputusan untuk menerimanya. Mereka yakin bahawa Tuhan akan memenuhi keperluan mereka. Sebelum mereka bertolak, seorang saudari menelefon dan berkata bahawa dia ingin menghadiahkan sesuatu kepada mereka. Mereka menerima wang yang mencukupi untuk membuat perjalanan balik. Curt berkata bahawa apabila pengalaman sedemikian berlaku berkali-kali, kita dapat merasai bantuan Yehuwa.

11. Nyatakan berkat yang dinikmati para perintis.

11 Para perintis sering mendapati bahawa apabila mereka bergiat dalam khidmat Yehuwa dan berusaha menghampiri-Nya, mereka akan dilimpahi berkat. (Ul. 28:2) Meskipun demikian, perintis juga menghadapi cabaran. Tiada hamba Tuhan yang dapat lari daripada masalah yang berpunca daripada pemberontakan Adam. Ada perintis yang terpaksa berhenti merintis buat seketika kerana masalah mereka. Tetapi masalah sebegini selalunya dapat diselesaikan, dan bahkan dihindari. Apakah yang boleh membantu perintis untuk meneruskan khidmat yang istimewa ini?

MENERUSKAN KHIDMAT SEPENUH MASA

12, 13. (a) Jika seorang perintis tidak dapat memenuhi masa yang diperuntukkan, apakah yang patut dia lakukan? (b) Mengapakah begitu penting menjadualkan masa untuk membaca Bible setiap hari, membuat pembelajaran peribadi, dan perenungan?

12 Kebanyakan perintis sangat sibuk. Mereka perlu melakukan banyak perkara, jadi amatlah penting untuk mengatur masa dengan bijak. (1 Kor. 14:33, 40) Jika seorang perintis tidak dapat memenuhi masa yang diperuntukkan, dia perlu memeriksa semula jadual masanya. (Ef. 5:15, 16) Dia boleh menanya diri, “Berapa banyakkah masa yang saya luangkan untuk berekreasi? Perlukah saya menunjukkan lebih banyak kawalan diri? Bolehkah saya mengubah jadual kerja sekular saya?” Sememangnya mudah untuk menambah aktiviti ke dalam jadual kita, jadi para perintis perlu sentiasa memeriksa diri dan membuat perubahan yang diperlukan.

13 Setiap perintis patut menjadualkan masa untuk membaca Bible setiap hari, membuat pembelajaran peribadi, dan perenungan. Dia perlu mendisiplinkan diri agar perkara yang kurang penting tidak mencuri masa daripada apa yang penting. (Flp. 1:10) Bayangkan seorang perintis telah menginjil sehari suntuk. Dia bercadang untuk pulang dan membuat persiapan bagi perjumpaan. Tetapi sebelum itu, dia membaca surat-suratnya. Kemudian, dia membaca dan membalas e-melnya. Sementara dia melayari Internet, dia memeriksa harga barangan yang ingin dibelinya. Tanpa disedari, hampir dua jam telah berlalu dan dia belum mula membuat persiapan bagi perjumpaan. Mengapakah hal ini menimbulkan masalah? Jika seorang atlet ingin terus bertanding, dia perlu menjaga pemakanannya. Begitu juga dengan para perintis. Mereka perlu mengambil makanan rohani dengan membuat pembelajaran peribadi secara tetap. Dengan ini, mereka dapat terus merintis.—1 Tim. 4:16.

14, 15. (a) Mengapakah perintis patut menyederhanakan hidup mereka? (b) Jika seorang perintis menghadapi masalah, apakah yang patut dia lakukan?

14 Perintis yang berjaya berusaha menyederhanakan hidup mereka. Yesus menggalakkan pengikutnya untuk berbuat demikian. (Mat. 6:22) Dia menyederhanakan hidup sendiri agar dapat bertumpu pada kerja penyebaran. Dia berkata, “Serigala mempunyai lubang dan burung mempunyai sarang, tetapi Anak Manusia tidak mempunyai tempat untuk berbaring dan berehat.” (Mat. 8:20) Perintis yang ingin mencontohi Yesus perlu ingat bahawa jika mereka memiliki semakin banyak harta benda, mereka perlu meluangkan semakin banyak masa untuk menyelenggarakan dan membaikinya.

15 Para perintis sedar bahawa mereka tidak patut meninggikan diri kerana Tuhanlah yang mengurniakan peluang khas ini kepada mereka. Jadi, untuk meneruskan khidmat ini, mereka perlu bergantung pada Yehuwa. (Mzm. 121:2) Cabaran dan masalah akan timbul. (Mzm. 34:20) Apabila dilanda masalah, perintis patut bergantung pada bimbingan Yehuwa dan membenarkan-Nya untuk membantu mereka, dan bukannya menarik diri daripada khidmat istimewa ini. (Baca Mazmur 37:5.) Seraya mereka merasai bantuan dan kasih Tuhan, hubungan mereka dengan Bapa yang di syurga akan bertambah erat.—Yes. 41:10.

DAPATKAH ANDA MENYERTAI KHIDMAT PERINTIS?

16. Jika anda ingin merintis, apakah yang patut anda lakukan?

16 Jika anda ingin meraih berkat yang dinikmati oleh para perintis, beritahulah Yehuwa hasrat anda. (1 Yoh. 5:14, 15) Berbincang dengan mereka yang sedang merintis. Tetapkan matlamat yang dapat membantu anda menjadi perintis. Inilah tindakan yang diambil oleh Keith dan Erika. Seperti kebanyakan suami isteri, Keith dan Erika bekerja sepenuh masa. Selepas berkahwin, mereka membeli rumah dan kereta baru. Mereka berkata, “Kami berfikir bahawa semua ini dapat membawa kepuasan hati.” Tetapi hal ini tidak pernah berlaku. Apabila Keith kehilangan kerja, dia menjadi perintis sokongan. Dia berkata, “Merintis mengingatkan saya bahawa aktiviti penyebaran membawa banyak sukacita.” Mereka bersahabat dengan sepasang suami isteri yang merintis. Pasangan ini menunjukkan bahawa khidmat perintis dan hidup yang sederhana membawa banyak sukacita. Apakah yang dilakukan oleh Keith dan Erika? “Kami menyenaraikan matlamat rohani kami, menampalkannya pada peti sejuk, dan menandakan setiap matlamat yang telah dicapai.” Akhirnya, mereka dapat menyertai khidmat perintis.

17. Mengapakah anda patut mempertimbangkan khidmat perintis?

17 Dapatkah anda menyertai khidmat perintis? Jika anda tidak dapat merintis, cubalah menghampiri Yehuwa dengan berusaha sebaik-baiknya dalam aktiviti penyebaran. Anda juga boleh berdoa dan memikirkan keadaan hidup anda dengan mendalam. Setelah itu, cubalah buat penyesuaian untuk merintis. Jika anda dapat merintis, sukacita yang diraih jauh lebih berbaloi daripada pengorbanan yang dibuat. Anda akan berasa lebih gembira kerana dapat mengutamakan Kerajaan Tuhan dan membantu lebih banyak orang. (Mat. 6:33) Tambahan lagi, anda mempunyai lebih banyak peluang untuk berfikir dan bercakap tentang Yehuwa. Hasilnya, anda akan lebih mengasihi-Nya dan dapat menyenangkan hati-Nya.