Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KISAH HIDUP

Bergantung pada Yehuwa Membawa Berkat

Bergantung pada Yehuwa Membawa Berkat

Kadangkala kehidupan tidak dapat diduga, tidak menentu, dan susah dihadapi. Tetapi Yehuwa memberkati mereka yang bergantung pada-Nya, dan bukan pada pengertian sendiri. Saya dan isteri saya menuai banyak berkat sepanjang hidup kami. Ketahuilah serba sedikit tentang sejarah kami.

IBU bapa saya bertemu di konvensyen Pelajar Bible Antarabangsa di Cedar Point, Ohio, A.S. pada 1919. Mereka berkahwin pada tahun yang sama. Saya dilahirkan pada 1922, dan adik saya, Paul, dilahirkan dua tahun kemudian. Isteri saya, Grace, dilahirkan pada 1930. Ibu bapanya, Roy dan Ruth Howell, dibesarkan sebagai Pelajar Bible. Datuk dan neneknya juga Pelajar Bible dan kawan kepada Saudara Charles Taze Russell.

Saya dan Grace bertemu pada 1947. Kami berkahwin pada 16 Julai 1949. Sebelum berkahwin, kami berbincang dengan serius tentang masa depan. Kami memutuskan untuk menceburi khidmat sepenuh masa dan tidak melahirkan anak. Pada 1 Oktober 1950, kami mula merintis bersama. Kemudian pada 1952, kami dijemput untuk melakukan kerja litar.

KERJA LAWATAN DAN SEKOLAH GILEAD

Kami berdua amat memerlukan bantuan untuk melaksanakan tugasan baru ini. Saya dapat belajar daripada saudara yang berpengalaman, tetapi Grace juga memerlukan tunjuk ajar. Maka, saya berjumpa dengan Marvin Holien, seorang sahabat yang berpengalaman dalam kerja litar, dan berkata kepadanya, “Grace masih muda dan kurang berpengalaman. Bolehkah kamu mencadangkan seseorang untuk membantunya?” Dia menjawab, “Boleh. Edna Winkle ialah seorang perintis yang berpengalaman dan dia boleh membantu Grace.” Kemudian, Grace berkata tentang Edna, “Dia membantu saya supaya tidak cemas semasa menginjil, mengajar saya cara menangani bantahan, serta cara mendengar penghuni rumah dan mengenal pasti topik yang sesuai untuk dibincangkan. Itulah latihan yang saya perlukan!”

Dari kiri: Nathan Knorr, Malcolm Allen, Fred Rusk, Lyle Reusch, Andrew Wagner

Grace dan saya berkhidmat di dua litar di negeri Iowa, termasuk sebahagian daripada negeri Minnesota dan Dakota Selatan. Kemudian kami ditugaskan ke New York Litar 1, yang merangkumi daerah Brooklyn dan Queens. Kami tidak mempunyai pengalaman untuk melaksanakan tugasan itu. Litar itu termasuk Sidang Brooklyn Heights yang berkumpul di Dewan Perjumpaan di Bethel. Sidang ini mempunyai banyak ahli keluarga Bethel yang berpengalaman. Selepas saya memberikan ceramah buat kali pertama di sidang itu, Saudara Nathan Knorr berjumpa dengan saya. Kata-katanya lebih kurang seperti berikut: “Malcom, kamu telah menasihati kami. Hal ini memang baik. Jangan lupa, jika kamu tidak membantu kami dengan memberikan nasihat yang baik, kamu tidak bernilai kepada organisasi. Teruskan usaha baik kamu.” Selepas perjumpaan, saya menceritakan hal ini kepada Grace. Kerana letih dan risau, kami kembali ke bilik kami di Bethel lalu menangis.

“Jika kamu tidak membantu kami dengan memberikan nasihat yang baik, kamu tidak begitu bernilai kepada organisasi. Teruskan usaha baik kamu.”

Selepas beberapa bulan, kami menerima jemputan untuk menghadiri kelas Gilead yang ke-24, yang akan tamat pada Februari 1955. Sebelum bertolak, kami diberitahu bahawa kami tidak semestinya akan menjadi mubaligh selepas tamat sekolah. Tetapi sekolah ini akan melengkapi kami untuk menjalankan kerja lawatan dengan lebih baik. Sekolah ini amat mengagumkan dan pada masa yang sama mengajar kami untuk bersikap rendah hati.

Fern dan George Couch dengan Grace dan saya di Gilead, 1954

Selepas habis kursus, kami ditugaskan untuk melakukan kerja distrik. Kawasan kami merangkumi negeri Indiana, Michigan, dan Ohio. Tanpa diduga, pada Disember 1955 kami menerima surat daripada Saudara Knorr. Katanya, “Luahkan pendapat kamu, dan berterus-teranglah. Jika kamu sudi datang ke Bethel dan tinggal di sini . . . atau jika kamu sudi berkhidmat di negara asing selepas berkhidmat di Bethel buat seketika, beritahulah saya. Jika kamu lebih suka kerja distrik dan kerja litar, beritahulah saya juga.” Kami menjawab bahawa kami sudi menerima apa-apa sahaja tugasan yang diberikan. Tidak lama selepas itu, kami diminta untuk datang ke Bethel!

SAAT-SAAT INDAH DI BETHEL

Tugasan saya di Bethel merangkumi memberikan ceramah di sidang, konvensyen, dan perhimpunan di seluruh Amerika Syarikat. Saya berpeluang melatih dan membantu saudara-saudara muda. Ramai di antara mereka memikul tanggungjawab yang berat dalam organisasi Yehuwa pada kemudian hari. Akhirnya, saya menjadi setiausaha Saudara Knorr dalam kerja mengorganisasikan aktiviti penyebaran di seluruh dunia.

Bekerja di Bahagian Kerja Penyebaran, 1956

Saya gembira bertugas di Bahagian Kerja Penyebaran. Di situ, saya dapat bekerja dengan T. J. (Bud) Sullivan yang pernah menjadi penyelia bahagian ini selama bertahun-tahun. Tetapi saya juga belajar daripada saudara yang lain. Salah seorangnya bernama Fred Rusk, yang ditugaskan untuk melatih saya. Saya pernah menanya Fred, “Mengapakah kamu membetulkan surat-surat saya?” Dia ketawa, tetapi menjawab dengan serius, “Malcolm, apabila kamu menyampaikan sesuatu secara lisan, kamu boleh menjelaskannya dengan lebih lanjut, tetapi semasa menulis surat, terutamanya surat dari sini, kamu harus berusaha untuk menulisnya dengan jelas dan tepat.” Lalu dia menambah dengan ramah, “Janganlah takut, kerja kamu bagus, dan seraya masa berlalu, kamu akan lebih mahir.”

Di Bethel, Grace mendapat pelbagai tugasan, termasuk kerja mengemas bilik. Dia menyukai kerja ini. Sehingga hari ini, apabila kami berjumpa dengan saudara yang pernah berkhidmat di Bethel pada zaman muda, mereka akan senyum dan memberitahu Grace, “Saudari telah mengajar saya cara mengemas katil, dan ibu saya menghargai apa yang telah saudari lakukan.” Grace juga suka bekerja di Bahagian Majalah, Surat-Menyurat, dan Salinan Pita. Berkhidmat di pelbagai bahagian membantu Grace memahami bahawa tidak kira apa sahaja tugasan atau di mana kami bertugas, berkhidmat di organisasi Yehuwa ialah suatu penghormatan dan berkat. Inilah perasaannya hingga ke hari ini.

KAMI MEMBUAT PENYESUAIAN

Pada pertengahan tahun 1970-an, ibu bapa kami yang lanjut usia memerlukan jagaan. Akhirnya, kami perlu meninggalkan Bethel dan rakan seiman yang dikasihi. Keputusan ini tidak mudah, tetapi saya sedar bahawa kami bertanggungjawab menjaga ibu bapa. Maka, kami meninggalkan Bethel dengan harapan bahawa kami akan kembali apabila keadaan mengizinkan.

Untuk menampung kehidupan, saya mula menjual insurans. Semasa saya menjalani latihan, seorang pengurus pernah berkata, “Dalam perniagaan ini, amat penting untuk melawat orang pada waktu petang. Itulah masanya kamu dapat menemui mereka. Tiada apa-apa yang lebih penting daripada melawat orang pada setiap petang.” Saya menjawab, “Encik memang berpengalaman, dan saya menghormati encik. Tetapi saya juga tidak pernah mengabaikan tanggungjawab rohani saya, dan saya tidak ingin mula berbuat demikian. Saya akan melawat orang pada waktu petang, tetapi pada petang Selasa dan Khamis, saya perlu menghadiri perjumpaan yang sangat penting.” Yehuwa memberkati saya kerana tidak mengabaikan perjumpaan demi kerja sekular.

Kami berada di sisi ibu saya semasa dia meninggal di rumah penjagaan pada Julai 1987. Ketua jururawat berkata kepada Grace, “Puan Allen, pulanglah dan berehat. Semua orang tahu bahawa puan bersama ibu mentua sepanjang masa. Puan sudah berusaha sedaya upaya.”

Pada Disember 1987, kami mengisi borang untuk berkhidmat di Bethel, tempat yang kami cintai. Beberapa hari kemudian, doktor memberitahu Grace bahawa dia menghidap barah usus. Selepas menjalani pembedahan dan pemulihan, dia disahkan bebas barah. Kemudian, kami menerima surat daripada Bethel yang menyarankan bahawa kami meneruskan khidmat di sidang tempatan buat sementara waktu. Kami bertekad untuk terus bergiat dalam aktiviti teokratik.

Selepas itu, saya ditawarkan untuk bekerja di Texas. Memandangkan cuaca yang panas lebih baik untuk kesihatan, kami berpindah ke situ. Kami berada di Texas selama 25 tahun dan menjalinkan banyak persahabatan yang rapat dengan saudara saudari yang penyayang.

KAMI MEMPEROLEH PENGAJARAN YANG BAIK

Grace perlu bertarung dengan penyakit barah usus, barah tiroid, dan kebelakangan ini barah payudara. Tetapi dia selalu bekerjasama, dan tidak pernah merungut atau mencabar prinsip kekepalaan. Orang selalu menanya Grace, “Kamu berdua selalu gembira, apakah rahsia kamu?” Dia memberikan empat sebab: “Kami ialah sahabat baik. Kami berkomunikasi setiap hari. Kami suka meluangkan masa bersama setiap hari. Dan kami tidak pernah marah dengan satu sama lain sehingga keesokan hari.” Memang, dari semasa ke semasa perselisihan pendapat akan timbul, tetapi kami saling mengampuni dan melupakannya. Kaedah ini memang berkesan.

“Sentiasa bergantung pada Yehuwa dan Dia tidak akan membiarkan kamu dicubai lebih daripada yang dapat kamu tanggung”

Kami memperoleh beberapa pengajaran yang baik daripada pelbagai cubaan:

  1.  Sentiasa bergantung pada Yehuwa dan Dia tidak akan membiarkan kamu dicubai lebih daripada yang dapat kamu tanggung. Jangan bergantung pada pengertian sendiri.—Ams. 3:5, 6; Yer. 17:7.

  2.  Bergantung pada bimbingan Firman Yehuwa, tidak kira apa masalah yang timbul. Penting untuk mematuhi Yehuwa dan hukum-Nya. Jangan mengambil jalan tengah—sama ada anda patuh kepada-Nya atau tidak.—Rm. 6:16; Ibr. 4:12.

  3.  Perkara terpenting dalam hidup ialah mempunyai nama yang baik di mata Yehuwa. Utamakan kehendak-Nya, bukannya kekayaan.—Ams. 28:20; Pkh. 7:1; Mat. 6:33, 34.

  4.  Berdoa agar anda dapat bergiat dalam khidmat Yehuwa dan membuahkan hasil yang baik. Bertumpu pada apa yang anda mampu lakukan.—Mat. 22:37; 2 Tim. 4:2.

  5.  Sedar bahawa tiada organisasi lain yang mendapat berkat dan perkenan Yehuwa.—Yoh. 6:68.

Grace dan saya masing-masing telah berkhidmat kepada Yehuwa lebih daripada 75 tahun, dan sebagai suami isteri, kami telah menyertai khidmat-Nya hampir 65 tahun. Kami amat bersukacita kerana dapat menyembah Yehuwa bersama-sama selama puluhan tahun. Kami berdoa dan berharap agar semua saudara saudari juga meraih berkat yang berlimpah apabila mereka bergantung pada Yehuwa.