Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

‘Berwaspada Supaya Kamu Dapat Berdoa.’

‘Berwaspada Supaya Kamu Dapat Berdoa.’

“Kamu harus mengawal diri dan berwaspada, supaya kamu dapat berdoa.”—1 PTR. 4:7.

1, 2. (a) Mengapakah penting untuk ‘berwaspada supaya dapat berdoa’? (b) Apakah soalan-soalan tentang doa yang patut kita tanya diri?

“MASA yang paling sukar untuk berjaga ialah sebelum subuh,” kata seorang bekas pekerja malam. Kemungkinan besar, orang yang pernah berjaga sepanjang malam bersetuju dengannya. Hari ini, orang Kristian menghadapi situasi yang sama kerana sistem dunia Syaitan sedang berada pada detik yang paling gelap dalam sejarah. (Rm. 13:12) Alangkah bahayanya jika kita tertidur pada masa ini! Maka amat penting untuk berfikiran wajar dan menerapkan nasihat Bible untuk ‘berwaspada supaya dapat berdoa.’—1 Ptr. 4:7.

2 Kita sedang hidup pada hari-hari terakhir. Maka kita patut menanya diri, “Adakah saya berwaspada supaya dapat berdoa? Adakah saya sentiasa berdoa dan mengucapkan pelbagai jenis doa? Adakah doa saya hanya bertumpu pada apa yang saya inginkan, atau adakah saya juga berdoa bagi orang lain? Mengapakah doa penting untuk penyelamatan saya?”

TERUSLAH UCAPKAN PELBAGAI JENIS DOA

3. Nyatakan beberapa jenis doa.

3 Dalam suratnya kepada sidang Efesus, rasul Paulus menyebut tentang “pelbagai jenis doa.” (Ef. 6:18, NW) Semasa berdoa, kita selalu meminta bantuan Yehuwa untuk memenuhi keperluan hidup dan mengatasi cabaran. Sesungguhnya Tuhan yang pengasih mendengar doa kita. (Mzm. 65:3) Tetapi kita juga perlu bertumpu pada pelbagai jenis doa yang lain, seperti doa pujian, doa ucapan syukur, dan doa rayuan.

4. Mengapakah kita patut kerap memuji Yehuwa semasa berdoa?

4 Terdapat banyak sebab mengapa kita patut memuji Yehuwa semasa berdoa. Contohnya, kita tergerak untuk memuji Yehuwa apabila berfikir tentang “perbuatan-Nya yang perkasa” dan “keagungan-Nya.” (Baca Mazmur 150:1-6.) Dalam enam ayat di Mazmur 150, kita digesa untuk memuji Yehuwa sebanyak 13 kali! Pemazmur yang lain juga menunjukkan kasih yang mendalam kepada Yehuwa dengan bernyanyi, “Aku tujuh kali sehari bersyukur kepada-Mu bagi ketetapan-Mu yang adil.” (Mzm. 119:164, nota kaki, ABB) Yehuwa memang layak dipuji. Maka, kita patut memuji-Nya sebanyak “tujuh kali sehari,” iaitu dengan kerap.

5. Bagaimanakah doa yang disertai ucapan syukur boleh melindungi kita?

5 Ucapan syukur merupakan bentuk doa yang penting. Paulus menggesa orang Kristian di Filipi, ‘Janganlah khuatir akan apa pun. Dalam segala hal, berdoalah dan mintalah kepada Tuhan apa yang kamu perlukan. Apabila berdoa kepada Tuhan, hendaklah kamu selalu mengucap syukur.’ (Flp. 4:6, ABB) Doa yang disertai ucapan syukur melindungi kita, terutamanya pada hari-hari terakhir yang sarat dengan orang yang tidak tahu berterima kasih. (2 Tim. 3:1, 2) Jika kita tidak berhati-hati, kita akan turut terpengaruh. Mengucap syukur kepada Yehuwa semasa berdoa membantu kita berasa puas hati dan tidak “bersungut-sungut.” (Yud. 16) Apabila ketua keluarga menyertakan ucapan syukur semasa berdoa bersama keluarga, mereka turut menggalakkan isteri dan anak-anak untuk memupuk sikap berterima kasih.

6, 7. Apakah maksud rayuan? Kita boleh merayu kepada Yehuwa tentang apa?

6 Rayuan ialah doa tulus yang diucapkan dengan penuh perasaan. Apakah yang boleh kita rayukan daripada Yehuwa? Kita selalu berdoa semasa dianiaya atau menghidap penyakit yang membawa maut. Pada masa itu, kita semestinya akan merayu kepada Yehuwa untuk meminta bantuan. Tetapi adakah ini sahaja masanya kita merayu kepada Yehuwa?

7 Pertimbangkan doa Yesus, dan perhatikan kata-katanya tentang nama Tuhan, Kerajaan-Nya, dan kehendak-Nya, “Bapa kami yang di syurga, semoga nama-Mu disucikan. Datanglah Kerajaan-Mu. Semoga kehendak-Mu terlaksana di bumi seperti di syurga.” (Mat. 6:9, 10, NW) Dunia kita dipenuhi kejahatan, dan kerajaan manusia gagal memenuhi keperluan asas rakyat. Maka, kita patut merayu agar nama Tuhan disucikan dan Kerajaan-Nya menyingkirkan pemerintahan Syaitan di bumi. Kita juga merayu agar Yehuwa melaksanakan kehendak-Nya di bumi seperti di syurga. Jadi marilah kita terus berwaspada dan mengucapkan pelbagai jenis doa.

TERUSLAH BERDOA

8, 9. Mengapakah kita tidak patut menyalahkan Petrus dan rasul lain yang tertidur di Taman Getsemani?

8 Petrus menggesa orang Kristian, “Berwaspada, supaya kamu dapat berdoa.” Namun dia sendiri pernah gagal berbuat demikian. Petrus ialah salah seorang rasul yang tertidur semasa Yesus berdoa di Taman Getsemani. Malah mereka masih tertidur walaupun Yesus sudah mengingatkan mereka untuk terus ‘berjaga-jaga dan berdoa.’—Baca Matius 26:40-45.

9 Walaupun Petrus dan rasul-rasul yang lain gagal untuk berjaga-jaga, kita tidak patut menghakimi mereka. Kita harus ingat bahawa banyak perkara telah berlaku pada hari itu yang membuat mereka berasa sangat letih. Mereka telah membuat persiapan perayaan Paska dan menyambutnya pada malam itu. Kemudian Yesus memperkenalkan Perjamuan Malam Tuan agar pengikutnya akan memperingati kematiannya setiap tahun. (1 Kor. 11:23-25) “Setelah mereka menyanyikan sebuah nyanyian pujian, mereka pergi ke Bukit Zaitun.” Mereka perlu membuat perjalanan yang agak jauh menyusuli lorong kecil kota Yerusalem. (Mat. 26:30, 36, ABB) Mereka mungkin tiba di Taman Getsemani selepas tengah malam. Jika kita berada di situ, kita pun mungkin akan tertidur. Tetapi, Yesus tidak menyalahkan mereka. Dengan penuh kasih, Dia berkata, “Kamu tidak sanggup kerana tabiat manusia lemah.”

Walaupun Petrus pernah membuat kesilapan, dia belajar untuk ‘berwaspada supaya dapat berdoa’ (Lihat perenggan 10, 11)

10, 11. (a) Apakah pengajaran yang diperoleh Petrus daripada peristiwa di Taman Getsemani? (b) Apakah yang telah anda pelajari daripada pengalaman Petrus?

10 Peristiwa di Taman Getsemani terpahat di hati Petrus. Dia mendapat pengajaran yang berat kerana tidak berwaspada. Sebelum itu, Yesus berkata, ‘Pada malam ini juga kamu semua akan lari meninggalkan aku.’ Petrus menjawab, ‘Meskipun semua yang lain meninggalkan guru, saya tidak akan berbuat demikian!’ Kemudian, Yesus berkata bahawa Petrus akan menyangkalnya sebanyak tiga kali. Dengan penuh yakin, Petrus berkata, ‘Tidak sekali-kali saya akan berkata saya tidak mengenal guru, meskipun saya terpaksa mati bersama-sama guru!’ (Mat. 26:31-35) Namun akhirnya Petrus telah menyangkal Yesus. Akibatnya, Petrus “menangis tersedu-sedu” selepas menyedari kesilapannya.—Luk. 22:60-62.

11 Peristiwa ini sememangnya membantu Petrus untuk tidak terlalu yakin pada diri sendiri. Selain itu, doa juga memainkan peranan penting kerana Petrus menulis, “Berwaspada, supaya kamu dapat berdoa.” Adakah kita sedang menerapkan nasihat ini? Adakah kita terus berdoa dan bergantung pada Yehuwa? (Mzm. 78:7) Semoga kita mengingati gesaan rasul Paulus, “Sesiapa yang menyangka dirinya berdiri teguh, hendaklah berwaspada supaya tidak jatuh.”—1 Kor. 10:12, ABB.

DOA NEHEMIA DIJAWAB

12. Mengapakah kita patut mencontohi teladan baik Nehemia?

12 Perhatikan contoh baik Nehemia yang tekun berdoa. Pada abad ke-5 SM, Nehemia berkhidmat sebagai juru minuman kepada Raja Artahsasta. Selama berhari-hari dia ‘tidak makan apa-apa dan berdoa kepada Tuhan’ tentang kesengsaraan orang Yahudi di Yerusalem. (Neh. 1:4) Semasa Raja Artahsasta bertanya mengapa dia kelihatan sangat sedih, Nehemia menjelaskan situasi di Yerusalem kepadanya. Kemudian Raja bertanya, “Apakah keinginanmu?” Dengan serta-merta ‘Nehemia berdoa dalam hati kepada Tuhan.’ (Neh. 2:2-4) Apakah hasilnya? Yehuwa mengabulkan doa Nehemia. (Neh. 2:5, 6) Hal ini pasti membawa manfaat bagi umat Tuhan dan menguatkan iman Nehemia!

13, 14. Apakah yang perlu kita lakukan untuk memelihara iman yang kukuh dan mematahkan serangan Syaitan?

13 Jika kita berdoa dengan tekun seperti Nehemia, iman kita akan bertambah kuat. Syaitan tidak berbelas kasihan, dia akan melancarkan serangannya apabila kita lemah. Misalnya, semasa menghadapi masalah kesihatan atau kemurungan, kita mungkin berasa bahawa Tuhan tidak menghargai masa yang kita luangkan dalam aktiviti penyebaran setiap bulan. Fikiran sesetengah orang pula mungkin terganggu kerana pengalaman buruk pada masa lampau. Syaitan ingin kita berfikir bahawa kita tidak berguna dan dia memperalatkan perasaan negatif sebegini untuk melemahkan iman kita. Dengan ‘berwaspada supaya dapat berdoa,’ kita dapat memelihara iman yang kukuh. Sudah tentu, iman kita bagai perisai di tangan yang “dapat memadamkan semua anak panah berapi daripada Si Jahat.”—Ef. 6:16.

Jika kita ‘berwaspada supaya dapat berdoa,’ kita dapat menghadapi pelbagai cabaran (Lihat perenggan 13, 14)

14 Jika kita ‘berwaspada supaya dapat berdoa,’ kita akan sentiasa bersedia dan tidak berganjak apabila iman kita dilanda ujian yang tidak diduga. Apabila menghadapi ujian dan cubaan, ingatlah teladan Nehemia dan berdoalah kepada Tuhan dengan serta-merta. Hanya dengan bantuan Yehuwa kita dapat berjaya menolak godaan dan cubaan yang menguji iman.

BERDOA UNTUK ORANG LAIN

15. Mengenai berdoa bagi orang lain, apakah soalan-soalan yang patut kita tanya?

15 Dalam doanya, Yesus merayu agar iman Petrus tidak goyah. (Luk. 22:32) Seorang Kristian pada abad pertama, Epafras, telah meniru teladan Yesus apabila dia berdoa untuk rakan seimannya di Kolose. ‘Dia sentiasa berdoa dengan tekun bagi kamu supaya iman kamu teguh, dan kamu betul-betul matang, serta taat kepada kehendak Tuhan dengan sepenuhnya,’ tulis Paulus. (Kol. 4:12) Tanyalah diri anda: “Adakah saya berdoa dengan tekun untuk saudara saudari di seluruh dunia? Berapa kerapkah saya berdoa untuk rakan seiman yang merana kerana bencana alam? Bilakah kali terakhir saya berdoa bersungguh-sungguh bagi saudara yang memikul tanggungjawab berat di dalam organisasi Yehuwa? Kebelakangan ini, pernahkah saya berdoa untuk ahli sidang yang mengalami kesusahan?”

16. Adakah penting untuk berdoa bagi pihak orang lain? Jelaskan.

16 Doa yang kita sampaikan demi rakan seiman dapat membantu mereka. (Baca 2 Korintus 1:11.) Yehuwa tidak semestinya menjawab doa hanya kerana ramai penyembah-Nya berdoa tentang hal yang sama berulang kali. Tetapi Dia mengambil kira keprihatinan yang ditunjukkan oleh umat-Nya kepada satu sama lain. Dia akan menjawab doa mereka yang selaras dengan kehendak-Nya. Maka kita perlu memandang berat tanggungjawab untuk berdoa bagi pihak orang lain. Seperti Epafras, kita harus menunjukkan kasih dan keprihatinan terhadap saudara saudari Kristian dengan berdoa bagi pihak mereka. Jika kita berbuat demikian, kita akan lebih bersukacita kerana “lebih berbahagia memberi daripada menerima.”—Kis. 20:35.

“MASA KITA DISELAMATKAN LEBIH DEKAT”

17, 18. Apakah manfaatnya jika kita ‘berwaspada supaya dapat berdoa’?

17 Sebelum Paulus berkata, “Malam hampir berlalu, dan fajar akan menyingsing,” dia menulis, “Kamu tahu bahawa inilah masanya kamu bangun daripada tidur. Hal itu demikian kerana masa kita diselamatkan lebih dekat sekarang ini daripada masa kita mula percaya.” (Rm. 13:11, 12) Dunia baru Tuhan bakal tiba, dan penyelamatan kita juga lebih dekat daripada jangkaan kita. Jadi janganlah tidur secara rohani. Jangan membenarkan dunia ini mengambil alih masa yang kita khaskan untuk berdoa kepada Yehuwa. Sebaliknya, marilah kita ‘berwaspada supaya dapat berdoa.’ Dengan ini, kita dapat ‘sentiasa hidup suci dan khas untuk Tuhan’ sambil menantikan hari-Nya. (2 Ptr. 3:11, 12) Gaya hidup kita akan menunjukkan sama ada kita berjaga-jaga secara rohani dan benar-benar yakin bahawa akhir sistem dunia ini sudah dekat. Maka, “berdoalah sentiasa.” (1 Tes. 5:17) Kita juga patut mencontohi Yesus dengan mencari tempat yang sunyi untuk berdoa kepada Yehuwa. Jika kita meluangkan masa yang secukupnya untuk berdoa, kita akan lebih menghampiri Yehuwa. (Yak. 4:7, 8) Hal ini sememangnya suatu berkat!

18 Bible menyatakan, ‘Semasa Yesus hidup di bumi ini, dia berdoa dan memohon dengan seruan dan tangisan daripada Tuhan yang berkuasa menyelamatkan dia daripada kematian. Oleh sebab Yesus merendahkan diri dan taat kepada Tuhan, Tuhan mendengarkan permintaannya.’ (Ibr. 5:7, ABB) Dalam doanya, Yesus selalu memohon dan merayu kepada Yehuwa, serta tetap setia kepada Tuhan sehingga ke akhir hayatnya di bumi. Jadi, Yehuwa telah membangkitkan anak kesayangan-Nya dan mengurniainya hidup yang tidak boleh mati di syurga. Kita juga dapat tetap setia kepada Bapa kita yang di syurga, tidak kira apa jua cubaan atau godaan yang bakal melanda. Jika kita ‘berwaspada supaya dapat berdoa,’ kita pasti akan meraih berkat kehidupan abadi.