Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Sambutlah Kristus—Raja yang Mulia!

Sambutlah Kristus—Raja yang Mulia!

“Majulah dengan kemuliaan menuju kemenangan.”MZM. 45:5.

1, 2. Mengapakah Mazmur 45 menarik minat kita?

RAJA mulia yang membela kebenaran dan keadilan maju untuk menawan musuh-musuhnya. Selepas menakluki semua musuhnya, dia mengahwini pengantin yang menawan. Raja tersebut diingati dan dipuji selama-lamanya. Itulah peristiwa menarik yang terkandung dalam Mazmur 45.

2 Mazmur 45 bukan sahaja mengandungi kisah yang menarik dengan penghujung yang indah. Peristiwa-peristiwa yang tercatat di sana amat bermakna bagi kita sekarang dan pada masa depan. Mari kita berikan perhatian kepada mazmur ini.

“HATI HAMBA PENUH DENGAN KATA-KATA YANG INDAH”

3, 4. (a) Apakah berita baik yang menarik minat kita? Bagaimanakah berita ini menyentuh hati kita? (b) Bagaimanakah kita ‘menggubah lagu untuk raja,’ dan bagaimanakah lidah kita menjadi seperti “pena seorang pujangga”?

3 Baca Mazmur 45:2. Hati pemazmur “penuh dengan kata-kata yang indah” mengenai seorang raja. Dalam bahasa Ibrani, ungkapan “penuh dengan” membawa maksud “mendidih” atau “meluap-luap.” Hati pemazmur penuh dengan keghairahan sehingga lidahnya “umpama batang pena seorang pujangga,” atau pengarang sajak.

4 Bagaimana pula dengan kita? Seperti “kata-kata yang indah,” berita baik mengenai Kerajaan Mesias menyentuh hati kita. Berita ini bertambah “indah” pada tahun 1914. Semenjak tahun itu, mesej Kerajaan ini menjadi lebih jelas kerana Kerajaan tersebut mula memerintah di syurga. Maka berita baik tentang Kerajaan ini harus “dikhabarkan ke seluruh dunia.” (Mat. 24:14) Adakah hati kita “meluap-luap” dengan berita Kerajaan ini? Adakah kita menginjil dengan bersemangat? Seperti pemazmur yang ‘menggubah lagu untuk raja,’ kita mengumumkan Yesus Kristus sebagai Raja Kerajaan Mesias. Tambahan lagi, kita menjemput rakyat sedunia dan juga para pemerintah untuk tunduk kepada pemerintahan Yesus. (Mzm. 2:1, 2, 4-12) Lidah kita juga menjadi seperti “pena seorang pujangga” kerana kita selalu menggunakan Firman Tuhan semasa menginjil.

Kita gembira mengumumkan berita baik tentang Raja kita, Yesus Kristus

“TITAH TUANKU PENUH KEBAIKAN”

5. (a) Apakah sifat-sifat Yesus yang menonjol? (b) Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Yesus semasa menginjil?

5 Baca Mazmur 45:3. Bible tidak menyebut tentang paras rupa Yesus secara terperinci. Sebagai manusia sempurna, Yesus pastinya seorang yang “kacak.” Namun dia memiliki sifat-sifat yang lebih menonjol, seperti kesetiaan dan integriti yang kukuh terhadap Yehuwa. Tambahan lagi, Yesus memberitakan Kerajaan Tuhan dengan “baik sekali.” Dia menggunakan kata-kata yang mencapai hati orang. (Luk. 4:22; Yoh. 7:46) Adakah kita berusaha untuk mengikuti teladannya semasa menginjil?—Kol. 4:6.

6. Bagaimanakah Tuhan memberkati Yesus “selama-lamanya”?

6 Yesus setia kepada Yehuwa dengan sepenuh hati. Maka, Yehuwa memberkatinya semasa dia menginjil di bumi dan selepas dia mati sebagai korban. Rasul Paulus menulis, ‘Dia merendahkan diri dan hidup dengan taat kepada Tuhan sehingga mati—iaitu mati di atas tiang seksaan. Itulah sebabnya Tuhan meninggikan dia setinggi-tingginya, dan mengurniai dia kedudukan yang lebih tinggi daripada semua kedudukan yang lain.’ (Flp. 2:8, 9, ABB) Yesus diberkati Tuhan “selama-lamanya” apabila dia dibangkitkan ke syurga dan mendapat kehidupan yang tidak boleh mati.—Rm. 6:9.

RAJA DIJADIKAN LEBIH BERKUASA DARIPADA “RAJA LAIN”

7. Bagaimanakah Tuhan membahagiakan Yesus lebih daripada “raja lain”?

7 Baca Mazmur 45:7, 8. Oleh sebab Yesus mencintai perkara yang benar dan membenci perkara yang mendatangkan aib kepada Bapanya, Yehuwa mengurapinya sebagai Raja Kerajaan Mesias. Tuhan ‘memilih Yesus,’ dan membahagiakannya lebih daripada “raja lain,” iaitu raja-raja Yehuda daripada keturunan Daud. Bagaimana? Pertama, Yehuwa sendirilah yang mengurapi Yesus. Kedua, Yehuwa melantiknya bukan sahaja sebagai Raja, tetapi juga sebagai Imam Agung. (Mzm. 2:2; Ibr. 5:5, 6) Ketiga, Yesus tidak diurapi dengan minyak tetapi dengan daya aktif Tuhan. Akhirnya, pemerintahannya bukan dari bumi tetapi dari syurga.

8. Bagaimanakah pemerintahan Yesus ‘dikurniakan Tuhan’? Mengapakah kita boleh yakin bahawa pemerintahannya adil?

8 Yehuwa menabalkan Anak-Nya sebagai Raja Kerajaan Mesias di syurga pada tahun 1914. Menurut Mazmur, Yesus “memerintah rakyat dengan adil.” Maka, kita boleh yakin bahawa pemerintahannya adil dan saksama. Kuasanya adalah sah, kerana takhtanya ‘dikurniakan Tuhan.’ Yehuwa adalah pengasas pemerintahannya. Lebih-lebih lagi, pemerintahan Yesus akan “kekal selama-lamanya.” Tidakkah anda berasa bangga kerana menyembah Yehuwa di bawah Raja yang berkuasa?

RAJA ‘MENGIKAT PEDANG PADA PINGGANG’

9, 10. (a) Bilakah Yesus mengikat pedangnya, dan bagaimanakah dia menggunakan pedang itu? (b) Bagaimanakah Yesus menggunakan pedangnya pada masa depan?

9 Baca Mazmur 45:4. Yehuwa mengarahkan Raja-Nya untuk ‘mengikat pedang pada pinggang.’ Maksudnya, Yehuwa memberi kebenaran kepada Yesus untuk memerangi dan menghukum semua penentang Kedaulatan Tuhan. (Mzm. 110:2) Oleh sebab Yesus ialah Raja dan Pahlawan yang tidak dapat dikalahkan, dia dipanggil “raja perkasa.” Dia mengikat pedangnya pada tahun 1914 apabila dia memerangi Syaitan dan roh-roh jahat di syurga serta mencampakkan mereka ke bumi.—Why. 12:7-9.

10 Peristiwa itu hanya menandakan permulaan perjuangan Kristus. Dia masih perlu “mara” dan menakluki sehingga menang. (Why. 6:2) Penghakiman Yehuwa belum lagi terlaksana terhadap sistem dunia yang jahat ini dan Syaitan bersama roh-roh jahatnya perlu disingkirkan. Mula-mula Babilon Besar, iaitu agama palsu sedunia, akan dimusnahkan. Yehuwa akan menggunakan pemerintah politik dunia untuk membinasakan “pelacur itu.” (Why. 17:16, 17) Kemudian, Raja dan Pahlawan kita akan memerangi sistem politik Syaitan dan memusnahkannya sama sekali. Kristus yang juga dipanggil “malaikat yang bertanggungjawab atas jurang maut” akan menyelesaikan perjuangannya apabila membuang Syaitan dan roh-roh jahat ke dalam jurang maut. (Why. 9:1, 11; 20:1-3) Marilah kita lihat bagaimana Mazmur 45 menubuatkan segala peristiwa ini.

RAJA BERJUANG “DEMI KEBENARAN”

11. Bagaimanakah Yesus berjuang demi “kebenaran”?

11 Baca Mazmur 45:5. Raja tidak berjuang untuk menjajah kawasan tanah atau menguasai orang. Tujuannya adalah mulia. Dia berjuang demi ‘kebenaran, [“kerendahan hati,” NW] dan keadilan.’ Yehuwa ialah Pemerintah Alam Semesta Yang Berdaulat. Inilah kebenaran terpenting yang harus dipertahankan. Syaitan telah mencabar kedaulatan Yehuwa apabila dia memberontak terhadap-Nya. Sejak itu, roh-roh jahat dan manusia jahat mempersoalkan kedaulatan Yehuwa. Sekaranglah masanya Raja berjuang mempertahankan kedaulatan Yehuwa buat selama-lamanya.

12. Bagaimanakah Raja berjuang demi “kerendahan hati”?

12 Raja juga berjuang demi “kerendahan hati” Sebagai Anak sulung Tuhan, dia menetapkan teladan yang menonjol kerana dia rendah hati dan tunduk kepada Bapanya. (Yes. 50:4, 5; Yoh. 5:19) Semua rakyat yang setia perlu meniru teladan Raja dan tunduk kepada kedaulatan Yehuwa. Hanya mereka yang berbuat demikian dapat menikmati dunia baru yang dijanjikan Tuhan.—Za. 14:16, 17.

13. Bagaimanakah Kristus berjuang demi “keadilan”?

13 Kristus juga berjuang demi “keadilan.” Dia mempertahankan keadilan Tuhan, iaitu piawaian Yehuwa mengenai apa yang betul dan salah. (Ul. 32:4; Rm. 3:21) Mengenai Raja Yesus Kristus, Yesaya bernubuat, ‘Dia akan memerintah dengan adil.’ (Yes. 32:1) Pemerintahan Yesus akan membawa “langit baru dan bumi baru” yang dijanjikan, dan “di situ terdapat keadilan.” (2 Ptr. 3:13) Kesemua penduduk di dunia baru harus mengikut piawaian yang ditetapkan Yehuwa.—Yes. 11:1-5.

RAJA MENDAPAT “KEMENANGAN YANG BESAR”

14. Bagaimanakah Kristus akan mendapat “kemenangan yang besar”? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

14 Semasa berjuang, sebilah pedang terikat pada pinggang Raja. (Mzm. 45:4) Sudah tiba masanya untuk menghunuskan pedang dengan tangan kanannya. Pemazmur menubuatkan bahawa raja akan mendapat “kemenangan yang besar.” (Mzm. 45:5) Apabila Yesus Kristus maju berjuang untuk melaksanakan penghakiman Yehuwa semasa Armagedon, dia pasti mendapat “kemenangan yang besar” atas musuh-musuh Tuhan. Kita tidak pasti bagaimana sistem Syaitan akan dibinasakan. Tetapi, semua orang yang tidak mengendahkan amaran Tuhan untuk tunduk kepada Raja akan berasa gementar. (Mzm. 2:11, 12) Mengenai akhir zaman, Yesus bernubuat bahawa umat manusia “akan pengsan kerana ketakutan sementara menantikan apa yang akan berlaku di seluruh bumi.” Dia menambah, “Anak Manusia akan kelihatan datang dikelilingi awan dengan kekuasaan dan kemuliaan yang besar.”—Luk. 21:26, 27.

15, 16. Siapakah yang akan berjuang bersama Yesus?

15 Raja akan datang “dengan kekuasaan dan kemuliaan yang besar” untuk melaksanakan penghakiman. Buku Wahyu menyatakan, ‘Aku nampak syurga terbuka dan aku melihat seekor kuda putih. Penunggangnya bernama Yang Setia dan Yang Benar. Dia menghakimi dengan adil dan berperang untuk keadilan. Tentera syurga mengikuti dia dengan menunggang kuda putih dan mengenakan pakaian linen putih yang bersih. Dari mulutnya keluar sebilah pedang yang tajam, dan dengan pedang itu dia akan mengalahkan bangsa-bangsa. Dia akan memerintah mereka dengan tangan besi. Dia akan memeras anggur di dalam alat pemeras anggur, iaitu kemurkaan yang menyala-nyala daripada Tuhan Yang Maha Kuasa.’—Why. 19:11, 14, 15, ABB.

16 Siapakah yang akan berjuang bersama Kristus? Sewaktu dia mula-mula menggunakan pedang untuk menghalau Syaitan dan konco-konconya dari syurga, Yesus disertai “malaikat-malaikatnya.” (Why. 12:7-9) Nampaknya, malaikat-malaikat akan bersama Kristus semasa perang Armagedon. Siapakah lagi yang akan ikut serta? Mengenai rakan-rakannya yang terurap, Yesus berjanji, ‘Mereka yang menang, dan terus-menerus melakukan kehendakku sehingga akhir, akan aku kurniai kekuasaan seperti yang aku terima daripada Bapaku. Mereka akan menerima kekuasaan daripadaku untuk memerintah bangsa-bangsa dengan tangan besi dan untuk menghancurkan mereka seperti periuk tanah.’ (Why. 2:26-28) Jadi, orang Kristian terurap yang sudah naik ke syurga juga akan menyertai Kristus untuk melaksanakan penghakiman ini. Mereka akan berada di sisi Yesus seraya dia menyelesaikan penaklukannya untuk mendapat “kemenangan yang besar.”

RAJA MENGHABISKAN PENAKLUKANNYA

17. (a) Apakah yang dilambangkan oleh kuda putih yang ditunggang Yesus? (b) Apakah yang dilambangkan oleh pedang dan busur?

17 Baca Mazmur 45:6. Raja menunggang seekor kuda putih yang melambangkan peperangan yang benar dan adil di mata Yehuwa. (Why. 6:2; 19:11) Selain daripada memegang pedang, Raja juga membawa sebuah busur. Bible menyatakan, “Aku melihat, lalu nampak seekor kuda putih. Penunggangnya memegang sebuah busur dan dia diberikan sebuah mahkota. Dia mara sebagai seorang penakluk yang menang.” Kedua-dua pedang dan busur melambangkan cara Kristus akan menghakimi musuh-musuhnya.

Burung-burung akan dipanggil untuk membersihkan bumi (Lihat perenggan 18)

18. Bagaimanakah anak panah Raja terbukti “tajam”?

18 Dalam bahasa puisi, pemazmur menubuatkan bahawa anak panah Raja ‘tajam dan menembusi jantung musuh’ sehingga mereka ‘rebah ke bawah kakinya.’ Mayat akan ditemui di serata bumi. Nubuat Yeremia menyatakan, ‘Mayat orang yang dibinasakan oleh Yehuwa akan bergelimpangan di seluruh muka bumi.’ (Yer. 25:33) Sebuah nubuat yang berkaitan menyatakan, ‘Aku nampak satu malaikat berdiri di atas matahari. Dengan suara kuat dia berseru kepada semua burung yang terbang di angkasa, “Marilah berkumpul untuk menghadiri jamuan besar yang disediakan oleh Tuhan. Marilah makan daging raja, daging panglima dan askar, daging kuda dan penunggang kuda, daging semua orang, baik abdi mahupun orang bebas, orang besar mahupun orang biasa!”’—Why. 19:17, 18, ABB.

19. Bagaimanakah Kristus akan “menuju kemenangan” dan menyelesaikan penaklukannya?

19 Selepas memusnahkan sistem jahat Syaitan di bumi, Kristus akan ‘maju dengan kemuliaan menuju kemenangan.’ (Mzm. 45:5) Yesus akan menyelesaikan penaklukannya dengan membuang Syaitan dan roh-roh jahat ke dalam jurang maut dan dia akan memerintah selama seribu tahun. (Why. 20:2, 3) Apabila berada di dalam jurang, Syaitan dan roh-roh jahat seolah-olah sudah mati dan tidak lagi aktif. Maka penduduk di bumi bebas daripada pengaruh mereka dan dapat tunduk sepenuhnya kepada Raja yang mulia. Kemudian umat manusia akan menikmati bumi yang beransur-ansur berubah menjadi firdaus yang indah. Namun sebelum itu, terdapat alasan lain untuk bergembira bersama Raja dan 144,000 orang terurap. Peristiwa yang menggembirakan ini akan diterangkan dengan lebih lanjut dalam rencana seterusnya.