Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Apakah sebab-sebab orang Yahudi mengharapkan kemunculan Mesias?

Pada zaman Yohanes Pembaptis, ‘Harapan orang ramai mula timbul. Mereka tertanya-tanya sama ada Yohanes itu Penyelamat yang diutus oleh Tuhan.’ (Luk. 3:15) Mengapakah orang Yahudi menanti-nantikan kemunculan Mesias pada masa itu? Terdapat beberapa sebab.

Selepas Yesus dilahirkan, malaikat Yehuwa muncul kepada para gembala yang sedang menjaga kawanan di padang berdekatan Betlehem. Malaikat itu berkata, ‘Pada hari ini di kota Daud telah lahir Penyelamat kamu, Kristus.’ (Luk. 2:8-11) Kemudian malaikat itu disertai ‘sepasukan besar malaikat syurga, yang memuji-muji Tuhan, * “Termulialah Tuhan di langit yang tertinggi! Dan di atas bumi, sejahteralah manusia yang menyenangkan hati-Nya!”’—Luk. 2:13, 14.

Sudah pasti pengumuman tersebut memberikan kesan yang besar terhadap para gembala. Mereka segera ke Betlehem. Semasa bertemu dengan Yusuf, Maria, dan Yesus yang masih bayi, “Mereka memberitahu semua orang di situ apa yang dikatakan oleh malaikat tentang bayi itu.” Hasilnya, “Semua orang yang mendengarnya hairan akan apa yang dikatakan oleh para gembala itu.” (Luk. 2:17, 18, ABB) Pernyataan “semua orang yang mendengarnya” menunjukkan bahawa para gembala juga bercakap kepada orang lain selain daripada Yusuf dan Maria. Dalam perjalanan balik, para gembala ‘memuji-muji Tuhan bagi segala yang sudah didengar dan dilihat oleh mereka, kerana semuanya tepat seperti yang dikatakan oleh malaikat.’ (Luk. 2:20) Mereka tentu tidak merahsiakan apa yang mereka dengar tentang Yesus.

Maria mematuhi Hukum Musa dengan membawa anak sulungnya ke Yerusalem untuk dipersembahkan kepada Yehuwa. Di sana, seorang nabi wanita yang bernama Hana mula ‘bersyukur kepada Tuhan. Dia bercakap tentang anak itu kepada semua orang yang menantikan masanya Tuhan membebaskan Yerusalem.’ (Luk. 2:36-38; Kel. 13:12) Nampaknya, berita mengenai kemunculan Mesias terus tersebar.

‘Kemudian beberapa orang ahli kaji bintang dari timur datang ke Yerusalem. Mereka bertanya, “Di manakah anak yang baru lahir itu, yang akan menjadi raja orang Yahudi? Kami nampak bintangnya terbit di sebelah timur dan kami datang hendak menyembah dia.”’ (Mat. 2:1, 2, ABB) ‘Apabila mendengar hal itu, Raja Herodes resah gelisah, demikian juga semua penduduk Yerusalem. Raja Herodes mengumpulkan semua ketua imam dan guru Taurat lalu bertanya, “Di manakah Kristus akan lahir?”’ (Mat. 2:3, 4, ABB, nota kaki) Maka, ramai orang mengetahui bahawa Mesias sudah tiba! *

Menurut Lukas 3:15, sesetengah orang Yahudi berfikir bahawa Yohanes Pembaptis ialah Kristus. Namun, Yohanes berkata, ‘Dia yang datang kemudian daripada aku akan membaptis kamu dengan daya aktif dan api. Dia lebih besar daripada aku, sehingga menjinjing kasutnya pun aku tidak layak.’ (Mat. 3:11) Kata-kata Yohanes ini sudah pasti lebih menguatkan harapan orang tentang kemunculan Mesias.

Mungkinkah orang Yahudi pada abad pertama mengira masa kemunculan Mesias berdasarkan nubuat 70 minggu yang tercatat di Daniel 9:24-27? Mungkin juga, tetapi hal ini tidak dapat dipastikan kerana terdapat banyak penjelasan yang bercanggah mengenai nubuat 70 minggu pada zaman Yesus. Selain itu, penjelasan pada masa itu amat berbeza dengan pemahaman kita hari ini. *

Sekumpulan biarawan Yahudi (Essenes) mengajar bahawa terdapat dua Mesias yang muncul menjelang akhir 490 tahun itu. Namun, kita tidak pasti sama ada kumpulan ini membuat pengiraan berdasarkan nubuat Daniel. Walaupun mereka mengira berdasarkan nubuat Daniel, adalah susah untuk membayangkan bagaimana orang Yahudi secara umum percaya kepada cara pengiraan kumpulan biarawan yang suka menyendiri ini.

Pada abad kedua M, sesetengah orang Yahudi percaya bahawa 70 minggu itu merangkumi tempoh masa dari kemusnahan Rumah Tuhan yang pertama pada 607 SM hingga kemusnahan Rumah Tuhan yang kedua pada 70 M. Yang lain pula mengaitkan penggenapan nubuat itu dengan zaman Maccabees, yang bermula sekitar 170 SM. Maka, tiada persetujuan yang jelas tentang cara pengiraan masa 70 minggu.

Jika pemahaman mengenai masa 70 minggu ditafsirkan dengan tepat pada abad pertama Masihi, para rasul dan orang Kristian pada abad pertama serta abad kedua mungkin menggunakan pengiraan masa ini untuk membuktikan bahawa Mesias sudah tiba tepat pada masanya sebagai Yesus Kristus. Namun, tiada bukti yang menunjukkan bahawa orang Kristian masa awal berbuat demikian.

Satu lagi faktor penting ialah penulis Bible sering kali merujuk kepada nubuat dalam Kitab-Kitab Ibrani yang digenapi oleh Yesus. (Mat. 1:22, 23; 2:13-15; 4:13-16) Namun, tiada di antara mereka yang mengaitkan kemunculan Yesus di bumi dengan nubuat 70 minggu.

Kesimpulannya, kita tidak dapat memastikan sama ada orang pada zaman Yesus memahami secara tepat mengenai nubuat 70 minggu. Meskipun demikian, Bible memberikan sebab-sebab yang cukup jelas mengapa orang Yahudi mengharapkan kemunculan Mesias pada zaman itu.

^ per. 4 Bible tidak menyatakan bahawa para malaikat bernyanyi semasa kelahiran Yesus.

^ per. 7 Kita mungkin tertanya, “Bagaimanakah ahli kaji bintang mengaitkan kemunculan ‘bintang’ yang terbit di sebelah timur dengan kelahiran ‘raja orang Yahudi’?” Mungkinkah mereka mendengar khabar tentang kelahiran Yesus semasa melalui tanah Israel?

^ per. 9 Mengenai pemahaman tentang nubuat 70 minggu, sila lihat buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible? muka surat 228-229.