Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

‘Menyaksikan Segala Kebaikan Yehuwa’

‘Menyaksikan Segala Kebaikan Yehuwa’

Semasa menghadapi masalah, banyak perkara buruk boleh mempengaruhi kita. Kita berasa tertekan, fikiran kita bercelaru, kita menjadi lemah dan kecewa terhadap kehidupan. Raja Daud pernah ditimpa banyak kesusahan. Bagaimanakah dia menghadapinya? Dalam sebuah mazmur, Daud berkata, ‘Aku berseru kepada Yehuwa, aku merayu kepada-Nya meminta bantuan. Aku mengemukakan segala aduanku kepada-Nya; aku memberitahukan segala kesusahanku kepada-Nya. Apabila aku putus asa, Dia tahu apa yang harus aku lakukan.’ Ya, dengan rendah hati Daud berdoa kepada Yehuwa memohon bantuan.—Mzm. 142:2-4, ABB.

Semasa menghadapi kesusahan, Daud berdoa dengan rendah hati kepada Yehuwa untuk memohon bantuan

Dalam sebuah mazmur, Daud berkata, ‘Aku telah memohon satu perkara kepada Yehuwa; untuk tinggal di dalam Rumah Yehuwa sepanjang hidupku, untuk menyaksikan segala kebaikan-Nya, dan meminta bimbingan-Nya.’ (Mzm. 27:4) Daud bukan keturunan Lewi, tetapi bayangkan Daud berdiri di luar khemah suci di mana ibadat sejati berlangsung. Hatinya penuh dengan penghargaan. Dia ingin berada di sana sepanjang hidupnya dan ‘menyaksikan segala kebaikan Yehuwa.’

Dalam bahasa Ibrani, perkataan ‘kebaikan’ boleh dikaitkan dengan sifat yang menenangkan jiwa raga kita. Daud selalu menghargai aturan ibadat Yehuwa. Maka, kita perlu bertanya, “Adakah perasaan saya terhadap ibadat sejati sama seperti perasaan Daud?”

MENGHARGAI ATURAN YEHUWA

Hari ini, kita tidak menyembah Yehuwa di Rumah Tuhan yang fizikal. Sebaliknya, kita menyembah-Nya di Rumah Rohani Tuhan, yang melambangkan aturan ibadat sejati. * Jika kita menghargai aturan ini, kita akan ‘menyaksikan segala kebaikan Tuhan.’

Cuba fikir tentang mazbah gangsa yang digunakan untuk membakar korban yang terletak di depan pintu masuk khemah suci. (Kej. 38:1, 2; 40:6) Mazbah itu melambangkan kerelaan Tuhan untuk menerima kehidupan Yesus sebagai korban. (Ibr. 10:5-10) Apakah maknanya bagi kita? Rasul Paulus menulis, ‘Dahulu kita bermusuhan dengan Tuhan, tetapi kita menjadi sahabat-Nya melalui kematian Anak-Nya.’ (Rm. 5:10) Dengan beriman terhadap korban tebusan Yesus, kita dapat menikmati kemurahan hati dan kepercayaan daripada Tuhan. Hasilnya, persahabatan kita dengan Yehuwa menjadi erat.—Mzm. 25:14.

Oleh sebab Tuhan “menghapuskan dosa” kita, kita mendapat kelegaan daripada-Nya. (Kis. 3:19) Situasi kita adalah sama seperti seorang banduan yang menyesali perbuatannya yang dahulu. Dia membuat perubahan yang besar sementara menunggu masa hukumannya. Selepas melihat perubahan banduan itu, seorang hakim yang baik hati didorong untuk melupakan segala kesalahannya dan membebaskannya daripada hukuman mati. Tentu banduan itu berasa lega dan gembira! Seperti hakim itu, Yehuwa menunjukkan kebaikan hati kepada umat manusia yang bertaubat dan membebaskan mereka daripada kematian.

NIKMATILAH IBADAT SEJATI

Apabila Daud memperhatikan apa yang berlaku di tempat ibadat Tuhan, dia nampak ramai orang Israel datang berkumpul, Hukum Tuhan dibaca dan diterangkan, kemenyan dibakar, serta imam-imam dan orang Lewi melakukan khidmat suci. (Kel. 30:34-38; Bil. 3:5-8; Ul. 31:9-12) Semua hal ini ada persamaan dengan ibadat sejati hari ini.

Sejak dahulu lagi penyembah sejati berkata, ‘Alangkah baiknya dan indahnya apabila umat Tuhan hidup dengan rukun!’ (Mzm. 133:1, ABB) “Saudara seiman” menjadi semakin banyak di serata dunia. (1 Ptr. 2:17) Firman Tuhan dibaca dan dijelaskan di perjumpaan kita. Melalui organisasi-Nya, Yehuwa sedang membimbing kita. Makanan rohani yang berlimpah telah dicetak untuk pembelajaran peribadi dan keluarga. Seorang anggota Badan Pimpinan berkata, “Dengan merenungkan maksud Firman Tuhan, serta mencari pemahaman dan pengertian, kehidupan saya penuh dengan kekayaan rohani serta kepuasan hati.” Ya, ‘pengetahuan akan menyukakan hati kita.’—Ams. 2:10.

Dewasa ini, doa-doa yang dipanjatkan oleh hamba-hamba Tuhan yang setia adalah seperti kemenyan yang harum. (Mzm. 141:2) Alangkah gembiranya kita kerana Yehuwa memperkenankan doa-doa tulus yang kita sampaikan dengan rendah hati!

Musa berdoa, ‘Ya Yehuwa, Tuhan kami, berkatilah kami, dan berilah kami kejayaan dalam segala usaha kami.’ (Mzm. 90:17, ABB) Seraya kita bersemangat dalam kerja penyebaran, Tuhan memberkati kita. (Ams. 10:22) Mungkin kita berpeluang membantu orang lain menerima kebenaran. Namun kita perlu bertabah hati semasa menghadapi masalah kesihatan dan emosi, berdepan dengan orang yang bersikap acuh tak acuh, serta penganiayaan selama bertahun-tahun. (1 Tes. 2:2) Walau bagaimanapun, kita dapat ‘menyaksikan segala kebaikan Yehuwa’ dan sedar bahawa Dia sangat menghargai usaha kita.

Daud bernyanyi, ‘Ya Yehuwa, hanya Engkau yang aku miliki, Engkau memberi aku segala keperluanku; nyawaku ada di dalam tangan-Mu. Sungguh indah pemberian-Mu kepadaku; betapa baiknya semua itu!’ (Mzm. 16:5, 6, ABB) Daud sangat menghargai apa yang dia “miliki,” iaitu hubungan baik dengan Yehuwa serta penghormatan untuk menyembah-Nya. Seperti Daud, kita mungkin menghadapi banyak penderitaan. Namun kita diberkati dengan berlimpah-limpah! Semoga kita tetap menikmati ibadat sejati dan menghargai Rumah Rohani Tuhan.

^ per. 6 Lihat The Watchtower 1 Julai 1996, muka surat 14-24.