Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pembangkitan Yesus—Mengapa Penting bagi Kita

Pembangkitan Yesus—Mengapa Penting bagi Kita

‘Dia sudah dibangkitkan.’MAT. 28:6.

1, 2. (a) Apakah yang ditanya oleh sekumpulan pemimpin agama? Apakah jawapan Petrus? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Mengapakah Petrus dapat menjawab dengan berani?

BEBERAPA minggu selepas kematian Yesus, rasul Petrus berdepan dengan sekumpulan pemimpin agama Yahudi yang ganas. Merekalah yang telah berkomplot untuk membunuh Yesus. Sekarang mereka marah kerana Petrus menyembuhkan seorang lelaki yang lumpuh. Mereka bertanya, “Dengan kuasa apa atau dengan kuasa siapa kamu melakukan hal itu?” Petrus menjawab dengan berani, ‘Orang ini sudah sembuh kerana kuasa Yesus Kristus orang Nasaret itu. Tuan-tuan sudah [membunuh Yesus pada tiang], tetapi Tuhan sudah membangkitkan dia daripada kematian.’—Kis. 4:5-10.

2 Sebelum kejadian ini, Petrus menyangkal Yesus tiga kali kerana takut. (Mrk. 14:66-72) Tetapi sekarang, Petrus dengan berani menghadap pemimpin agama. Apakah yang menyebabkan perubahan ini? Sudah tentu Petrus dibantu oleh daya aktif Tuhan. Dia juga sangat yakin bahawa Yesus sudah dibangkitkan. Apakah yang meyakinkan Petrus? Bagaimanakah kita boleh memiliki keyakinan sepertinya?

3, 4. (a) Apakah kisah-kisah pembangkitan yang berlaku sebelum zaman Yesus? (b) Siapakah yang dibangkitkan oleh Yesus?

3 Para rasul tahu bahawa orang mati boleh dibangkitkan. Contohnya, mereka tahu bahawa Yehuwa telah memberikan kuasa kepada nabi Elia dan Elisa untuk membangkitkan orang mati. (1 Raj. 17:17-24; 2 Raj. 4:32-37) Selain itu, seorang lelaki yang mati telah hidup semula apabila mayatnya terkena tulang-tulang Elisa. (2 Raj. 13:20, 21) Orang Kristian abad pertama percaya bahawa semua kisah ini benar sepertimana kita mempercayai Firman Tuhan.

4 Tidakkah hati anda tersentuh apabila membaca kisah-kisah pembangkitan yang dilakukan oleh Yesus? Contohnya, Yesus membangkitkan anak tunggal seorang balu. Cuba bayangkan kegembiraan yang dirasai oleh balu itu. (Luk. 7:11-15) Fikirkan juga semasa Yesus membangkitkan seorang gadis muda. Sudah tentu, kesedihan ibu bapanya berubah menjadi sukacita! (Luk. 8:49-56) Selain itu, orang ramai semestinya teruja ketika melihat Lazarus dibangkitkan dan keluar dari kuburnya!—Yoh. 11:38-44.

PEMBANGKITAN YESUS SANGAT ISTIMEWA

5. Bagaimanakah pembangkitan Yesus berbeza daripada pembangkitan yang berlaku sebelumnya?

5 Para rasul tahu bahawa pembangkitan Yesus sangat istimewa. Orang yang mati dahulunya dibangkitkan dengan tubuh jasmani, dan akhirnya mati lagi. Yesus pula dibangkitkan dengan tubuh roh yang tidak dapat dibinasakan. (Baca Kisah 13:34.) Petrus menulis bahawa Yesus “dibunuh dalam keadaan jasmani, tetapi dihidupkan semula dalam keadaan rohani.” Tambahan lagi, ‘sekarang dia di sebelah kanan Tuhan dan memerintah semua malaikat, penguasa, dan pemerintah di langit.’ (1 Ptr. 3:18-22) Pembangkitan yang berlaku sebelum itu sememangnya menakjubkan, tetapi pembangkitan Yesus ialah pembangkitan yang terunggul.

6. Apakah kesan pembangkitan Yesus terhadap pengikut-pengikutnya?

6 Walaupun musuh Yesus percaya bahawa dia sudah mati, dia sebenarnya telah dibangkitkan. Dia dibangkitkan sebagai makhluk roh yang berkuasa dan tidak dapat dicederakan oleh manusia lagi. Pembangkitan Yesus membuktikan bahawa dia ialah Anak Tuhan. Hal ini meninggalkan kesan yang mendalam pada pengikutnya. Mereka tidak lagi berasa sedih atau takut. Tetapi, mereka bertambah yakin dan bersemangat. Fikirkanlah, jika Yesus tidak dibangkitkan, sudah pasti tujuan Tuhan tidak akan tercapai dan kerja penyebaran juga sia-sia sahaja.

7. Apakah yang sedang Yesus lakukan sekarang? Apakah soalan-soalan yang boleh kita tanyakan?

7 Kita tahu Yesus bukan sekadar orang yang baik. Sekarang, dia hidup dan sedang memimpin kerja penyebaran sedunia. Dia juga sedang memerintah sebagai Raja Kerajaan Tuhan. Tidak lama lagi, Yesus akan menghapuskan segala kejahatan dan menjadikan bumi sebuah firdaus supaya manusia yang setia dapat hidup selama-lamanya. (Luk. 23:43) Jika Yesus tidak dibangkitkan, semua ini hanya mimpi belaka. Jadi, apakah yang boleh meyakinkan kita bahawa Yesus sudah dibangkitkan? Mengapakah pembangkitannya penting bagi kita?

YEHUWA LEBIH BERKUASA DARIPADA KEMATIAN

8, 9. (a) Mengapakah ketua agama Yahudi meminta agar kubur Yesus dikawal? (b) Apakah yang berlaku apabila dua orang wanita pergi ke kubur Yesus?

8 Selepas Yesus dibunuh, pemimpin agama Yahudi berkata kepada Pilatus, ‘Tuan, kami ingat bahawa semasa penipu itu masih hidup, dia pernah berkata, “Selepas tiga hari aku akan dibangkitkan.” Oleh itu suruhlah orang mengawal kubur itu baik-baik sehingga hari ketiga. Dengan demikian pengikut-pengikutnya tidak dapat mencuri jenazahnya, dan memberitahu orang bahawa dia telah dibangkitkan daripada kematian.’ Oleh itu, Pilatus berkata kepada mereka, ‘Bawalah beberapa orang askar. Pergilah dan kawallah kubur itu dengan rapi.’ Maka, itulah yang dilakukan oleh mereka.—Mat. 27:62-66.

9 Jenazah Yesus berada di dalam kubur yang digali di bukit batu dan ditutup dengan batu besar. Pemimpin agama Yahudi ingin agar jenazah Yesus berada di situ selama-lamanya. Tetapi itu bukan kehendak Yehuwa. Tiga hari kemudian, Maria Magdalena dan seorang lagi yang bernama Maria pergi ke kubur Yesus. Di situ, mereka nampak batu penutup yang sudah digulingkan dan malaikat sedang duduk di atasnya. Malaikat tersebut memberitahu wanita-wanita itu untuk melihat ke dalam kubur. Mereka mendapati kubur itu kosong. Kemudian malaikat itu berkata, ‘Dia tidak ada di sini. Dia sudah dibangkitkan.’ (Mat. 28:1-6) Yesus memang sudah hidup kembali!

10. Bagaimanakah Paulus membuktikan bahawa Yesus sudah dibangkitkan?

10 Peristiwa-peristiwa yang berlaku selama 40 hari yang seterusnya membuktikan bahawa Yesus sudah dibangkitkan. Paulus menulis kepada sidang Korintus: ‘Kristus mati kerana dosa kita, sesuai dengan yang tertulis di dalam Alkitab. Hal ini juga tertulis di dalam Alkitab: Dia dikuburkan dan pada hari ketiga dia dihidupkan semula. Setelah itu dia menampakkan diri kepada Petrus, dan kemudian kepada dua belas orang rasul. Sesudah itu dia menampakkan diri kepada lebih daripada lima ratus orang pengikutnya sekaligus. Kebanyakan daripada mereka masih hidup, meskipun beberapa orang sudah meninggal. Sesudah itu dia menampakkan diri juga kepada Yakobus dan kemudian kepada semua rasul. Terakhir sekali dia juga menampakkan diri kepadaku.’—1 Kor. 15:3-8.

EMPAT SEBAB YANG MEYAKINKAN KITA BAHAWA YESUS TELAH DIBANGKITKAN

11. Jelaskan bagaimana pembangkitan Yesus berlaku seperti “yang tertulis di dalam Alkitab.”

11 1. Pembangkitan Yesus berlaku seperti “yang tertulis di dalam Alkitab.” Firman Tuhan telah menubuatkan pembangkitan Yesus. Contohnya, Daud telah menulis mengenai ‘orang yang Tuhan kasihi.’ (Baca Mazmur 16:10.) Pada Pentakosta 33 M, Petrus menjelaskan bahawa ‘orang yang Tuhan kasihi’ itu merujuk kepada Yesus. Dia berkata, ‘Daud bernubuat tentang pembangkitan Kristus. Daud berkata, “Dia tidak akan ditinggalkan dan tubuhnya tidak akan hancur di kubur.”’—Kis. 2:23-27, 31, nota kaki.

12. Siapakah yang telah melihat Yesus yang sudah dibangkitkan?

12 2. Ramai orang telah melihat Yesus yang sudah dibangkitkan. Selama 40 hari selepas Yesus dibangkitkan, dia menampakkan diri kepada pengikutnya di taman berdekatan kuburnya, di jalan ke pekan Emaus, dan di tempat lain. (Luk. 24:13-15) Dia telah bercakap kepada individu seperti Petrus dan juga menampakkan diri kepada ramai orang. Pernah sekali dia menampakkan dirinya kepada lebih daripada 500 orang. Kita tidak boleh menafikan bahawa Yesus memang dibangkitkan kerana begitu ramai saksi telah melihatnya.

13. Bagaimanakah pengikut Yesus menunjukkan bahawa mereka yakin Yesus telah dibangkitkan?

13 3. Pengikut Yesus menginjil dengan bersemangat mengenai pembangkitan Yesus. Pengikut Yesus telah dianiaya, dan ada juga yang dibunuh kerana kerja penyebaran. Jika Yesus tidak dibangkitkan, sanggupkah Petrus membahayakan nyawanya untuk memberitahu musuh-musuh Yesus bahawa dia sudah dibangkitkan? Petrus dan pengikut Yesus yang lain yakin bahawa Yesus benar-benar telah dibangkitkan. Selain itu, pembangkitan Yesus menguatkan harapan pengikutnya bahawa mereka juga akan dibangkitkan. Contohnya, Stefanus sangat yakin bahawa dia akan dibangkitkan selepas dia mati.—Kis. 7:55-60.

14. Mengapakah anda percaya bahawa Yesus telah dibangkitkan?

14 4. Kita mempunyai bukti bahawa kini Yesus sedang berkuasa sebagai Raja dan Kepala sidang Kristian. Orang Kristian sejati semakin bertambah. Hal ini tidak mungkin berlaku jika Yesus tidak dibangkitkan. Sebenarnya, kita mungkin tidak mengetahui tentang Yesus jika dia tidak dibangkitkan. Namun, kita mempunyai sebab yang kukuh untuk percaya bahawa Yesus memang hidup hari ini dan sedang membimbing aktiviti penyebaran sedunia.

MENGAPA PEMBANGKITAN YESUS PENTING BAGI KITA

15. Mengapakah pembangkitan Yesus menyebabkan kita berani untuk menginjil?

15 Pembangkitan Yesus memberi kita keberanian untuk menginjil. Sejak zaman Yesus, musuh Tuhan mencuba pelbagai cara untuk menentang kerja penyebaran. Mereka menggunakan ajaran murtad, hinaan, kekerasan, undang-undang untuk menyekat kegiatan kita, penyeksaan, dan hukuman mati. Namun, Bible menyatakan, “Tiada senjata yang dapat mencederakan kamu.” (Yes. 54:17) Kita tidak takut akan konco-konco Syaitan kerana Yesus sedang membantu kita, seperti yang dijanjikannya. (Mat. 28:20) Kita sangat yakin bahawa pihak musuh tidak akan berjaya menghentikan kerja kita!

Pembangkitan Yesus memberanikan kita untuk menginjil (Lihat perenggan 15)

16, 17. (a) Bagaimanakah pembangkitan Yesus mengesahkan bahawa semua yang diajarnya adalah benar? (b) Berdasarkan Yohanes 11:25, apakah kuasa yang diberikan Tuhan kepada Yesus?

16 Pembangkitan Yesus mengesahkan bahawa semua yang diajarnya adalah benar. Seorang cendekiawan Bible menulis bahawa jika Kristus tidak dibangkitkan, orang Kristian adalah seperti sekumpulan orang bodoh yang mempercayai cerita palsu. Paulus menulis bahawa jika Yesus tidak dibangkitkan, kerja penyebaran dan kepercayaan orang Kristian adalah sia-sia belaka. Kisah Yesus dalam Bible pula hanya menjadi cerita sedih tentang seorang lelaki yang baik dan bijak, tetapi akhirnya dibunuh oleh musuh. Sebaliknya, Yesus memang telah dibangkitkan. Hal ini mengesahkan bahawa semua yang diajarnya adalah benar.—Baca 1 Korintus 15:14, 15, 20.

17 Yesus berkata, ‘Akulah yang membangkitkan orang mati dan yang memberikan hidup. Sesiapa yang percaya kepadaku akan hidup, meskipun dia sudah mati.’ (Yoh. 11:25) Sudah pasti janji ini akan menjadi kenyataan. Yehuwa telah memberikan kuasa kepada Yesus untuk membangkitkan mereka yang akan memerintah di syurga dan jutaan orang yang akan hidup di bumi. Korban Yesus serta pembangkitannya menjamin bahawa kematian akan tiada lagi. Hal ini menguatkan dan memberanikan kita untuk menghadapi apa sahaja cabaran, malah kematian.

18. Apakah yang dijamin oleh pembangkitan Yesus?

18 Pembangkitan Yesus meyakinkan kita bahawa semua orang akan dihakimi oleh Yehuwa dengan adil. Paulus memberitahu sekumpulan orang di Atena bahawa Tuhan akan ‘mengadili seluruh dunia ini dengan adil. Tugas itu akan dilakukan oleh satu orang yang sudah dipilih-Nya. Supaya semua orang yakin akan hal itu, Tuhan sudah membangkitkan orang itu daripada kematian!’ (Kis. 17:31) Tuhan melantik Yesus untuk menjadi Hakim. Kita boleh yakin bahawa Yesus akan menghakimi dengan adil dan penuh kasih.—Baca Yesaya 11:2-4.

19. Apakah kesan pembangkitan Yesus dalam kehidupan kita?

19 Pembangkitan Yesus mendorong kita untuk melakukan kehendak Tuhan. Jika Yesus tidak dibangkitkan, kita akan terus dikuasai oleh dosa dan kematian. (Rm. 5:12; 6:23) Selain itu, kita tidak ada harapan dan mungkin berfikir, “Marilah kita makan minum dan bersuka-suka, kerana esok kita akan mati.” (1 Kor. 15:32) Namun, kita tidak berbuat demikian. Mengapa? Kerana kita amat menghargai harapan pembangkitan dan ingin mentaati Yehuwa.

20. Bagaimanakah pembangkitan Yesus membuktikan keagungan Tuhan?

20 Pembangkitan Yesus membuktikan keagungan Yehuwa sebagai Tuhan yang “menganugerahi orang yang mencari-Nya.” (Ibr. 11:6) Yehuwa menggunakan kuasa dan hikmat untuk membangkitkan Yesus sebagai makhluk roh yang tidak dapat dibinasakan. Tuhan juga menunjukkan keupayaan-Nya untuk menunaikan janji-janji-Nya. Yehuwa berjanji bahawa satu ‘keturunan’ yang istimewa akan menyelesaikan isu tentang hak Yehuwa sebagai Pemerintah Alam Semesta. ‘Keturunan’ itu ialah Yesus. Dia harus mati dan dibangkitkan agar janji itu dapat ditunaikan.—Kej. 3:15.

21. Mengapakah pembangkitan Yesus penting bagi anda?

21 Kita amat bersyukur kepada Yehuwa atas harapan pembangkitan. Rasul Yohanes menulis, ‘Sekarang Tuhan tinggal bersama-sama manusia! Dia akan hidup bersama-sama mereka dan mereka akan menjadi umat-Nya. Dia akan menyapu air mata mereka. Kematian akan tiada lagi, demikian juga kesedihan, tangisan, dan kesakitan. Perkara-perkara lama sudah lenyap.’ Yohanes juga diberitahu: “Tuliskanlah ini, kerana kata-kata ini benar dan dapat dipercayai.” Siapakah yang memberikan wahyu ini kepadanya? Yesus Kristus yang sudah dibangkitkan!Why. 1:1; 21:3-5.