Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kita Mesti Suci dalam Segala Sesuatu

Kita Mesti Suci dalam Segala Sesuatu

“Hendaklah kamu suci dalam segala sesuatu yang kamu lakukan.”—1 PTR. 1:15.

1, 2. (a) Apakah yang dikehendaki Tuhan daripada umat-Nya? (b) Apakah yang akan dijawab dalam rencana ini?

RASUL PETRUS telah memetik ayat dari buku Imamat dan berkata bahawa orang Kristian perlu suci sepertimana orang Israel juga suci. (Baca 1 Petrus 1:14-16.) Yehuwa, ‘Tuhan yang suci,’ menghendaki kaum terurap dan domba-domba lain untuk berusaha sedaya upaya agar suci dalam segala sesuatu yang dilakukan.—Yoh. 10:16.

2 Rencana ini menerangkan piawaian Tuhan tentang kesucian daripada buku Imamat dan cara untuk menerapkannya dalam hidup kita. Selain itu, kita akan membincangkan jawapan kepada soalan-soalan berikut: Patutkah kita mengkompromikan prinsip Tuhan? Apakah pengajaran daripada buku Imamat mengenai kedaulatan Yehuwa? Apakah yang boleh kita pelajari daripada korban yang dipersembahkan oleh orang Israel?

ELAKKAN SIKAP BERKOMPROMI

3, 4. (a) Mengapakah orang Kristian harus mengelak daripada mengkompromikan hukum dan prinsip Bible? (b) Mengapakah kita tidak sepatutnya berdendam atau membalas dendam?

3 Untuk menyenangkan hati Tuhan, kita mesti mematuhi hukum dan prinsip-Nya. Sudah tentu kita tidak mahu mengkompromikan atau mengetepikan prinsip Tuhan. Tetapi jika kita berkompromi, kita akan menjadi tidak suci. Hari ini, kita tidak perlu mematuhi Hukum Musa. Namun, Hukum itu dapat mengajar kita tentang apa yang diterima dan yang tidak diterima oleh Yehuwa. Misalnya, orang Israel diberitahu: ‘Jangan balas dendam, atau terus-menerus membenci orang. Kasihilah sesama kamu sebagaimana kamu mengasihi diri kamu sendiri. Akulah Yehuwa.’—Im. 19:18.

4 Yehuwa tidak ingin kita berdendam atau membalas dendam. (Rm. 12:19) Syaitan gembira jika kita mengabaikan hukum dan prinsip Tuhan lalu menyebabkan nama Tuhan dicela. Walaupun seseorang menyakiti hati kita, kita tidak seharusnya menjadi sangat marah sehingga berdendam. Bible berkata bahawa kita seperti “bekas yang dibuat daripada tanah” yang penuh dengan harta rohani. Kerja penyebaran ialah harta rohani kita. (2 Kor. 4:1, 7) Jadi, kita tidak ingin menyimpan dendam yang bagaikan asid bersama dengan harta rohani kita.

5. Apakah yang boleh kita pelajari daripada kisah Harun dan kematian anaknya? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

5 Imamat 10:1-11 mencatatkan peristiwa yang menyebabkan keluarga Harun sangat sedih. Yehuwa telah menurunkan api dari langit untuk membakar dua orang anak Harun, iaitu Nadab dan Abihu. Kemudian Yehuwa memberitahu Harun sekeluarga bahawa mereka tidak boleh menunjukkan tanda-tanda berkabung. Peristiwa ini pasti menguji iman Harun dan keluarganya! Adakah anda hidup suci dengan mengikut perintah Yehuwa untuk tidak bergaul bersama ahli keluarga atau orang lain yang disingkirkan?—Baca 1 Korintus 5:11.

6, 7. (a) Semasa membuat keputusan sama ada untuk menghadiri majlis perkahwinan di gereja atau tidak, apakah yang harus kita fikirkan? (Lihat nota kaki.) (b) Bagaimanakah kita boleh menjelaskan sebab kita tidak akan menyertai majlis perkahwinan di gereja?

6 Iman kita mungkin tidak diuji seperti Harun dan keluarganya. Tetapi, bagaimana pula jika kita dijemput untuk menghadiri majlis perkahwinan saudara-mara di gereja? Memang tiada ayat Bible yang melarang kita daripada menghadiri majlis tersebut. Tetapi, terdapat prinsip Bible yang sepatutnya mempengaruhi keputusan kita. *

7 Saudara-mara kita mungkin tidak memahami keputusan kita untuk hidup suci di mata Yehuwa. (1 Ptr. 4:3, 4) Sudah tentu kita tidak ingin menyinggung perasaan mereka. Jadi, kita harus menjelaskan pendirian kita dengan sopan dan ikhlas. Jika boleh, bincanglah dengan mereka terlebih dahulu sebelum majlis itu berlangsung. Ucaplah terima kasih atas jemputan yang diberikan. Beritahulah mereka bahawa kita ingin mereka gembira semasa majlis itu. Kemudian, jelaskanlah bahawa kita tidak ingin mereka atau tetamu mereka berasa tersinggung kerana kita tidak mengambil bahagian dalam upacara keagamaan. Dengan ini, kita dapat mengelak daripada mengkompromikan prinsip Tuhan.

MENYOKONG KEDAULATAN YEHUWA

8. Bagaimanakah buku Imamat menekankan kedaulatan Yehuwa?

8 Buku Imamat menekankan kedaulatan Yehuwa. Lebih daripada 30 kali, buku Imamat menyatakan bahawa semua perintah di dalamnya diberikan oleh Yehuwa. Musa memahami dan melakukan apa yang diperintahkan Yehuwa. (Im. 8:4, 5) Seperti Musa, kita harus menurut segala kehendak Yehuwa. Organisasi Tuhan memang akan membantu kita untuk berbuat demikian. Namun, iman kita mungkin diuji ketika kita berseorangan, sepertimana Yesus digoda ketika bersendirian di padang gurun. (Luk. 4:1-13) Jika kita yakin kepada Yehuwa dan menyokong kedaulatan-Nya, tiada sesiapa yang dapat membuat kita berkompromi. Kita juga tidak akan takut dan mengalah kepada manusia.—Ams. 29:25.

9. Mengapakah umat Tuhan dibenci?

9 Sebagai umat Tuhan, kita semua akan dianiaya. Yesus telah bernubuat: ‘Kamu akan ditangkap dan diserahkan untuk diseksa dan dibunuh. Semua orang akan membenci kamu kerana kamu pengikutku.’ (Mat. 24:9) Walaupun kita dibenci, kita terus menginjil dan tetap hidup suci. Kita bersikap jujur serta bersih secara moral dan jasmani. Kita juga merupakan rakyat yang baik. Jadi, mengapakah kita dibenci? (Rm. 13:1-7) Kerana kita taat kepada Yehuwa sebagai Pemerintah Yang Berdaulat. Kita menyembah ‘Tuhan sahaja’ dan tidak akan mengkompromikan atau mengabaikan prinsip-prinsip-Nya.—Mat. 4:10.

10. Apakah yang terjadi kepada seorang saudara yang tidak mempertahankan pendirian neutralnya?

10 Kita “bukan lagi milik dunia.” Kita berpendirian neutral dan tidak terlibat dalam hal politik dan peperangan. (Baca Yohanes 15:18-21; Yesaya 2:4.) Namun, beberapa Saksi tidak mempertahankan pendirian neutral mereka. Walaupun begitu, ramai telah bertaubat dan kembali kepada Yehuwa. (Mzm. 51:19) Ada juga yang tidak bertaubat. Contohnya, semasa Perang Dunia Kedua, ramai saudara dipenjarakan di negara Hungary. Di sebuah kota, 160 saudara yang berumur 45 tahun ke bawah dipaksa untuk menyertai tentera. Kebanyakan saudara enggan berbuat demikian. Namun, sembilan saudara telah berkompromi dan menyertai tentera. Dua tahun kemudian, salah seorang daripada mereka ditugaskan untuk menembak Saksi-Saksi yang setia. Antara Saksi-Saksi itu ialah saudara kandungnya sendiri! Tetapi, pada akhirnya hukuman mati itu tidak dijalankan.

BERIKAN YANG TERBAIK KEPADA YEHUWA

11, 12. Apakah pengajaran yang diperoleh daripada korban yang dipersembahkan pada zaman Israel kuno?

11 Menurut Hukum Musa, umat Israel harus mempersembahkan korban-korban tertentu. (Im. 9:1-4, 15-21) Korban yang diberikan haruslah tanpa cela kerana korban ini ialah bayangan kepada korban Yesus yang sempurna. Setiap jenis korban yang dipersembahkan perlu mengikut langkah-langkah yang ditetapkan. Misalnya, Imamat 12:6 menyatakan apa yang harus dilakukan oleh seorang ibu yang baru melahirkan anak: ‘Apabila habis masa penyuciannya, baik bagi kelahiran anak lelaki ataupun anak perempuan, wanita itu harus membawa seekor anak domba yang berumur satu tahun bagi korban untuk menyenangkan hati Yehuwa, dan seekor burung merpati atau burung tekukur bagi korban untuk mengampunkan dosa, kepada imam di pintu Khemah Yehuwa.’ Walaupun hukum Yehuwa sangat terperinci, Dia juga bersikap munasabah dan pengasih. Contohnya, jika ibu tersebut tidak dapat mempersembahkan seekor anak domba, dia boleh memberikan dua ekor burung merpati atau burung tekukur. (Im. 12:8) Walaupun dia miskin, Yehuwa tetap mengasihi dan menghargainya. Apakah pengajarannya?

12 Rasul Paulus menggesa orang Kristian untuk memberikan “puji-pujian sebagai korban” kepada Tuhan. (Ibr. 13:15) Kita berbuat demikian ketika menyebar tentang nama Yehuwa. Saudara saudari yang pekak memberikan korban pujian dengan menggunakan bahasa isyarat. Penyiar yang tidak dapat meninggalkan rumah boleh menyebar melalui surat, telefon, dan kepada orang yang melawatnya. Setiap orang dapat memuji Yehuwa mengikut keadaan kesihatan dan kemampuan sendiri. Tetapi, kita semua mestilah memberikan yang terbaik kepada Yehuwa.—Rm. 12:1; 2 Tim. 2:15.

13. Mengapakah kita harus melaporkan masa yang diluangkan dalam kerja penyebaran?

13 Kasih kita kepada Yehuwa menggerakkan kita untuk memberikan korban pujian. (Mat. 22:37, 38) Apakah sepatutnya sikap kita semasa diminta untuk menghantar laporan aktiviti penyebaran? Kita harus melakukannya dengan rela hati kerana laporan kita mencerminkan pengabdian kita kepada Tuhan. (2 Ptr. 1:7) Tetapi, janganlah memaksa diri dalam kerja penyebaran hanya kerana anda ingin melaporkan banyak masa. Terdapat penyiar yang terbatas kerana umur atau kesihatan. Walaupun jumlah masa penyebarannya hanya 15 minit, dia masih boleh melaporkannya. Yehuwa gembira menerima pemberiannya yang terbaik. Yehuwa juga berbesar hati kerana umat-Nya sangat mengasihi-Nya dan ingin menjadi Saksi-Saksi-Nya. Para penyiar yang terbatas dapat yakin bahawa korban mereka amatlah bernilai, sepertimana korban orang Israel yang miskin juga bernilai di mata Yehuwa. Laporan bulanan kita menyumbang kepada laporan sedunia dan membantu organisasi Yehuwa untuk membuat rancangan bagi kerja penyebaran pada masa depan. Oleh itu, kita harus melaporkan masa yang diluangkan dalam kerja penyebaran setiap bulan.

TABIAT PEMBELAJARAN DAN KORBAN PUJIAN

14. Mengapakah kita harus memeriksa tabiat pembelajaran kita?

14 Selepas mempelajari banyak isi penting daripada buku Imamat, adakah anda lebih memahami mengapa buku ini dimasukkan ke dalam Alkitab? (2 Tim. 3:16) Adakah anda lebih bertekad untuk hidup suci? Yehuwa menginginkan yang terbaik daripada kita, dan Dia memang layak menerima yang terbaik. Selepas membaca rencana ini, anda mungkin berminat untuk mempelajari Bible dengan lebih teliti. (Baca Amsal 2:1-5.) Periksalah tabiat pembelajaran anda dan berdoalah mengenainya. Sudah tentu anda ingin korban pujian anda diterima oleh Yehuwa. Tanyalah diri: “Adakah saya memberi Yehuwa yang terbaik? Adakah rancangan TV, permainan video, sukan, atau hobi lain menghalang saya daripada membuat kemajuan rohani?” Jika ya, adalah baik untuk merenungkan kata-kata Paulus dalam buku Ibrani.

Adakah anda mengutamakan pembelajaran Bible dan penyembahan keluarga dalam kehidupan anda? (Lihat perenggan 14)

15, 16. Mengapakah Paulus menggunakan kata-kata yang terus terang dengan orang Kristian Ibrani?

15 Paulus menasihati orang Kristian Ibrani dengan terus terang. (Baca Ibrani 5:7, 11-14.) Dia memberitahu bahawa mereka “lambat sekali mengerti.” Mengapakah Paulus berkata demikian? Seperti Yehuwa, dia mengasihi mereka dan berasa risau kerana mereka hanya menerima ajaran asas Bible yang seperti “susu.” Menurut Paulus, kita seharusnya menyantap “makanan keras,” iaitu ajaran Bible yang mendalam agar dapat terus membuat kemajuan rohani.

16 Orang Kristian Ibrani tidak dapat mengajar orang lain, sebaliknya merekalah yang perlu diajar. Mengapa? Kerana mereka mengelakkan “makanan keras.” Tanyalah diri: “Adakah saya mempunyai pandangan yang betul terhadap ajaran Bible yang mendalam? Adakah saya berminat untuk mempelajarinya? Adakah saya mengelak daripada mengkaji Bible dan berdoa? Adakah saya perlu mengubah tabiat pembelajaran saya?” Kita bukan sahaja menginjil kepada orang lain, tetapi kita perlu mengajar dan menjadikan mereka murid Yesus.—Mat. 28:19, 20.

17, 18. (a) Mengapakah kita harus selalu menyantap “makanan keras”? (b) Apakah sepatutnya pandangan kita mengenai meminum alkohol sebelum perjumpaan?

17 Yehuwa tidak memaksa orang untuk belajar Bible dengan membuat mereka berasa bersalah. Walaupun bukan senang untuk belajar Bible, kita semua mesti berusaha untuk menyantap “makanan keras.” Hal ini penting jika kita ingin tetap suci.

18 Kita harus mempelajari Bible dengan terperinci dan melakukan kehendak Tuhan supaya kita tetap suci. Anak-anak Harun, iaitu Nadab dan Abihu dihukum mati kerana ‘mempersembahkan api yang tidak suci.’ Mereka juga mungkin mabuk pada masa itu. (Im. 10:1, 2) Perhatikanlah kata-kata Tuhan kepada Harun. (Baca Imamat 10:8-11.) Adakah hal ini bererti kita tidak boleh meminum alkohol sebelum ke perjumpaan? Cuba fikirkan isi-isi yang berikut: Kita tidak lagi perlu mengikut Hukum Musa. (Rm. 10:4) Di sesetengah negara, rakan seiman kita biasanya meminum alkohol dengan sederhana semasa makan sebelum menghadiri perjumpaan. Semasa Paska, empat cawan wain digunakan. Apabila Yesus memulakan sambutan Peringatan, dia menyuruh para rasul untuk minum wain yang melambangkan darahnya. (Mat. 26:27) Bible mengutuk kemabukan dan orang yang minum secara berlebihan. (1 Kor. 6:10; 1 Tim. 3:8) Hati nurani ramai Saksi mungkin tidak mengizinkan mereka untuk meminum alkohol sebelum perjumpaan. Namun, keadaan ini berbeza di setiap negara. Oleh itu, orang Kristian perlu ‘membezakan apa yang tidak najis dengan apa yang najis’ supaya mereka tetap hidup suci di mata Yehuwa.

19. (a) Bagaimanakah kita boleh mendapat lebih manfaat daripada penyembahan keluarga dan pembelajaran peribadi? (b) Bagaimanakah anda boleh membuktikan bahawa anda hidup suci?

19 Kita boleh menjumpai banyak prinsip yang indah jika kita terus menerokai Firman Tuhan. Terdapat banyak bahan yang boleh digunakan dalam penyembahan keluarga atau pembelajaran peribadi. Maka, belajarlah tentang Tuhan dan kehendak-Nya serta hampirilah Tuhan. (Yak. 4:8) Berdoalah kepada Yehuwa seperti pemazmur: “Bukalah mataku supaya aku dapat melihat ajaran yang mengagumkan dalam Taurat-Mu.” (Mzm. 119:18) Jangan sekali-kali mengabaikan prinsip Tuhan. Bertekadlah untuk mentaati Yehuwa, Tuhan yang suci. Khabarkanlah ‘berita baik daripada Tuhan’ dengan bersemangat. (1 Ptr. 1:15; Rm. 15:16) Kita mesti hidup suci pada hari-hari terakhir ini. Semoga kita semua terbukti suci dan menyokong kedaulatan Yehuwa dengan sepenuh hati.

^ per. 6 Lihat “Pertanyaan Pembaca” dalam The Watchtower terbitan 15 Mei 2002.