Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

‘Umat yang Tuhan Mereka Yehuwa’

‘Umat yang Tuhan Mereka Yehuwa’

‘Berbahagialah umat yang Tuhan mereka Yehuwa!’—MZM. 144:15.

1. Apakah yang dipercayai oleh ramai orang tentang penyembah Tuhan?

RAMAI orang hari ini setuju bahawa kebanyakan agama di dunia tidak membawa manfaat kepada manusia. Oleh sebab agama-agama ini menyokong ajaran palsu dan penganutnya melakukan perkara buruk, mereka berfikir bahawa Tuhan akan menolak agama sebegini. Walaupun begitu, mereka masih percaya bahawa Tuhan menerima orang daripada pelbagai agama asalkan orang itu baik. Adakah hal ini benar? Adakah Tuhan menghendaki penyembah-Nya untuk mengasingkan diri daripada agama-agama palsu? Marilah kita lihat jawapannya dengan mengkaji sejarah mengenai penyembah Yehuwa yang sejati dalam Bible.

YEHUWA MEMBUAT PERJANJIAN DENGAN UMATNYA

2. Siapakah yang menjadi umat Yehuwa? Apakah yang menandakan bahawa mereka memiliki hubungan yang istimewa dengan Tuhan? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

2 Sekitar 4,000 tahun yang lalu, Yehuwa memilih sekumpulan orang sebagai umat-Nya. Bible menyatakan bahawa Abraham merupakan ‘bapa kepada semua orang yang percaya kepada Tuhan.’ Abraham mempunyai keluarga yang besar dan ratusan orang hamba. (Rm. 4:11; Kej. 14:14) Di Kanaan, Abraham dihormati sebagai “pemimpin yang berkuasa.” (Kej. 21:22; 23:6) Yehuwa membuat perjanjian dengan Abraham dan keturunannya. (Kej. 17:1, 2, 19) Tuhan memberitahu Abraham, “Engkau dan semua keturunanmu yang lelaki mesti disunat. . . . Sunat itu akan menjadi tanda perjanjian antara engkau dengan Aku.” (Kej. 17:10-12) Jadi Abraham dan semua lelaki dalam keluarganya disunat. (Kej. 17:24-27) Sunat itu menandakan keturunan Abraham sebagai umat Yehuwa yang istimewa.

3. Bagaimanakah keturunan Abraham menjadi banyak?

3 Cucu Abraham, iaitu Yakub yang juga dipanggil sebagai Israel, mempunyai 12 orang anak lelaki. (Kej. 35:10, 22b-26) Anak-anak Yakub ini menjadi bapa kepada 12 suku Israel. (Kis. 7:8) Anak Yakub yang bernama Yusuf telah dibawa ke Mesir. Kemudian raja Mesir menjadikan Yusuf seorang yang berkuasa untuk menyelia bekalan makanan di seluruh negara semasa kebuluran. Oleh sebab kebuluran, Yakub dan keluarganya datang ke Mesir. (Kej. 41:39-42; 42:6) Lama-kelamaan, keturunan Yakub “menjadi banyak” di sana.—Kej. 48:4; baca Kisah 7:17.

YEHUWA MENYELAMATKAN UMATNYA

4. Pada mulanya, bagaimanakah hubungan orang Israel dengan orang Mesir?

4 Keturunan Yakub tinggal di daerah Gosyen di Mesir untuk lebih daripada 200 tahun. (Kej. 45:9, 10) Oleh sebab raja Mesir menghormati Yusuf, dia menjemput orang Israel untuk tinggal di Mesir. (Kej. 47:1-6) Selama sekitar 100 tahun, orang Israel hidup damai dengan orang Mesir. Orang Israel tinggal di kota-kota kecil dan menternak binatang. Walaupun orang Mesir tidak suka penternak domba, mereka mematuhi raja Mesir dan membiarkan orang Israel menetap di sana.—Kej. 46:31-34.

5, 6. (a) Mengapakah keadaan umat Tuhan berubah di Mesir? (b) Mengapakah Musa tidak dibunuh sewaktu dia bayi? Apakah yang dilakukan oleh Yehuwa untuk umat-Nya yang menderita?

5 Tetapi, pada kemudian hari, orang Mesir menjadikan orang Israel sebagai hamba. Bible berkata: ‘Kemudian seorang raja baru, yang tidak mengenal Yusuf mula memerintah Mesir. Raja itu bertitah, “Orang Israel sangat berbahaya kerana mereka banyak sekali dan lebih kuat daripada kita.”’ Oleh itu, “orang Mesir menindas orang Israel dengan kejam, dan menyebabkan mereka menderita. Tanpa belas kasihan, orang Israel dipaksa bekerja keras di projek-projek pembinaan dan di ladang-ladang.”—Kel. 1:8, 9, 13, 14.

6 Raja Mesir juga memerintah bahawa semua bayi lelaki Israel mesti dibunuh. (Kel. 1:15, 16) Pada masa itu, Musa telah dilahirkan. Ketika dia berumur tiga bulan, ibunya Yokhebed, menyembunyikan Musa di tengah-tengah rumpun gelagah di pinggir sungai Nil. Musa dijumpai oleh puteri raja Mesir dan diambil sebagai anak angkatnya. Tetapi puteri raja Mesir membenarkan Yokhebed untuk membesarkan Musa. Oleh itu, Musa menjadi penyembah Yehuwa yang setia. (Kel. 2:1-10; Ibr. 11:23-25) Yehuwa dapat melihat penderitaan umat-Nya. Jadi, Dia mengutus Musa untuk membawa mereka keluar dari Mesir. (Kel. 2:24, 25; 3:9, 10) Dengan cara ini, Yehuwa menyelamatkan umat Israel.—Kel. 15:13; baca Ulangan 15:15.

UMAT TUHAN MENJADI BANGSA TERPILIH

7, 8. Bagaimanakah orang Israel menjadi umat yang ditahbiskan untuk Yehuwa?

7 Pada masa itu, Yehuwa belum lagi mengatur orang Israel dengan hukum-hukum serta aturan imam. Namun Tuhan telah memilih mereka sebagai umat-Nya. Itulah sebabnya Musa dan Harun diperintahkan untuk memberitahu raja Mesir: ‘Demikianlah firman Yehuwa, Tuhan umat Israel, “Benarkanlah umat-Ku pergi agar mereka dapat beribadat kepada-Ku di padang gurun.”’—Kel. 5:1.

8 Tetapi raja Mesir enggan membebaskan umat Yehuwa. Maka, Tuhan membawa 10 tulah ke atas tanah Mesir serta menghapuskan raja Mesir dan angkatan tenteranya di Laut Merah. (Kel. 15:1-4) Hampir tiga bulan selepas itu, Yehuwa membuat perjanjian dengan orang Israel di Gunung Sinai: “Jika kamu taat kepada-Ku dan setia kepada perjanjian-Ku, . . . kamu akan menjadi umat pilihan-Ku. Kamu akan menjadi umat yang ditahbiskan untuk diri-Ku sendiri.”—Kel. 19:5, 6.

9, 10. (a) Menurut Ulangan 4:5-8, mengapakah Hukum Musa menjadikan orang Israel berbeza daripada semua bangsa lain? (b) Apakah yang perlu dilakukan oleh orang Israel untuk menunjukkan bahawa mereka ialah umat Tuhan?

9 Selama berabad-abad, umat Yehuwa dipimpin oleh ketua keluarga yang memainkan peranan sebagai pemerintah, hakim, dan imam. Sebelum menjadi hamba di Mesir, orang Israel mengikut aturan ini. (Kej. 8:20; 18:19; Ayb. 1:4, 5) Tetapi, selepas Yehuwa membebaskan mereka dari perhambaan, Yehuwa telah memberikan mereka Hukum Musa yang menjadikan mereka berbeza daripada semua bangsa lain. (Baca Ulangan 4:5-8; Mzm. 147:19, 20.) Di bawah Hukum Musa, sekumpulan orang dijadikan imam. Hukum itu juga menyatakan bahawa “para pemimpin kota” yang berpengetahuan dan bijaksana akan menjadi hakim. (Ul. 25:7, 8) Selain itu, Hukum ini memberikan arahan mengenai ibadat serta aktiviti harian mereka.

10 Sejurus sebelum orang Israel memasuki Tanah yang Dijanjikan, Yehuwa telah mengulang hukum-hukum-Nya kepada mereka. Musa memberitahu orang Israel, ‘Pada hari ini juga Yehuwa telah menerima kamu sebagai umat-Nya sendiri seperti yang dijanjikan-Nya, dan Dia memerintah kamu supaya taat kepada segala hukum-Nya. Dia akan menjadikan kamu lebih termasyhur daripada semua bangsa lain yang sudah dijadikan-Nya, dan kamu akan dipuji dan dihormati. Kamu akan menjadi umat-Nya.’—Ul. 26:18, 19.

ORANG ASING DITERIMA SEBAGAI UMAT TUHAN

11-13. (a) Siapakah yang mula menyembah Tuhan bersama umat-Nya? (b) Jika orang asing ingin menyembah Yehuwa, apakah yang perlu dilakukan oleh mereka?

11 Walaupun orang Israel merupakan umat Yehuwa yang terpilih, Yehuwa juga membenarkan orang asing untuk tinggal bersama-sama umat-Nya. Sebagai contoh, Bible menyatakan bahawa sejumlah besar orang asing, termasuk orang Mesir, menyertai orang Israel apabila Tuhan membebaskan mereka dari Mesir. (Kel. 12:38) Di antara orang Mesir mungkin terdapat beberapa orang pegawai raja yang mengikut arahan Musa ketika tulah ketujuh.—Kel. 9:20.

12 Sebelum orang Israel menyeberangi sungai Yordan untuk menduduki tanah Kanaan, Musa memberitahu orang Israel bahawa mereka “harus mengasihi orang asing” yang tinggal bersama mereka. (Ul. 10:17-19) Jika orang asing sudi mentaati peraturan asas daripada Tuhan, seperti Hukum Musa, mereka dibenarkan tinggal bersama umat Tuhan. (Im. 24:22) Malah, terdapat orang asing yang menjadi penyembah Yehuwa. Misalnya, Rut yang merupakan orang Moab, ingin menyembah Yehuwa. Dia berkata kepada Naomi: ‘Bangsa mak, bangsa saya juga, dan Tuhan yang disembah mak, akan saya sembah juga.’ (Rut 1:16) Penduduk asing ini memeluk agama Yahudi dan kaum lelaki mereka disunat. (Kel. 12:48, 49) Yehuwa mengalu-alukan mereka untuk menjadi sebahagian daripada umat-Nya yang terpilih.—Bil. 15:14, 15.

Orang Israel mengasihi orang asing (Lihat perenggan 11-13)

13 Salah satu daripada doa Salomo menunjukkan bahawa Yehuwa memperkenankan penyembah yang bukan bangsa Israel. Apabila rumah Tuhan ditahbiskan, Salomo berdoa, “Apabila seorang bangsa asing yang tinggal di negeri jauh mendengar tentang keagungan dan kekuatan-Mu, dan bahawa Engkau sentiasa sedia bertindak, lalu dia datang ke Rumah ini dan berdoa kepada-Mu, dengarkanlah doanya. Dengarkanlah dia dari tempat kediaman-Mu di syurga, dan kabulkanlah permintaannya, supaya semua bangsa di dunia mengenal Engkau dan taat kepada-Mu, seperti umat-Mu Israel. Barulah mereka tahu bahawa Rumah yang telah aku bina ini ialah tempat untuk beribadat kepada-Mu.” (2 Taw. 6:32, 33) Pada zaman Yesus, orang bukan Yahudi yang ingin menyembah Yehuwa juga perlu menyembah-Nya bersama umat-Nya yang terpilih.—Yoh. 12:20; Kis. 8:27, 28.

UMAT YANG MENJADI SAKSI

14-16. (a) Apakah caranya orang Israel menjadi saksi kepada Yehuwa? (b) Apakah yang Yehuwa inginkan daripada kita hari ini?

14 Orang Israel menyembah Tuhan Yehuwa tetapi bangsa lain menyembah tuhan-tuhan mereka sendiri. Jadi, persoalannya ialah: Siapakah Tuhan yang benar? Pada zaman Yesaya, Yehuwa berkata bahawa persoalan ini harus dijawab seperti yang dilakukan dalam perbicaraan mahkamah. Maksudnya, tuhan-tuhan bangsa lain harus mempunyai saksi untuk membuktikan bahawa mereka benar-benar wujud. Yehuwa berkata, ‘Biarlah mereka menghadapkan saksi-saksi untuk membuktikan bahawa kata-kata mereka benar.’—Yes. 43:9.

15 Tuhan-tuhan itu tidak dapat membuktikan bahawa mereka benar-benar wujud. Mereka cuma patung yang tidak dapat bercakap atau bergerak. (Yes. 46:5-7) Tetapi, Yehuwa berkata kepada umat-Nya Israel: ‘Kamulah saksi-Ku; Aku memilih kamu menjadi hamba-Ku supaya kamu mengenal serta percaya kepada-Ku, dan mengerti bahawa Aku satu-satunya Tuhan. Tidak ada tuhan-tuhan lain; baik pada masa dahulu, mahupun pada masa akan datang. Hanya Akulah Yehuwa, Aku sahaja yang dapat menyelamatkan kamu. Kamulah saksi-Ku.’—Yes. 43:10-12.

16 Umat Yehuwa bagaikan saksi dalam perbicaraan mahkamah. Mereka perlu membuktikan bahawa Yehuwa ialah satu-satunya Tuhan yang benar. Mengenai orang Israel, Yehuwa berkata, “Merekalah umat yang telah Kujadikan milik-Ku sendiri, mereka akan menyanyikan pujian untuk Aku.” (Yes. 43:21) Mereka digelar umat Tuhan kerana Yehuwa telah menyelamatkan mereka dari Mesir. Maka, Yehuwa ingin mereka rela mentaati-Nya dan memuliakan-Nya sebagai Pemerintah mereka. Yehuwa juga ingin kita berbuat demikian. Umat Tuhan hari ini harus mencerminkan azam nabi Mikha: ‘Setiap bangsa menyembah dan mentaati dewa masing-masing, tetapi kita akan menyembah dan mentaati Yehuwa, Tuhan kita selama-lamanya.’—Mi. 4:5.

UMAT YANG MEMBERONTAK

17. Mengapakah Yehuwa menganggap bangsa Israel sebagai pokok anggur yang tidak berguna?

17 Sedihnya, orang Israel tidak setia kepada Yehuwa. Mereka mula meniru bangsa-bangsa lain dan menyembah tuhan yang diperbuat daripada batu dan kayu. Mereka juga membina banyak mazbah bagi ibadat palsu. Kira-kira 2,800 tahun dahulu, nabi Hosea berkata bahawa orang Israel seperti pokok anggur yang menghasilkan buah yang buruk. Dia berkata, “Hati mereka penuh dengan tipu daya dan sekarang mereka harus menderita akibat dosa mereka.” (Hos. 10:1, 2) Sekitar 150 tahun kemudian, Yeremia juga menggambarkan orang Israel sebagai pokok anggur yang menjadi tidak berguna. Yehuwa berkata menerusi Yeremia, “Di manakah patung-patung dewa yang kamu buat itu? Apabila kamu dalam kesusahan, mintalah dewa-dewa itu menyelamatkan kamu, . . . umat-Ku telah lupa akan Aku.”—Yer. 2:21, 28, 32.

18, 19. (a) Apakah nubuat Yehuwa mengenai orang yang akan menjadi bangsa baru-Nya? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana yang seterusnya?

18 Bangsa Israel menghasilkan buah yang buruk kerana mereka tidak menyembah Tuhan dengan cara yang betul. Mereka tidak lagi menjadi saksi Tuhan, tetapi penyembah berhala. Jadi Yesus memberitahu para pemimpin Yahudi yang jahat: ‘Pemerintahan Tuhan akan diambil daripada kamu, lalu diserahkan kepada orang yang memberikan hasil yang dikehendaki oleh Tuhan.’ (Mat. 21:43) Hanya individu yang dipilih oleh Tuhan akan menjadi sebahagian daripada bangsa baru-Nya, iaitu Israel rohani. Dia akan membuat “perjanjian yang baru” dengan mereka. Yehuwa berkata, ‘Aku akan menjadi Tuhan mereka, dan mereka akan menjadi umat-Ku.’—Yer. 31:31-33.

19 Selepas orang Israel menjadi tidak setia, Yehuwa memilih Israel rohani untuk menjadi umat pilihan-Nya pada abad pertama. Tetapi, siapakah umat Tuhan hari ini? Bagaimanakah orang lain boleh mengetahui siapa penyembah Tuhan yang sejati sekarang? Hal ini akan dibincangkan dalam rencana yang seterusnya.