Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

“Dengarlah supaya Kamu Mengerti!”

“Dengarlah supaya Kamu Mengerti!”

“Dengarlah supaya kamu mengerti!”MRK. 7:14.

1, 2. Mengapakah ramai orang tidak mengerti kata-kata Yesus?

APABILA seseorang sedang bercakap dengan kita, kita dapat mendengar suaranya bahkan nadanya. Tetapi untuk memahami apa yang dikatakan, kita perlu mengerti maksud kata-katanya. (1 Kor. 14:9) Yesus pernah bercakap dengan ramai orang dalam bahasa ibunda mereka. Tetapi bukan semua orang mengerti kata-katanya. Jadi Yesus berkata: “Dengarlah supaya kamu mengerti!”—Mrk. 7:14.

2 Mengapakah ramai orang tidak mengerti kata-kata Yesus? Hal ini adalah kerana mereka mempunyai pendapat sendiri atau niat yang salah. Mengenai orang sedemikian, Yesus berkata, ‘Cerdik sekali cara kamu menolak perintah Tuhan untuk mempertahankan ajaran kamu sendiri.’ (Mrk. 7:9) Mereka sebenarnya tidak ingin mengerti kata-kata Yesus. Mereka juga enggan mengubah cara hidup dan pendapat mereka. Kata-kata Yesus seolah-olah masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Ajaran Yesus tidak mencapai hati mereka. (Baca Matius 13:13-15.) Bagaimanakah kita dapat memastikan bahawa kita sentiasa rela menerima ajaran Yesus?

CARA MENDAPAT MANFAAT DARIPADA AJARAN YESUS

3. Mengapakah murid-murid Yesus mengerti kata-kata Yesus?

3 Kita harus mengikut teladan murid-murid Yesus. Yesus berkata kepada mereka, “Mata kamu melihat dan telinga kamu mendengar.” (Mat. 13:16) Mengapakah orang lain tidak dapat memahami kata-kata Yesus tetapi murid-murid Yesus dapat memahaminya? Kerana murid-murid Yesus telah melakukan tiga perkara. Pertama, mereka rela menanya soalan supaya dapat benar-benar mengerti kata-kata Yesus. (Mat. 13:36; Mrk. 7:17) Kedua, mereka rela menambahkan pengetahuan yang baru kepada apa yang mereka sudah tahu. (Baca Matius 13:11, 12.) Ketiga, mereka rela menggunakan apa yang dipelajari demi manfaat sendiri dan orang lain.—Mat. 13:51, 52.

4. Apakah tiga perkara yang diperlukan untuk memahami perumpamaan Yesus?

4 Seperti murid-murid Yesus, kita juga harus melakukan tiga perkara jika kita ingin memahami perumpamaan Yesus. Pertama, kita harus meluangkan masa untuk mempelajari dan merenungkan kata-kata Yesus, serta menanya soalan yang sesuai dan membuat penyelidikan. Dengan demikian kita akan mendapat pengetahuan. (Ams. 2:4, 5) Kedua, kita harus mengaitkan pengetahuan baru dengan apa yang sudah kita tahu. Fikirkanlah bagaimana pengetahuan ini dapat membantu kehidupan kita. Ini ialah pengertian. (Ams. 2:2, 3) Ketiga, kita menerapkan apa yang dipelajari dalam kehidupan kita. Inilah hikmat.Ams. 2:6, 7.

5. Jelaskan perbezaan antara pengetahuan, pengertian, dan hikmat.

5 Apakah perbezaan antara pengetahuan, pengertian, dan hikmat? Cuba bayangkan situasi ini: Katakan anda sedang berdiri di tengah-tengah jalan dan sebuah bas meluru ke arah anda. Pada mulanya, anda melihat bas tersebut. Itulah pengetahuan. Kemudian anda sedar jika anda tetap berdiri di sana, anda akan dilanggar! Itulah pengertian. Jadi, anda berlari dari sana supaya tidak dilanggar. Itulah hikmat atau kebijaksanaan. Bible menggalakkan kita untuk ‘berpegang pada hikmat’ kerana sifat ini dapat melindungi nyawa kita.—Ams. 3:21, 22; 1 Tim. 4:16.

6. Apakah empat soalan yang akan ditanya mengenai setiap perumpamaan? (Lihat  kotak.)

6 Dalam rencana ini dan rencana seterusnya, kita akan mempelajari tujuh perumpamaan Yesus. Kita juga akan menanya soalan-soalan berikut: Apakah maksud perumpamaan ini? (Pengetahuan.) Mengapakah Yesus memberikan perumpamaan ini? (Pengertian.) Bagaimanakah maklumat ini dapat membantu kita dan orang lain? (Hikmat.) Apakah yang kita pelajari daripada perumpamaan ini mengenai Yehuwa dan Yesus?

BIJI SAWI

7. Apakah maksud perumpamaan Yesus tentang biji sawi?

7 Baca Matius 13:31, 32. Apakah maksud perumpamaan Yesus tentang biji sawi? Biji sawi melambangkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan dan sidang Kristian. Pada 33 M, sidang Kristian yang baru ditubuhkan masih kecil umpama biji sawi, iaitu “benih yang terkecil.” Tetapi kemudian, sidang Kristian maju kerana kerja penyebaran. Ramai orang tidak menyangka bahawa banyak sidang Kristian akan ditubuhkan dengan cepat. (Kol. 1:23) Yesus memberitahu bahawa biji sawi itu akan “menjadi pokok, sehingga burung datang membuat sarang pada cabangnya.” Hal ini bermaksud sidang Kristian bertambah besar dan orang yang berhati jujur dapat mencari makanan rohani, kelegaan dan perlindungan di sana.—Bandingkan Yehezkiel 17:23.

8. Mengapakah Yesus memberikan perumpamaan tentang biji sawi?

8 Mengapakah Yesus memberikan perumpamaan ini? Dia menggunakan pertumbuhan biji sawi yang cepat untuk menggambarkan bagaimana Kerajaan Tuhan berkembang maju, memberikan perlindungan, dan mengatasi semua halangan. Sejak tahun 1914, sidang Kristian membuat kemajuan yang menakjubkan. (Yes. 60:22) Ahli-ahli sidang Kristian menikmati perlindungan rohani. (Ams. 2:7; Yes. 32:1, 2) Tiada tentangan yang dapat menghentikan kemajuan sidang-sidang Kristian.—Yes. 54:17.

9. (a) Apakah yang dapat kita pelajari daripada perumpamaan biji sawi? (b) Apakah yang anda pelajari daripada perumpamaan ini mengenai Yehuwa dan Yesus?

9 Apakah yang dapat kita pelajari daripada perumpamaan biji sawi? Tempat kita mungkin tidak mempunyai banyak Saksi dan hasil kerja penyebaran kita mungkin sedikit sahaja. Namun, kita harus ingat bahawa Kerajaan Tuhan dapat mengatasi apa jua halangan. Hal ini akan menguatkan tekad kita. Contohnya, Saudara Edwin Skinner tiba di India pada tahun 1926. Pada masa itu, hanya sedikit Saksi-Saksi Yehuwa di sana dan kemajuan sangat perlahan. Hari ini terdapat lebih daripada 37,000 Saksi-Saksi Yehuwa di India dan lebih daripada 108,000 orang menghadiri Peringatan pada tahun 2013. Pada tahun 1926 juga, kerja penyebaran baru bermula di Zambia. Kini, terdapat lebih daripada 170,000 Saksi-Saksi Yehuwa di sana dan 763,915 orang menghadiri Peringatan pada tahun 2013. Maksudnya, dalam setiap 18 orang penduduk Zambia, seorang telah menghadiri Peringatan. Peningkatan yang menakjubkan bukan?

RAGI

10. Apakah maksud perumpamaan Yesus tentang ragi?

10 Baca Matius 13:33. Apakah maksud perumpamaan Yesus tentang ragi? Perumpamaan ini merujuk kepada berita baik tentang Kerajaan Tuhan dan cara berita itu mengubah kehidupan seseorang. “Adunan” melambangkan semua bangsa. Ragi menyebabkan “adunan itu naik.” Hal ini menggambarkan berita baik yang tersebar luas melalui kerja penyebaran. Tidak seperti pertumbuhan biji sawi yang jelas kelihatan, cara ragi menyebabkan adunan naik tidak kelihatan. Kesannya hanya dapat dilihat beberapa waktu kemudian.

11. Mengapakah Yesus memberikan perumpamaan tentang ragi?

11 Mengapakah Yesus memberikan perumpamaan ini? Yesus menunjukkan bahawa berita baik akan tersebar “sampai ke hujung bumi” dan mengubah hati orang. (Kis. 1:8) Pada mulanya kita mungkin tidak dapat melihat apa-apa perubahan, tetapi perubahan itu memang sedang berlaku. Banyak orang di merata tempat menerima berita baik dan membenarkan mesej ini mengubah keperibadian mereka.—Rm. 12:2; Ef. 4:22, 23.

12, 13. Berikan contoh bagaimana kerja penyebaran disebarkan seperti yang dijelaskan dalam perumpamaan ragi.

12 Kesan kerja penyebaran biasanya dapat dilihat bertahun-tahun selepas seseorang mendengar mesej itu. Contohnya, pada tahun 1982, Franz dan Margit berkhidmat di Bethel Brazil. Mereka telah memberikan kesaksian di satu pekan kecil dan memulakan beberapa pembelajaran Bible. Salah satu pelajar Bible mereka ialah seorang ibu yang mempunyai empat orang anak. Salah seorang anak lelakinya berumur 12 tahun. Dia sangat malu dan selalu cuba menyembunyikan diri sebelum pembelajaran Bible bermula. Apabila Franz dan Margit menerima tugas baru, mereka tidak dapat meneruskan pembelajaran tersebut. Dua puluh lima tahun kemudian, mereka kembali untuk melawat tempat itu. Bayangkan sukacita mereka apabila mereka melihat 69 penyiar dan 13 perintis biasa berhimpun di Dewan Perjumpaan yang baru! Budak yang malu itu pula sudah menjadi dewasa dan dia sedang berkhidmat sebagai koordinator badan penatua di sidang tersebut! Seperti perumpamaan ragi itu, berita baik tentang Kerajaan Tuhan telah tersebar dan mengubah kehidupan banyak orang.

13 Walaupun kerja penyebaran dilarang di beberapa negara, berita baik tentang Kerajaan Tuhan masih dapat mengubah kehidupan orang di sana. Kita berasa kagum apabila melihat betapa luasnya mesej itu telah disebarkan di negara-negara tersebut. Contohnya, berita baik tentang Kerajaan Tuhan mula disebarkan di Cuba pada tahun 1910, dan Saudara Russell telah melawat pulau itu pada tahun 1913. Pada mulanya, kerja penyebaran tidak berhasil. Tetapi apakah yang sedang berlaku di Cuba sekarang? Terdapat 96,000 penyiar yang menyebarkan berita baik, dan 229,726 orang telah menghadiri Peringatan pada tahun 2013, iaitu 1 daripada setiap 48 penduduk di sana. Malah di negara yang tidak melarang kerja penyebaran, berita baik telah disebarkan ke tempat-tempat yang terpencil. *Pkh. 8:7; 11:5.

14, 15. (a) Secara peribadi, bagaimanakah kita boleh mendapat manfaat daripada perumpamaan ragi? (b) Apakah yang anda pelajari daripada perumpamaan ini mengenai Yehuwa dan Yesus?

14 Bagaimanakah kita boleh mendapat manfaat daripada perumpamaan Yesus tentang ragi? Apabila kita merenungkan maksud perumpamaan Yesus, kita akan sedar bahawa kita tidak perlu risau tentang bagaimana berita baik akan tersebar kepada jutaan orang yang masih belum mendengarnya. Semuanya dalam kawalan Yehuwa. Tetapi apakah yang perlu kita lakukan? Firman Tuhan menjawab: “Taburlah benih pada waktu pagi dan waktu petang juga, kerana kamu tidak tahu sama ada semuanya akan tumbuh, ataupun yang mana satu akan tumbuh dengan lebih subur.” (Pkh. 11:6) Kita juga harus ingat untuk memohon berkat daripada Yehuwa atas kerja penyebaran, terutamanya di negara yang melarang kerja penyebaran.—Ef. 6:18-20.

15 Kita tidak perlu berasa kecewa jika tidak dapat melihat hasil kerja penyebaran kita dengan serta-merta. Kita tidak harus tawar hati atas ‘kemajuan yang lambat.’ (Za. 4:10) Akhirnya, hasil yang diperoleh mungkin jauh lebih besar dan menakjubkan daripada apa yang kita bayangkan!—Mzm. 40:6; Za. 4:7.

SEORANG SAUDAGAR DAN HARTA TERPENDAM

16. Apakah maksud perumpamaan seorang saudagar dan perumpamaan harta terpendam?

16 Baca Matius 13:44-46. Apakah maksud perumpamaan mengenai seorang saudagar dan perumpamaan mengenai harta terpendam? Pada zaman Yesus, terdapat para saudagar yang berjalan jauh untuk mencari dan membeli mutiara. “Sebutir mutiara yang sangat berharga” dalam perumpamaan Yesus melambangkan berita baik Kerajaan Tuhan yang bernilai tinggi. Para saudagar pula menggambarkan orang yang berhati jujur yang mencari-cari berita baik ini. Saudagar dalam perumpamaan itu dengan segera “menjual segala miliknya” untuk membeli mutiara tersebut. Yesus juga memberikan perumpamaan mengenai seorang lelaki yang bekerja di ladang lalu “menjumpai harta yang terpendam di tanah.” Lelaki ini sebenarnya tidak berniat untuk mencari harta itu. Tetapi apabila dia menjumpainya, dia sedar bahawa harta itu sangat bernilai lalu dia “pergi menjual segala miliknya” supaya dapat membeli ladang tersebut.

17. Mengapakah Yesus memberikan perumpamaan seorang saudagar dan perumpamaan harta terpendam?

17 Mengapakah Yesus memberikan dua perumpamaan ini? Dia ingin menunjukkan bahawa kebenaran boleh dijumpai dalam cara yang berbeza. Ada orang membuat pengorbanan untuk mencari kebenaran. Yang lain pula menjumpai kebenaran tanpa mencarinya, mungkin melalui kerja penyebaran. Namun, kedua-dua lelaki dalam perumpamaan Yesus sedar bahawa apa yang dijumpai oleh mereka sangat tinggi nilainya, dan mereka rela membuat pengorbanan yang besar untuk mendapatkannya.

18. (a) Bagaimanakah kita boleh mendapat manfaat daripada dua perumpamaan ini? (b) Apakah yang anda pelajari daripada dua perumpamaan ini mengenai Yehuwa dan Yesus?

18 Bagaimanakah kita boleh mendapat manfaat daripada dua perumpamaan ini? (Mat. 6:19-21) Tanyalah diri: “Adakah sikap saya sama dengan dua orang lelaki itu? Adakah saya menghargai kebenaran seperti mereka? Adakah saya rela membuat pengorbanan demi kebenaran, atau adakah saya terlampau sibuk dengan aktiviti harian yang lain?” (Mat. 6:22-24, 33; Luk. 5:27, 28; Flp. 3:8) Jika kita benar-benar mencintai kebenaran, kita akan menganggapnya sebagai perkara yang terpenting dalam hidup kita.

19. Apakah yang akan dipelajari dalam rencana yang seterusnya?

19 Semoga kita mendengar dan mengerti makna perumpamaan-perumpamaan Yesus ini. Kita bukan sahaja harus mengerti, tetapi juga harus menerapkan apa yang dipelajari. Dalam rencana yang seterusnya, kita akan mengkaji tiga lagi perumpamaan Yesus dan pengajaran yang dapat diperoleh daripadanya.

^ per. 13 Pengalaman yang serupa telah berlaku di Argentina, (2001 Yearbook, muka surat 186); Jerman Timur (1999 Yearbook, muka surat 83); Papua New Guinea (2005 Yearbook, muka surat 63); dan Pulau Robinson Crusoe (The Watchtower, 15 Jun 2000, muka surat 9).