Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Apakah maksud Yeremia apabila dia berkata bahawa Rahel meratapi anak-anaknya?

Yeremia 31:15 berkata, ‘Yehuwa berfirman, “Di Rama terdengar ratapan, tangisan yang penuh kepedihan. Rahel meratapi anak-anaknya; dia tidak mahu dihibur kerana mereka sudah tiada.”’

Kedua-dua anak Rahel tidak meninggal sebelum Rahel. Jadi adakah kata-kata Yeremia yang ditulis 1,000 tahun selepas Rahel meninggal tepat?

Anak sulung Rahel ialah Yusuf. (Kej. 30:22-24) Rahel meninggal semasa melahirkan anaknya yang kedua, Benyamin. Jadi persoalannya ialah: Mengapakah Yeremia berkata bahawa Rahel meratapi anak-anaknya yang “sudah tiada”?

Yusuf ada dua orang anak, iaitu Manasye dan Efraim. (Kej. 41:50-52; 48:13-20) Kemudian Efraim menjadi suku bangsa yang paling berkuasa di Kerajaan Israel Utara dan nama Efraim mewakili seluruh Kerajaan itu. Suku Benyamin pula membentuk Kerajaan Israel Selatan bersama suku Yehuda. Maka, boleh dikatakan bahawa Rahel mewakili semua ibu-ibu bangsa Israel, sama ada di bahagian utara atau selatan.

Semasa Yeremia menulis kata-kata tersebut, Kerajaan Israel Utara sudah pun ditakluki oleh Asyur dan ramai orang telah diambil sebagai tawanan. Namun, segelintir daripada suku Efraim mungkin telah melarikan diri ke Yehuda. Pada 607 SM, Babilonia pula menawan Kerajaan Israel Selatan, dan ramai daripada penduduk di sana dibawa ke kota Rama yang terletak sekitar lapan kilometer ke arah utara dari Yerusalem. (Yer. 40:1) Kemungkinan ada tawanan yang dibunuh di sana. Tempat itu juga terletak di wilayah Benyamin di mana Rahel dikuburkan. (1 Sam. 10:2) Maka, pernyataan “Rahel meratapi anak-anaknya” mungkin merujuk kepada perasaan pilu yang dialami kerana kematian orang dari suku Benyamin, atau mereka yang dibunuh di Rama. Selain itu, kata-kata Yeremia itu mungkin merujuk kepada semua ibu di Israel yang meratapi anak mereka yang telah dibunuh atau yang diambil sebagai tawanan pada zaman itu.

Yang kita boleh pasti ialah kata-kata Yeremia, iaitu “Rahel meratapi anak-anaknya,” merupakan sebuah nubuat. Nubuat ini menjadi kenyataan ratusan tahun kemudian ketika Yesus masih bayi. Raja Herodes memberikan perintah supaya semua bayi lelaki di Betlehem yang berumur dua tahun ke bawah dibunuh. Betlehem terletak di bahagian selatan Yerusalem. Bayangkanlah betapa sedihnya ibu-ibu di sana kerana anak mereka “sudah tiada.” Ratapan mereka seolah-olah boleh didengar sehingga ke Rama yang terletak di arah utara Yerusalem.—Mat. 2:16-18.

Maka, pada zaman Yeremia dan zaman Yesus, kata-kata bahawa “Rahel meratapi anak-anaknya” boleh merujuk kepada ibu-ibu Israel yang pilu akibat kematian anak mereka. Walaupun begitu, mereka berpeluang “pulang dari negeri musuh” atau dalam kata lain, dibangkitkan.—Yer. 31:16; 1 Kor. 15:26.