Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Mempersiapkan Bangsa-Bangsa untuk “Ajaran Yehuwa”

Mempersiapkan Bangsa-Bangsa untuk “Ajaran Yehuwa”

“Gabenor daerah itu . . . mula percaya kerana dia sangat mengagumi ajaran Yehuwa.”KIS. 13:12.

1-3. Mengapakah tidak mudah bagi pengikut Yesus untuk menyebarkan berita baik “sampai ke hujung bumi”?

YESUS memberikan perintah kepada pengikutnya: “Pergilah kepada semua bangsa dan jadikanlah mereka pengikutku.” Mereka harus menyebarkan “berita baik tentang Kerajaan Tuhan . . . ke seluruh bumi sebagai kesaksian kepada semua bangsa.”—Mat. 24:14; 28:19.

2 Mereka mengasihi Yesus dan berita baik. Namun, mereka mungkin berfikir, “Bagaimanakah kami dapat melaksanakan perintah Yesus itu?” Mereka hanya beberapa orang sahaja. Mereka juga mengajar orang bahawa Yesus ialah anak Tuhan, tetapi Yesus sudah mati. Ramai orang pula menganggap mereka sebagai “orang biasa yang tidak berpendidikan.” (Kis. 4:13) Pengikut Yesus tidak belajar di sekolah agama Yahudi seperti para pemimpin agama. Mesej yang disampaikan oleh mereka bercanggah dengan tradisi orang Yahudi yang diajarkan oleh para pemimpin agama selama ratusan tahun. Memandangkan mereka tidak dihormati di Israel, mereka mungkin tertanya-tanya jika orang di Empayar Roma sudi mendengarkan mereka.

3 Selain itu, Yesus pernah memperingatkan mereka bahawa mereka akan dibenci, ditentang, malah dibunuh. (Luk. 21:16, 17) Sahabat dan ahli keluarga akan mengkhianati mereka. Orang yang mengaku diri Kristian akan mengajarkan ajaran palsu. Para pengikut Yesus akan menginjil di tempat yang penuh dengan jenayah dan kekejaman. (Mat. 24:10-12) Dapatkah mereka menginjil “sampai ke hujung bumi”? (Kis. 1:8) Mereka tentu tertanya-tanya bagaimanakah mereka dapat melakukannya?

4. Apakah hasil kerja penyebaran?

4 Walaupun pengikut Yesus tahu tugas mereka tidak mudah, mereka mematuhi Yesus untuk menginjil di Yerusalem, Samaria, dan di negara lain. Selepas sekitar 30 tahun, mereka sudah melawat banyak tempat sehingga Paulus berkata bahawa berita baik “sudah disebarkan kepada semua ciptaan di bawah langit.” Orang dari pelbagai bangsa menjadi pengikut Yesus. (Kol. 1:6, 23) Misalnya, semasa Paulus menginjil di Siprus, seorang Gabenor Roma menjadi penyembah Yehuwa kerana “dia sangat mengagumi ajaran Yehuwa.”—Baca Kisah 13:6-12.

5. (a) Apakah janji Yesus kepada pengikutnya? (b) Apakah yang dinyatakan oleh sebuah buku sejarah tentang abad pertama?

5 Pengikut Yesus tahu bahawa mereka tidak dapat menginjil ke seluruh bumi dengan kemampuan sendiri. Tetapi Yesus telah berjanji untuk menyertai mereka dan daya aktif Tuhan akan membantu mereka. (Mat. 28:20) Sebuah buku sejarah juga menjelaskan bahawa abad pertama ialah masa terbaik untuk menyebar. Orang Kristian berasa bahawa Tuhan telah membuka jalan bagi mereka.

6. Apakah yang akan dibincangkan (a) dalam rencana ini? (b) dalam rencana yang seterusnya?

6 Adakah Yehuwa mengubah situasi dunia pada abad pertama supaya orang Kristian dapat menginjil? Bible tidak menyatakannya. Namun, kita tahu Yehuwa ingin agar umat-Nya menginjil, dan Syaitan gagal menghentikan mereka. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan beberapa perkara pada abad pertama yang memudahkan kerja penyebaran. Rencana seterusnya akan membincangkan beberapa perkara yang membantu kerja penyebaran pada zaman sekarang.

KEDAMAIAN EMPAYAR ROMA

7. Apakah keadaan di Empayar Roma pada abad pertama? Mengapakah masa itu berbeza daripada masa yang lain?

7 Pada abad pertama, pengikut Yesus dapat menyebar dengan mudah kerana keadaan yang aman di Empayar Roma. Zaman itu dipanggil sebagai Pax Romana. Pada masa itu, kerajaan Roma menghentikan apa sahaja pemberontakan. Memang benar terdapat beberapa peperangan, seperti yang dinubuatkan Yesus. (Mat. 24:6) Pada tahun 70 M, tentera Roma memusnahkan Yerusalem dan beberapa pertempuran berlaku di sempadan Empayar Roma. Namun, kebanyakan kawasan adalah aman, dan pengikut Kristus boleh membuat perjalanan untuk menginjil. Jangka masa yang aman ini berlangsung selama 200 tahun. Sebuah buku sejarah menyatakan bahawa keamanan yang lama sebegini tidak pernah terjadi dan hal ini telah membawa kesan baik kepada ramai orang.

8. Bagaimanakah keadaan aman di Empayar Roma membantu pengikut Kristus?

8 Pada kurun ketiga, seorang cendekiawan bernama Origen menulis tentang keamanan Roma. Dia berkata bahawa Empayar Roma meliputi banyak negara. Maka lebih mudah bagi pengikut Kristus untuk menginjil di semua negara tersebut. Orang di sana tidak berperang, sebaliknya mereka hidup aman. Jadi, ramai orang berpeluang mendengar mesej Bible yang menekankan kasih dan keamanan. Walaupun dianiaya, pengikut Kristus memanfaatkan keadaan yang aman ini sebaik yang mungkin untuk menyebarkan berita baik.—Baca Roma 12:18-21.

PERJALANAN SEMAKIN MUDAH

9, 10. Apakah yang memudahkan perjalanan para pengikut Yesus di Empayar Roma?

9 Jalan raya di Empayar Roma meliputi lebih daripada 80,000 kilometer, dan menghubungkan hampir setiap wilayah. Askar-askar Roma dapat pergi ke mana sahaja dengan cepat untuk mempertahankan kawasan mereka dan mengawal rakyat. Orang Kristian menggunakan jalan raya yang melalui hutan, gurun, dan gunung untuk menginjil di banyak tempat.

10 Selain daripada jalan raya, orang Roma juga menggunakan jalan air. Mereka belayar menerusi sungai atau laut ke ratusan pelabuhan di serata empayar. Orang Roma menggunakan lebih daripada 900 laluan laut. Jadi orang Kristian dapat pergi ke banyak tempat. Mereka tidak memerlukan dokumen perjalanan seperti pasport untuk memasuki negara-negara lain. Tambahan lagi, perompak tidak banyak kerana hukuman ke atas penjenayah sangat berat. Oleh sebab banyak kapal tentera Roma belayar di laut, orang yang membuat perjalanan menerusi laut tidak takut akan lanun. Walaupun Bible menyatakan bahawa kapal yang dinaiki Paulus karam dan dia menghadapi bahaya di laut, dia tidak pernah diserang oleh lanun. Jadi, perjalanan melalui jalan raya dan jalan air adalah selamat.—2 Kor. 11:25, 26.

BAHASA YUNANI

Lebih mudah untuk mencari ayat Bible dengan menggunakan kodeks (Lihat perenggan 12)

11. Mengapakah pengikut Yesus menggunakan bahasa Yunani?

11 Banyak tempat di bawah Empayar Roma pernah dijajah oleh pemerintah Yunani bernama Iskandar Agung. Jadi orang yang tinggal di sana tahu bercakap dalam bahasa Yunani (Koine). Hasilnya, pengikut Yesus dapat menginjil kepada mereka dalam bahasa itu. Pengikut Yesus juga boleh memetik ayat Bible daripada Kitab Ibrani yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Yunani oleh orang Yahudi di Mesir. Terjemahan ini terkenal dan dipanggil sebagai Septuagint. Kemudian, sebahagian daripada Bible juga ditulis dalam bahasa Yunani. Bahasa Yunani mempunyai kosa kata yang luas dan sesuai digunakan untuk menjelaskan kebenaran Bible yang mendalam. Selain itu, bahasa Yunani membantu komunikasi antara sidang dan menyatupadukan mereka.

12. (a) Apakah itu kodeks, dan mengapakah kodeks lebih senang digunakan berbanding gulungan? (b) Bilakah kodeks digunakan dengan meluas oleh orang Kristian?

12 Pada abad pertama, orang Kristian menggunakan gulungan Bible untuk menginjil. Tetapi, gulungan-gulungan susah digunakan. Seluruh gulungan perlu dibuka untuk mencari satu ayat Bible. Kemudian gulungan itu perlu digulung semula. Biasanya, hanya satu permukaan pada gulungan dapat digunakan untuk menulis. Maka, sebuah kitab seperti buku Matius akan memenuhi seluruh gulungan. Kemudian, kodeks dihasilkan dan telah digunakan oleh orang Kristian secara meluas. Kodeks ialah helaian-helaian yang dijilid, sama seperti sebuah buku. Pembaca dapat mencari ayat Bible dengan mudah menggunakan kodeks. Menurut sejarawan, kodeks mungkin mula diperkenalkan sebelum tahun 100 M.

UNDANG-UNDANG ROMA

13, 14. (a) Apakah perlindungan yang dimiliki oleh Paulus sebagai warganegara Roma? (b) Bagaimanakah orang Kristian memanfaatkan undang-undang Roma?

13 Orang Kristian abad pertama memanfaatkan undang-undang Roma. Contohnya, Paulus telah menggunakan undang-undang Roma untuk melindungi dirinya. Apabila dia ditangkap oleh askar Roma di Yerusalem dan bakal dicambuk, dia telah memberitahu bahawa dia ialah warganegara Roma. Dia memberitahu ketua pasukan tentera bahawa warganegara Roma tidak boleh dicambuk sekiranya tiada perbicaraan mahkamah. Maka, ‘mereka berundur daripadanya. Ketua pasukan tentera itu menjadi takut kerana dia telah merantai Paulus.’—Kis. 22:25-29.

14 Kewarganegaraan Paulus telah mempengaruhi cara dia dilayan di Filipi. (Kis. 16:35-40) Apabila kumpulan perusuh ingin mencederakan orang Kristian di Efesus, pegawai Roma telah menenangkan kumpulan itu dan memberikan amaran bahawa mereka sedang melanggar undang-undang Roma. (Kis. 19:35-41) Semasa di Kaisarea, Paulus telah menggunakan haknya untuk berjumpa dengan Kaisar di Roma. Dia mempertahankan imannya di hadapan Kaisar. (Kis. 25:8-12) Maka orang Kristian ‘mempertahankan dan memperoleh hak yang sah’ untuk menyebarkan berita baik.—Flp. 1:7.

ORANG YAHUDI TINGGAL DI BANYAK NEGARA

15. Di manakah orang Yahudi tinggal pada abad pertama?

15 Terdapat juga perkara lain yang membantu orang Kristian menginjil ke serata dunia pada abad pertama. Pada masa itu, orang Yahudi bukan hanya tinggal di Israel, tetapi di banyak negara. Ratusan tahun sebelumnya, orang Yahudi dibawa sebagai tawanan ke Assyria. Bertahun-tahun kemudian, yang lain pula dibawa ke Babilon sebagai tawanan. Ketika Empayar Persia memerintah Babilon, orang Yahudi tinggal di sekitar wilayah Persia. (Est. 9:30) Pada abad pertama, ketika Yesus di bumi, orang Yahudi tinggal di Yunani (Greece), Asia Kecil (Turki), Mesopotamia (Iraq), serta Mesir dan bahagian lain di Afrika Utara. Jumlah rakyat Empayar Roma yang dianggarkan ialah 60 juta dan lebih daripada 4 juta ialah orang Yahudi. Walaupun mereka tinggal di banyak tempat, mereka masih mengamalkan agama mereka.—Mat. 23:15.

16, 17. (a) Oleh sebab orang Yahudi tinggal di banyak tempat, apakah manfaatnya bagi orang bukan Yahudi? (b) Bagaimanakah orang Kristian meneladani orang Yahudi?

16 Oleh sebab orang Yahudi tinggal di banyak tempat, orang bukan Yahudi tahu tentang Kitab Ibrani dan kepercayaan orang Yahudi. Contohnya, mereka tahu bahawa hanya ada satu Tuhan yang benar dan umat-Nya harus mematuhi hukum-hukum-Nya. Mereka juga tahu bahawa Kitab Ibrani berasal daripada Tuhan dan mengandungi banyak nubuat tentang Mesias. (Luk. 24:44) Jadi, apabila orang Kristian menginjil, orang Yahudi dan bukan Yahudi sudah tahu tentang beberapa perkara yang disampai oleh mereka. Paulus ingin mencari orang yang sudi mendengar berita baik. Dia sering mengunjungi rumah ibadat orang Yahudi dan berbincang bersama mereka berdasarkan Bible.—Baca Kisah 17:1, 2.

17 Orang Yahudi selalu berkumpul bersama di rumah ibadat atau di tempat lain untuk menyembah Tuhan. Mereka bernyanyi, berdoa, dan membincangkan ayat Bible. Orang Kristian meneladani mereka, dan hari ini kita melakukan hal yang sama di sidang.

YEHUWA MEMBANTU MEREKA UNTUK MENGINJIL

18, 19. (a) Keadaan pada abad pertama membantu orang Kristian untuk membuat apa? (b) Apakah perasaan anda terhadap Yehuwa selepas membincangkan rencana ini?

18 Abad pertama merupakan masa yang istimewa dalam sejarah. Di Empayar Roma, terdapat keamanan, orang bertutur dalam bahasa yang sama, dan undang-undang Empayar Roma melindungi rakyat. Perjalanan mudah dilakukan, dan orang di banyak negara tahu tentang orang Yahudi dan Kitab Ibrani. Semua ini telah membantu orang Kristian untuk meneruskan kerja yang diamanahkan oleh Tuhan.

19 Kira-kira 400 tahun sebelum Yesus datang ke bumi, ahli falsafah Yunani bernama Plato menulis bahawa adalah susah untuk mengenali Pencipta kita dan adalah mustahil untuk memberitahu semua orang tentang-Nya. Tetapi Yesus berkata: “Apa yang mustahil bagi manusia tidak mustahil bagi Tuhan.” (Luk. 18:27) Jadi, memang jelas bahawa tiada yang mustahil jika kerja penyebaran dilakukan dengan bantuan Yehuwa. Dia ingin agar “semua bangsa” mendengar berita baik dan mengenali-Nya. (Mat. 28:19) Rencana seterusnya akan membincangkan bagaimana berita baik disebarkan ke serata dunia pada hari ini.