Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Belajar daripada Perumpamaan Talenta

Belajar daripada Perumpamaan Talenta

“Dia memberi seorang hamba lima talenta, seorang dua talenta, dan seorang lagi satu talenta.”—MAT. 25:15.

1, 2. Mengapakah Yesus menceritakan perumpamaan talenta?

YESUS menggunakan perumpamaan talenta untuk menunjukkan tanggungjawab yang harus dipikul oleh pengikutnya yang terurap. Perumpamaan ini juga ditujukan kepada pengikut Yesus yang lain. Jadi, tidak kira kita mempunyai harapan untuk hidup di syurga atau di bumi, kita harus memahami maksud di sebalik perumpamaan ini.

2 Bilakah Yesus memberikan perumpamaan ini? Dia memberikan perumpamaan ini semasa menjawab soalan pengikutnya: “Beritahulah kami bila hal-hal ini akan berlaku, dan apakah tanda bagi kehadiranmu dan penghujung sistem ini?” (Mat. 24:3) Jadi perumpamaan talenta ialah sebahagian daripada tanda kehadiran Yesus yang sedang menjadi kenyataan hari ini.

3. Apakah yang dapat kita pelajari daripada Matius 24 dan 25?

3 Semasa memberikan perumpamaan talenta, Yesus juga telah menyebut tentang tiga lagi perumpamaan lain yang berkaitan. Semua perumpamaan ini menjelaskan sifat-sifat yang harus dimiliki oleh pengikutnya. Perumpamaan ini boleh didapati di Matius 24:45 hingga 25:46. Perumpamaan pertama adalah mengenai hamba yang setia. Mereka ialah sekumpulan kecil orang terurap yang dipilih oleh Tuhan untuk mengajar umat-Nya. Mereka harus setia dan bijaksana. * Kemudian dalam perumpamaan 10 orang anak dara, Yesus mengingatkan semua orang terurap supaya tetap bersiap sedia dan berjaga-jaga kerana mereka tidak tahu hari atau waktunya Yesus akan datang. * Selepas itu, Yesus memberikan perumpamaan mengenai talenta. Berdasarkan perumpamaan itu, Yesus ingin agar golongan terurap melaksanakan tanggungjawab mereka dengan rajin. Akhirnya, Yesus memberikan perumpamaan mengenai biri-biri dan kambing yang berkait dengan mereka yang mempunyai harapan untuk hidup di bumi. Dia menekankan bahawa mereka harus setia menyokong saudara Yesus yang terurap. * Rencana ini akan menjelaskan tentang perumpamaan talenta.

SEORANG LELAKI MEMBERIKAN WANG KEPADA HAMBANYA

4, 5. Lelaki dalam perumpamaan itu merujuk kepada siapa? Berapakah nilai satu talenta?

4 Baca Matius 25:14-30. Dalam perumpamaan talenta, Yesus menyebut tentang seorang lelaki yang berangkat ke luar negeri. Dalam perumpamaan lain, Yesus juga bercakap tentang seorang lelaki yang pergi ke tempat jauh untuk menjadi raja. * (Luk. 19:12) Bahan bacaan kita telah menyatakan bahawa lelaki dalam kedua-dua perumpamaan itu merujuk kepada Yesus apabila dia naik ke syurga pada tahun 33 M. Tetapi Yesus tidak menjadi Raja dengan serta-merta. Dia menunggu sehingga tahun 1914 apabila “musuh-musuhnya dijadikan sebagai alas kakinya.”—Ibr. 10:12, 13.

5 Yesus mengatakan lelaki dalam perumpamaan itu mempunyai lapan talenta. Jumlah wang itu banyak. * Sebelum lelaki itu berangkat, dia mengamanahkan wang itu kepada hamba-hambanya. Dia menyuruh mereka menggunakan wang itu untuk berniaga. Seperti lelaki itu, Yesus juga mempunyai sesuatu yang sangat bernilai. Hal itu berkait dengan kerja Yesus semasa dia di bumi.

6, 7. Talenta dalam perumpamaan itu merujuk kepada apa?

6 Kerja penyebaran sangat penting bagi Yesus. Melalui kerja ini, banyak orang telah menjadi pengikutnya. (Baca Lukas 4:43.) Tetapi Yesus juga tahu bahawa terdapat banyak lagi kerja penyebaran yang harus dilakukan. Maka, dia memberitahu pengikutnya: “Lihatlah, ladang-ladang sudah menguning dan siap untuk dituai.” (Yoh. 4:35-38) Seorang penuai tidak akan mengabaikan ladangnya. Yesus juga memiliki sikap yang sama. Jadi sejurus sebelum Yesus naik ke syurga, dia memberikan perintah kepada pengikutnya: “Pergilah . . . dan jadikanlah mereka pengikutku.” (Mat. 28:18-20) Dalam cara ini, Yesus telah mengamanahkan sesuatu yang bernilai kepada mereka, iaitu tanggungjawab untuk menginjil.—2 Kor. 4:7.

7 Sepertimana lelaki itu mengamanahkan wang kepada hamba-hambanya, Yesus mengamanahkan tanggungjawab kepada kaum terurap. (Mat. 25:14) Jadi, talenta dalam perumpamaan itu merujuk kepada tanggungjawab untuk menginjil dan menjadikan orang pengikut Yesus.

8. Walaupun setiap hamba menerima jumlah wang yang berbeza, apakah yang diharapkan oleh tuan mereka?

8 Yesus mengatakan bahawa lelaki itu memberikan lima talenta kepada hamba yang pertama, dua talenta kepada hamba kedua, dan satu talenta kepada hamba ketiga. (Mat. 25:15) Lelaki, atau tuan mereka, memberikan jumlah wang yang berbeza kepada setiap hamba, tetapi dia berharap agar mereka berusaha untuk menggandakan wang itu. Dalam cara yang sama, Yesus berharap agar kaum terurap berusaha sedaya upaya dalam kerja penyebaran. (Mat. 22:37; Kol. 3:23) Pada Pentakosta 33 M, pengikut Yesus mula membantu orang dari pelbagai bangsa untuk menjadi pengikut Yesus. Buku Kisah jelas menunjukkan bahawa mereka bekerja keras dalam hal ini. *Kis. 6:7; 12:24; 19:20.

BERNIAGA MENGGUNAKAN TALENTA PADA HARI-HARI TERAKHIR

9. (a) Apakah yang dilakukan oleh dua hamba dengan wang yang diterima oleh mereka? Apakah kaitannya dengan kaum terurap? (b) Apakah yang perlu dilakukan oleh orang yang berharap untuk hidup di bumi?

9 Dua hamba yang pertama menggunakan wang tuan mereka dengan baik. Mereka melambangkan kaum terurap yang setia pada hari-hari terakhir. Terutamanya sejak tahun 1919, kaum terurap rajin menjalankan kerja penyebaran. Dalam perumpamaan itu, dua hamba yang pertama menerima jumlah wang yang berbeza. Tetapi hal ini tidak bermaksud bahawa terdapat dua kumpulan terurap yang berbeza. Kedua-dua hamba itu bekerja keras dan menggandakan talenta mereka. Namun, adakah kaum terurap sahaja yang perlu bergiat dalam kerja penyebaran? Tidak. Dalam perumpamaan biri-biri dan kambing, Yesus berkata bahawa orang yang mempunyai harapan untuk hidup di bumi perlu setia menyokong saudara Yesus yang terurap. Hal ini ialah penghormatan yang istimewa. Ya, umat Yehuwa ialah “satu kawanan” dan mereka semua bekerja keras untuk menginjil dan menjadikan orang pengikut Yesus.—Yoh. 10:16.

10. Apakah salah satu aspek penting yang menunjukkan bahawa kita hidup pada hari-hari terakhir?

10 Yesus ingin semua pengikutnya rajin menginjil agar lebih ramai orang menjadi pengikutnya. Itulah yang dilakukan oleh mereka pada abad pertama. Perumpamaan mengenai talenta sedang menjadi kenyataan pada hari ini. Ramai sekali orang melakukan kerja penyebaran. Oleh itu, beratus ribu orang dibaptis setiap tahun. Mereka juga menyokong kerja penyebaran. Kerja ini ialah salah satu aspek yang sangat penting dalam tanda yang diberikan oleh Yesus mengenai hari-hari terakhir. Sudah tentu Yesus sangat gembira dengan hamba-hambanya!

Yesus telah memberikan sesuatu yang bernilai kepada pengikutnya, iaitu tanggungjawab untuk menginjil (Lihat perenggan 10)

BILAKAH TUAN DATANG MEMERIKSA HAMBANYA?

11. Bagaimanakah kita tahu bahawa Yesus akan datang semasa kesengsaraan besar?

11 Yesus berkata, “Setelah sekian lama, tuan kepada hamba-hamba itu kembali untuk memeriksa apa yang telah dilakukan oleh mereka dengan wangnya.” (Mat. 25:19) Tuan Yesus akan melakukan hal ini pada penghujung kesengsaraan besar. Bagaimanakah kita mengetahui hal ini? Dalam nubuat di Matius bab 24 dan 25, Yesus berulang kali menyebut tentang kedatangannya. Contohnya, dia berkata bahawa “Anak manusia datang di atas awan.” Hal ini merujuk kepada kedatangannya semasa kesengsaraan besar untuk menghakimi orang. Dia juga menyuruh pengikutnya berjaga-jaga dengan berkata, “Kamu tidak tahu bila Tuan kamu akan datang” dan “Anak manusia akan datang pada waktu yang tidak kamu jangkakan.” (Mat. 24:30, 42, 44) Maka, perumpamaan talenta juga merujuk kepada masanya Yesus datang untuk menghakimi manusia dan membinasakan dunia Syaitan. *

12, 13. (a) Apakah yang diberitahu oleh tuan kepada dua orang hambanya, dan mengapa? (b) Bilakah golongan terurap menerima meterai terakhir? (Lihat juga kotak, “ Dianggap Layak apabila Meninggal.”) (c) Apakah ganjaran yang diterima oleh mereka yang menyokong golongan terurap?

12 Apabila tuan itu kembali, dia mendapati bahawa hamba yang menerima lima talenta telah mendapat lima lagi talenta, dan hamba yang menerima dua talenta telah mendapat dua lagi talenta. Jadi tuan berkata kepada mereka, “Bagus, hamba yang baik dan setia! Kamu menguruskan hal yang kecil dengan setia. Jadi, aku akan melantik kamu untuk menguruskan lebih banyak hal.” (Mat. 25:21, 23) Apakah yang akan dilakukan oleh Tuan Yesus pada masa depan?

13 Sejurus sebelum kesengsaraan besar, golongan terurap yang setia di bumi akan menerima meterai terakhir daripada Tuhan. (Why. 7:1-3) Kemudian, sebelum Armagedon, Yesus akan memberikan ganjaran kepada mereka dengan membawa mereka ke syurga. Pada masa itu, orang yang menyokong golongan terurap dalam kerja penyebaran akan dianggap sebagai biri-biri. Mereka akan diberikan ganjaran untuk hidup selama-lamanya di bumi di bawah pemerintahan Tuhan.—Mat. 25:34.

HAMBA YANG JAHAT DAN MALAS

14, 15. Adakah perumpamaan Yesus bermaksud bahawa banyak orang terurap akan menjadi jahat dan malas? Jelaskan.

14 Perumpamaan itu juga memberitahu kita tentang seorang hamba yang menerima satu talenta. Dia tidak berniaga atau menyimpan talenta itu dalam bank untuk mendapat bunga. Sebaliknya, dia menanam wang itu. Maka, tuannya berkata kepadanya, “Kamu hamba yang jahat dan malas.” Dia mengambil talenta daripada hamba yang jahat itu dan memberikannya kepada hamba yang pertama. Kemudian, hamba yang jahat itu dibuang “ke tempat yang gelap di luar,” dan di situ hamba tersebut menangis.—Mat. 25:24-30; Luk. 19:22, 23.

15 Apabila Yesus mengatakan bahawa seorang daripada tiga hamba itu adalah jahat dan malas, dia tidak bermaksud bahawa satu per tiga daripada kaum terurap akan menjadi jahat dan malas. Cuba bandingkan perumpamaan ini dengan perumpamaan yang lain. Dalam perumpamaan mengenai hamba yang setia dan bijaksana, Yesus menyebut tentang hamba jahat yang memukul hamba-hamba lain. Yesus tidak bermaksud bahawa sebahagian daripada hamba yang setia dan bijaksana akan menjadi jahat. Sebaliknya, dia memberikan amaran kepada kaum terurap agar mereka tidak menjadi seperti hamba yang jahat. Kemudian, dalam perumpamaan 10 anak dara, Yesus menyebut tentang lima anak dara yang bodoh. Dia tidak bermaksud bahawa separuh daripada kaum terurap akan menjadi seperti anak dara yang bodoh. Sebaliknya, Yesus memberikan amaran tentang apa yang akan terjadi jika mereka tidak bersedia dan berjaga-jaga. * Dalam perumpamaan talenta pula, Yesus tidak bermaksud bahawa banyak orang terurap akan menjadi jahat dan malas. Sebenarnya, Yesus memberikan amaran agar kaum terurap tidak bersikap seperti hamba yang jahat. Sebaliknya, mereka digalakkan untuk terus menginjil dengan rajin.—Mat. 25:16.

16. (a) Apakah dua pengajaran daripada perumpamaan talenta? (b) Bagaimanakah rencana ini membantu kita memahami perumpamaan talenta? (Lihat kotak “ Memahami Perumpamaan Talenta.”)

16 Apakah dua pengajaran yang kita peroleh daripada perumpamaan talenta? Pertama, Yesus telah mengamanahkan sesuatu yang bernilai kepada kaum terurap, iaitu tanggungjawab untuk menginjil dan menjadikan orang pengikut Yesus. Kedua, Yesus berharap agar kita semua rajin dalam kerja penyebaran. Jika kita bertabah dalam kerja ini dan tetap setia kepada Yesus, kita boleh pasti bahawa dia akan memberikan ganjaran kepada kita.—Mat. 25:21, 23, 34.

^ per. 3 Menara Pengawal 15 Julai 2013, muka surat 21-22, perenggan 8-10, menjelaskan siapa ialah hamba yang setia dan bijaksana.

^ per. 3 Rencana sebelum ini menjelaskan siapa yang diwakili oleh anak dara.

^ per. 3 Penjelasan mengenai biri-biri dan kambing terdapat dalam The Watchtower, 15 Oktober 1995, muka surat 23-28, serta dalam rencana seterusnya dalam majalah ini.

^ per. 5 Pada zaman Yesus, satu talenta bersamaan dengan 6,000 denari. Upah seorang pekerja untuk sehari ialah satu denari, jadi dia harus bekerja selama 20 tahun untuk mendapatkan satu talenta.

^ per. 8 Selepas para rasul meninggal, kemurtadan merebak ke semua sidang. Selama berabad-abad, tidak banyak usaha dicurahkan untuk menjalankan kerja penyebaran. Namun semasa “musim menuai” tiba, iaitu pada akhir zaman, kerja penyebaran bermula lagi. (Mat. 13:24-30, 36-43) Lihat Menara Pengawal 15 Julai 2013, muka surat 9-12.

^ per. 15 Lihat perenggan 13 dalam rencana “Adakah Anda akan ‘Terus Berjaga-jaga’?” dalam majalah ini.