Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Berkahwin dengan Pengikut Tuan Sahaja—Adakah Masih Masuk Akal?

Berkahwin dengan Pengikut Tuan Sahaja—Adakah Masih Masuk Akal?

“Saya tidak dapat mencari pasangan dalam sidang dan saya risau akan menjadi tua seorang diri.”

“Ada lelaki duniawi yang baik hati, lemah lembut, dan bertimbang rasa. Mereka tidak menghalang saya daripada menyembah Yehuwa, dan mereka nampaknya lebih baik daripada sesetengah saudara di sidang.”

Sesetengah penyembah Tuhan yang bujang telah meluahkan perasaan yang sama. Mereka tahu bahawa Yehuwa menginginkan penyembah-Nya untuk berkahwin hanya dengan “pengikut Tuan” Yesus, iaitu dengan orang Kristian sejati. (1 Kor. 7:39) Jadi mengapakah sesetengah orang Kristian berkata sedemikian?

MENGAPA ADA YANG RAGU-RAGU

Orang Kristian yang berkata sedemikian mungkin berasa bahawa bilangan saudari bujang lebih banyak daripada saudara bujang. Di banyak negara, hal ini memang benar. Misalnya, di Korea, 57 peratus daripada orang Kristian bujang ialah saudari, dan 43 peratus ialah saudara. Di Colombia pula, 66 peratus daripada orang Kristian ialah saudari dan 34 peratus ialah saudara.

Di beberapa tempat, ibu bapa yang bukan Saksi mungkin meminta wang hantaran yang banyak dan hadiah yang mahal apabila anak perempuan mereka berkahwin. Sesetengah saudara tidak mampu memberikan hadiah tersebut. Akibatnya, terdapat saudari yang risau sama ada mereka dapat mencari seorang suami Kristian atau tidak. *

PENTING UNTUK YAKIN KEPADA YEHUWA

Pernahkah anda berasa seperti mereka? Anda boleh yakin bahawa Yehuwa memahami situasi dan perasaan anda.—2 Taw. 6:29, 30.

Namun, Yehuwa memberikan perintah untuk hanya berkahwin dengan orang Kristian sejati. Mengapa? Kerana Yehuwa menginginkan yang terbaik bagi kita dan Dia ingin melindungi kita. Dia tidak mahu kita membuat keputusan yang menyebabkan kita berdukacita. Pada zaman Nehemia, ramai orang Yahudi berkahwin dengan wanita yang tidak menyembah Tuhan. Jadi, Nehemia menyebut tentang contoh buruk Raja Salomo: ‘Tuhan mengasihi baginda dan menjadikan baginda raja seluruh Israel. Walaupun begitu, baginda berdosa kerana bujukan perempuan bangsa asing.’ (Neh. 13:23-26) Yehuwa tahu bahawa nasihat-Nya baik untuk kita. Itulah sebabnya Dia menyuruh kita berkahwin hanya dengan orang Kristian sejati. (Mzm. 19:8-11; Yes. 48:17, 18) Kita sangat bersyukur kerana Dia mengasihi kita dan memberikan nasihat yang boleh dipercayai. Dengan mentaati Yehuwa sebagai Pemerintah, kita percaya bahawa Dia berhak membimbing kita.—Ams. 1:5.

Sudah tentu anda tidak ingin “memikul kuk bersama orang yang tidak percaya,” iaitu mengahwini orang yang tidak mengasihi Yehuwa. Dia dapat menyebabkan anda meninggalkan Tuhan. (2 Kor. 6:14) Nasihat Tuhanlah yang terbaik, dan ramai orang Kristian mengikut nasihat-Nya. Namun, ada yang membuat pilihan sendiri.

MEMANG MASUK AKAL

Seorang saudari di Australia yang bernama Maggy * berdating dengan seorang yang bukan penyembah Yehuwa. Dia berkata, “Saya jarang menghadiri perjumpaan kerana ingin bersamanya. Kerohanian saya merosot secara mendadak.” Seorang lagi saudari muda bernama Ratana berdating dengan rakan sekelasnya yang sedang belajar Bible. Namun, lelaki itu belajar Bible kerana ingin bersama Ratana. Akhirnya, Ratana meninggalkan kebenaran untuk berkahwin dengannya.

Ndenguè dari Cameroon berumur 19 tahun apabila dia mengahwini seorang lelaki yang tidak menyembah Yehuwa. Sebelum berkahwin, lelaki itu berjanji bahawa dia boleh terus menyembah Yehuwa. Namun, dua minggu selepas berkahwin, suaminya melarang dia daripada pergi ke perjumpaan. Ndenguè berkata, “Saya kesunyian dan menangis.” Dia sedar bahawa suaminya mengawal hidupnya, dan dia berasa kesal.

Memang benar, sesetengah pasangan yang tidak seiman bersifat baik hati. Namun, jika anda mengahwini seseorang yang tidak seiman, bagaimanakah hubungan anda dengan Yehuwa? Apakah perasaan anda selepas mengingkari nasihat Tuhan? Yang penting sekali, apakah perasaan Yehuwa terhadap tindakan anda?—Ams. 1:33.

Ramai saudara saudari mentaati nasihat Yehuwa dan mengahwini “pengikut Tuan” sahaja. Mereka berasa itulah keputusan yang terbaik dan mereka bertekad untuk menggembirakan hati Yehuwa. Contohnya, Michiko dari Jepun bertekad untuk mentaati Yehuwa walaupun saudara-maranya ingin dia mengahwini orang yang tidak menyembah Yehuwa. Selain itu, bukan senang bagi Michiko apabila melihat sahabat-sahabatnya menjumpai teman hidup dalam kalangan penyembah Yehuwa, tetapi dia sendiri pula masih bujang. Namun, dia berkata, “Saya selalu mengingatkan diri bahawa Yehuwa ialah ‘Tuhan yang gembira,’ dan kegembiraan tidak bergantung pada sama ada seseorang sudah berkahwin atau tidak. Saya juga percaya bahawa Dia akan memenuhi keinginan kita. Jika kita masih tidak dapat mencari pasangan hidup, adalah lebih baik kita membujang buat masa ini.” (1 Tim. 1:11) Akhirnya, Michiko mengahwini seorang saudara yang baik dan dia gembira kerana mendengarkan nasihat Yehuwa.

Sesetengah saudara juga sedang menunggu teman hidup yang sesuai. Contohnya, Bill dari Australia mengaku bahawa dia pernah tertarik kepada wanita yang bukan Saksi. Namun, dia tidak bergaul mesra dengan mereka kerana tidak ingin “memikul kuk bersama orang yang tidak percaya.” Bill juga pernah berminat terhadap beberapa saudari, tetapi dia hanya bertepuk sebelah tangan. Tiga puluh tahun berlalu sebelum Bill menjumpai seorang isteri. Isterinya mempunyai matlamat yang sama dengannya. Dia berkata, “Saya rasa diberkati kerana kami keluar menginjil bersama, belajar bersama, dan menyembah Tuhan bersama. Saya juga menikmati pergaulan bersama rakan-rakan isteri saya kerana mereka ialah penyembah Yehuwa. Kami berusaha menerapkan prinsip Bible dalam perkahwinan kami.”

SEMENTARA MENUNGGU

Bagaimanakah anda dapat bergantung pada Yehuwa sementara menunggu pasangan yang sesuai? Anda boleh memikirkan sebab-sebab anda belum berkahwin. Jika sebabnya adalah kerana anda ingin mentaati perintah Yehuwa, anda boleh pasti bahawa Yehuwa gembira dengan keputusan anda. (1 Sam. 15:22; Ams. 27:11) Berdoalah selalu dan beritahulah Yehuwa isi hati anda. (Mzm. 62:9) Jika anda berusaha untuk menolak godaan dan melawan keinginan yang salah, hubungan anda dengan Yehuwa akan dikuatkan setiap hari. Anda sangat berharga di mata Yehuwa. Anda boleh yakin bahawa Dia mengambil berat terhadap keinginan dan keperluan anda. Dia tidak menjanjikan seorang teman hidup untuk anda. Tetapi jika anda memerlukan pasangan hidup, Yehuwa tahu cara yang terbaik untuk memenuhi keperluan itu.—Mzm. 145:16; Mat. 6:32.

Ada masanya anda mungkin berasa seperti Daud yang berkata, ‘Jawablah aku segera, ya Yehuwa, aku putus harapan. Jangan sembunyikan diri-Mu daripadaku.’ (Mzm. 143:5-7, 10) Jangan putus asa. Bersabarlah dan nantikanlah bimbingan Yehuwa. Dengarlah cakap Yehuwa melalui pembacaan Bible. Renungkan dengan mendalam apa yang telah anda baca. Hal ini akan membantu anda untuk mengetahui apa yang dikehendaki oleh Yehuwa. Anda juga belajar bagaimana Yehuwa membantu umat-Nya pada masa dahulu. Dengan demikian, anda menjadi yakin untuk terus mentaati-Nya.

Orang Kristian yang bujang sangat berharga dalam sidang dan di mata Yehuwa!

Bagaimanakah anda dapat mengekalkan sukacita dan menggunakan masa dengan sebaik-baiknya semasa anda masih bujang? Anda boleh menguatkan hubungan anda dengan Yehuwa dan membina reputasi yang baik. Anda juga boleh berusaha untuk menjadi lebih murah hati, rajin, mudah didekati, dan setia kepada Yehuwa. Sifat-sifat ini penting untuk perkahwinan yang bahagia. (Kej. 24:16-21; Rut 1:16, 17; 2:6, 7, 11; Ams. 31:10-27) Utamakanlah Kerajaan Tuhan dengan bekerja keras dalam aktiviti penyebaran dan sidang. Hal ini akan melindungi anda daripada membuat keputusan yang tidak bijak. Bill berkata tentang masa bujangnya: “Masa berlalu dengan cepat sekali kerana saya menggunakan masa saya untuk berkhidmat sebagai perintis.”

Perintah Yehuwa untuk berkahwin dengan “pengikut Tuan” sahaja bukanlah nasihat yang ketinggalan zaman. Dengan mentaati perintah itu, kita menghormati Yehuwa dan meraih sukacita. Bible berkata: ‘Berbahagialah orang yang menghormati Yehuwa, yang suka mentaati perintah-Nya. Keluarganya akan menjadi kaya-raya, dan dia akan makmur selama-lamanya.’ (Mzm. 112:1, 3) Maka, bertekadlah untuk mentaati perintah Tuhan dan berkahwin dengan “pengikut Tuan” sahaja.

^ per. 7 Dalam rencana ini, kita membincangkan topik ini dari sudut pandangan saudari, namun prinsip di sini juga boleh diterapkan oleh saudara.

^ per. 13 Sesetengah nama telah diubah.