Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bagaimana Penatua Boleh Melatih Saudara Lain

Bagaimana Penatua Boleh Melatih Saudara Lain

“Berkenaan perkara-perkara yang telah kamu dengar daripadaku . . . amanahkanlah perkara-perkara itu kepada orang yang setia.”—2 TIM. 2:2.

1. (a) Apakah pandangan umat Tuhan terhadap latihan? Bagaimana pula dengan hari ini? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

UMAT Tuhan tahu bahawa latihan memang penting. Contohnya, untuk menyelamatkan Lot, Abram mengumpulkan lelaki yang terlatih untuk berperang. (Kej. 14:14-16) Pada zaman Raja Daud, “ahli muzik yang terlatih” menyanyikan lagu untuk memuji Yehuwa. (1 Taw. 25:7) Hari ini, kita perlu melawan Syaitan dan dunianya. (Ef. 6:11-13) Selain itu, kita berusaha untuk bercakap tentang Yehuwa kepada orang lain. (Ibr. 13:15, 16) Seperti umat Tuhan pada zaman lampau, untuk berjaya, kita memerlukan latihan. Di sidang, Yehuwa memberikan tanggungjawab kepada para penatua untuk melatih saudara lain. (2 Tim. 2:2) Mari kita lihat bagaimana sesetengah penatua melatih para saudara agar mereka boleh menjaga umat Yehuwa.

MENGUATKAN KASIH PELAJAR KEPADA YEHUWA

2. Apakah yang boleh dilakukan oleh penatua sebelum mengajarkan kemahiran yang baru kepada pelajarnya? Mengapa?

2 Penatua digambarkan sebagai pekebun. Sebelum menanam benih, pekebun harus menambahkan nutrien ke dalam tanah supaya tumbuhan itu boleh bertumbuh dengan sihat. Begitu juga, sebelum seorang penatua mengajarkan kemahiran yang baru, dia boleh mengongsi prinsip Bible dengan pelajarnya. Dengan demikian, pelajar itu akan bersedia untuk menerapkan apa yang dipelajari.—1 Tim. 4:6.

3. (a) Bagaimanakah kata-kata di Markus 12:29, 30 boleh digunakan semasa berbual dengan pelajar? (b) Apakah kesan daripada doa penatua ke atas pelajarnya?

3 Adalah penting untuk mengetahui bagaimana kebenaran mempengaruhi hati dan pemikiran pelajar. Bagaimanakah hal ini dapat dilakukan? Anda boleh menanya dia, “Bagaimanakah pembaktian kamu kepada Yehuwa mempengaruhi keputusan yang kamu buat?” Soalan ini boleh membuka peluang untuk berbual tentang cara menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati. (Baca Markus 12:29, 30.) Anda juga boleh berdoa bersamanya dan meminta supaya Yehuwa memberikan daya aktif kepadanya. Doa sebegini akan menggalakkannya!

4. (a) Berikan contoh kisah Bible yang dapat membantu seorang pelajar untuk membuat kemajuan. (b) Apakah matlamat seorang penatua semasa dia melatih saudara lain?

4 Semasa memulakan latihan, adalah baik untuk membincangkan kisah Bible yang menekankan sifat rela membantu, boleh dipercayai, dan rendah hati. (1 Raj. 19:19-21; Neh. 7:2; 13:13; Kis. 18:24-26) Sebagaimana nutrien menjadikan tanah lebih subur, sifat sebegini akan membantu pelajar membuat kemajuan yang lebih pesat. Jean-Claude, seorang penatua dari Perancis, berkata bahawa matlamatnya semasa melatih saudara lain adalah untuk membantu mereka membuat keputusan yang bijak berdasarkan prinsip Bible. Dia berkata, “Saya mencari peluang untuk membaca ayat Bible bersama pelajar supaya ayat itu ‘membuka matanya’ dan dia dapat ‘melihat ajaran yang mengagumkan’ dalam Alkitab.” (Mzm. 119:18) Apakah cara lain untuk menguatkan seorang pelajar?

CADANGKAN MATLAMAT DAN BERIKAN SEBAB

5. (a) Mengapakah penting untuk bercakap tentang matlamat rohani dengan seorang pelajar? (b) Mengapakah para penatua harus melatih saudara semasa mereka masih muda? (Lihat nota kaki.)

5 Tanyalah pelajar anda, “Apakah matlamat rohani kamu?” Jika dia belum mempunyai matlamat, anda boleh membantunya untuk menetapkan matlamat yang sesuai. Ceritakanlah dengan bersemangat matlamat yang pernah anda tetapkan dan kegembiraan yang diraih apabila mencapai matlamat itu. Kaedah ini mudah dan berkesan. Victor, seorang penatua di Afrika berkata, “Semasa saya muda, seorang penatua bertanya tentang matlamat saya. Soalan-soalannya membuat saya berfikir dengan lebih serius tentang khidmat saya kepada Yehuwa.” Sesetengah penatua yang berpengalaman juga berkata bahawa adalah penting untuk mula melatih saudara ketika mereka berumur sekitar belasan tahun. Anda boleh memberikan tugas yang sesuai dengan umur mereka. Hal ini akan membantu mereka apabila mereka dewasa nanti. Walaupun terdapat banyak perkara yang dapat mengalihkan perhatian mereka, mereka dapat tetap berfokus kepada hal-hal rohani.—Baca Mazmur 71:5, 17. *

Jelaskan mengapa sesuatu perlu dilakukan, dan berikan pujian kepada pelajar kerana dia berusaha melakukannya (Lihat perenggan 5-8)

6. Bagaimanakah Yesus melatih pengikutnya?

6 Untuk menggalakkan seorang pelajar, anda perlu memberitahu apa yang harus dilakukan dan menjelaskan mengapa penting untuk melakukan hal itu. Contohnya, Guru yang Agung, Yesus, menyuruh para rasul untuk menginjil. Dia juga menjelaskan mengapa mereka harus mentaatinya. Dia berkata, “Aku sudah diberikan kuasa ke atas segala sesuatu di syurga dan di bumi. Maka, pergilah kepada semua bangsa dan jadikanlah mereka pengikutku.” (Mat. 28:18, 19) Bagaimanakah anda dapat mengikut cara Yesus melatih pengikutnya?

7, 8. (a) Bagaimanakah penatua hari ini dapat meniru cara Yesus memberikan latihan? (b) Mengapakah kata-kata pujian sangat penting bagi seorang pelajar? (c) Apakah cadangan yang dapat membantu para penatua melatih saudara lain? (Lihat kotak “ Cara Melatih Saudara Lain.”)

7 Apabila anda meminta seorang saudara melakukan sesuatu, jelaskan kepadanya berdasarkan Alkitab mengapa tugas itu penting. Dengan demikian, anda mengajarnya untuk melakukan sesuatu berdasarkan prinsip Bible, bukan berdasarkan peraturan. Misalnya, jika anda meminta seorang saudara untuk memastikan laluan masuk ke Dewan Perjumpaan bersih dan selamat, anda boleh menunjukkan ayat di Titus 2:10. Jelaskan bagaimana tugasnya itu akan “menghiasi ajaran Tuhan.” Anda juga boleh menyuruh dia untuk berfikir tentang bagaimana tugasnya dapat membantu saudara saudari yang sudah berusia. Perbualan sebegini akan membantunya untuk mengutamakan kepentingan orang lain, bukannya peraturan. Apabila dia memahami bahawa tugasnya membawa manfaat kepada saudara saudari, dia akan berpuas hati dengan khidmatnya di sidang.

8 Pastikan anda memberikan pujian kepada pelajar kerana dia berusaha mengikut cadangan anda. Mengapakah hal ini penting? Sebagaimana air membantu tanaman untuk bertumbuh dengan sihat, kata-kata pujian membantu pelajar membuat kemajuan dengan pesat dalam khidmatnya kepada Yehuwa.—Bandingkan Matius 3:17.

CABARAN TAMBAHAN

9. (a) Mengapakah para penatua di negara yang maju berasa susah untuk melatih saudara lain? (b) Mengapakah khidmat Yehuwa tidak diutamakan oleh sesetengah pemuda?

9 Para penatua di negara yang maju mungkin berasa susah untuk menggalakkan saudara dalam lingkungan umur 20-an dan 30-an untuk memikul tanggungjawab di sidang. Penatua di lebih daripada 20 negara telah ditanya mengapa hal ini terjadi. Menurut mereka, semasa saudara-saudara ini masih muda, ibu bapa tidak menggalakkan mereka untuk menetapkan matlamat rohani. Sebenarnya, ada dalam kalangan mereka yang ingin melibatkan diri dalam aktiviti sidang, tetapi ibu bapa menggalakkan mereka untuk mengejar pendidikan tinggi dan kerjaya di dunia. Maka, khidmat Yehuwa tidak pernah diutamakan dalam kehidupan mereka.—Mat. 10:24.

10, 11. (a) Bagaimanakah penatua dapat beransur-ansur membetulkan pandangan saudara? (b) Apakah ayat Bible yang boleh digunakan untuk menggalakkan saudara-saudara, dan mengapa?

10 Jika seorang saudara tidak berminat untuk memikul tanggungjawab di sidang, penatua harus bersabar semasa membetulkan pandangannya. Walaupun memerlukan banyak usaha, hal ini boleh dilakukan. Seorang pekebun dapat perlahan-lahan membantu tumbuhan untuk tumbuh secara lurus. Begitu juga, anda dapat beransur-ansur membetulkan sikap saudara itu agar dia lebih rela menerima tanggungjawab di sidang. Apakah caranya?

11 Luangkanlah masa bersamanya dan jadilah kawannya. Beritahu dia bahawa sidang memerlukan bantuannya. Lama-kelamaan, apabila ada peluang, bincanglah beberapa ayat Bible dan galakkan dia untuk berfikir tentang pembaktiannya kepada Yehuwa. (Pkh. 5:3; Yes. 6:8; Mat. 6:24, 33; Luk. 9:57-62; 1 Kor. 15:58; 2 Kor. 5:15; 13:5) Cubalah capai hatinya dengan bertanya: “Apakah yang kamu janjikan kepada Yehuwa semasa kamu membaktikan diri kepada-Nya? Pada pendapat kamu, apakah perasaan Yehuwa semasa Dia melihat kamu dibaptis?” (Ams. 27:11) “Bagaimana pula dengan perasaan Syaitan?” (1 Ptr. 5:8) Ayat Alkitab berkuasa dan dapat menyentuh hati saudara itu.—Baca Ibrani 4:12. *

PELAJAR, TUNJUKKAN KESETIAAN

12, 13. (a) Apakah sikap baik yang ditunjukkan oleh Elisa sebagai seorang pelajar? (b) Bagaimanakah Yehuwa memberkati kesetiaan Elisa?

12 Saudara-saudara muda, sidang memerlukan bantuan anda! Apakah sikap yang anda perlukan untuk berjaya dalam khidmat anda kepada Yehuwa? Mari kita kaji kisah seorang pelajar pada zaman dahulu yang bernama Elisa.

13 Sekitar 3,000 tahun dahulu, nabi Elia meminta Elisa untuk menjadi pembantunya. Elisa setuju dan rela melakukan kerja yang dipandang remeh. (2 Raj. 3:11) Elia melatih Elisa selama kira-kira enam tahun. Kemudian, apabila tugas Elia hampir selesai di Israel, Elia memberitahu Elisa bahawa dia boleh berhenti menjadi pembantunya. Namun, sebanyak tiga kali Elisa berkata kepadanya: “Saya tidak akan meninggalkan tuan.” Dia bertekad untuk bersama gurunya selama yang mungkin. Yehuwa memberkati kesetiaan Elisa dengan membenarkannya menyaksikan Elia diangkat oleh angin puting beliung.—2 Raj. 2:1-12.

14. (a) Bagaimanakah pelajar hari ini dapat meniru teladan Elisa? (b) Mengapakah seorang pelajar harus setia menjalankan tugas?

14 Sebagai pelajar, bagaimanakah anda dapat mengikut teladan Elisa? Janganlah keberatan apabila menerima tugas, walaupun tugas itu nampaknya remeh. Ingatlah bahawa guru anda ialah kawan anda. Beritahu dia bahawa anda menghargai apa yang dilakukannya dan tunjukkan bahawa anda ingin terus belajar daripadanya. Yang penting sekali, anda harus setia menjalankan tugas. Mengapa? Apabila para penatua melihat bahawa anda boleh dipercayai dan setia menjalankan tugas, mereka akan yakin bahawa Yehuwa ingin anda memikul lebih banyak tanggungjawab.—Mzm. 101:6; baca 2 Timotius 2:2.

HORMATI PENATUA YANG BERPENGALAMAN

15, 16. (a) Bagaimanakah Elisa menunjukkan hormat kepada gurunya? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Mengapakah nabi-nabi lain juga yakin terhadap Elisa?

15 Kisah Elisa menunjukkan betapa pentingnya untuk menghormati para penatua. Selepas Elia dan Elisa berjumpa dengan sekumpulan nabi di Yerikho, mereka pergi ke Sungai Yordan. Di sana, “Elia menanggalkan jubahnya, menggulungnya, lalu memukul air sungai dengan gulungan itu. Kemudian air sungai itu terbelah dua.” Selepas menyeberangi sungai, mereka “bercakap-cakap sambil meneruskan perjalanan.” Elisa mendengar dengan teliti dan terus belajar daripada gurunya. Elisa tidak berfikir bahawa dia sudah mengetahui segala-galanya. Selepas Elia diangkat oleh angin puting beliung, Elisa kembali ke Sungai Yordan. Di sana, dia memukul sungai itu menggunakan jubah Elia dan berkata, ‘Di manakah Yehuwa, Tuhan Elia?’ Sekali lagi, air sungai terbelah dua.—2 Raj. 2:8-14.

16 Adakah anda sedar bahawa mukjizat pertama Elisa sama dengan mukjizat terakhir Elia? Apakah pengajarannya? Selepas diberikan tanggungjawab, Elisa tidak berasa bahawa dia sudah berkuasa untuk melakukan perkara yang berbeza daripada Elia. Sebaliknya, dia meniru cara Elia. Dengan ini dia menunjukkan hormat kepada gurunya. Nabi-nabi yang lain pun berasa yakin terhadapnya. (2 Raj. 2:15) Elisa berkhidmat lebih daripada 60 tahun sebagai seorang nabi. Yehuwa telah memberikannya kuasa untuk melakukan lebih banyak mukjizat daripada Elia. Jadi, apakah pengajarannya?

17. (a) Bagaimanakah pelajar hari ini dapat meniru sikap Elisa? (b) Jika seorang saudara di sidang terus belajar dengan setia, Yehuwa mungkin mendorongnya untuk melakukan apa?

17 Selepas menerima tanggungjawab di sidang, anda tidak perlu mengubah cara sesuatu dilakukan. Ingatlah, perubahan berlaku mengikut keperluan sidang atau kerana terdapat arahan daripada organisasi Tuhan. Perubahan tidak harus dilakukan kerana keinginan sendiri. Elisa telah mengikut cara yang digunakan oleh Elia. Hal ini menunjukkan bahawa dia menghormati gurunya, dan para nabi yang lain pun mempercayainya. Begitu juga, anda boleh menghormati penatua yang berpengalaman dengan menggunakan kaedah mereka yang berdasarkan Bible. Dengan ini, saudara saudari di sidang akan mempercayai anda. (Baca 1 Korintus 4:17.) Apabila pengalaman anda bertambah, anda akan membuat perubahan di sidang, selaras dengan arahan daripada organisasi Yehuwa. Sepertimana Yehuwa membantu Elisa, Yehuwa mungkin mendorong anda untuk melakukan kerja yang lebih hebat daripada guru anda.—Yoh. 14:12.

18. Mengapakah penting untuk melatih saudara di sidang?

18 Semoga cadangan dalam rencana ini dan rencana sebelumnya mendorong para penatua untuk meluangkan masa yang secukupnya untuk melatih saudara lain. Semoga lebih banyak saudara ingin dilatih supaya mereka dapat menjaga umat Yehuwa dengan baik. Hal ini akan menguatkan sidang di serata dunia dan membantu kita untuk tetap setia kepada Yehuwa tidak kira apa jua yang berlaku.

^ per. 5 Jika seorang saudara muda menunjukkan bahawa dia matang, rendah hati, dan mempunyai sifat-sifat yang melayakkannya untuk berkhidmat di sidang, para penatua boleh mencadangkan supaya dia dilantik sebagai pembantu sidang walaupun dia belum mencapai umur 20 tahun.—1 Tim. 3:8-10, 12; lihat The Watchtower terbitan 1 Julai 1989, muka surat 29.