Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Inilah Tempat Ibadat Kita

Inilah Tempat Ibadat Kita

“Semangatku untuk rumah-Mu akan berkobar-kobar seperti api.”—YOH. 2:17.

LAGU: 127, 118

1, 2. (a) Sejak dahulu, di manakah umat Yehuwa menyembah-Nya? (b) Apakah perasaan Yesus terhadap Rumah Yehuwa di Yerusalem? (c) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

SEJAK dahulu, umat Tuhan mempunyai tempat ibadat di mana mereka menyembah Tuhan. Habel mungkin telah membina sebuah mazbah untuk mempersembahkan korban kepada Yehuwa. (Kej. 4:3, 4) Nuh, Abraham, Ishak, Yakub, dan Musa juga telah membina mazbah. (Kej. 8:20; 12:7; 26:25; 35:1; Kel. 17:15) Kemudian, Yehuwa memberitahu orang Israel untuk membina khemah suci. (Kel. 25:8) Selepas itu, Dia memberikan arahan untuk membina Rumah Tuhan. (1 Raj. 8:27, 29) Selepas kembali dari Babilon, orang Yahudi berkumpul secara tetap di rumah ibadat. (Mrk. 6:2; Yoh. 18:20; Kis. 15:21) Orang Kristian abad pertama berkumpul di rumah ahli sidang. (Kis. 12:12; 1 Kor. 16:19) Hari ini, umat Yehuwa di serata dunia berkumpul di Dewan Perjumpaan. Di sana mereka belajar tentang Yehuwa dan menyembah-Nya.

2 Yesus sangat menghargai Rumah Tuhan di Yerusalem. Kasih Yesus terhadap Rumah Tuhan mengingatkan pengikutnya tentang kata-kata pemazmur: “Cintaku untuk Rumah-Mu berkobar-kobar seperti api.” (Mzm. 69:10; Yoh. 2:17) Dewan Perjumpaan tidak sama dengan ‘Rumah Yehuwa’ di Yerusalem kuno. (2 Taw. 5:11-14; 33:4) Namun, kita harus menghormati tempat ibadat kita. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan prinsip Bible tentang cara kita boleh menunjukkan hormat semasa di Dewan Perjumpaan serta cara untuk menjaga dan membiayai Dewan Perjumpaan. *

MENGHORMATI PERJUMPAAN KITA

3-5. Apakah itu Dewan Perjumpaan? Apakah perasaan anda terhadap perjumpaan kita?

3 Dewan Perjumpaan ialah tempat kita berkumpul untuk menyembah Yehuwa. Perjumpaan ialah kurniaan daripada Tuhan yang membantu untuk menguatkan hubungan kita dengan Yehuwa. Semasa perjumpaan, kita menerima galakan dan arahan daripada organisasi Yehuwa. Kita memang berbesar hati kerana dijemput oleh Yehuwa dan Anak-Nya untuk makan di “meja Yehuwa” setiap minggu. (1 Kor. 10:21) Janganlah lupa betapa istimewanya jemputan ini.

4 Yehuwa ingin kita menghadiri setiap perjumpaan supaya kita dapat menyembah-Nya dan menggalakkan satu sama lain. (Baca Ibrani 10:24, 25.) Oleh sebab kita ingin menghormati Yehuwa, kita tidak akan mengabaikan perjumpaan kecuali atas sebab yang munasabah. Kita menunjukkan penghargaan dengan membuat persiapan rapi serta mengambil bahagian semasa perjumpaan.—Mzm. 22:23.

5 Kelakuan kita dan cara kita menjaga Dewan Perjumpaan menunjukkan sama ada kita menghormati Yehuwa atau tidak. Kelakuan kita harus memuliakan nama baik Yehuwa, yang biasanya tertera pada papan tanda Dewan Perjumpaan kita.—Bandingkan 1 Raja-Raja 8:17.

6. Apakah yang dikatakan oleh sesetengah orang yang pernah datang ke Dewan Perjumpaan? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

6 Orang lain dapat memerhatikan cara kita menunjukkan hormat semasa di Dewan Perjumpaan. Seorang lelaki di Turki berkata, “Saya kagum kerana Dewan Perjumpaan bersih dan teratur. Orang di sana berpakaian kemas, selalu senyum, dan memberi salam yang mesra. Saya amat kagum.” Lelaki ini mula menghadiri semua perjumpaan dan tidak lama kemudian dia dibaptis. Di sebuah kota di Indonesia, saudara-saudara telah menjemput jiran-jiran, datuk bandar, dan pegawai kerajaan yang lain untuk melihat Dewan Perjumpaan mereka yang baru. Datuk bandar sangat takjub dengan mutu, reka bentuk, dan taman yang indah di Dewan Perjumpaan itu. Dia berkata, “Kebersihan dewan ini mencerminkan iman anda yang kuat.”

Kelakuan kita boleh memburukkan nama Yehuwa (Lihat perenggan 7, 8)

7, 8. Bagaimanakah kita menunjukkan hormat kepada Yehuwa semasa berada di Dewan Perjumpaan?

7 Kita dijemput ke Dewan Perjumpaan oleh Yehuwa dan Dia mengambil berat tentang cara pemakaian serta kelakuan kita. Maka kita tidak ingin bersikap keterlaluan. Kita tidak mahu terlampau tegas atau formal di Dewan Perjumpaan. Pada masa yang sama, kita tidak mahu terlalu santai. Yehuwa memang mahu semua orang berasa selesa di Dewan Perjumpaan. Walaupun demikian, kita tidak ingin menunjukkan sikap tidak hormat semasa perjumpaan. Itulah sebabnya kita menghindari pakaian yang tidak kemas atau yang terlalu santai. Kita juga tidak menghantar SMS, bercakap, atau makan minum semasa perjumpaan dijalankan. Ibu bapa harus mendidik anak-anak bahawa Dewan Perjumpaan bukanlah tempat untuk berlari atau bermain.—Ams. 29:15.

8 Apabila Yesus melihat orang menjual barang di Rumah Tuhan, dia menjadi marah dan mengusir semua orang itu. (Yoh. 2:13-17) Begitu juga, Dewan Perjumpaan ialah tempat untuk beribadat dan belajar tentang Yehuwa. Hal-hal perniagaan tidak sepatutnya dibincangkan atau dilakukan di Dewan Perjumpaan.—Bandingkan Nehemia 13:7, 8.

MEMBANTU PEMBINAAN DEWAN PERJUMPAAN

9, 10. (a) Bagaimanakah umat Yehuwa membina Dewan Perjumpaan, dan apakah hasilnya? (b) Bagaimanakah organisasi Yehuwa membantu sidang yang tidak dapat menampung kos pembinaan Dewan Perjumpaan?

9 Umat Yehuwa di serata dunia bekerja keras untuk membina Dewan Perjumpaan. Para sukarela akan menghasilkan rekaan, membina, dan mengubahsuai Dewan Perjumpaan. Hasilnya, selama 15 tahun ini, 28,000 Dewan Perjumpaan yang indah telah dibina di serata dunia. Secara purata, kira-kira lima Dewan Perjumpaan dibina setiap hari.

10 Organisasi Yehuwa menggunakan wang sumbangan dan menugaskan para sukarela untuk membina Dewan Perjumpaan di tempat yang memerlukan. Kita mengikut prinsip Bible, iaitu mereka yang berkemampuan boleh membantu mereka yang berkekurangan. (Baca 2 Korintus 8:13-15.) Apakah hasilnya? Banyak Dewan Perjumpaan telah dibina bagi sidang yang tidak dapat menampung kos pembinaan.

11. Apakah komen saudara saudari mengenai Dewan Perjumpaan baru mereka, dan apakah perasaan anda mengenai komen mereka?

11 Saudara saudari dari sebuah sidang di Costa Rica menulis: “Apabila kami berdiri di depan Dewan Perjumpaan, kami berasa seolah-olah sedang bermimpi! Kami tidak dapat mempercayainya. Dewan yang indah ini siap dibina dalam masa lapan hari sahaja! Hal ini menjadi kenyataan kerana berkat daripada Yehuwa, aturan yang dibuat oleh organisasi-Nya, dan sokongan daripada saudara saudari. Tempat ibadat ini memang suatu kurniaan, bagaikan permata daripada Yehuwa. Kami berasa sangat gembira.” Kita tentu gembira apabila mendengar luahan syukur mereka kepada Yehuwa atas apa yang diterima. Kita juga bersukacita kerana saudara saudari di serata dunia boleh mempunyai Dewan Perjumpaan sendiri. Jelaslah, Yehuwa sedang memberkati kerja pembinaan ini. Sebaik sahaja Dewan Perjumpaan dibina, lebih ramai orang menghadiri perjumpaan untuk belajar tentang Yehuwa.—Mzm. 127:1.

12. Bagaimanakah anda dapat menyokong pembinaan Dewan Perjumpaan?

12 Bagaimanakah kita dapat menyokong pembinaan Dewan Perjumpaan? Anda boleh menjadi pekerja sukarela semasa projek pembinaan dijalankan. Kita semua juga boleh menyokong pembinaan Dewan Perjumpaan dari segi kewangan. Apabila kita berusaha untuk menyokong kerja ini, kita akan berasa sukacita. Yang paling penting, kita dapat memuji Yehuwa. Marilah kita meneladani umat Tuhan pada zaman Bible yang bersemangat menyokong tempat ibadat mereka.—Kel. 25:2; 2 Kor. 9:7.

PASTIKAN DEWAN PERJUMPAAN KITA BERSIH

13, 14. Apakah prinsip Bible yang menunjukkan bahawa kita harus memastikan Dewan Perjumpaan kita bersih dan kemas?

13 Yehuwa ialah Tuhan yang bersih dan suci. Dia juga Tuhan yang teratur. Itulah sebabnya kita harus memastikan Dewan Perjumpaan kita bersih dan kemas. (Baca 1 Korintus 14:33, 40.) Bible juga mengaitkan kesucian dan kebersihan rohani dengan kebersihan jasmani. (Why. 19:8) Itulah sebabnya kita menjaga kebersihan diri.

14 Jika kita memastikan Dewan Perjumpaan bersih dan kemas, kita berasa bangga untuk menjemput orang ke perjumpaan. Mereka akan melihat bahawa kita menerapkan apa yang kita ajarkan. Mereka juga dapat melihat bahawa kita menyembah Tuhan yang suci. Dialah yang akan menjadikan bumi ini sebuah firdaus yang indah dan bersih.—Yes. 6:1-3; Why. 11:18.

15, 16. (a) Mengapakah tidak mudah untuk memastikan Dewan Perjumpaan sentiasa bersih? Mengapakah kita harus memastikan Dewan Perjumpaan sentiasa bersih? (b) Bagaimanakah pembersihan Dewan Perjumpaan diaturkan, dan apakah penghormatan yang kita miliki?

15 Sesetengah orang mungkin mempunyai pendapat yang berbeza tentang pembersihan. Mengapa? Hal ini mungkin kerana cara mereka dibesarkan. Selain itu, ada yang tinggal di tempat yang berhabuk atau berlumpur. Yang lain pula mungkin tidak mempunyai sumber air atau bahan pencuci yang mencukupi. Tetapi, tidak kira di mana kita berada atau apa pendapat orang tentang kebersihan, kita harus memastikan Dewan Perjumpaan kita bersih dan kemas. Dewan Perjumpaan ialah tempat untuk menyembah Yehuwa, Tuhan yang suci.—Ul. 23:14.

16 Jika kita ingin Dewan Perjumpaan kita sentiasa bersih, kita harus membuat perancangan. Para penatua boleh menyediakan jadual pembersihan untuk sidang dan memastikan bahawa bahan dan alat-alat pencuci mencukupi. Para penatua juga boleh memastikan kerja pembersihan dilaksanakan dengan baik dan teratur. Sesetengah bahagian di Dewan Perjumpaan mungkin perlu dibersihkan selepas setiap perjumpaan. Bahagian yang lain pula mungkin tidak perlu dibersihkan dengan kerap. Kita berbesar hati kerana dapat bekerjasama bersama ahli sidang untuk membersihkan Dewan Perjumpaan.

MENJAGA DEWAN PERJUMPAAN KITA

17, 18. (a) Apakah yang dapat dipelajari daripada cara umat Yehuwa menjaga Rumah Tuhan pada masa lampau? (b) Mengapakah kita harus menjaga Dewan Perjumpaan?

17 Kita juga memastikan Dewan Perjumpaan berada dalam keadaan baik dengan membuat kerja penyelenggaraan. Hamba Yehuwa pada masa kuno juga berbuat demikian. Contohnya, semasa pemerintahan Raja Yoas di Yehuda, rakyat telah menyumbangkan wang bagi Rumah Tuhan. Raja Yoas menyuruh para imam untuk menggunakan wang itu untuk ‘memperbaiki Rumah Yehuwa.’ (2 Raj. 12:4, 5) Lebih daripada 200 tahun kemudian, Raja Yosia juga menggunakan wang derma untuk tujuan yang sama.—Baca 2 Tawarikh 34:9-11.

18 Sesetengah Jawatankuasa Cawangan sedar bahawa saudara saudari di negara mereka tidak biasa menjaga bangunan atau peralatan di Dewan Perjumpaan. Mereka mungkin tidak tahu caranya untuk membuat kerja penyelenggaraan ataupun mereka tidak mempunyai wang yang secukupnya. Tetapi, jika kita tidak membaiki Dewan Perjumpaan apabila perlu, keadaan tempat itu akan bertambah buruk. Hal ini tidak akan memuliakan nama Tuhan. Sebaliknya jika kita berusaha sedaya upaya untuk menjaga Dewan Perjumpaan, kita akan memuji Yehuwa dan tidak membazirkan wang yang didermakan oleh saudara saudari.

Kerja pembersihan dan penyelenggaraan Dewan Perjumpaan harus dilaksanakan (Lihat perenggan 16, 18)

19. Apakah tekad kita mengenai tempat ibadat kita?

19 Dewan Perjumpaan ditahbiskan kepada Yehuwa. Maka dewan itu tidak dimiliki oleh sesiapa di sidang. Seperti yang dibincangkan dalam rencana ini, prinsip-prinsip Bible dapat membantu kita mempunyai sikap yang betul terhadap tempat ibadat kita. Kita menghormati Yehuwa, dan rasa hormat ini akan mempengaruhi sikap kita terhadap perjumpaan dan Dewan Perjumpaan. Kita juga gembira mendermakan wang untuk kerja pembinaan. Selain itu, kita berusaha untuk menjaga dan membersihkan Dewan Perjumpaan. Seperti Yesus, kita mempunyai semangat yang berkobar-kobar terhadap tempat ibadat kita.—Yoh. 2:17.

^ per. 2 Prinsip yang dibincangkan dalam rencana ini juga boleh digunakan untuk Dewan Perhimpunan dan tempat lain yang digunakan untuk menyembah Yehuwa.