Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Merenungkan Kasih Setia Yehuwa

Merenungkan Kasih Setia Yehuwa

“Aku akan merenungkan segala perbuatan-Mu.”—MZM. 77:13.

LAGU: 18, 61

1, 2. (a) Mengapakah anda yakin bahawa Yehuwa mengasihi umat-Nya? (b) Manusia diciptakan dengan keperluan apa?

MENGAPAKAH anda yakin bahawa Yehuwa mengasihi umat-Nya? Sebelum menjawab soalan itu, pertimbangkan contoh-contoh ini: Selama beberapa tahun, saudara saudari telah menasihati Taylene agar bersikap seimbang dan hanya melakukan apa yang mampu dilakukannya. Dia berkata, “Jika Yehuwa tidak mengasihi saya, tentu Dia tidak selalu menasihati saya.” Brigitte pula perlu membesarkan dua orang anak selepas suaminya meninggal. Dia berkata, “Membesarkan anak dalam dunia Syaitan sangat mencabar, terutamanya bagi ibu bapa tunggal. Namun, saya yakin bahawa Yehuwa mengasihi saya kerana Dia telah membantu saya mengharungi segala pahit getir hidup saya. Dia tidak pernah membiarkan saya menghadapi cabaran yang tidak dapat saya tanggung.” (1 Kor. 10:13) Sandra menghidap penyakit yang tidak dapat dirawat. Semasa konvensyen, seorang saudari mendekatinya dan mengambil berat terhadapnya. Suami Sandra berkata, “Walaupun kami tidak mengenalinya, keprihatinannya membuat kami senang hati. Kasih yang ditunjukkan saudara saudari, walaupun kecil, mencerminkan betapa dalamnya kasih Yehuwa kepada kita.”

2 Kita diciptakan dengan keupayaan untuk menunjukkan kasih dan kita sendiri memerlukan kasih daripada orang lain. Namun, kita mudah berasa kecewa kerana penyakit, masalah kewangan, atau kerana orang tidak menyambut berita baik yang kita sampaikan. Jika kita berasa bahawa Yehuwa tidak lagi mengasihi kita, kita harus ingat bahawa kita bernilai bagi-Nya, dan Dia berada di samping kita untuk menolong kita. Dia tidak akan melupakan kita jika kita setia kepada-Nya.—Yes. 41:13; 49:15.

3. Apakah yang dapat menguatkan keyakinan kita bahawa Yehuwa mengasihi kita dengan setia?

3 Para Saksi yang disebutkan tadi yakin bahawa Tuhan menyertai mereka ketika masa yang susah. Kita juga boleh mempunyai keyakinan yang sama. (Mzm. 118:6, 7) Dalam rencana ini, kita akan membincangkan empat pemberian yang membuktikan kasih Yehuwa, iaitu (1) ciptaan-Nya, (2) Firman-Nya, (3) doa, dan (4) korban tebusan. Dengan merenungkan perkara baik yang dilakukan Yehuwa, kita akan lebih menghargai kasih-Nya yang setia.—Baca Mazmur 77:12, 13.

MERENUNGKAN CIPTAAN YEHUWA

4. Apakah yang dapat kita pelajari daripada ciptaan Yehuwa?

4 Ciptaan Tuhan menunjukkan betapa besar kasih-Nya terhadap kita. (Rm. 1:20) Contohnya, Yehuwa menciptakan bumi bukan sekadar untuk menampung kehidupan. Dia ingin kita hidup dengan gembira. Yehuwa telah memberikan pelbagai jenis makanan supaya kita boleh menikmatinya! (Pkh. 9:7) Seorang saudari di Kanada yang bernama Catherine sangat suka musim bunga. Dia berkata, “Ciptaan Tuhan memang mengagumkan. Bunga-bunga mula muncul dari tanah dan burung-burung kembali selepas musim sejuk. Burung madu pula datang makan di luar jendela dapur saya. Tentu Yehuwa sangat mengasihi kita.” Bapa Yehuwa mengasihi ciptaan-Nya, dan Dia ingin kita menikmatinya.—Kis. 14:16, 17.

5. Bagaimanakah kasih Tuhan dapat dilihat melalui cara Dia menciptakan manusia?

5 Yehuwa menciptakan kita dengan keupayaan untuk bekerja dan menikmati hasil kerja. (Pkh. 2:24) Yehuwa telah menugaskan manusia untuk memenuhi dan memelihara bumi, serta menjaga ikan, burung, dan segala hidupan yang lain. (Kej. 1:26-28) Dia juga menciptakan kita dengan sifat-sifat yang baik supaya kita dapat meniru-Nya!—Ef. 5:1.

MENGHARGAI FIRMAN TUHAN

6. Mengapakah kita harus menghargai Firman Tuhan?

6 Yehuwa memberi kita Firman-Nya kerana Dia sangat menyayangi kita. Melalui Firman Tuhan, kita belajar tentang Tuhan dan perasaan-Nya terhadap manusia. Sebagai contoh, Bible memberitahu kita perasaan Yehuwa terhadap bangsa Israel yang selalu mengingkari-Nya. Mazmur 78:38 berkata, ‘Tuhan mengasihani umat-Nya. Dia mengampunkan dosa mereka dan tidak membinasakan mereka. Kerap kali Dia menahan kemarahan-Nya, dan tidak melepaskan kemurkaan-Nya.’ Merenungkan ayat ini boleh membantu kita melihat bagaimana Yehuwa mengasihi dan mengambil berat tentang kita, walaupun kita tidak sempurna. Kita memang boleh yakin bahawa Yehuwa peduli tentang kita.—Baca 1 Petrus 5:6, 7.

7. Mengapakah Firman Tuhan sangat berharga bagi kita?

7 Bible sangat berharga bagi kita. Mengapa? Kerana Yehuwa berkomunikasi dengan kita melalui Firman-Nya. Apabila ibu bapa dan anak-anak saling berkomunikasi, kasih dan kepercayaan antara mereka akan dikuatkan. Yehuwa ialah Bapa yang pengasih. Walaupun kita tidak dapat melihat-Nya atau mendengar suara-Nya, kita seolah-olah dapat mendengar-Nya melalui lembaran Bible. Maka, kita harus membaca Firman-Nya. (Yes. 30:20, 21) Yehuwa ingin membimbing dan melindungi kita. Apabila kita membaca Firman Tuhan, kita akan lebih mengenali dan mempercayai Yehuwa.—Baca Mazmur 19:8-12; Amsal 1:33.

Walaupun nabi Yehu memberikan teguran kepada Raja Yosafat, Yehuwa melihat “perbuatan baik” Yosafat (Lihat perenggan 8, 9)

8, 9. Apakah yang Yehuwa mahu kita tahu? Berikan contoh daripada Bible.

8 Yehuwa mengasihi kita, dan Dia ingin kita mengetahui hal ini. Dia tidak bertumpu kepada ketidaksempurnaan kita, tetapi melihat perkara yang baik dalam diri kita. (2 Taw. 16:9) Mari kita lihat apa pandangan Yehuwa terhadap Yosafat, Raja Yudea. Raja Yosafat membuat keputusan yang tidak bijak dengan menyertai Raja Ahab dari Israel untuk berperang dengan bangsa Siria di Ramot. Empat ratus nabi palsu memberitahu Ahab bahawa dia akan menang dalam pertempuran itu. Namun menerusi nabi Mikha, Yehuwa memberitahu Yosafat dan Ahab bahawa jika mereka berperang, mereka akan tewas. Itulah yang terjadi. Ahab mati dalam pertempuran itu dan Yosafat nyaris-nyaris terbunuh. Selepas pertempuran itu, Yehuwa menggunakan nabi Yehu untuk memberikan teguran kepada Yosafat atas kesalahannya. Namun, Yehu juga memberitahunya, “Walaupun demikian, ada juga perbuatan baik yang tuanku lakukan.”—2 Taw. 18:4, 5, 18-22, 33, 34; 19:1-3.

9 Bertahun-tahun sebelum itu, Yosafat menyuruh para pegawai, orang Lewi, dan imam untuk melawat kota-kota di Yehuda untuk mengajar orang tentang Hukum Yehuwa. Kerja mereka sangat berkesan sehingga orang dari negara lain tahu akan Yehuwa. (2 Taw. 17:3-10) Walaupun Yosafat membuat keputusan yang tidak bijak pada kemudian hari, Yehuwa tidak melupakan perkara baik yang telah dilakukannya sebelum itu. Contoh ini melegakan kita kerana kadang-kadang kita juga melakukan kesilapan. Namun, jika kita melakukan yang terbaik untuk menyembah Yehuwa, Dia akan terus mengasihi kita dan tidak melupakan perkara baik yang telah kita lakukan.

MENGHARGAI PELUANG UNTUK BERDOA

10, 11. (a) Mengapakah doa merupakan pemberian yang istimewa daripada Yehuwa? (b) Bagaimanakah Tuhan menjawab doa kita? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

10 Seorang bapa yang pengasih akan meluangkan masa untuk mendengarkan anaknya apabila mereka ingin bercakap dengannya. Dia ingin tahu tentang perasaan mereka kerana dia mengambil berat tentang mereka. Begitu juga dengan Bapa kita yang pengasih, Yehuwa. Dia mendengar doa yang kita ucapkan. Doa sememangnya suatu pemberian yang istimewa!

11 Kita boleh berdoa kepada Yehuwa pada bila-bila masa. Dia ialah Sahabat kita, dan Dia sentiasa bersedia untuk mendengarkan doa kita. Taylene yang disebutkan tadi berkata, “Kamu boleh mengatakan apa sahaja kepada-Nya.” Apabila kita meluahkan isi hati kita kepada-Nya, Dia mungkin menjawab doa kita melalui ayat Bible, bahan bacaan kita, atau kata-kata galakan daripada saudara saudari. Yehuwa mendengar permohonan kita dan Dia memahami perasaan kita walaupun orang lain tidak memahami kita. Jawapan Yehuwa kepada doa kita membuktikan bahawa Dia mengasihi kita dengan setia.

12. Mengapakah bermanfaat untuk membincangkan doa-doa yang tercatat dalam Bible? Berikan contoh.

12 Kita boleh mendapat pengajaran yang penting daripada doa yang tercatat dalam Bible. Kadangkala, kita boleh membincangkan doa-doa ini semasa penyembahan keluarga. Dengan merenungkan doa umat Tuhan pada zaman lampau, kita dapat meningkatkan mutu doa kita. Contohnya, kita boleh membincangkan doa Yunus ketika dia berada dalam perut seekor ikan besar. (Yun. 1:17–2:10) Kita juga boleh mengkaji doa Salomo ketika Rumah Tuhan ditahbiskan. (1 Raj. 8:22-53) Selain itu, kita boleh merenungkan doa yang diajarkan Yesus. (Mat. 6:9-13) Maka, selalulah nyatakan “permohonan kamu kepada Tuhan.” Dengan demikian, “kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran kamu.”—Flp. 4:6, 7.

BERSYUKUR ATAS KORBAN TEBUSAN

13. Apakah peluang yang terbuka kepada manusia melalui korban tebusan Yesus?

13 Yehuwa memberi kita korban tebusan Yesus supaya “kita memperoleh kehidupan.” (1 Yoh. 4:9) Pemberian yang unggul ini menyingkapkan kasih Yehuwa. Paulus berkata, “Kristus telah mati untuk manusia yang berdosa, pada masa yang ditetapkan oleh Tuhan. Jarang ada orang yang sanggup mati untuk seseorang yang melakukan apa yang benar. Tetapi ada orang yang mungkin rela mati untuk seseorang yang baik. Namun, beginilah caranya Tuhan menunjukkan kasih-Nya kepada kita: Kristus telah mati untuk kita semasa kita masih berdosa.” (Rm. 5:6-8) Korban tebusan Yesus membuka peluang kepada kita untuk mempunyai hubungan yang rapat dengan Tuhan Yehuwa yang pengasih.

14, 15. Korban tebusan memberikan harapan apa kepada (a) orang Kristian terurap? (b) mereka yang berpeluang untuk hidup di bumi?

14 Korban tebusan juga membuka peluang bagi sekumpulan kecil orang Kristian untuk merasai kasih Yehuwa dengan cara yang istimewa. (Yoh. 1:12, 13; 3:5-7) Tuhan telah mengurapi mereka dengan daya aktif untuk menjadi “anak-anak Tuhan.” (Rm. 8:15, 16) Paulus mengatakan bahawa kaum terurap telah diberikan ‘tempat duduk di syurga bersama Yesus Kristus.’ (Ef. 2:6) Yehuwa memberi mereka harapan untuk hidup selama-lamanya di syurga.—Ef. 1:13, 14; Kol. 1:5.

15 Mereka yang tidak terurap boleh menjadi sahabat Tuhan jika mereka beriman kepada tebusan Yesus. Mereka juga berpeluang untuk menjadi anak Tuhan dan menikmati kehidupan kekal di bumi firdaus. Korban tebusan membuktikan kasih Yehuwa terhadap segenap umat manusia. (Yoh. 3:16) Kita berasa teruja kerana kita berpeluang untuk menikmati kehidupan yang terbaik di dunia baru jika kita tetap setia kepada Tuhan. Maka, kita ingin menunjukkan rasa syukur atas korban tebusan yang merupakan bukti kukuh bahawa Yehuwa mengasihi kita dengan setia.

TUNJUKKANLAH KASIH ANDA KEPADA YEHUWA

16. Apakah manfaatnya jika kita merenungkan kasih Yehuwa?

16 Adalah mustahil bagi kita untuk menghitung cara-cara Yehuwa menunjukkan kasih-Nya kepada kita. Raja Daud bernyanyi, ‘Ya Tuhan, betapa berharganya fikiran-Mu bagiku, dan betapa banyak jumlahnya. Jika dihitung, bilangannya lebih banyak daripada butir pasir.’ (Mzm. 139:17, 18, nota kaki) Merenungkan cara Yehuwa menunjukkan kasih-Nya kepada kita mendorong kita untuk mengasihi-Nya dan memberikan yang terbaik kepada-Nya.

17, 18. Apakah beberapa cara kita boleh menunjukkan kasih kepada Tuhan?

17 Ada banyak cara kita boleh menunjukkan kasih kepada Yehuwa. Contohnya, kita boleh memberitahu orang lain dengan bersemangat mengenai berita baik Kerajaan Tuhan. (Mat. 24:14; 28:19, 20) Kita juga boleh menunjukkan kasih kepada Tuhan dengan tabah menghadapi segala cabaran yang menguji iman kita. (Baca Mazmur 84:12; Yakobus 1:2-5.) Cabaran yang kita hadapi mungkin teruk. Namun, kita boleh pasti bahawa Yehuwa menyedari kesengsaraan kita dan akan membantu kita. Hal ini kerana kita sangat berharga bagi-Nya.—Mzm. 56:9.

18 Kasih kita kepada Yehuwa mendorong kita untuk merenungkan segala ciptaan-Nya yang menakjubkan. Kita menunjukkan kasih kepada Yehuwa dan Firman-Nya dengan tekun mempelajari Bible. Kita berdoa kepada Yehuwa senantiasa kerana kita mengasihi-Nya dan mahu menguatkan hubungan kita dengan-Nya. Selain itu, apabila kita merenungkan pemberian korban tebusan, kasih kita kepada-Nya akan bertambah kuat. (1 Yoh. 2:1, 2) Ini hanyalah beberapa cara kita menunjukkan bahawa kita menghargai kasih Yehuwa yang setia.