Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

“Berpegang Teguh pada Iman”

“Berpegang Teguh pada Iman”

“Berpegang teguh pada iman, . . . dan menjadi gagah.”—1 KOR. 16:13.

LAGU: 60, 64

1. (a) Apakah peristiwa yang berlaku semasa ribut di Tasik Galilea? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Mengapakah Petrus mula tenggelam?

PADA suatu malam, Petrus dan pengikut Yesus yang lain sedang merentasi Tasik Galilea apabila ribut melanda. Tiba-tiba, mereka nampak Yesus berjalan di atas air. Petrus memanggil Yesus lalu meminta untuk berjalan di atas air. “Marilah,” jawab Yesus, lalu Petrus keluar dari perahu dan mula berjalan ke arah Yesus. Tetapi tidak lama kemudian, Petrus mula tenggelam. Mengapa? Kerana dia mengalihkan perhatiannya ke arah ribut dan ombak lalu menjadi takut. Petrus menyeru meminta tolong dan Yesus menghulurkan tangan untuk memegangnya. Yesus berkata, “Alangkah kecilnya imanmu! Mengapa kamu ragu-ragu?”—Mat. 14:24-32.

2. Apakah yang akan kita bincangkan?

2 Marilah kita lihat tiga pengajaran daripada iman Petrus: (1) cara Petrus menunjukkan iman terhadap Yehuwa, (2) mengapa Petrus kehilangan imannya, dan (3) apa yang membantu Petrus untuk mengukuhkan imannya sekali lagi. Semua ini akan membantu kita untuk “berpegang teguh pada iman” kita.—1 Kor. 16:13.

BERIMAN TERHADAP BANTUAN TUHAN

3. Mengapakah Petrus keluar dari perahu dan berjalan di atas air? Bagaimana hal ini serupa dengan situasi kita?

3 Petrus mempunyai iman yang kuat. Apabila Yesus menjemputnya untuk berjalan di atas air, Petrus pun keluar dari perahu dan mula berjalan. Dia percaya bahawa kuasa Tuhan akan membolehkannya untuk berjalan di atas air seperti Yesus. Begitu juga, apabila Yesus menjemput kita untuk mengikutnya, kita membaktikan diri kepada Yehuwa lalu dibaptis. Mengapa? Kerana kita beriman kepada Yehuwa dan Yesus serta percaya bahawa mereka akan membantu kita.—Yoh. 14:1; baca 1 Petrus 2:21.

4, 5. Mengapakah iman sesuatu yang sangat bernilai?

4 Iman merupakan sesuatu yang sangat bernilai. Iman membolehkan Petrus berjalan di atas air, sesuatu yang mustahil dilakukan manusia. Iman juga dapat membantu kita melakukan perkara yang nampaknya mustahil. (Mat. 21:21, 22) Sesetengah Saksi telah membuat perubahan yang besar sehingga orang yang mengenali mereka berasa hairan. Kita melakukan perubahan ini kerana kita mengasihi Yehuwa, dan Dia membantu kita untuk berbuat demikian. (Baca Kolose 3:5-10.) Iman telah menggerakkan kita untuk membaktikan diri kepada Yehuwa dan menjadi sahabat-Nya. Hal ini mustahil dilakukan dengan usaha sendiri.—Ef. 2:8.

5 Iman dapat menguatkan kita. Contohnya, iman dapat membantu kita untuk melawan serangan Syaitan. (Ef. 6:16) Oleh sebab kita percaya kepada Yehuwa, kita tidak perlu berasa terlalu risau apabila mengalami masalah. Yehuwa telah berjanji bahawa Dia akan memenuhi segala keperluan kita jika kita beriman kepada-Nya dan mengutamakan Kerajaan-Nya. (Mat. 6:30-34) Tambahan lagi, Yehuwa akan memberkati iman kita dengan memberikan kehidupan kekal.—Yoh. 3:16.

HILANG IMAN KERANA HILANG TUMPUAN

6, 7. (a) Angin dan ombak yang dialami oleh Petrus boleh disamakan dengan apa? (b) Mengapakah kita harus sedar bahawa iman kita boleh menjadi lemah?

6 Ribut dan ombak yang berlaku semasa Petrus berjalan di atas Tasik Galilea boleh disamakan dengan cubaan dan godaan yang dialami orang Kristian hari ini. Namun dengan bantuan Yehuwa, kita boleh tetap kukuh menghadapi cabaran. Tetapi, ingatlah apa yang berlaku kepada Petrus. Dia tidak tenggelam kerana ditiup angin atau dipukul ombak. Sebaliknya, Bible berkata, “Apabila Petrus melihat ke arah ribut, dia berasa takut.” (Mat. 14:30) Petrus telah hilang tumpuan dan mengalihkan perhatiannya kepada ribut. Oleh itu, imannya menjadi lemah. Begitu juga, jika kita bertumpu kepada masalah, kita mungkin meragui bantuan Yehuwa.

7 Kita harus sedar bahawa iman kita boleh menjadi lemah. Bible memberitahu kita bahawa kehilangan iman ialah “dosa yang dapat menjerat kita dengan senang.” (Ibr. 12:1) Seperti Petrus, iman kita boleh menjadi lemah dengan cepat jika kita bertumpu kepada perkara yang salah. Bagaimanakah kita tahu jika hal ini telah berlaku kepada kita? Marilah kita menguji diri dengan mengkaji soalan-soalan berikut.

8. Mengapakah kita mungkin hilang iman terhadap janji-janji Yehuwa?

8 Adakah kita masih percaya kepada janji-janji Tuhan? Contohnya, Tuhan sudah berjanji untuk menghapuskan dunia Syaitan. Namun bagaimana pula jika kita hilang tumpuan kerana sangat tertarik dengan hiburan dunia ini? Kita mungkin lupa akan janji Tuhan dan mula meragui bahawa akhir dunia sudah dekat. (Hab. 2:3) Fikirkan satu lagi contoh, Yehuwa telah memberikan tebusan dan berjanji untuk mengampuni kita. Namun jika kita tetap bertumpu kepada kesilapan lampau, kita mungkin meragui bahawa Yehuwa sudah mengampuni kita. (Kis. 3:19) Akibatnya, kita mungkin tidak lagi menikmati khidmat Yehuwa dan menjadi tidak aktif.

9. Apakah yang mungkin terjadi jika kita terlalu bertumpu kepada hal-hal peribadi?

9 Adakah saya masih memberikan yang terbaik kepada Yehuwa? Jika kita bekerja keras untuk Yehuwa, kita akan bertumpu kepada masa depan yang cerah. Namun bagaimana pula jika kita lebih bertumpu kepada hal-hal peribadi? Contohnya, kita mungkin menerima pekerjaan dengan gaji lumayan. Tetapi hal ini mengehadkan khidmat kita kepada Yehuwa. Maka iman kita menjadi lemah dan menyebabkan kita “menjadi malas.” Akibatnya, kita tidak lagi memberikan yang terbaik kepada Yehuwa.—Ibr. 6:10-12.

10. Mengapakah kita menunjukkan iman terhadap Yehuwa apabila kita mengampunkan orang lain?

10 Adakah saya berasa susah untuk memaafkan orang? Apabila orang menyakiti hati kita, adakah kita cenderung menjadi marah atau berhenti bercakap dengan orang itu? Jika ya, kita mungkin terlalu bertumpu kepada perasaan sendiri. Kita menunjukkan iman kepada Yehuwa apabila kita mengampunkan orang. Mengapa? Apabila kita berbuat silap, kita seperti berhutang dengan Yehuwa. Begitu juga, orang yang berbuat silap terhadap kita seperti berhutang dengan kita. (Luk. 11:4) Dengan memaafkan orang lain, kita menunjukkan bahawa kita ingin mendapat perkenan Yehuwa. Hal ini jauh lebih penting daripada menuntut orang lain untuk melangsaikan “hutang” dosa mereka terhadap kita. Pengikut Yesus sedar bahawa iman diperlukan untuk memaafkan orang lain. Apabila Yesus menyuruh mereka untuk memaafkan orang yang berulang kali berbuat salah, pengikut Yesus menjawab, “Berilah kami lebih banyak iman.”—Luk. 17:1-5.

11. Mengapakah kita mungkin gagal meraih manfaat daripada nasihat yang diberikan?

11 Adakah saya kecil hati apabila diberikan nasihat berdasarkan Bible? Kita harus bertumpu kepada manfaat dalam nasihat itu, bukannya mencari kesilapan dalam nasihat itu atau orang yang memberikan nasihat. (Ams. 19:20) Jika kita gagal berbuat demikian, kita mungkin hilang peluang untuk menyelaraskan pemikiran kita dengan pemikiran Yehuwa!

12. Mengapakah seseorang mungkin selalu bercakap buruk mengenai orang yang mengambil pimpinan?

12 Adakah saya bercakap buruk mengenai orang yang mengambil pimpinan dalam sidang? Semasa 10 orang pengintip membawa laporan buruk kepada orang Israel, mereka mula bersungut-sungut tentang Musa dan Harun yang dilantik oleh Tuhan. Maka Yehuwa bertanya, “Sampai bilakah mereka tidak mahu percaya kepada-Ku?” (Bil. 14:2-4, 11) Ya, tindakan orang Israel menunjukkan bahawa mereka tidak mempercayai Tuhan. Begitu juga, apabila kita selalu bercakap buruk mengenai orang yang mengambil pimpinan, kemungkinan iman kita terhadap Tuhan sudah menjadi lemah.

13. Mengapakah kita tidak harus berasa kecewa jika iman kita lemah?

13 Selepas mengkaji soalan-soalan tadi, janganlah berasa kecewa jika terdapat kelemahan pada iman anda. Ingatlah, rasul Petrus pun menjadi takut dan ragu-ragu. Selain itu, Yesus pernah memberikan teguran kepada para rasul: “Alangkah kecilnya iman kamu!” (Mat. 16:8) Namun, terdapat pengajaran penting daripada pengalaman Petrus. Marilah kita lihat apa yang dilakukan Petrus selepas imannya menjadi lemah dan dia mula tenggelam ke dalam air.

KUATKAN IMAN ANDA DENGAN BERTUMPU KEPADA YESUS

14, 15. (a) Apakah yang dilakukan Petrus apabila dia tenggelam? (b) Bagaimanakah kita boleh bertumpu kepada Yesus?

14 Apakah yang dilakukan Petrus apabila dia tenggelam? Petrus pandai berenang dan mampu berenang kembali ke perahu. (Yoh. 21:7) Namun, dia tidak berbuat demikian. Dia tidak bergantung pada diri sendiri, tetapi bertumpu kepada Yesus dan menerima bantuannya. Jika iman kita lemah, kita harus meneladani Petrus. Bagaimana?

15 Seperti Petrus, kita harus bertumpu kepada Yesus. (Baca Ibrani 12:2, 3.) Memang benar, kita tidak dapat melihat Yesus. Tetapi kita boleh mempelajari ajaran dan kelakuan Yesus. Dengan demikian, kita dapat menguatkan iman kita. Mari kita kaji bagaimana kita dapat meneladani Yesus.

Dengan bertumpu kepada teladan Yesus dan mengikut jejaknya dengan teliti, iman kita menjadi teguh (Lihat perenggan 15)

16. Bagaimanakah Bible menguatkan iman kita?

16 Kuatkan keyakinan anda terhadap Bible. Yesus yakin bahawa Bible ialah Firman Tuhan dan mengandungi nasihat yang terbaik. (Yoh. 17:17) Untuk meneladani Yesus, kita harus membaca Bible setiap hari, mempelajarinya, dan membuat perenungan. Jika kita mempunyai sebarang pertanyaan, kita harus membuat penyelidikan. Contohnya, adakah anda yakin bahawa akhir sudah dekat? Anda boleh menguatkan iman anda dengan mempelajari nubuat Bible yang membuktikan bahawa kita hidup pada hari-hari terakhir. Inginkah anda menguatkan iman anda terhadap janji Tuhan untuk masa depan? Anda boleh mempelajari nubuat Bible yang sudah menjadi kenyataan. Adakah anda percaya bahawa nasihat Bible masih bermanfaat? Anda boleh membaca pengalaman saudara saudari yang telah mengubah hidup dengan bantuan Bible. *1 Tes. 2:13.

17. Mengapakah Yesus dapat menghadapi cabaran yang berat, dan bagaimanakah anda dapat meneladaninya?

17 Bertumpu kepada berkat yang dijanjikan Yehuwa. Yesus bertumpu kepada berkat yang bakal diterimanya. Hal ini membantunya menghadapi cabaran yang berat. (Ibr. 12:2) Tumpuannya tidak terpesong kepada perkara di dunia. (Mat. 4:8-10) Bagaimanakah kita boleh meneladani Yesus? Kita boleh merenungkan janji-janji Yehuwa. Cuba bayangkan diri anda di dunia baru. Tulislah atau lukislah perkara yang ingin anda lakukan di Firdaus. Anda juga boleh menyenaraikan nama orang yang ingin anda jumpa selepas mereka dibangkitkan. Fikirlah bagaimana janji Tuhan akan menjadi kenyataan dalam kehidupan anda.

18. Bagaimanakah doa dapat menguatkan iman anda?

18 Berdoa meminta lebih banyak iman. Yesus mengajar pengikutnya untuk berdoa meminta daya aktif. (Luk. 11:9, 13) Memandangkan iman ialah salah satu aspek buah daya aktif, berdoalah untuk lebih banyak iman. Selain itu, berdoalah secara khusus. Contohnya, jika anda berasa susah untuk mengampuni orang, mohonlah iman yang kuat daripada Yehuwa untuk mengampuni mereka.

19. Bagaimanakah kita memilih sahabat yang baik?

19 Pilih sahabat yang mempunyai iman yang kuat. Yesus memilih sahabatnya dengan teliti. Sahabatnya ialah para rasul yang setia dan taat kepadanya. (Baca Yohanes 15:14, 15.) Anda juga boleh memilih sahabat yang mempunyai iman yang kuat dan taat kepada Yesus. Sahabat sejati berkomunikasi secara terbuka, termasuk apabila mereka perlu memberikan atau menerima nasihat.—Ams. 27:9.

20. Apakah yang akan berlaku apabila kita membantu orang lain menguatkan iman mereka?

20 Bantu orang lain menguatkan iman mereka. Yesus menguatkan iman pengikutnya melalui kata-kata dan perbuatan. (Mrk. 11:20-24) Kita juga patut meneladani Yesus. Dengan demikian, kita menguatkan iman sendiri dan orang lain. (Ams. 11:25) Bagaimanakah anda dapat membantu orang di kawasan penyebaran anda? Ajarlah mereka bahawa Tuhan wujud, Dia mengambil berat tentang kita, dan Bible ialah Firman-Nya. Bagaimanakah anda dapat membantu menguatkan iman saudara saudari? Jangan terus elakkan seseorang yang bercakap buruk tentang saudara yang mengambil pimpinan. Anda boleh membantu menguatkan imannya dengan cara yang tidak menyinggung perasaan. (Yud. 22, 23) Jika anda masih bersekolah dan guru mengajar tentang evolusi, anda boleh mempertahankan kepercayaan anda tentang penciptaan. Hal ini mungkin membawa hasil yang baik.

21. Apakah janji Yehuwa kepada kita semua?

21 Yehuwa dan Yesus membantu Petrus mengatasi keraguan dan ketakutan. Pada kemudian hari, Petrus mempunyai iman yang kuat dan menjadi teladan yang baik. Yehuwa juga membantu menguatkan iman kita semua. (Baca 1 Petrus 5:9, 10.) Ya, usaha memang diperlukan untuk menguatkan iman kita, tetapi berkat yang diraih nanti pasti tiada tolok bandingnya.

^ per. 16 Contohnya, lihat siri rencana “Bible Mengubah Hidup” dalam Menara Pengawal edisi umum.