Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KISAH HIDUP

Berkat Yehuwa Membuat Hidup Saya Lebih Bermakna

Berkat Yehuwa Membuat Hidup Saya Lebih Bermakna

SAYA lahir pada tahun 1927 di Wakaw, Saskatchewan, Kanada. Keluarga saya terdiri daripada ibu bapa saya serta empat orang anak lelaki dan tiga orang anak perempuan. Maka sejak kecil, saya biasa hidup dengan ramai orang.

Pada tahun 1930-an, kegawatan ekonomi yang teruk berlaku. Walaupun keluarga kami tidak kaya, kami tidak kekurangan makanan. Hal ini kerana kami memelihara ayam dan seekor lembu. Maka kami selalu mempunyai telur, susu, krim, keju, dan mentega. Kami semua bekerja di ladang.

Saya ada banyak kenangan manis. Antaranya ialah ayah pergi ke pekan untuk menjual hasil ladang, dan kembali dengan sekotak epal yang segar. Bilik di rumah kami penuh dengan bau epal yang wangi. Betapa gembiranya kami kerana dapat makan epal yang sedap!

KELUARGA SAYA MENDAPAT KEBENARAN

Keluarga saya mendapat kebenaran semasa saya berumur enam tahun. Abang sulung saya, Johnny, meninggal tidak lama selepas dilahirkan. Ibu bapa saya berasa keliru dan sedih lalu menanya paderi, “Di mana Johnny sekarang?” Paderi itu menjawab bahawa bayi yang belum dibaptis tidak boleh naik ke syurga, tetapi jika ibu bapa saya memberinya duit, dia akan berdoa agar Johnny naik ke syurga. Ibu bapa saya kecewa sehingga mereka enggan bercakap dengan paderi itu lagi. Namun, mereka masih tertanya-tanya: “Di mana Johnny?”

Pada suatu hari, ibu mendapat buku Where Are the Dead? (Di Manakah Orang Mati?) yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa. Dia membacanya dengan serta-merta. Ibu memberitahu ayah, “Saya tahu di mana Johnny! Dia sedang tidur dan akan dibangkitkan.” Pada malam itu, ayah membaca seluruh buku itu. Mereka lega kerana Bible mengajar bahawa orang yang telah meninggal akan dibangkitkan.—Pkh. 9:5, 10; Kis. 24:15.

Kebenaran itu mengubah hidup kami dan membawa kelegaan dan kebahagiaan. Ibu bapa mula belajar Bible dengan Saksi dan menghadiri perjumpaan di Wakaw. Tidak lama kemudian, mereka bergiat dalam kerja penyebaran.

Tidak lama selepas itu, kami berpindah ke British Columbia dan sidang di sana mengalu-alukan kami. Saya terkenang kembali apabila keluarga kami membuat persiapan setiap minggu untuk pembelajaran Menara Pengawal. Setiap orang memupuk kasih yang mendalam kepada Yehuwa dan kebenaran. Kehidupan kami menjadi lebih bermakna dan Yehuwa memberkati kami.

Semasa muda, memang tidak senang untuk menjelaskan kepercayaan kami. Namun saya dan adik perempuan saya, Eva, sering membuat demonstrasi berdasarkan penyampaian bulanan semasa Perjumpaan Aktiviti Penyebaran. Walaupun kami pemalu, cara ini membantu kami untuk menjelaskan ajaran Bible. Saya sangat bersyukur atas latihan ini!

Salah satu kenangan baik semasa kami masih muda adalah apabila pekhidmat sepenuh masa tinggal bersama keluarga kami. Contohnya, kami gembira apabila penyelia litar, Jack Nathan, melawat sidang dan tinggal di rumah kami. Kisah-kisah yang diceritakannya dan kata-kata pujiannya mendorong kami untuk berkhidmat kepada Yehuwa.

Saya pernah berfikir, “Apabila saya menjadi besar nanti, saya ingin menjadi seperti Saudara Nathan.” Saya sedar bahawa teladannya mendorong saya untuk berkhidmat sepenuh masa. Pada umur 15 tahun, saya bertekad untuk berkhidmat kepada Yehuwa. Pada tahun 1942, saya dan Eva dibaptis.

IMAN KAMI DIUJI

Semangat kebangsaan sangat kuat semasa Perang Dunia Kedua. Maka seorang guru, Miss Scott, telah menyebabkan dua orang adik perempuan dan seorang adik lelaki saya dibuang sekolah. Mengapa? Kerana mereka enggan menabik bendera. Kemudian, Miss Scott menghubungi guru saya supaya saya juga dibuang sekolah. Guru saya menjawabnya, “Kita tinggal di negara yang bebas, dan kita boleh memilih untuk tidak menyertai acara patriotik jika mahu.” Tetapi, Miss Scott masih memberikan tekanan kepadanya. Guru saya berkata, “Inilah keputusan saya.”

Miss Scott menjawab, “Tidak, ini bukan pilihan kamu. Saya akan membuat aduan kepada pihak atasan jika Melita tidak dibuang sekolah.” Guru saya berjumpa dengan ibu bapa. Dia menjelaskan bahawa jika dia ingin terus bekerja di sekolah, saya terpaksa dibuang sekolah walaupun dia tahu bahawa hal ini salah. Namun kami telah memperoleh bahan pelajaran supaya saya dapat belajar di rumah. Tidak lama kemudian, kami berpindah ke tempat lain. Di sana saya diterima ke sekolah baru.

Selepas perang, bahan bacaan kita dilarang. Namun kami masih menginjil dari rumah ke rumah dengan menggunakan Bible. Hasilnya, kami mahir mengongsi berita baik terus daripada lembaran Bible. Hal ini membantu kami bertumbuh secara rohani dan menikmati sokongan Yehuwa.

BERKHIDMAT SEPENUH MASA

Saya mahir mendandan rambut dan telah mendapat beberapa anugerah

Setelah saya dan Eva tamat sekolah, kami mula merintis. Pada mulanya, saya bekerja di pusat beli-belah. Kemudian, saya mengikuti kursus dandanan rambut selama enam bulan. Saya suka mendandan rambut ahli keluarga saya. Saya bekerja di kedai gunting rambut dua hari seminggu. Saya juga mengajar kemahiran ini dua kali sebulan. Inilah cara saya menampung kehidupan semasa berkhidmat sepenuh masa.

Pada tahun 1955, saya ingin menghadiri konvensyen di Bandar Raya New York, A.S., dan di Nuremberg, Jerman. Sebelum bertolak ke New York, saya bertemu dengan Saudara Nathan Knorr dari ibu pejabat. Dia dan isterinya menghadiri konvensyen di Vancouver, Kanada. Pada masa itu, saya diminta untuk mendandan rambut Saudari Knorr. Saudara Knorr sangat gembira dengan hasil kerja saya dan ingin bertemu dengan saya. Semasa berbual, saya memberitahunya bahawa saya merancang untuk pergi ke New York sebelum ke Jerman. Dia menjemput saya untuk bekerja di Bethel Brooklyn selama sembilan hari.

Di New York, saya bertemu dengan seorang saudara muda yang bernama Theodore (Ted) Jaracz. Saya hairan apabila dia menanya, “Adakah kamu seorang perintis?” “Tidak,” jawab saya. Tetapi kawan saya LaVonne terdengar dan berkata, “Ya, dia perintis.” Ted berasa hairan dan menanya LaVonne, “Siapa yang lebih mengenalinya, kamu atau dia sendiri?” Saya menjelaskan bahawa saya pernah merintis dan ingin mula merintis sekali lagi selepas pulang dari konvensyen.

MENGAHWINI SEORANG LELAKI YANG MENGASIHI YEHUWA

Ted lahir pada tahun 1925 di Kentucky, A.S. Dia dibaptis pada umur 15 tahun. Walaupun keluarga Ted tidak dalam kebenaran, Ted mula merintis dua tahun kemudian. Dia telah berkhidmat sepenuh masa selama kira-kira 67 tahun.

Pada bulan Julai 1946, Ted tamat Sekolah Latihan Gilead yang ketujuh. Kemudian dia berkhidmat sebagai penyelia lawatan di Cleveland, Ohio. Pada tahun 1951, dia ditugaskan sebagai pembantu cawangan di Australia.

Ted turut menghadiri konvensyen di Nuremberg, Jerman. Di sana kami meluangkan masa bersama dan menjadi rapat. Saya gembira kerana dia ingin berkhidmat kepada Yehuwa dengan sepenuh hati. Walaupun dia sangat rajin dan serius, dia baik hati dan mesra. Dia mengutamakan kepentingan orang lain. Selepas konvensyen itu, Ted pulang ke Australia dan saya balik ke Vancouver. Tetapi kami sering menulis surat kepada satu sama lain.

Selepas berkhidmat selama lima tahun di Australia, Ted pulang ke Amerika Syarikat dan kemudian datang ke Vancouver untuk merintis. Saya gembira kerana keluarga saya menyukainya. Abang saya sangat prihatin terhadap saya dan risau jika terdapat saudara muda yang berminat dengan saya. Namun dia juga menyukai Ted. Dia berkata, “Melita, lelaki ini baik. Layanlah dia dengan baik dan janganlah lepaskan dia.”

Selepas berkahwin pada tahun 1956, kami menikmati khidmat sepenuh masa bersama

Saya pun semakin mengasihi Ted. Pada 10 Disember 1956, kami berkahwin. Kami merintis di Vancouver, kemudian di California, dan selepas itu melakukan kerja lawatan di Missouri dan Arkansas. Selama 18 tahun, kami tinggal di rumah yang berbeza setiap minggu. Kami membuat kerja lawatan di sebahagian besar Amerika Syarikat. Walaupun tidak senang untuk hidup berpindah-randah, kami sangat menikmati kerja penyebaran dan pergaulan baik dengan saudara saudari.

Satu perkara yang saya suka tentang Ted ialah dia tidak meremehkan hubungannya dengan Tuhan. Dia sangat menghargai hubungannya dengan Individu yang tertinggi di alam semesta. Kami suka membaca dan mempelajari Bible bersama. Sebelum tidur, kami akan melutut dan Ted akan berdoa bersama saya. Selepas itu, kami akan berdoa secara peribadi. Apabila perkara serius membelenggu minda Ted, dia akan berdoa dengan lama. Saya kagum kerana Ted berdoa kepada Yehuwa tentang perkara besar mahupun kecil.

Beberapa tahun selepas kami berkahwin, Ted memberitahu bahawa dia akan makan roti dan minum wain semasa Peringatan. Dia berkata, “Saya sudah berdoa tentang hal ini dengan bersungguh-sungguh untuk menentukan bahawa inilah kehendak Yehuwa bagi saya.” Sebenarnya, saya tidak hairan jika Ted diurapi daya aktif dan akan naik ke syurga. Saya memandangnya sebagai suatu penghormatan untuk menyokong salah seorang saudara Yesus.—Mat. 25:35-40.

TUGAS YANG BARU

Tanpa diduga, pada tahun 1974, Ted dijemput untuk menjadi seorang ahli Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa. Kemudian, kami dijemput untuk berkhidmat di Bethel Brooklyn. Sementara Ted menjalankan tugasnya, saya membersihkan bilik-bilik atau mendandan rambut ahli Bethel.

Sebagai ahli Badan Pimpinan, dia ditugaskan untuk melawat beberapa pejabat cawangan. Dia sangat berminat dengan negara di mana kerja penyebaran dilarang. Antaranya ialah negara-negara di Eropah Timur yang diperintah oleh Kesatuan Soviet. Semasa bercuti di Sweden, Ted berkata, “Melita, kerja penyebaran dilarang di Poland, dan saya ingin membantu saudara saudari di sana.” Maka, kami mendapat visa untuk pergi ke Poland. Ted berjumpa dengan beberapa orang saudara yang menyelia kegiatan kita di sana. Mereka berbincang sambil berjalan agar tiada orang mendengar perbualan mereka. Selama empat hari, mereka mengadakan mesyuarat demi mesyuarat. Namun, Ted berasa puas kerana dapat membantu keluarga rohaninya.

Pada November 1977, kami melawat Poland sekali lagi. Tiga orang ahli Badan Pimpinan, iaitu F. W. Franz, Daniel Sydlik, dan Ted telah melawat Poland secara rasmi buat kali pertama. Walaupun kegiatan kita dilarang, mereka dapat melawat beberapa kota untuk berbincang dengan para penyelia, perintis, dan Saksi-Saksi yang sudah lama dalam kebenaran.

Ted dan beberapa orang saudara di Kementerian Kehakiman di Moscow setelah kegiatan kita diiktiraf oleh kerajaan

Pada tahun seterusnya, Milton Henschel dan Ted melawat beberapa pegawai di Poland. Pegawai-pegawai ini menerima Saksi-Saksi Yehuwa dan aktiviti kita dengan lebih terbuka. Pada tahun 1982, kerajaan Poland mengizinkan kita untuk mengadakan perhimpunan satu hari. Pada tahun seterusnya, konvensyen dapat diadakan. Pada tahun 1985, kita dibenarkan untuk mengadakan empat konvensyen di stadium yang besar. Kemudian, pada Mei 1989, sementara konvensyen yang lebih besar sedang dirancang, Saksi-Saksi Yehuwa diiktiraf sebagai agama yang sah di Poland. Peristiwa ini menggembirakan Ted.

Konvensyen Distrik di Poland

MENANGANI MASALAH KESIHATAN

Pada tahun 2007, kami membuat perjalanan untuk menghadiri pentahbisan pejabat cawangan di Afrika Selatan. Semasa di England, Ted mempunyai masalah tekanan darah tinggi. Doktor menasihatinya untuk menunda perjalanannya. Selepas Ted sembuh, kami pulang ke Amerika Syarikat. Beberapa minggu kemudian, Ted kena strok yang menyebabkan separuh badannya lumpuh.

Ted sembuh dengan perlahan dan tidak dapat bekerja di pejabatnya. Namun kami bersyukur kerana dia dapat bercakap seperti biasa. Walaupun dia mempunyai keterbatasan, dia cuba bekerja di Bethel serta menyertai mesyuarat Badan Pimpinan mingguan melalui telefon di ruang tamu kami.

Ted menghargai fisioterapi yang diterimanya di Bethel. Lama-kelamaan, dia dapat bergerak semula. Dia juga dapat melaksanakan beberapa tugas teokratiknya dan dia tetap ceria.

Tiga tahun kemudian, Ted kena strok yang kedua dan meninggal pada 9 Jun 2010. Saya tahu Ted akan menghabiskan hayatnya di bumi. Namun hati saya sangat pedih apabila kehilangannya, dan saya merinduinya. Setiap hari, saya berterima kasih kepada Yehuwa kerana berpeluang untuk menyokong Ted. Kami telah menikmati 53 tahun bersama dalam khidmat sepenuh masa. Saya bersyukur kerana Ted membantu saya untuk mendekati Yehuwa. Saya pasti bahawa tugas baru Ted di syurga membawa kegembiraan dan kepuasan yang besar kepadanya.

CABARAN BARU DALAM HIDUP

Saya suka bekerja dan memberi latihan mendandan rambut di Bethel

Setelah bertahun-tahun berkhidmat bersama suami saya, saya harus menyesuaikan diri dengan cabaran yang dihadapi sekarang. Saya dan Ted suka berbual dengan pelawat yang datang ke Bethel dan Dewan Perjumpaan. Memandangkan Ted tiada lagi di sini, dan saya tidak sekuat dahulu, saya terpaksa mengurangkan pergaulan saya. Walaupun demikian, saya masih menikmati pergaulan dengan saudara saudari di Bethel dan di sidang. Kehidupan di Bethel tidaklah senang, tetapi berkhidmat kepada Tuhan memang membawa sukacita. Saya sentiasa suka pergi menginjil. Walaupun saya cepat penat dan tidak dapat berdiri untuk masa yang lama, saya berasa puas semasa menyertai kesaksian awam dan mengadakan pembelajaran Bible.

Apabila saya melihat semua perkara buruk yang berlaku di dunia, saya bersyukur kerana dapat berkhidmat kepada Yehuwa dengan teman hidup saya! Berkat Yehuwa memang membuat hidup saya lebih bermakna.—Ams. 10:22.