Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Latihlah Anak Remaja untuk Menyembah Yehuwa

Latihlah Anak Remaja untuk Menyembah Yehuwa

“Yesus kian membesar dan kebijaksanaannya kian bertambah. Dia semakin disenangi oleh Tuhan dan manusia.”—LUK. 2:52.

LAGU: 41, 89

1, 2. (a) Apakah kerisauan ibu bapa terhadap anak remaja mereka? (b) Apakah kemajuan yang boleh dicapai oleh remaja?

SALAH satu kenangan manis bagi ibu bapa adalah apabila anak mereka dibaptis. Keempat-empat anak Berenice dibaptis sebelum mereka mencapai umur 14 tahun. Dia berkata, “Kami sangat gembira dan bersyukur kerana anak kami ingin menyembah Yehuwa. Tetapi kami juga tahu bahawa anak remaja kami akan menghadapi banyak cabaran.” Jika anda mempunyai anak remaja atau yang akan menjadi remaja, anda juga mungkin berasa risau tentang hal ini.

2 Seorang pakar berkata bahawa zaman remaja mencabar bagi ibu bapa dan anak. Tetapi ibu bapa tidak patut menganggap anak remaja mereka tidak matang atau liar. Anak remaja sebenarnya kreatif, mempunyai emosi yang mendalam, dan perlu meluangkan masa bersama kawan. Jadi, anak remaja anda boleh memupuk persahabatan yang akrab dengan Yehuwa seperti yang dilakukan Yesus semasa muda. (Baca Lukas 2:52.) Mereka juga dapat meningkatkan kemahiran menginjil dan memupuk keinginan untuk berkhidmat kepada Tuhan. Mereka dapat membuat keputusan sendiri, seperti membaktikan diri kepada Yehuwa dan mentaati-Nya. Namun, bagaimanakah anda dapat melatih anak remaja untuk menyembah Yehuwa? Anda boleh meniru cara Yesus melatih pengikutnya dengan menunjukkan kasih, kerendahan hati, dan pengertian.

KASIHILAH ANAK REMAJA ANDA

3. Bagaimanakah para rasul Yesus tahu bahawa Yesus merupakan sahabat mereka?

3 Yesus bukan sekadar tuan bagi rasul-rasulnya, tetapi dia juga merupakan sahabat mereka. (Baca Yohanes 15:15.) Pada zaman Bible, seorang tuan biasanya tidak akan memberitahu pendapat dan perasaannya kepada hambanya. Tetapi Yesus tidak memperlakukan para rasulnya seperti hamba. Dia mengasihi, meluangkan masa, dan memberitahu mereka fikiran serta perasaannya. Yesus juga mendengar dengan teliti apabila mereka mengungkapkan pandangan dan perasaan mereka. (Mrk. 6:30-32) Maka Yesus menjadi sahabat akrab para rasulnya dan mereka bersedia untuk melakukan tugas yang diberikan.

4. Bagaimanakah ibu bapa boleh menjadi sahabat anak mereka? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

4 Walaupun anda mempunyai kuasa atas anak, anda juga boleh menjadi sahabat mereka. Sahabat selalu meluangkan masa bersama-sama. Anda boleh mengurangkan masa bekerja atau melakukan perkara lain supaya mempunyai lebih banyak masa bersama anak anda. Berdoalah dan fikirkanlah hal ini dengan mendalam. Selain itu, sahabat juga berkongsi minat yang sama. Maka cubalah untuk menikmati apa yang disukainya. Contohnya, muzik, filem, atau sukan kegemarannya. Ilaria yang tinggal di Itali berkata, “Ibu bapa saya minat terhadap muzik yang saya dengar. Sebenarnya bapa merupakan sahabat baik saya. Saya selesa bercakap dengannya walaupun tentang perkara yang sensitif.” Dengan menjadi sahabat kepada anak anda dan membantu mereka untuk menjadi sahabat Yehuwa, anda tidak akan hilang kuasa sebagai ibu bapa. (Mzm. 25:14) Anak akan sedar bahawa anda mengasihi dan menghormati mereka. Dia juga akan berasa selesa untuk bercakap dengan anda.

5. Bagaimanakah murid-murid Yesus dapat menikmati kegembiraan?

5 Yesus tahu bahawa murid-muridnya akan gembira jika mereka berkhidmat kepada Yehuwa dan sibuk menyebarkan berita baik. Maka dia menggalakkan mereka untuk giat dalam aktiviti penyebaran, dan dia berjanji untuk membantu mereka.—Mat. 28:19, 20.

6, 7. Mengapakah ibu bapa menetapkan dan mengekalkan rutin rohani bagi anak mereka?

6 Anda tentu mahu anak anda memiliki hubungan yang akrab dengan Yehuwa. Yehuwa telah memberi anda kuasa untuk melatih dan mendisiplinkan mereka. (Ef. 6:4) Maka anda perlu memastikan mereka memiliki rutin rohani. Fikirkan hal ini: Anda memastikan mereka pergi ke sekolah kerana pendidikan itu penting. Begitu juga, anda memastikan mereka menghadiri perjumpaan, perhimpunan, dan penyembahan keluarga kerana pendidikan daripada Yehuwa lebih penting. Oleh itu, bantulah mereka menghargai perkara rohani dan kebijaksanaan daripada Tuhan. (Ams. 24:14) Selain itu, latihlah mereka untuk menginjil dengan tetap. Tirulah Yesus dengan membantu mereka untuk gemar mengajarkan Firman Tuhan kepada orang.

7 Bagaimanakah rutin rohani seperti pembelajaran Bible, perjumpaan, dan aktiviti penyebaran dapat membantu anak remaja anda? Erin yang tinggal di Afrika Selatan berkata, “Semasa kecil, kami selalu merajuk dan merungut tentang pembelajaran Bible, perjumpaan, dan aktiviti penyebaran. Kadangkala, kami sengaja mengganggu penyembahan keluarga supaya tidak perlu menghadirinya. Tetapi ibu bapa kami tidak berputus asa.” Dia bersyukur kerana ibu bapanya membantunya untuk sedar betapa pentingnya perkara ini. Sekarang, apabila dia tidak dapat menghadiri perjumpaan atau aktiviti penyebaran, dia akan segera kembali melakukan rutin rohaninya.

TUNJUKKANLAH KERENDAHAN HATI

8. (a) Bagaimanakah Yesus menunjukkan kerendahan hati? (b) Bagaimanakah kerendahan hati Yesus membantu pengikutnya?

8 Walaupun Yesus sempurna, dia rendah hati dan memberitahu pengikutnya bahawa dia memerlukan bantuan Yehuwa. (Baca Yohanes 5:19.) Adakah hal ini menyebabkan pengikut Yesus kurang menghormatinya? Tidak. Semakin kerap mereka nampak Yesus bergantung pada Yehuwa, mereka semakin mempercayainya. Mereka juga meniru kerendahan hatinya.—Kis. 3:12, 13, 16.

9. Apabila anda mengakui kesilapan, bagaimanakah hal ini membantu anak remaja anda?

9 Tidak seperti Yesus, kita tidak sempurna dan membuat kesilapan. Oleh itu, kita harus menunjukkan kerendahan hati dengan mengakui keterbatasan dan kesilapan kita. (1 Yoh. 1:8) Dengan demikian, anak remaja anda akan belajar untuk mengakui kesilapannya dan dia akan lebih menghormati anda. Contohnya, siapakah yang anda lebih hormati? Seorang majikan yang mengakui kesilapannya atau yang enggan meminta maaf? Rosemary yang membesarkan tiga orang anak berkata bahawa dia dan suaminya rela mengakui kesilapan mereka. Dia menjelaskan, “Hal ini mendorong anak kami untuk meluahkan masalah mereka. Kami mengajar anak kami cara mendapatkan penyelesaian bagi masalah mereka. Apabila mereka memerlukan bantuan, kami meminta mereka untuk merujuk kepada bahan bacaan Bible. Kami juga berdoa bersama mereka.”

10. Bagaimanakah Yesus menunjukkan kerendahan hati semasa memberikan perintah kepada muridnya?

10 Yesus berhak memberitahu muridnya apa yang harus dilakukan. Tetapi dia selalu menjelaskan sebab mereka harus melakukan sesuatu kerana dia rendah hati. Contohnya, dia tidak hanya menyuruh mereka mengutamakan Kerajaan Tuhan dan apa yang benar di mata Tuhan. Sebaliknya, dia berkata, “Semua perkara itu akan diberikan kepada kamu.” Yesus juga menyuruh mereka untuk berhenti menghakimi. Dia menjelaskan sebabnya: “Hal ini demikian kerana kamu akan dihakimi sebagaimana kamu menghakimi orang.”—Mat. 6:31–7:2.

11. Bagaimanakah anda dapat membantu anak remaja dengan menjelaskan sebab anda membuat suatu peraturan atau keputusan?

11 Jika sesuai, jelaskan sebab anda membuat suatu peraturan atau keputusan kepada anak remaja. Maka, lebih mudah baginya untuk mentaati anda. Barry yang membesarkan empat orang anak berkata, “Memberikan sebab akan membantu remaja untuk mempercayai anda.” Anak akan sedar bahawa anda membuat suatu peraturan atau keputusan atas sebab yang munasabah, bukan kerana anda mempunyai kuasa. Ingat juga bahawa anak remaja anda bukan lagi anak kecil. Mereka sedang belajar cara untuk berfikir dan ingin membuat keputusan sendiri. (Rm. 12:1) Barry menjelaskan, “Anak remaja perlu belajar membuat keputusan yang bijak berdasarkan sebab tertentu bukannya mengikut emosi.” (Mzm. 119:34) Maka tunjukkan kerendahan hati dan jelaskan sebab anda membuat suatu keputusan. Dengan demikian, dia akan belajar untuk membuat keputusan sendiri. Dia juga tahu bahawa anda menghormatinya dan anda sedar bahawa dia semakin dewasa.

TUNJUKKANLAH PENGERTIAN DAN FAHAMI ANAK REMAJA

12. Oleh sebab Yesus memiliki pengertian, bagaimanakah dia membantu Petrus?

12 Yesus memiliki pengertian dan tahu bantuan yang diperlukan oleh pengikutnya. Contohnya, apabila Yesus mengatakan bahawa dia akan dibunuh, Petrus menyuruh Yesus untuk memikirkan dirinya sendiri. Yesus tahu bahawa Petrus mengasihinya, tetapi dia juga tahu bahawa pandangan Petrus itu salah. Bagaimanakah Yesus membantu Petrus dan pengikut yang lain? Dia menegur Petrus. Kemudian, Yesus menjelaskan akibat seseorang yang enggan melakukan kehendak Yehuwa sewaktu menghadapi cabaran. Yesus juga berkata bahawa Yehuwa akan memberkati orang yang tidak mementingkan diri. (Mat. 16:21-27) Petrus belajar daripada hal itu.—1 Ptr. 2:20, 21.

13, 14. (a) Apakah yang menunjukkan bahawa anak remaja anda memerlukan bantuan untuk menguatkan imannya? (b) Bagaimanakah anda dapat mengetahui cara untuk membantu anak remaja anda?

13 Berdoalah memohon pengertian daripada Yehuwa untuk membantu anda memahami bantuan yang diperlukan anak remaja anda. (Mzm. 32:8) Anda mungkin sedar bahawa anak anda tidak segembira dahulu, bercakap negatif tentang saudara saudari, atau menyembunyikan sesuatu daripada anda. Janganlah terus membuat kesimpulan bahawa dia melakukan sesuatu yang buruk di belakang anda. * Namun, anda tidak harus mengabaikan masalah itu. Dia mungkin memerlukan bantuan anda untuk menguatkan imannya.

Bantulah anak remaja untuk mencari sahabat baik dalam sidang (Lihat perenggan 14)

14 Untuk mengetahui cara membantu anak remaja, tanyalah soalan dengan lembut dan hormat. Hal itu seperti menimba air dari perigi. Jika anda menimbanya terlalu cepat, anda hanya mendapat sedikit air. Begitu juga, jika anda bersikap tidak sabar semasa menanyakan soalan atau cuba memaksa anak remaja untuk bercakap, anda tidak akan mengetahui perasaan dan pemikirannya yang sebenar. (Baca Amsal 20:5.) Ilaria ingat bahawa semasa remaja, dia ingin meluangkan lebih banyak masa dengan rakan sekelasnya walaupun dia tahu hal itu salah. Ibu bapanya sedar bahawa dia tidak gembira. Ilaria berkata, “Pada suatu malam, mereka memberitahu saya bahawa saya kelihatan sedih. Mereka menanya saya jika saya mempunyai masalah. Saya menangis lalu menjelaskan masalah saya dan meminta bantuan mereka. Mereka memeluk saya, memberitahu saya bahawa mereka memahami saya, dan berjanji untuk membantu saya.” Ibu bapa Ilaria segera membantunya untuk mencari sahabat baik dalam sidang.

15. Apakah cara lain Yesus menunjukkan pengertian?

15 Yesus juga menunjukkan pengertian dengan sedar akan sifat baik murid-muridnya. Contohnya, apabila Natanael mendengar bahawa Yesus berasal dari Nasaret, dia berkata, “Dapatkah sesuatu yang baik datang dari Nasaret?” (Yoh. 1:46) Jika anda berada di sana, adakah anda berfikir bahawa Natanael seorang yang negatif, berprasangka, atau tidak beriman? Yesus tidak berfikir seperti itu. Sebaliknya, Yesus memanggil Natanael sebagai “orang Israel sejati yang hatinya bebas daripada tipu daya.” (Yoh. 1:47) Yesus dapat membaca hati. Dia menggunakan kebolehan itu untuk mencari sifat baik seseorang.

16. Bagaimanakah anda dapat menggalakkan anak remaja untuk membuat kemajuan?

16 Walaupun anda tidak dapat membaca hati, anda boleh memiliki pengertian. Yehuwa dapat membantu anda untuk mencari sifat baik anak remaja anda. Jika anak remaja mengecewakan anda, janganlah berfikir bahawa dia jahat atau suka membuat masalah. Sebaliknya, beritahulah bahawa anda nampak sifat baiknya dan keinginannya untuk buat apa yang benar. Perhatikanlah kemajuannya dan pujilah dia. Jika boleh, kembangkan sifat baiknya dengan memberinya lebih banyak tanggungjawab. Yesus juga berbuat demikian. Satu setengah tahun selepas berjumpa dengan Natanael (yang juga dipanggil Bartolomeus), Yesus melantiknya sebagai rasul. Natanael melaksanakan tugas itu dengan setia. (Luk. 6:13, 14; Kis. 1:13, 14) Janganlah membuat anak anda berasa bahawa dia tidak cukup baik. Pujian dan galakan anda dapat membantu dia menggunakan kebolehannya untuk menyembah Yehuwa.

MELATIH ANAK MEMBAWA KEPUASAN MENDALAM

17, 18. Jika anda terus melatih anak remaja untuk menyembah Yehuwa, apakah hasilnya?

17 Sewaktu membesarkan anak, anda mungkin pernah berasa seperti rasul Paulus yang mengajarkan kebenaran kepada banyak orang. Paulus mengalami “hati yang sangat sedih dan berat” kerana dia sangat mengasihi mereka yang bagaikan anaknya. (2 Kor. 2:4; 1 Kor. 4:15) Victor yang membesarkan tiga orang anak berkata, “Zaman remaja bukannya senang. Namun, kenangan manis tidak dapat dibandingkan dengan cabaran yang dihadapi. Dengan bantuan Yehuwa, kami dapat menikmati persahabatan yang erat dengan anak kami.”

18 Ibu bapa, anda telah bekerja keras untuk melatih anak kerana anda sangat mengasihi mereka. Janganlah putus asa. Fikirkan betapa dalamnya sukacita yang diraih apabila anak anda membuat keputusan untuk menyembah Tuhan dan “tetap berjalan mengikut kebenaran.”—3 Yoh. 4.

^ per. 13 Ibu bapa boleh mendapatkan maklumat daripada buku Rahsia Kebahagiaan Keluarga bab 6 dan 7.